October 28, 2011

Kejutan Bahasa

Assalamualaikum..

Akibat daripada nature family aku dari kecik sampai ke besar hidup berpindah randah, aku telah terbiasa dengan rutin menyesuaikan diri dengan alam sekitar dan masyarakat setempat.

Bagi pembaca yang baru kenal blog ini, untuk lebih memahami boleh lah baca entry aku yang bertajuk Orang Nomad dan lain lain lagi entry lama.

Akibat dari banyak berpindah randah, maka aku telah terbiasa dengan mempelajari slang, punch-line dan struktur ayat yang baru dari masyarakat setempat. Benarlah cakap orang tua-tua bahawa jauh berjalan luas pandangan.

Luas pandangan tidaklah pulak bermaksud otak cerdik exam dapat 4 flat, cuma ia sekadar pandangan yang lebih luas dalam memahami persoalan dalam hidup. Kalau malas baca buku, malas buat assignment, berjalanlah sampai Uganda sekalipun, tetaplah repeat paper sampai ke part 8.

Salah faham itu berlaku. Salah faham itu bukan satu dosa dan satu jenayah, cuma ia boleh menimbulkan ketegangan kalau tidak diatasi dengan betul.

****************************
1) Menganjing

Masa aku mula-mula pindah Mersing, aku telah bersedia untuk menjangka akan adanya kejutan bahasa bagi aku masa dalam kelas, dengan persediaan mindset begini akan mengurangkan kesan terkejut beruk, jadi aku akan ckp macam ni..........

" Jangan cepat melatah Zulfikar!" berkata-kata sambil ikat tali kasut kat muka pintu.

Bila masuk kelas Tingkatan 2 Yakin di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Mersing, aku buat lawak dengan kawan-kawan pasal Amirul yang kemetot.

" Mirul, kau pendek macam ni ada hati nak ngorat Aishah Jo, pergi sunat dulu lah!"

" eh..eh Zul, 'tak kuat' kau menganjing!"

Bila aku dengar dia cakap aku menganjing, aku tergamam dan rasa macam nak tumbuk muka dia masa tu jugak. Aku rasa macam mulut dia takde insuran sebab dia cakap aku menganjing. Pada pemahaman aku, menganjing tu datang dari kata akar anjing, dan imbuhan 'Meng' itu seumpama mengatakan aku melakukan perbuatan anjing atau berlaku seperti anjing.

Sepanjang hidup aku, tak pernah lagi aku menerima penghinaan macam tu sekali, tapi sebabkan aku datang tempat orang dan aku dah set taknak cepat melatah, aku cool dulu, dan kemudian aku tanya Hasmuni dan Hafizan, Diorang bagi tau.......

" Zul, Menganjing tu makna dia macam mengejek, perli atau mengutuk lah, kau jangan pulak pikir yang orang nak maki kau anjing"

Pada masa tu, barulah aku paham, dan aku baru perasan yang semua orang dekat Mersing akan menggunakan term menganjing untuk makna mengejek dan mengutuk, umpanya kalau zaman sekarang ni budak-budak suka cakap 'bahan' atau 'membahan'....

" woi jom lepak rumah Yus jom, best sikit nak bahan Debe"

" kau ni tak habis-habis nak bahan orang Zik, mana cukup korum wei nak bahan Debe, Chewe gi main snooker"

Okey mari kita gantikan struktur ayat di atas dengan perkataan baru kita belajar hari ini iaitu menganjing.

" woi jom lepak rumah Yus jom, best sikit nak menganjing debe"

" kau ni tak habis-habis nak menganjing orang Zik, mana cukup korum wei nak ngajing Debe, Chewe gi main snooker"

Perkataan ini setahu aku tidaklah menjadi pelik bagi masyarakat di negeri belah pantai timur Malaysia seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Separuh pantai timur Johor seperti Mersing, Kluang, Jb dan lain-lain. Dan bagi mereka ianya hanya perkataan biasa, slanga sebutan harian.

Namun jika digunakan dengan kawan-kawan dari pantai barat Malaysia umpamanya Selangor, Perak, KL, Kedah dan lain-lain, ia sangat berbunyi kurang ajar dan menimbulkan perasaan yang tak selesa. 

Kalau cepat melatah boleh bertumbuk dan putus kawan. Now you Know!.. pergh rasa macam narrator National Geographic pulak dah.

********************

2) Perkataan Vice Versa

Pada suatu masa semasa di tingkatan 2, aku berborak dengan Hafizan, Amirul dan Khairil Adnan.

" woi, ko tengok tak motor Honda Bulat Hijau semalam? Seeelowww, pergh sekampung EX5 Abu kena tinggal"

Masa tu, aku tak faham dan aku keliru, mana satu yang budak-budak ni maksudkan, motor tu laju ke slow? kalau slow kenapa pulak Ex5 yg lebih baru dan power boleh kena tinggal?

Rupanya di Mersing, kalau budak-budak tengah excited nak menceritakan sesuatu kehebatan atau superiority, mereka akan terbalikkan dengan perkataan yang berlawanan.

" ehhh ehhh kasut Zul Size 9, kecik!"

" Kecik apa nya Hasmuni? besar ni, jenuh aku nak cari kasut sekolah tadi. Size 9 kecik lagi kata kau?"

" Hek ehh Zul, besor la aku cakap size 9, tapi aku cakap Keeeecik, saja la.. excited!"

" Ikut kau la Hasmuni"

Jenuh, seminggu dua jugak la aku cuba biasakan diri nak terbalikkan semua perkataan yang diorang cakap dalam otak aku, bagi membayangkan maksud yang sebenar. Kalau aku tak sesuaikan diri, mungkin aku jadi kera sumbang dekat sekolah sana.

*******************

3) Awak

Di Negeri Perak, Pahang dan sesetengah negeri pantai timur, ada orang tua-tua atau orang yang bersopan-santun akan bahasakan diri sendiri dengan panggilan awak atau awok (slang)

Tapi bagi mereka yang tidak biasa dan jarang bercampur dengan Masyarakat, mereka akan jadi lambat pikap, bila lambat pikap mulalah jadi salah faham, bila salah faham tambah dengan lambat pikap tambah lagi keterujaan untuk menunjuk pandai maka akan wujudlah masyarakat 'Mohon Share' nota facebook dan Keyboard Warrior dalam arena blog. Semuanya akibat salah faham untuk membezakan entry Real Facts dengan Troll ataupun dalam bahasa mudahnya Penulisan Sindiran.

" awak ni takda la pandai mana, tak berani nak cakap macam lawyer, kalau belajor pun takat sekolah rendah ye dak?!"

" celaka betul mulut kau ni kan Leman, baru datang sini dah nak kutuk-kutuk aku, kau ingat kau tu bagus sangat ke nak kutuk-kutuk aku tak pandai? aku masuk Politeknik tau tak!!!! bila masa aku belajar takat sekolah rendah pulak????"

" Hish kamu ni Jemain, awok bukan ngatekan deme, awok cakap kat diri sendiri ni, bila pulok awok ngate deme tak pandai"

" gulppp...."

Jika Jemain ego, Jemain sedar dia telah silap tapi malu nak mengaku diri telah silap, jadi Jemain akan mengheret kes ni berpanjangan dengan mengatakan bahawa Leman saja je cakap macam tu. Mungkin juga Jemain boleh ajak Leman bertomoi bagi menyelesaikan masalah.

Tapi jika Jemain matang dan bersikap bijak, Jemain tidak akan terus hidup dalam keangkuhan, sebaliknya Jemain akan menukarkan situasi tegang menjadi Humor lantas mereka pun berkawan semula.

" Hishh... Awak bukan nak marah kamu Leman, saje je nak acah deme tu"

" awak tau deme saje je melawok kan, udoh moh kita ngeteh kat kedai Lebai Kulop sane"

Bukankah dah baik balik kan? semuanya adalah terpulang pada kebijaksanaan manusia menerima, menyesuaikan keadaan, bersabar, tenang, dan berfikir di luar kotak.

" kotak? berfikir dalam kotak macam mana? berfikir luar kotak pulak macam mana Zulfikar?"

" berfikir dalam kotak tu... errmm..ermm...bek bek bek bek..ngaaa"

" la dah tanya taknak jawap pulak, yang terbek bek tu kenapa? org tanya ni, dalam tu mcm mana, luar kotak tu macam mana?"

