May 27, 2014

Realiti Belanjawan Fasa Mula Kerja

Assalamualaikum

Sebenarnya masa aku sekolah menengah dulu, aku memang dah pasang impian nak buka cafe bila dah besar, sekurang-kurangnya sebuah kopitiam. Oleh sebab itu, sejak tingkatan empat aku dah target nak ambil kurus pengurusan perkhidmatan makanan lepas SPM. Aku siap dah target nak masuk UiTM Shah Alam sebab dekat sana ada fakulti pengurusan hotel dan perlancongan yang terbaik dan berdaya saing.

Dipendekkan cerita, maka aku pun belajar dengan tekun dan penuh semangat yakin diri untuk menuju wawasan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Dipendekkan cerita lagi, aku pun berjaya menamatkan pendidikan di peringkat diploma dan  kemudian sarjana muda untuk pengajian Pengurusan Perkhidmatan Makanan di UiTM.

Dalam skop kursus ini, para siswa dan siswazah boleh menceburkan diri di dalam sektor katering, restoren, industri makanan segera, perindustrian kilang makanan dan jika di dalam bidang kerajaan pula, graduan boleh bekerja sebagai pegawai katering di hospital-hospital kerajaan dan juga pengurus asrama.

Kerana takdir yang menentukan, maka kawan aku masa diploma dulu menawarkan kerja di syarikat ayahnya sebagai pengurus kilang biskut bagi menggantikan pengurus lama yang telah meletak jawatan atas sebab-sebab tertentu. Oleh kerana aku sejak kecil tidak dididik untuk mengambil kesempatan di atas pengaruh kabel dan orang dalam, maka aku menjawab tawaran itu dengan menawarkan diri untuk ditemuduga secara formal dahulu.

Sebenarnya kalau aku tak menawarkan diri untuk ditemuduga pun memang aku akan ditemuduga, banyaklah cantik muka aku konon nak masuk kerja terus macamlah aku grad dapat selempang naib canselor.

Hasil dari temuduga itu, maka aku ditawarkan jawatan sebagai penolong pengurus kilang, namun kerana aku sedar diri, aku menawarkan diri untuk menjadi Eksekutif Pemasaran dan Jualan. Sebenarnya aku sentiasa berpegang pada kata-kata abah aku.

"Kita kalau nak berjaya, kita kena buat apa yang kita tau kita boleh buat, jangan buat benda yang kita ingat kita boleh buat nanti melungkup hapah tak dapat"

Perkiraan aku pada masa itu, kerja sales dan marketing ni senangnya ya Allah susah nak digambarkan, cuma perlukan kerajinan dan sanggup travel untuk jumpa customer. Selain itu kau cuma perlu buat company profile, buat quotation yang menarik, berpakaian kemas, kacak, petah berkata-kata dan mempunyai penampilan yang meyakinkan.

Aku ingat lagi, aku start kerja dengan gaji RM 1400, setelah 3 bulan dan confirm jawatan, gaji aku dinaikkan sebanyak RM 250 dan elaun kenderaan RM 35 sebulan menjadikan gaji aku sebanyak RM 1685. Sebagai seorang pemegang ijazah yang tiada pengalaman, aku rasa cukup dengan gaji sebanyak itu dulu.

Sebagai rujukan, aku akan lampirkan di sini kira-kira pembahagian gaji aku untuk kos sara hidup di Shah Alam.  Pada masa itu iaitu tahun 2007, aku menetap di Rumah Pangsa PKNS Seksyen 7 Shah Alam. Iya, yang dekat dengan ICity yang overrated itulah. Aku menetap dengan abang dan adik aku yang masih belajar, sorang satu bilik. Sewa pada masa itu RM550 sebulan, bahagi 2 maka RM275 sebulan. Pecahan perbelanjaan adalah seperti berikut :


  • Sewa Rumah : RM 275
  • Duit Belanja Mama & Abah : RM 200
  • Duit makan : RM 300 (sehari 10 ringgit)
  • Duit minyak motor : RM 200
  • Pinjaman : RM 100
  • Yuran Kelab Badminton : RM 50
  • Bil elektrik, Astro dan Air : RM 100
  • Top Up Handphone : RM 50
  • Barang Dapur dan Toiletries : RM 50
  • potongan EPF : RM 165

Jumlah Gaji : RM 1685.00
Jumlah keseluruhan perbelanjaan sara diri : RM 1490
Baki di tangan : RM 195

Kiraan di atas adalah baki pendapatan dan perbelanjaan sara diri boleh jangka. Sebagai seorang marketing executive, aku layak untuk membuat tuntutan minyak dan credit handphone, maka aku dapat lebihan pendapatan sebanyak lebih kurang RM 400 atas claim yang mana duit itu aku telah dahulukan dari duit poket sendiri. Bukan maknanya RM 400 itu dapat dari pemberian ihsan syarikat. 

Maka baki di tangan sebanyak RM 400 + RM 195 menjadi RM 595.

Jika aku mahu beli kereta pada masa itu, maka duit yang boleh dibelanjakan sebagai ansuran bulanan kereta haruslah tidak melebihi RM 400. Tetapi dek kerana aku mempunyai budi pekerti yang soleh kepada orang tua, maka bapak aku pun memberi keretanya sebagai kereta pusaka untuk kegunaan anak-anaknya.

Disebabkan abang aku awal-awal dah isytihar tidak mahu guna dan menanggung kereta tersebut, maka aku pun menjadi pemilik pertama. Kereta itu adalah Mercedes 230E model W123 tahun 1987. Kereta tu sekarang susah dah nak jumpa atas jalanraya bandar besar, kalau kat kampung-kampung orang buat teksi je.

Petrol dan maintenance Mercedes boleh buat juling mata kalau nak difikirkan dalam-dalam. Kalau aku ceritakan pada korang detail tentang minyak dan maintenance dia, jangan kata aku, korang pun boleh ikut sama juling. Disebabkan kita semua sepakat tidak mahu juling maka aku pun guna kereta itu bila ada mesyuarat rasmi dengan MARA, kementerian itu ini, bawa customer ronda KL dan pergi dating. Selain daripada itu, aku parking je Mercedes itu di rumah dan pergi kerja balik kerja bawa motor saja.


Mercedes Benz 230E model W123 Tahun 1986 - 1989


Di bandar besar ini lebih-lebih lagi berkerja sebagai marketing executive yang banyak travel, kenderaan adalah satu kewajipan, korang takkan mampu untuk menempuh kehidupan bekerjaya jika hanya bergantung pada public transport sahaja melainkan korang bekerja 8-5 di pejabat contohnya kerani admin atau akaun. Korang tiada keperluan untuk bergerak dari point A ke B ke C ke D ke E ke F kemudian kembali ke A. Korang hanya perlu travel dari A ke B dan kemudian kembali ke A.

Namun demikian, aku masih berpendapat bahawa mempunyai kenderaan sendiri adalah satu keperluan untuk membuatkan korang lebih bedaya saing, mampu mengurangkan tahap stress dan menjimatkan masa. Kenderaan yang aku maksudkan bukan semestinya kereta, cukuplah sekadar ada Honda EX5 sekalipun asalkan boleh bawa korang ke mana-mana tanpa perlu bergantung harap pada orang lain untuk menghantar mengambil, dan terpaksa berserah diri pada jadual public transport yang sangat sendu itu.

Kesilapan utama remaja-dewasa dan graduan universiti adalah mereka beranggapan apabila perlu beli kereta, mereka mesti beli kereta baru yang perlu bayar 600-700 sebulan. Sedangkan cara yang paling menjimatkan adalah membeli kereta terpakai yang lebih murah contohnya Kelisa secondhand, Myvi secondhand atau kereta cash.

"Tapi abang Ikar, kereta second hand banyak problem, nanti nak menten payah, banyak belanja"

Sebenarnya maintenance kereta secondhand tidak sehina yang korang sangka, apalah sangat kerosakan yang di luar jangkaan yang boleh buat jumlah dia boleh mengatasi harga kereta baru? 

Katalah korang beli waja secondhand pada harga RM16,000 yang mana ansuran dia hanya RM300 sebulan dan korang bandingkan dengan harga Myvi baru pada RM 45,000 ansuran 450 sebulan.

Apa yang biasanya rosak dan perlu diganti pada kereta secondhand?

  • Drive shaft satu set siap upah pasang - RM 400
  • Alternator siap upah pasang - RM 180
  • Overhaul dan lain lain - RM 1000
Senang ceritalah, katalah paling hebat korang repair semua habis dalam RM 3,000 kalau tambah RM 16,000 baru jadi RM 19,000. Nak dibandingkan dengan RM 45,000 korang boleh jimat RM 26,000. Itu belum kira susut nilai kereta dan nafsu korang nak tukar kereta baru lagi. Tapi secara dasarnya macamni lah senang cerita, duit korang lantak koranglah. Habis cerita.