" erm, aku mana tau luar dalam kotak macam mana, aku main sebut je, aku tengok semua orang duk cakap luar kotak.. luar kotak..macam best je pulak"

***********************************

" Cobra, aku kesian tengok kau, takde tangan kaki, macam mana ko nak garu kalau gatal ha Cobra?"

" eh eh German ni, Kuat Menganjing betul lah!!"

" Dah memang aku anjing, memanglah aku kuat Menganjing, takkan aku Mengular pulak!"

" Ala aku tau lah aku selalu ngelat basuh pinggan,dah nama aku ular, memang lah aku mengular takkan aku mengulat pulak, menganjing lagi kau ni"

" nasib baik Ulat takde dalam gambar ni, kalau tak mesti Zulfikar tu sambung lagi dialog untuk Mengulat pulak kan Cobra kan?"

" ala German, biarlah dia, blog dia.. kita pun numpang je kat sini german oiii"








P/s Sumbang ada banyak kegunaan, Sumbangkan lagu, Suara sumbang, Sumbangan, dan Kera Sumbang, Dari kecik aku cuba jari jawapan kenapa kera sumbang itu bermakna tiada kawan, adakah Kera itu menjerit dengan suara yang sangat sumbang, pitchingnya menyakitkan telinga kera yang lain sehingga semua kera lari taknak kawan dengan dia? atau pun Kera itu tidak pernah menyumbang apa-apa dalam hidup dia dalam komuniti kera? atau Kera itu sangat sombong, tidak mahu Sumbangkan lagu bila Kera-kera membuat sesi menyanyi di kenduri perkahwinan kera?

P/s II " Zulfikar sayang, p/s kau kat atas ni panjang macam nak buat entry, lebih baik kau simpan dalam draft dan publish di next entry dalam tajuk Kera Sumbang je kan senang, dapat Jimat idea.





P/s III siapa dapat bagi jawapan kenapa Kera Sumbang? tolonglah bagi menamatkan misteri yang selama ini melanda diriku.

October 26, 2011

Penghargaan Ikhlas Buat Mereka.

Assalamualaikum..

Tahukah korang yang aku memang tak gemar sangat nak buat entry-entry blogosphere dalam blog aku, walaupun begitu ada beberapa entry yang sebelum ni aku ada tulis pasal blog seperti Tahukah korang, Isu blogger dan rumah kaca, Blog pilihan, dan ada la beberapa lagi yang aku tulis tak sampai 10 rasanya.

Kali ni aku nak menunjukkan rasa terima kasih aku kepada beberapa buah blog yang telah mention blog Rasa Hati dalam entry mereka. Sesungguhnya aku merasa sangat terharu dengan keadaan ini di atas beberapa faktor.

1. Mereka telah beri penghargaan secara ikhlas semata-mata kerana hasil penulisan aku tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

2. Mereka telah membuat review selepas membaca keseluruhan entry aku tanpa skip-skip, bermakna mereka menghabiskan 3 minit dalam hidup mereka untuk membaca setiap entry aku secara puratanya, kerana entry aku sangat panjang.

3. Mereka tidak menilai blog aku dari sudut Appearance dan teknikal sebaliknya hasil intelektual yang aku kongsikan bersama korang semua semenjak blog ini bermula aktif.

4. Mereka adalah blogger dikenali ramai dan juga lebih senior dari aku, mereka juga mempunyai beribu-ribu follower dan apalah sangat nak dibandingkan dengan blog aku yang baru ada 600 lebih follower sahaja.

5. Mereka tidak sombong, kami biasa berborak di FB kalau ada waktu enggang, eh lenggang, eh lengang, eh ganggang, eh senggang..
"lawak bodoh gila, rasa macam nak delete je"

Jadi kali ni, aku menulis bagi menunjukkan my gratitude terhadap mereka, aku merasa sangat terharu dan terkesima di atas penghargaan tersebut, sepertimana aku mula merasa terkesima dikala menerima penghargaan pertama dari ARCX13.com suatu masa dulu.

Selain aku direview dan disebut, tulisan aku juga pernah menjadi entry jemputan di Iluvislam.com, entry itu telah dialih bahasa ke English bagi entry bertajuk So Called Beer Halal, oleh co-editor iaitu Cik Syu, yang mana beliau juga adalah pembaca setia blog Rasa Hati.

klik untuk ke wesite ILuvIslam.com


***********************************
Penghargaan ditujukan kepada :

1) Blog Dapur Tanpa Sempadan (DTS) - www.tiffinbiru.com

Blog Dapur Tanpa sempadan ini adalah milik Cik Mat Gebu @ Adnan Ibrahim, blog beliau amat unik sebab niche blog beliau adalah segalanya tentang masakan dan resepi,  Blog DTS amat terkenal dan selalu menjadi rujukan resepi kepada pembaca suri rumah dan suri office, selain itu gambar beliau juga amat cantik dan beberapa kali telah dicopek oleh majalah-majalah masakan samada secara berizin atau tanpa izin.

Aku tau blog dia dari dulu lagi semenjak belum buat blog, sebab aku cari resepi masak kek. Tak sangka pulak sekarang dah jadi kawan maya dan kini beliau membaca blog aku, siap letak dekat Blog list lagi. Terima kasih Mat Gebu pau!...

Entry DiMention di Entry : Hazman Hamid, Zulfikar, Payeed, Siapa Mereka Ini? (klik)

Header Blog Rasa Hati di Entry Dapur Tanpa sempadan - Mat Gebu


Tajuk : Hazman Hamid, Zulfikar dan Payeed..Siapa Mereka Ini?



*****************************
2) Blog Puteri Katek - www.puterikatek.com

Puteri Katek ni dah lama aku kawan dekat FB, aku sembang mengarut merapu meraban dengan dia, tapi yang membuatkan aku berbulu dengan dia adalah aku tak pernah tahu nama penuh dia yang sebenar siapa kecuali nama Puteri Katek dan Awin je, lain i have no idea at all. Gambar dia pun aku tak pernah tau, begitu berahsia betul minah ni pasal identiti dia.

Blog dia adalah blog personal yang bercerita tentang kehidupan beliau sebagai pelajar, kelakar, sedih, emosi, pasal anak sedara dia berak kat tadika, adik dia is yang lebih comel dari dia, mimpi kencing tilam, dan macam-macam isu semasa juga, beliau juga menulis kadang-kadang lawak sebab guna perkataan direct.

Terima kasih diucapkan kepada Puteri Katek sebab memberikan penghargaan dalam entry latest beliau bertajuk "Kagum Dengan Kebolehan Blogger Ini", aku respek sebab dia review semata-mata lepas baca entry aku dan bukan kerana aku masuk segmen atau belanja dia Aispop alam maya. oh dia suka aispop Ungu.

Puteri Katek, apa la rupa minah ni? katek sangat ke, tinggi ke apa ke? aku tak kenal, aku pernah merajuk nak pict dia, tapi haram dia nak layan....


Terima kasih Awin untuk entry ni, saya hargainya.

**********************

3) Lekat Lekit Mummy Story - www.lekatlekitgurl.blogspot.com

Setinggi penghargaan juga diberikan kepada Puan Suria aka AbbyFunny kerana telah banyak menyumbang idea, traffic dan sokongan terhadap Blog Rasa Hati, Beliau jugalah pereka Header Blog Rasa Hati yang korang tengok kat atas tu.

Beliau juga sangat aktif berblog, aku kenal blog beliau sejak dari zaman blog hitam kuning ungu oren pink tu lagi, tapi sekarang dan ubah layout baru, layout kami hampir sama tapi ia hanya kebetulan, aku respect dia sebab dia konsisten dalam berblog dan beliau juga terkenal sebagai wartawan terjah cikgu shida miming.

Buat masa beberapa bulan ni, Suria mungkin agak sibuk selepas menyambut kelahiran pertama anaknya si Shila atau lala. terima kasih Suria Lekat lekit untuk tunjuk ajar, nasihat, Header dan Space hyperlink kat bawah entry kau tu. Nanti jumpa aku belanja makan biskut.

Dulu, nama blog dia Lekat Lekit Gurl Story, sekarang dia dah beranak, dia tukar Gurl jadi mummy, perihatin betul.

Dia letakkan special Hyperlink khas untuk blog Rasa Hati di bawah entry, terima kasih banyak, no wonderlah ramai traffic datang dari entry Mummy Lala ni.

***************************

4) The TimeLine Kasihhttp://timelineskasih.blogspot.com

Timeline kasih adalah milik sahabat karib aku iaitu Zulkifli Saadon atau nama pena Beliau Sam Banjamin. Beliau ni adalah penyokong kuat kepada segala idea penulisan aku, dan rakan bertukar idea, hujah dan beliau adalah rakan pertama dalam blog.

Beliau juga kawan baik aku semenjak aku Tingkatan 3 masa duduk dekat Mersing, Beliau adalah seorang penulis yang sangat bagus, pernah duduk serumah menyewa dengan aku dekat sek 7 shah alam masa zaman bujang, beliau juga mula menulis blog lepas terpengaruh dengan aku yang mula menulis dekat Platform Blog Friendster dulu-dulu. Kemudian aku malas menulis, dia lah yang bertanggungjawab mencetus dan menjebakkan aku semula dalam menulis di Blogspot ini.

Kalau aku tak terjebak, takde lah blog Rasa Hati ni kot. Ada blog friendster yang takda orang baca tu je la gamaknya, terima kasih Zulkifli Saadon kerana menjadi salah seorang dalam sejarah penubuhan Blog Rasa Hati.

Aku dan Zulkifli ada menubuhkan satu Group FB iaitu Gerila Penulisan Kreatif, (klik tulisan itu) aku dan dia adalah Founder. Jemput ke sana dan daftar sebagai ahli, boleh ping blog dan juga bertukar2 segala macam bentuk penulisan, tak hanya terhad pada blogger sahaja, semua boleh menulis...

Oh tidak lupa, sesiapa yang belum Like boleh LIKE Fanpage Blog Rasa Hati di Fb.. widget ada kat tepi korang sebelah kanan korang, ehh belah kiri blog, eh belah kanan korang.

Beliau sangat berbakat, cuma time constrain dan tugas hakiki beliau di Hotel Uitm telah membatasnya dari menulis secara konsisten

Dia adalah spesis aku, tulis nak panjang2, dan ayat yang dia pilih adalah ayat melayu tinggi, bukan ayat ngengada ye.
***********************************************

p/s I perghhh cramp-cramp jari aku picit2 mouse nak crop pict, sebab tu aku tak suka edit2 gambar print screen kat entry, sebab aku tak berseni dan aku lowtech....

p/s II aku tau korang dah jangka akan ada P/s banyak2 kali ni... tapi korang silap, aku bagi dua je, sebab nanti banyak kali buat dah jadi lawak basi.. ok bye  bye......














p/s III aummmmmmmm chaaakkk!!! k bye...

October 25, 2011

Benci tapi Rindu

Assalamualaikum..

Aku nak bersembang isu yang berat, tapi aku sendiri rasa malas, aku nak cerita pasal Kol Muammar Ghadafi tapi semua dah orang cerita, takde apa lagi yang tinggal untuk aku ceritakan. Aku nak cerita pasal politik, pilihanraya lambat lagi, mood politik pun tak berapa best sekarang.

Jadi sambil-sambil aku duduk baca blog orang lain, aku pun pasang MP3, dengar lagu Hetty Koes Endang, Benci tapi rindu. Sedap jugak bila dengar lagu keroncong malam-malam macam ni, bila cerita pasal keroncong aku teringat yang dulu aku pernah kutuk gila bapak aku sebab dia suka dengar lagu keroncong.

Bagi aku, aku tak minat sangat keroncong sebab bila dengar muzik tu, aku teringat cerita-cerita indon zaman 80-an, macam Sundel Bolong dan...dan...dan... sekali lagi aku gagal nak habiskan ayat sebab aku tak tau cerita indon lain melainkan Sundel Bolong.

Bapak aku agak sporting dan modern thinking, tapi bila bab muzik dan radio, habis punah ranah... Asal masuk je dalam kereta dia, mesti dengar Radio Klasik Nasional. Sampaikan kami adik beradik dah boleh hafal jingle Radio Klasik Nasional.

Klasiiiiikkkkkk.... Nasional.....
Klasiiiiikkkkkk..... Nasional....
Segalanya di sini...
Menggamit memori....
Klasik Nasional.....

Tengok kan aku dah cakap yang aku boleh hafal Jingle dia, korang jangan ceritalah kalau nak suruh aku nyanyi lagu Melayu Asli. Pasir Roboh? Sri Mersing? Pasir panjang? Ahmad Jais? aku rasa kalau aku tak hafal 100% pun tapi setakat nak sambung-sambung lirik tu boleh la jugak. 

Hanyalah baru-baru ni bapak aku dah mula dinamik sikit dalam memilih chanel radio, dia dah start dengar Sinar.fm, puncanya dia menyampah dengan segmen berkaroke dalam klasik nasional, teruk sangat peserta karoke tu, sampaikan lari tune ke parit.

*************************************

Berbalik kepada Lagu Hetty Koes Endang; Benci tapi rindu tu membuatkan aku terfikir benda ni dah lama, iaitu perkara yang korang Benci, tapi dibelakang orang lain korang suka sangat benda tu.

" senang cerita situasi dia macam dalam diam aku mencintaimu la"

aku ada beberapa contoh tentang beberapa perkara yang aku dari awal terjebak mengatakan bahawa aku tak suka dan aku anti benda tu, tapi dalam diam, tanpa aku sedari, aku suka benda tu, tapi sebabkan awal-awal dah cakap aku tak suka depan orang ramai, maka aku pendamkan je. Bila takda orang secara tak sedar aku akan buat benda tu.

" berputar belit, cakap macam ahli falsafah pencen,kalau kau cakap macam Hipokrit je kan senang!"

" ye lah, lebih kurang macam hipokrit yang dikompromi lah senang cerita"

**********************

Dibawah ini aku listkan beberapa perkara Benci Tapi Rindu itu :

1) Kasut Crocs

Alkisahnya macam ni, pada satu zaman iaitu di awal tahun 2000, aku berjalan-jalan di Shopping mall Lot 10, Bukit Bintang KL. Sampai je kat satu level tu dalam I-Setan tak salah aku, ada satu Consignment Area yang jual kasut-kasut getah mirip terompah kayu Tradisional Belanda.

Kasut getah tu tak lain dan tak bukan adalah kasut Crocs, pada masa tu, kasut tu belum lagi jadi trend menggila dekat Malaysia ni. Aku pergi gatal la try kasut tu, pehh memang la selesa sangat, getahnya lembut dan ringan, bonus pulak bila rupa dia comel macam kasut baby toddler. 

" huh...Perasan comel la tu..Ngade.."

Bila aku selak price tag dia, humang aih terkejut aku sampai rasa nak pitam. RM 279.99

" okey-okey aku tipu, ingatan aku takdelah sampai sekuat tu, sampai ingat harga dia setepat tu, tapi harga dia dalam julat macam tu lah, RM 200 lebih"

Mulai dari saat tu, aku mula kempen, aku cakap dekat kawan-kawan, "Gila apa selipar getah macam ni harga sampai 200 lebih? hilang akal ke?"

Tahun berganti tahun, dan akhir-akhir ni dari tahun 2009, trend kasut crocs menggila dek kerana fesyen endorsement dari artis Hollywood. Maka semua orang mula pakai kasut Crocs walaupun harga dia sampai 200 lebih, aku memang suka sangka baik, bagi aku semua orang pakai kasut crocs original sehinggalah dia sendiri cakap dia pakai yang pasar malam punya.

Akhirnya, dalam diam aku mencintaimu, semenjak ada kasut Crocs yang pasar malam harga RM10.00 maka aku pun berkira-kira nak beli, sebab kasut tu ringan dan selesa. Dan bila aku pergi Butik Crocs original pun dah ada jual dalam RM 170 lebih....

Apa salahnya aku beli ye dak? menggadaikan kempen dan prinsip aku yang anti crocs 3,4 tahun lepas. tapi bila ingat-ingatkan balik yang aku pernah kutuk Zikry beli kasut Crocs sampai  RM 200 lebih, sampai sekarang lah aku tak beli-beli wahima yang ciplak punya sekalipun.

Ironinya, meskipun aku tak pakai sandal Crocs yang over-priced tu, aku masih lagi pakai sandal Camel dan Clarks yang harga lebih kurang macam Crocs, hurmmphhh apa pun tak boleh.