"tapi macam mana abang ikar boleh nak nasihat pasal kereta sedangkan abang ikar kereta pun bapak abang ikar bagi, sembang bolehlah"

"sabar, ni baru separuh cerita, lepas ni abang ceritalah kisah abang beli kereta baru, kereta secondhand, serah mercedes bagi adik pakai pula dan macam-macam lagi, panjang lagi perjalanan kisah hidup abang ni nak korang baca. Korang sabar jap"

Daripada kisah panjang realiti mula kerja di atas, maka dapat kita simpulkan di sini bahawa pendapatan sebanyak RM 1500 hingga RM 1800 sebagai permulaan gaji untuk orang bujang adalah bukan satu perkara yang mustahil.

Cuma zaman aku dulu, takdelah aku pergi makan Dip N Dip, Secret Recipe, Seoul Garden, Chatime, Cool Blog, Starbucks, Pizza Hut, KFC dan Mcdonald selang sehari. Aku sedar masa tu pendapatan aku hanya RM 1685 maka aku buat gaya orang pendapatan RM 1685. Makan sehari RM 10. Makan tengahari tu makan nasi campur RM 6. Nasi putih, Lauk seketul samada ayam atau ikan dan sayur, air teh ais atau ais kosong kalau dah hujung-hujung bulan. 

Makan malam pula ada baki RM 4.00, aku makan nasi lemak tambah lauk sotong ke paru ke kerang ke, baru RM 3.50. Kalau sayang lagi duit tu bolehlah masak sendiri kat rumah. Masak nasik satu pot malam ni, buat lauk sardin tumis dan kangkung goreng belacan. Nasi lebih tak habis tu simpan dalam peti ais, esok boleh buat buat nasi goreng kampung buat makan malam juga.

Pakai Handphone pun Nokia E 52, tak bertukar sampai 4 tahun. Laptop Asus harga RM 1500 sampai sekarang dah nak masuk 8 tahun tak beli baru. Bila taip balik kisah hidup aku ni, boleh tahan sengsara juga. Operator kilang pun beli Lenovo lepas 3 bulan kerja.

Okey sambung belanjawan. Kan baki kat tangan aku ada RM 595 (jika tak bayar ansuran kereta) kan? katalah ada baki RM 195 (selepas ditolak ansuran kereta RM 400) untuk worst case senario, bolehlah kau spend RM 145 untuk joli dengan kawan atau dating 3 kali sebulan dengan makwe kau, kalau kau nak dating setiap minggu pun boleh, tapi kau ajak makwe kau makan roti canai dengan teh tarik, kalau jemu boleh cuba order tosei. RM 50 tu kau bolehlah simpan buat tabungan di hari kemudian.

Aku tak nampak mana tak cukupnya gaji RM 2,000 ringgit di ibukota apatah lagi di bandar kecil dan kampung-kampung seperti yang dilaung-laungkan oleh anarkis yang tidak realisitik. Ni dah habis jujur dan transparent dah kisah hidup aku yang aku kongsikan dengan korang ni.

Takkanlah dengan berbekalkan ijazah atau diploma kau akan sangkut di tangga gaji RM 2000 hingga akhir hayat, kalau setakat itu je gaji kau dengan ijazah yang kau ada, lebih baik kau tak payah belajar masuk universiti. Pergi kerja kontrak, kerja waiter restoren pun boleh dapat sehari RM 60.

Inipun aku nak kongsi kisah aku dari sudut seorang pekerja yang mempunyai ijazah, kalau ada pekerja kilang yang gaji 900 ringgit - 1200 ringgit rajin tulis blog kongsi kisah hidup dan belanjawan dia, mau korang menangis air mata darah mengenang nikmat yang korang dapat tapi tidak mahu bersyukur selama ini.

Baiklah, ini kisah realiti hidup pada peringkat awal mula kerja, kisah belanjawan orang bujang. Nanti kalau aku rajin, di entry akan datang aku akan sambung kisah peningkatan taraf hidup dan cabaran-cabaran lain yang akhirnya membuat aku semakin dewasa dan cekal mengharungi hidup yang penuh pancaroba ini. 

****************tamat*****************


P/S cerita di atas belum habis, baru fasa pertama mula kerja.

P/S ini kisah orang bujang, kalau orang dah kahwin ada belanjawan lain pula, sabor sikit, jangan tak menyempat-nyempat komen semberono kat bawah nun.

P/S Lebong tu bahasa orang Johor, maksud dia ponteng.

P/S Tulis blog pun ada pendapatan sampingan dari iklan yang dipacakkan di keliling blog, Tak percaya cuba korang klik iklan yang ada kat blog rasa hati ni, mesti aku dapat 20 sen satu klik, tak percaya cubalah.

Review Myvi 2018

Assalamualaikum Aku yakin mesti ramai dah survey  Perodua Myvi model 2018 kan, mesti korang teruja nak tahu ulasan, best sangat ke MYVI ba...