************************************

2) Lagu Eddy Hamid

Lagu Eddy Hamid pada satu masa pernah menjadi kegilaan ramai, malah majoriti radio memutarkan lagu-lagu yang ditulis Eddy Hamid, Band-band yang muncul macam cendawan tumbuh lepas hujan.

" selalu kan kita guna Macam cendawan tumbuh lepas hujan, tapi zaman sekarang duduk rumah taman, budak-budak tak pernah tengok cendawan tumbuh pun, yang diorang tau cendawan atas Pizza je"

Lagu-lagu edy Hamid dinyanyikan oleh band-band Jiwang-meleleh-rambut-kilat-berminyak-belah-tengah-pakai-kemeja-jeans-ketat-cermin-mata-kaler-biru seperti Spins, Scoin, Spoon, Budak Kacamata, Arrows, Newboyz, Jinbara dan Cinta di Pantai Merdeka, eh tu nama lagu bukan nama band.

Secara jujurnya aku tak benci tapi rindu langsung dengan band-band dan lagu-lagu diorang, aku takkan hipokrit. Meskipun ramai kawan-kawan dan sepupu aku yang suka gila dengan lagu-lagu meleleh Jiwang ni, tapi aku tetap pendirian memang aku tak suka.

Walaupun tak suka tapi, disebabkan pengaruh lagu-lagu tu kuat,selalu ada kat radio, kawan-kawan kerja kilang aku selalu nyanyi dan Bus ekspress selalu pasang lagu tu, maka secara automatiknya aku terhumming lagu-lagu meleleh ni. aku rasa ni mesti Efek Classical Conditioning nih.

Sayu hati......sayu sekali.....
melihat engkau berpimpin tangan dengan si dia.....
sakit hati.....sakit sekali....
pabila bunga yang ku puja kini mekar harum dijambangan orang......

sungggguhhhh terhinaa......
la laaaa la laaaaaa...bermaya....
Kalau ku tau sakit begini....tidak aku bermain cintaaa...
Kalau Ku tahu seksa begini... lalala lala lalaa....muuu.....
na na na na du du du du mengusung rinduuuuuuuu~~~~~

Tengok! kan aku dah cakap yang aku boleh humming dan nyanyi sikit-sikit lagu tu, lagu Spin tak salah aku, mengusung rindu. Aku memang menyampah lagu tu, tapi sebabkan dulu aku suka menganjing budak-budak sekolah nyanyi lagu tu, lama-lama lagu tu melekat dalam kepala aku.

Tapi walau sejauh mana pun aku tak suka  Eddy Hamid dan band-band Jiwang Meleleh spin-scoin-spoon ini, namun apabila ada satu lagu ni tetiba sesat dalam radio Suria.Fm, aku akan cepat-cepat kuatkan radio, itupun kalau aku drive kereta sorang-sorang, Malu rasanya kalau ada orang tau aku layan lagu nih, gila hipokrit aku kan?

Lagu yang aku maksudkan tak lain dan tak bukan adalah lagu Spoon ; Rindu Serindu-Rindunya. Aku suka dengar lagu ni sebabnya, masa lagu ni mula-mula top, aku teringat memori penting iaitu saat aku berpindah ke Mersing dari Batu Caves. Aku ingat lagi aku dengar lagu ni masa aku berdiri kat jeti kilang ais bapak aku mengadap kuala Sungai Mersing, ada nelayan bot kecil parking sebelah jeti bapak aku dok main lagu ni pusing-pusing sampai 6-7 kali.

Masa tu aku layan perasaan aku, kesedihan meninggalkan kawan-kawan lama di Sungai Tua, dan melupakan kisah Cinta Darjah Enam aku.... dan surat cinta Itu Juga 

Mengapa terjadi, perpisahan ini....
di kala a'smara melebar sayapnya..
mengapa kau pergi di saat begini...
dikala hatiku....
terlukis namamu....

kalau memang tiada jodoh... 
apa lagi nak ku heboh...
aku malu pada teman...
pada semuaaaa...aaaaaaaaa ~~

Rindu...rindu serindu rindunya.....aaa..aaa.aaaa....aaa
Namun engkau tak mengerti..woooohoooooooo..
Pilu....pilu sepilu pilu pilu nyaaa..aaa..aaaa..aaaaa
Namun engkau tak peduli......

Malu...UuuUuu..semalu malunyaaa...aaaahaaaaa
Namun apa daya.. orang tak sudi....eeee..eee
Mahu..semahu mahu nyaaaaa....aaaaaa
Namun apa dayyyaaaa... orang dah benchhiiiii......

Tak payah bukak google, takpayah cari website lirik Jiwang.org pun, aku boleh hafal, masa lagu ni top, belum ada lagi gerakan anti-eddy hamid, jadi ramailah mat mat konon-konon underground pun turut nyanyi lagu ni bagi kat awek, tapi bila meletop sindrom anti-eddy hamid-lagu meleleh, semua taknak mengaku hafal lirik lagu nih....

Cammonlah, benda bagus tetap bagus walaupun kita berusaha sedaya upaya menafikannya...tengok korang dah tau rahsia aku lagi, bahaya la blog nih!

*********************************

kilang ni besar, boleh letak 6-7 court Futsal dalam building sahaja, kat jetty ni lah aku 1st time dengar lagu Spoon, nampak tak bot2 nelayan kecik parking kat jetty kilang? masa ni kuala surut.




p/s I   Teringat wartawan Melodi tanya kat satu band ni, "kenapa pilih nama SUP"?

" sebab dah ada kumpulan nama Spoon, takkan ada Spoon takde Sup kan? jadi kami pilih nama SUP"


p/s II   Teringat wartawan Melodi tanya satu band ni " kenapa pilih nama SCOIN?"

" mulanya kami nak letak nama Sekupang, tapi teruk sangat bunyinya, jadi kami letak lah nama Se-COIN, dipendekkan jadi Scoin.



p/s IV   sepatutnya jika aku gila traffic dan nak catch SEO sebaik mungkin, aku patut gunakan analogi Cinta Dan Benci oleh Geisha instead of Benci tapi Rindu oleh Hetty Koes Endang, tapi aku tulis yang Hetty koes endang lah sebab aku tulis dari apa yang aku alami masa menulis, eh tak sedar dah try catch SEO Geisha dah pun kan? notty...notty..notyy... tak bek tau..auuu.. auuu....









p/s V   mana p/s III Zulfikar? tak acilah main skip-skip p/s.. benci tau..update sekarang betulkan!


October 23, 2011

Pisau Lipat, Penyapu Roman dan Kasih Ibu.

Assalamualaikum

Kelmarin aku lepak dengan kawan aku, dari pukul 4 petang sembang sampai pukul 6, sembang pasal anak kawan dia yang kena pukul dengan tali pinggang. Macam biasa, bila ada satu-satu peristiwa yang agak unik, ia akan mencetus memori aku pasal kisah silam.

Tetapi korang semua janganlah terlalu yakin, selalunya memori kita ni seringkali menipu kita, memori tidaklah seteguh konkrit seperti yang kita anggap selama ni. ia berubah-ubah mengikut apa yang kita mahu ingat dan apa yang kita nak sangat lupakan.

Kadang-kadang kita berusaha untuk delete sesuatu part yang tak best dari keseluruhan cerita yang manis-manis. Kadang-kadang kita tak sengaja terlupa memori yang tak best atau secara tak sengaja ubah sebagai defend mechanism supaya kita tak trauma sangat.

****************************

Samalah jugak dengan aku, aku selalu cerita dekat dalam blog ni dulu yang mak aku suka rotan aku dengan abang guna batang raket Yonex carbonex bapak aku. Sampaikan aku boring dengan raket yonex tu, aku pernah sorok atas almari baju mak aku dalam bilik dia sendiri.

Kecik-kecik lagi aku dah belajar ilmu strategi peperangan, iaitu 'tempat terbaik bersembunyi adalah tempat yg paling tidak disangka iaitu tempat musuh itu sendiri'. Tapi apakan daya, walaupun raket yonex tu mak aku tak jumpa, tapi dia sauk je apa yang ada, selalunya ranting pokok pun jadi.

Tapi bila aku bertenang dan mula betul-betul concentrate fikirkan balik, sebenarnya takdelah selalu mak aku belasah aku ngan abang aku dengan raket, taklah selalu mak aku sebat dengan rotan. Bila aku muhasabah diri, aku asingkan unsur-unsur dramatik, tragis dan melankolik dalam memori aku, rupanya selama ni aku hanya exaggerate supaya kelihatan mak aku sangat tegas dan garang.

Rupanya bila aku refresh balik ingatan, tak banyak pun kenangan aku disebat sebab nakal, kebanyakannya hanyalah acah-acah nak sebat je, sambil tu aku terlompat-lompat angkat kaki nak elak kena sebat. Ataupun aku lari-lari pusing-pusing meja makan, keluar ikut pintu dapur lari sambil kepala toleh-toleh belakang harap mak aku tak kejar sambil pakai kain batik. Bila aku fikir balik, aku rasa sebenarnya mak aku sesaje je acah-acah pukul tak kena, cuma nak bagi takut je, takkan lah dah dekat seinci dua pun pukul tak kena.

Secara jujurnya, aku tak berapa ingat berapa kali aku kena sebat dengan mak aku, aku rasa ada, tapi tak tinggalkan memori trauma pun, kecuali satu kenangan ini, yang masih tersemat dalam hati aku walaupun ia sudah berpuluh tahun berlalu.

**************************

(abaikan perenggan ini) Pada satu musim semasa tahun 1994, iaitu masa aku darjah 4, sewaktu aku berumur 10 tahun. Pada waktu itu Kuala Lumpur sedang mengalami penghujung Musim Luruh, disaksikan dedaunan pokok rambutan yang sedang kekuningan dan gugur dari dahan, menanti musim salji yang bakal tiba. Sangat indah waktu itu apabila pohon-pohon bunga sakura menari-nari mengikut alunan ombak di tepian pantai Kuala Lumpur. (lampiran 1.7)

Masa darjah 4 tu, ada satu musim kami budak sekolah main pisau lipat seposen. Pisau lipat tu boleh dikatakan hampir menjadi alatulis wajib dalam pensil box, sebab guna nak asah pensil 2B buat pensil Khat. Selain dari asah pensil Khat, pisau itu juga digunakan untuk.... untuk....untuk...aku tak dapat sambung ayat sebab aku tak tau kegunaan dia yang lain adalah apa.

Pada satu masa, aku dapat idea untuk pelbagaikan kegunaan pisau lipat seposen tu, aku ajak kawan-kawan main baling pisau bagi tercacak dekat atas kerusi kayu kelas. Memang seronok main baling pisau tu, terasa sekejap jadi Indiana Jones. aku buat undang-undang, siapa yang baling tak terpacak, pisau dia kena ambil sebagai pertaruhan. Disebabkan aku pengerusi jawatankuasa pencipta permainan itu, sudah tentulah aku terer. Kalau tak takkanlah aku nak cipta peraturan siapa kalah kena serahkan pisau lipat kan?

Dipendekkan cerita, bila dah main banyak kali, aku pun menang banyak kali, bila dah menang banyak kali, apa yang terjadi? sudah tentulah beg aku penuh pisau lipat seposen tu, kawan-kawan aku yang kalah pergilah ngabiskan duit beli pisau dekat kedai runcit Usop kelantan dekat simpang masuk kampung.

Bila dah banyak pisau, aku bawak balik rumah, aku simpan dalam almari spender aku, masa kecik-kecik aku selalu beranggapan bahawa almari spender adalah tempat paling selamat untuk menyorokkan barang-barang larangan. Aku pun satu bengap, dah tentulah mak aku tau apa aku simpan kat situ sebab mak aku yang lipat spender aku dan simpan dalam laci, ada pulak aku yang nak lipat spender sendiri umur 10 tahun? pakat idak lah.

Satu hari, aku nak pergi main pisau lipat, bila aku selak-selak laci spender tu, aku tengok koleksi pisau lipat sposen aku semua hilang, Yilek...Yilek pucik, yilek kariwalek, ammak....Mula-mula aku nak salahkan kawan aku yang amik, tapi tak logik pulak sebab siapa pulak nak masuk rumah curi pisau lipat semata-mata kan?

Rupanya, mak aku yang ambik dan sorokkan..

"mama, mama ada nampak tak pisau lipat ikar banyak-banyak ikar simpan dalam almari tu?"

"Dah takde, mama dah buang semua"

" ala ma...kenapa mama buang? penat ikar nak kumpul semua tu ma"

" itukan pisau, benda bahaya, kamu nak buat apa main pisau? kamu nak jadi perompak? main-main pisau, kalau tertikam orang nanti macam mana? dah, tak payah main pisau lagi, simpan satu je kalau nak buat asah pensil"

Akibat daripada tidak mencapai kata putus daripada diplomasi perbincangan pisau ini, maka aku pun sedih yang teramat dan merajuk, merajuk itu okey lagi, tapi aku memberontak. Pembaca lama dah sedia maklum yang keluarga aku amat pantang dengan budak yang  suka mengamuk hempas-hempas barang dan memberontak.

Tapi pada masa tu, aku ngamuk, aku hempas pintu bilik dan aku selak-selak cadar dan angkat tilam, bagi menunjukkan protes ketidakpuasan hati. Dan perkara ini adalah kemuncak kemarahan mak aku, mak aku sangat pantang dengan anak-anak yang suka merampuih dan mengamuk. Ia adalah satu kesilapan aku yang amat aku kesali seumur hidup.

Hasil dari perangai aku yang over-reacted itu, perangai yang aku sendiri tak sukai tu telah membuatkan mak aku naik hangin. Mak aku tak sempat nak cari Raket Yonex, mak aku tak sempat kepak ranting kayu, mak aku tak sempat nak amik bulu ayam besi, apa je yang terlintas depan mak aku, mak aku sapu nak sebat si pemberontak.

Dengan itu, mak aku capai penyapu roman yang tersandar dekat tepi pintu, pastu mak aku sebat dekat kaki aku. Lebih spesifik, bahagian betis. Pada masa itu kesakitan yang hinggap tidaklah lebih kuat dari rasa sakit dijentik kat telinga, sakit pada masa itu taklah lebih sakit dari tertiarap jatuh basikal, sakit tu tak rasa apa pun...

Tapi kesedihan di hati hanya tuhan yang tahu. Sakitnya terasa dipangkal hati, sampai hati mak aku pukul aku dengan penyapu roman, sedangkan mak aku selalu bagitau pantang terkena penyapu, boleh jadi sial dan nasib malang, selalu mak aku bagi petua kalau terkena bulu penyapu cepat-cepat ludah balik.

Tapi pada hari itu, aku disebat di betis dengan penyapu roman yang selama ini menjadi lambang kesialan. Luka di jari nampak berdarah, luka di hati siapa yang tahu. Tiadalah lebih dramatik jika aku nak terangkan kesedihan pada masa itu, hati aku berubah menjadi batu, aku tidak terlompat-lompat pun  nak elak penyapu roman tu. aku tak lari terkinja-kinja keliling meja makan pun nak elak kena sebat.

Aku diam membatu dan rasa sungguh kecewa dengan hukuman tu, umpanya macam dunia kebahagian telah berakhir bagi aku sekian kalinya. tiada lagi tawa manja, dan pohon-pohon sakura itu berubah menjadi teratai layu di tasik madu.

*********************************

Aku ingatkan nak merajuk membawa hati yang pilu jauh dari rumah, aku nak layan sedih, aku duduk dalam bilik diam membisu, cuma yang aku ingat masa tu mak aku cepat-cepat pergi dapur sambung buat kerja.

Aku pun duduk menangisi tragedi yang berlaku, nasib baik tak berlaku pada bulan oktober, kalau tak mesti aku menangis setiap kali terdengar lagu tragedi oktober. Aku ingatkan mak aku dah tak sayang aku, masa tu aku pikir mak aku sengaja sebat betis aku dengan penyapu sebab nak kenakan sumpahan sial kepada aku.

Tapi aku silap, Kasih sayang ibu manalah boleh disumpah dengan penyapu, kasih sayang ibu tidak bersyarat, masa itu mak aku tengah marah sangat, dia main capai je apa yang dekat.

Tengah aku duduk tengok tv sambil melayan jiwa blues, mak aku datang pelan-pelan dari bilik dia, terus duduk depan aku, tarik kaki dan rapatkan ke riba dia....

" Kat mana mama pukul tadi?"

" entah tak tau, kat kaki kot"

" kaki mana? kanan ke kiri? teruk tak? meh mama tengok"

" tak sakit la mama, takde paper, boleh jalan lagi"

" Meh mama tengok, mama sapu ubat "

Tahan.. tahan... tahan...  Hero mana boleh nangis...

Tahan.. tahan.... tahan.... budak nakal Kampung sungai Tua mana boleh sedih.

Tahan.. tahan.... tahan.... kan tadi dah semat dalam jiwa yang aku nak berhati batu.

Tahan.. tahan.... tahan ... Pahlawan mana boleh sedu-sedu....

Tapi bila tangan lembut mak aku sentuh betis yang dah tak sakit tu, bila mak aku sapu minyak gamat Langkawi penutup merah dan kertas pembalut kuning, empangan jiwa aku mula runtuh satu persatu. Air mata meleleh laju-laju turun ke pipi, nasib baik mak aku tunduk tengok betis, cepat-cepat aku lap air mata dengan hujung t-shirt. Aku menangis bukan kerana perit kaki kena urut, bukan sebab ada cerita drama korea....

Tapi menangis sebab terharu dengan kasih sayang ibu, baru petang tadi mak aku mengamuk sebat betis aku dengan penyapu, tapi tak sempat matahari terbenam mak aku dah urut kaki sambil memangku.

Sumpah betis tu tak sakit. Tapi sapuan minyak gamat dan suara memujuk sambil mengurut itu telah mengubat jiwa aku dari luka yang berpanjangan, mengelakkan aku membesar menjadi lelaki berjiwa batu.

Itulah dia kasih sayang Ibu!......



**************Tamat**************

Penulis dan Ibu beliau.
aku tau gambar ni recycle, aku dah guna gambar ni, tapi ni je yg ada, aku malas nak gi scan, duit nuffnang belum banyak nak beli scanner.


Inilah rupa penyapu roman Feveret mak aku, dan penyapu rupa macam nilah yang hinggap kat betis aku.

Semuanya punca si Pisau Lipat Seposen ni, dia ni punya pasal lah! pisau lipat jahat!!!
Sumber gambar : Blog Daniel




p/s I Dalam Lampiran 1.7, apakah kesalahan latar tempat pada masa tulisan aku tu?


p/s II korang dapat jawap kan? jawapan dia mudah sangat, tapi kalau dalam SPM korang dapat 0 markah, sebab tak ikut arahan yang diberikan, korang tak abaikan perenggan tersebut.


p/s III elelelelelele, ngaku je lah yang korang baca perenggan tu kan? nak ngelat pulak.


p/s IV penyakit  main p/s banyak-banyak sudah mula merebak... berjaga-jaga, kalau ia mula menjangkiti blog anda, sila update antivirus, boleh buat pesanan di ruangan komen, antivirus baru, Zulfikarpersky 3.0 antivirus internet edition.


October 19, 2011

Isu Pakai Tudung Biarawati


Assalamualaikum...

Entry post kali ni di cetuskan oleh kawan aku, yang memohon aku memberikan pendapat pasal masalah tudung Biarawati (nuns) ini. Dan sebelum itu lagi aku dah dapat banyak request untuk nyatakan pendirian aku pasal hal ni, sekarang aku akan bagi pendapat aku..

Zaman aku budak-budak dulu, kami tak aktif sangat dalam Friendster, Myspace dan Facebook pun belum wujud lagi, tapi masa tu dah adanya golongan manusia yang takde kerja duk spam-spam email pasal dakyah kristian la, mimpi imam pasal org yahudi la, kiamat, makanan ada katak dan babi dan macam-macam lagi.

Benda yang buatkan lagi best email ini adalah ianya Hybrid dengan surat berantai, lepas dah bagi maklumat mengarut, diorang tulis plak kat bawah bahawa wajib sebarkan kalau tak nanti nasib malang. Maka berbondong-bondonglah semua office worker dan Ustaz wannabe sebar-sebarkan walaupun dorang taktau fakta sebenar.

Setelah reda beberapa tahun lepas dengan Isu email berantai aka spam ni, datang pulak Musim FB, tiba-tiba.....TIBA-TIBA timbul balik semua cerita lapok dan basi tu di share di wall-wall fb, dan yang paling banyak share benda lapok/fakta tipu ni adalah budak yang baru habis sekolah, atau pakcik makcik yang baru berjinak-jinak dengan Fb dan internet.

Dengan Isu ikan keli haram makan najis, isu air holy water dan paderi gereja, suara yakjud dan makjud dari dalam lubang di Russia, isu Pakai tudung pin belakang nampak macam biarawati (nuns) kristian dan banyak lagi. Dan semua perkara ini berlaku kerana umat manusia makin ramai yang takut untuk berfikir secara common sense dan paling tidak berfikir dulu sejenak sebelum klik button share itu.

*****************************

Mari kita selak satu persatu checklist yang aku akan bincangkan dibawah ini secara santai, dimaklumkan bahawa aku tak perlulah nak buat citation lengkap fatwa khas dari  Ulamak dahulukala dan mujtahid kerana aku yakin korang semua dah pandai nak google info itu.

Jangan bimbang, nanti di akhir nota ini aku akan selitkan link ke citation tersebut yang telah disummarize dengan baik.

Beberapa perkara yang perlu korang fikirkan sebelum korang memfitnah Nuns Kristian menyebarkan dakyah pakai tudung pin belakang.

1) "Jangan pakai Tudung pin belakang yang ketat di bahagian leher kerana ia menyerupai Biarawati Kristian"

a) Pertamanya, tuduhan di atas menjadi sangat jelik kerana kamu semua memfitnah Biarawati Kristian menyebarkan dakyah tersebut secara senyap kepada Muslim bagaimana cara mahu pakai tudung.

adakah korang sedar dalam seketika, Makcik-makcik yang duduk dalam ceruk kampung, bila masa yang diorang bertemu muka dengan Nuns? bila pulak diorang ada baca flyers pasal cara pemakaian tudung nuns?

Ini hanyalah kebetulan kerana fesyen tudung tersebut direka dan kemudian nampak cantik, jadi perempuan pun pakai, bukanlah ada satu organisasi yang memberikan tudung ni secara percuma, supaya bila muslim pakai diorang semua jadi nampak mcm Nuns.....

Orang perempuan kristian sendiri pun tak pakai tudung masa bersosial kecuali nuns, walaupun dalam kitab bible ada disebutkan bahawa menutup rambut bagi penganut kristian adalah wajib.

b) Jika kamu hendak menggunakan hujah pemakaian tudung sepit belakang itu menyerupai Nuns Krisitian dan ia adalah sesat.

-- maka kamu perlulah menyesatkan jugak Jubah-jubah imam, bilal, ulamak kerana mereka jugak memakai jubah yang sama dengan jubah Rabai Yahudi, Jubah-jubah ini jugak tidak berbeza dengan jubah paderi krsitian Ortodox.

-- Tidak adillah jika kamu ambil separuh dan sorok separuh, atau kamu sebenarnya tidak pernah berfikir akan hal ini terlebih dahulu sebelum gatal tangan pergi share notes tudung Nuns itu!

-- Kamu juga patut menyesatkan mereka yang memakai Kupiah yang sama dengan penganut agama Yahudi juga, kamu juga wajib juga melarang Umat islam yang memakai baju kemeja, Tshirt, Jeans dan tali leher semasa mereka menunaikan solat, sebab pakaian yang aku sebutkan di atas semuanya adalah ciptaan orang kafir dan kalau mengikutkan kata korang, sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka mereka tergolong dalamnya.

2. "Kau tak boleh cakap macam tu Zulfikar, kau jangan menolak Hadis dan mempersendakan Ulamak yang mengajar tentang hadis tersebut. Betul lah apa yang diorang cakap, barang siapa yang memakai sesuatu menyerupai sesuatu kaum itu maka mereka tergolong dalamnya...."

a) Sebelum korang menggunakan hadis itu untuk justifikasi akan fitnah korang, korang kena faham dulu konteks hadis tu. Jangan main sebat je ikut suka hati.

Hadis tersebut berbunyi begini :

Nabi -sallallahu 'alaihi wasallam- bersabda; "Sesiapa menyerupai satu kaum, ia dari kaum tersebut" (HR Imam Abu Daud dari Ibnu Umar).
Adapun hadis ini berkenaan pakaian atau aksesories yang khusus dalam satu-satu kaum yang exclusive bagi upacara ritual keagamaan mereka atau identiti mereka, namun pakaian seharian yang mana kebetulan dan tidak exclusive menjadi identiti tidaklah pulak di suruh kita elak. kalau nak elak semua, jenuh. Spender korang pun orang kafir yang reka.

Tu belum nak sebut bra lagi, jam tangan, bla bla bla bla bla bla bla... kalau nak sebut semua, mau penuh blog aku cerita hal ni je.

Contoh-contoh pemakaian aksesories yang ditegah umat Islam memakainya kerana ia akan menimbulkan Fitnah dan org akan menganggap korang sebahagian dari agama itu adalah seperti berikut :

i) Salib
ii) Nande' / Bindi / Tilakas ( ataupun lukisan garis lurus, titik merah atas dahi bagi penganut agama Hindu)
iii) Jubah kuning sami, tasbih sami buddha
iv) imej-imej Tuhan berhala yang di print pada baju. atau dipakai di rantai gelang atau cincin.
v) dan lain-lain yang apabila korang pakai maka korang akan dikenali sebagai penganut agama itu.

Pesanan Rasulullah saw ini adalah sebagai peringatan, untuk mengelakkan Muslim dari menggunakan alasan bahawa penampilan tidak menunjukkan iman dalam hati. Dan juga bagi mengelakkan fitnah.

Aku nak tanya, adakah terdetik dalam hati kau, bila nampak Mak, adik atau kakak korang pakai tudung pin tengkuk tu, boleh timbul was was bahawa mereka convert kristian atau mereka memuja budaya kristian?

Sudah tentulah bukan, Perempuan pakai tudung macam tu sebab kebetulan je nampak sama dengan Nuns, aku tak percaya ia adalah dakyah kristian, dan dengan mengatakan bahawa ia adalah dakyah kristian telah membuatkan korang terlibat dalam sektor fitnah. BERDOSA!

Selagi mana pemakaian tudung itu menutup aurat selaras dengan Syarak maka ia tidaklah menjadi salah, lainlah kalau Dia pakai tudung, pastu gantung salib kat hiasan batu ladung tu,  atau pun dia pakai tudung dan robe yang sama sebijik macam nuns, takpun dia pakai tudung tapi pakai mini skirt.

kalau korang berdegil menyatakan bahawa pakai tudung macam tu adalah salah, aku sarankan korang buat jugak Nota/entry/blog post/flyers/kempen untuk menasihat dan melarang Imam, Ulamak dan pak Haji dari memakai Jubah yang menyerupai Paderi Kristian dan Rabai (Rabbi) Yahudi itu.

Period ... Cease Fire.....

Mungkin silapnya adalah ketat dibahagian leher, boleh dibincangkan dari sudut menjaga Aurat, tapi dengan cakap ini adalah menyerupai Nuns adalah satu pendapat yang tidak adil dan berbau fitnah.


Selain dari mengaibkan orang, gambar ini juga adalah satu Provokasi terhadap agama lain, kau nak dakwah itu kau punya pasal, tapi kau nak salahkan orang kristian yang mendakyahkan Tudung ini, kau telah FITNAH! mungkin salah pengantin sebab tudung tak tutup dada, tapi salah menyerupai nuns adalah HAL yang lain.

Ini adalah Jubah (robe) paderi krsitian Ortodoks yang menyerupai jubah orang arab.

Beliau adalah Ulamak Tersohor, Pengerusi Majlis Fatwa Antarabangsa,  penulis buku-buku hebat dalam Islam zaman Kini, dan ulamak yang disegani ; Dr, Yusuf Al-Qaradawi.

Rabbi @ Rabai (tok imam) yahudi yang memakai jubah yang saling tak tumpah dengan Jubah orang Islam pakai, adakah Jubah orang islam adalah Dakyah Yahudi? freemason? Illuminati? Dakyah kristian yang meresap dalam kesatuan ulamak moden? 
tafsir sendiri, nak dakwah tu bagus, niat mulia, tapi kempen lah benda yang bagus, jangan sikit2 fitnah  agama lain..

Ini orang Yahudi yang religious, mereka pakai Kemeja, Kot dan topi dan cermin mata, jadi kamu semua jangan pakai mcm mereka, jika tidak kamu juga tergolong dalam golongan mereka.....



BLOG RUJUKAN : Laman Soal Jawab Agama (sila lawat Blog ini untuk huraian secara ilmiah dan citation yang lengkap)
**************************

p/s I Bodoh itu adalah satu kehinaan, tetapi bodoh sombong adalah bencana.



p/s II Diam itu adalah perhiasan orang pandai dan Pelindung orang Bodoh.


p/s III Tak tahu bertanya, malu bertanya sesat jalan.


p/s IV "hey zulfikar, kau apesal satu satu nak taip kat p/s? kalau buat satu perenggan penutup kan senang?"


p/s V " nanti tak dapatlah aku nak main p/s banyak-banyak. eeee syoknya main p/s ni, dah lama tak buat, naik gian pulak..






p/s Terakhir .... cammonlah, u are my Friends.... boleh lah ehhh, satu ni je lagi.. last last last. ok..bye bye.


October 18, 2011

Apabila Nyawa Budak itu Menjadi Nyawa Katak.

Assalamualaikum....

Tiada kata-kata yang tak cliche yang dapat aku tuliskan di sini bagi mengambarkan betapa tersentak dan terkejutnya aku bila tengok video budak perempuan umur 2 tahun yang digilis lori di China. Ia digilis dengan begitu kejam dan kemudian digilis sekali lagi dengan lori.

Kena langgar lari satu hal, tapi kemudian dilanggar seperti katak buat kali kedua adalah satu hal yang lain. Kemudian dibiarkan, diabaikan oleh manusia yang lalu lalang seramai 18 orang adalah satu hal yang amat gigantic disaster bagi ketamadunan manusia.

Aku tak mampu menghuraikan dari sudut akademia  terhadap apa yang telah aku tengok, cuma aku mampu cakap kalau aku tak kuat semangat, mau aku mengigau tidur malam ni bila terbayangkan betapa zalim, kejam, syaitan, opportunist, selfish, ignorence, sombong, bengap, hinanya masyarakat setempat di kawasan tersebut terutamanya pemandu Lori, Van, dan 18 orang yang lalu lalang itu.

Inilah harga yang telah dibayar oleh Masyarakat China terhadap kemajuan dan desakan hidup. Yang mana ia telah meletakkan sifat penting diri itu di tahap teratas falasafah hidup mereka melampaui sifat fitrah Insan, pegangan agama, sifat kasihan, simpati, tanggungjawab, kasih sayang dan sekurang-kurangnya sifat asas makhluk hidup.

Perkara yang berlaku tidak mampu dikelaskan tahap apa, kerana haiwan pun tidak sampai hati melihat offspring/anak mereka dizalimi dan dibiarkan mati tanpa sebarang sifat simpati.

Tiadalah perkataan yang tak cliche yang dapat aku taipkan di sini kecuali merasai hiba dan terganggu dengan video itu.

Tiadalah alasan dan kisah lain yang lebih teruk untuk dijadikan timbal balik kepada kejadian itu, meskipun kenyataannya banyak kanak-kanak dijadikan buruh paksa, hamba sex, didera, bayi dibuang merata-rata dan bapa rogol anak. Tetapi jika anda tengok video ini tanpa sedikit pun perasaan insaf dalam diri dan kasihan yang jujur, semoga Tuhan ampunkan kau dan aku.

Walaupun berbaur Racist dan prejudis, tetapi dengan video ini barulah aku memahami apa itu maksud Opportunist dan Selfish.....

Apabila Nyawa Budak umur 2 tahun itu sama nilainya dengan nyawa katak....




Bayi berumur 2 tahun yang telah dilanggar oleh Van, kemudian dilanggar dengan lori, kemudian tidak dibantu dan tidak diendahkan oleh 18 manusia yang lalu lalang.

October 17, 2011

Dahi Berpeluh, Tali Perut Tersimpul


Assalamualaikum...


Hari sabtu yang lepas aku pergi berekspedisi ke Tanjung Tuan di Port Dickson. Sepatutnya sesuai dengan kumpulan kami Geng gunung & Kelawar, aku patut menyebut itu adalah ekspedisi mendaki, tapi disebabkan ianya hanyalah bukit yang bertanjung dan berpantai, aku lebih gemar sebut jungle trekking.

Bersesuaian dengan treknya yang landai dan permandangan yang damai, tak hairanlah jika Kak Nonie dan Kak Waty menyebutnya sebagai latihan untuk pendaki amatur yang telah lama berehat. Aku pun dah lama berehat semenjak dari bulan 6 hari tu lepas balik dari Gunung Kinabalu.

Personally, aku memanggilnya ekspedisi mengejutkan gergasi yang telah lama tidur, tapi apa yang terjadi bakal membuatkan aku menggelabah separuh mati.

*******************

Pada Hari Sabtu, aku tidur awal, aku terjaga pukul 6 pagi, siap solat subuh dan packing barang, aku terus drive ke Port Dickson, disebabkan aku dah berjanji dengan team untuk jumpa di kaki bukit pukul 8 pagi, maka aku kelam kabut sampai lupa semua benda penting.

Disebabkan aku gerak pada pukul 6 pagi, aku isi minyak dekat Shell Sek 9. Masih awal pagi maka pintu shell tu masih tutup dan tak dapatlah aku cucuk duit dekat ATM. Aku pun tak kisah sangat sebab dalam wallet ada RM 70.00

Jadi aku isi minyak RM 30, dan perjalanan diteruskan straight away sampai exit Port Dickson. Bayar tol RM 9.90, maka duit aku tinggal belen RM 30.00 dalam wallet.

Sampai dekat tempat tujuan, sebelum mendaki aku beli dulu roti, redbull, revive untuk bekalan mendaki dan belen tinggal RM 20.00. Selepas itu kami pun mendaki la, tolak tambah, bahagi darab, beli air, aiskrim la cikedis la apa la, tinggal la RM 5.00 dalam wallet.

Sedangkan dalam tank kereta tinggal lebih kurang petrol RM10.00, Masa nak balik, aku buat keputusan akan masuk highway ikut Seremban - Labu sebab sepanjang Highway Port Dickson tu aku tak jumpa ATM machine dan Petrol pump, Jadi aku taknak la berisiko nak cucuk duit dan isi minyak dekat R&R Seremban.

*********************

Aku malas nak masuk bandar, aku ikut je jalan Labu tu, ada Petronas depan Terminal One Seremban. Dalam Petronas tu takda CIMB, hanya ada ATM Maybank. Aku pun tak kisahlah nak keluarkan duit pakai MEPS sebab kena charge seringgit je pun, banding nak drive masuk bandar la apa la.

Sekali aku cucuk kad, nak withdraw RM 100.00 kan.. tiba-tiba.... pam parammmmm....

" sorry, your transaction is been canceled due to a mechanical error"

Dan aku cuba sekali lagi, masih jugak rosak, dalam akaun tu ada RM 249.00 lebih kurang, duit selebihnya aku simpan cash kat bilik, Sebabkan kelam kabut maka aku tertinggallah barang penting yang aku mention di atas iaitu DUIT.

Dengan tenang dan tidak merasa panik, aku pun menyeberang ke Terminal One, pergi ke Shoping mall tu, try cari CIMB, dan lagi sekali...pam paraaammm.....

" This ATM is Out Of service"

Best kan? rasa nak peluk-peluk ATM machine sambil french kiss monitor tu, bukan satu, tapi 3 machine semua out of service. Musibat tak? musibat kan? tunggu.......

Aku tawaf satu mall cari atm lain, last last tanya money changer dia cakap ada kat floor paling bawah. aku lari-lari pergi tengok, sekali orang beratur panjang macam kat kantin sekolah tunggu nak beli nasik lemak. Dah la panjang, ATM maybank lagi pulak tu. Ah lantaklah MEPS pun MEPS la, aku dah start bebai.

Dipendekkan cerita, bila sampai turn aku, aku cucuk kad je sekali ada perkataan best keluar...

" Maaf, baki akaun anda tidak mencukupi untuk transaksi ini"

Mau tak terkejut kau? berderau darah sampai ke pusat, darah sejat, tali perut tiba-tiba rasa tersimpul. aku cucuk sekali lagi dan cek balance... RM 49.50.... Jenuh aku termenung fikir, mana nak fikir masalah lagi, mana nak tahan malu orang senyum tengok aku takde duit dalam akaun lagi.

Rupa-rupanya, dua kali aku try cucuk dekat ATM maybank kat petronas tadi, walaupun transaction cancel sebab mechanical error, tapi amount duit tetap kena deduct dalam akaun CIMB aku. Jadi aku pun menggelabah puyuh call Maybank dan CIMB suruh recover balik amount akaun aku. Tapi hampa sebab standard operation procedure CIMB untuk kes tu adalah recover dalam 24 jam.

Bila aku melangkah pergi, aku mula berpeluh dahi, Minyak kereta dah merah bernyala, dalam wallet ada RM 5.00, dalam bank ada RM 49.00.. Nak patah balik jumpa kawan-kawan kat port dickson minyak tak cukup, nak call suruh datang tolong pinjamkan duit aku tak sanggup, tak sanggup nak susahkan kawan.

Nak call bapak aku plak aku dah set sebagai last resort suruh bank in duit, nak call abang aku, dia dekat Bukit Tinggi Genting ada training dalam hutan.

Akhirnya pada hari Sabtu tu, aku jadi pengukur jalan tak bergaji, ukur bandar Seremban dekat nak 10 round duk cari atm CIMB, berpusing-pusing aku sebab tak tau hala tuju, asyik terlepas simpang kena buat satu round lagi sebab jalan one-way.

Last-last jumpa Cimb kat area pasar. Sebelum cucuk-cucuk kad, Doa hebat-hebat, mintak-mintaklah atm ni ada duit RM 10. masa ni teringat zaman belajar, kalau nak keluarkan duit note Rm 10, jenuh pusing satu bandar, sebab Maybank susah betul nak masukkan sepuluh ringgit dalam atm dia.

Try first time maka dapatlah keluar duit maximum RM 30.00, tinggal baki RM 19.50.. aku pun tak tau kenapa tak boleh keluar RM 40.00.. maka mari kita buat kira-kira ringkas hari ni...


Amacam? kalau korang letakkan diri korang kat tempat aku, rasa seram sejuk tak nak mengharungi highway tu sampai ke rumah dengan duit 60sen? Masa tu aku rasa serabut perut, rasa macam nak muntah pun ada, rasa macam nak gadai Jam Tissot pun ada... 

Rasa macam nak kutip tin kosong dekat terminal one pastu jual pun ada, rasa macam nak berlakon ikat towel atas kepala, pastu pakai seluar kaki senteng sebelah pergi pow mat rempit kat shopping complex pun ada.

Dan sebelum aku meneruskan perjalanan aku, aku berdoa semoga semuanya berjalan lancar, dan harap-harap takdalah jadi apa-apa.

Elok sebelum aku jalan, lepas isi minyak, aku godek-godek duit syiling tol dalam kereta yang terselit-selit, adalah dapat dalam 2, 3 ringgit.

Pastu aku buat habit lama aku, aku suka berangan dan mengharap keajaiban, konon-konon always positif thinking la, Aku bukak zip wallet aku, selak tempat rahsia.

Ceeehhh buat penat je panic sampai pucat lesi muka, buat penat je round seremban 2 jam sampai senak perut tengok lampu minyak bernyala... 

Ada duit emergency, RM 50.00 terlipat rupanya...

Alhamdulillah, balik boleh singgah makan satey Haji Samuri kat R&R Dengkil. Macam mana pun Dahi berpeluh, Usus tersimpul jugak la hari tu.





P/S bayangkan, kalau aku buat keputusan pertama tu, aku nak masuk PLUS highway Seremban Port Dickson dengan RM5 dalam wallet, pastu semua kejadian malang tu jadi kat R&R Seremban? mau aku menari poco-poco pakai spender kat situ.


P/S  " hello makcik, boleh cakap dengan Panjang tak?" 
       " yeee nak...panjang??? panjang mana?" 
       " takda la panjang mana pun makcik, pendek je"



Review Myvi 2018

Assalamualaikum Aku yakin mesti ramai dah survey  Perodua Myvi model 2018 kan, mesti korang teruja nak tahu ulasan, best sangat ke MYVI ba...