August 11, 2014

Menongkah Arus Dalam Dunia Kerjaya

Assalamualaikum

Sambungan dari entry sebelumnya.

Selepas bekerja sebagai Marketing executive selama 3 bulan dan ditetapkan jawatan sehingga mendapat gaji RM 1685, aku kemudiannya dinaikkan jawatan menjadi Pengurus Pemasaran. Kenaikkan pangkat ini begitu pantas kerana ia adalah keperluan industri di mana pada masa tersebut aku tidak mempunyai superior, segala jawapan dan tindakan muktamad adalah daripada aku sendiri.

Kapasiti untuk membuat 'deal' dengan pembeli dari pasaraya dan pelanggan luar negara ditentukan dan diuruskan oleh aku, maka bos besar telah menaikkan pangkat pengurus pemasaran dengan gaji RM 1985 kalau tak salah aku.

Pada masa itu gaji RM 1985 bagi seorang pengurus pemasaran adalah sangat tidak masuk akal namun aku terima kerana banyak benefit lain yang aku dapat masa itu seperti claim bill telefon sehingga RM 200, claim transport seperti petrol, tol dan parking tidak melebihi RM 2000 setiap bulan, dan maintenance kereta semuanya ditanggung oleh syarikat.

Secara tidak langsungnya pada masa tersebut aku memperolehi pendapatan kasar sebanyak RM 3,500 setiap bulan. Sepatutnya aku tidak boleh menggunakan terma pendapatan kasar kerana ia adalah claim dan bukan elaun. Tapi nak bagi senang cerita guna je lah.

Disebabkan aku tidak mempunyai superior maka aku belajar semuanya tentang pemasaran dan jualan melalui pembelajaran sendiri daripada penelitian fail-fail lama. Dengan kata mudahnya aku belajar A-Z secara sendiri sehinggalah aku mahir di dalam bidang export dan urusan jualan dengan pasaraya besar seperti Giant, Mydin, Tesco dan sebagainya.

Namun kejayaan terbesar aku adalah berurusan dengan pelanggan luar negara dalam bidang export seperti menguruskan penghantaran biskut ke luar negara kepada pelanggan sedia ada dan pelanggan baru. Hasil daripada kejayaan ini membuatkan pihak Mara buka mata dan menawarkan syarikat aku pergi ke Jeddah, Arab Saudi untuk menyertai pameran Food And Beverage Jeddah Saudi Arabia. Di kesempatan inilah aku dapat berjalan ke negara orang dan sekaligus membuat umrah.

Booth Pameran Pedagang Malaysia (MARA) sebenarnya kerja orang marketing macam ni lah, 10% duduk office sign surat macam bos, 90% pergi menjaja.

Dekat Konsulat MITI Jeddah tak salah aku, punyalah ramai orang pakai baju kot, macam mesyuarat dengan menteri-menteri nak bina lapangan terbang. Ye aku tengah mengelamun jauh, rindukan nasik gulai tempoyak kat Malaysia masa tu. Dulu-dulu dah habis brooo..

Dipendekkan cerita, hasil dari usaha pemasaran dan penyediaan data-data pelanggan yang aku lakukan membuatkan aku berjaya mendapat pelanggan baru dan mengekalkan hubungan dengan pelanggan lama dari India, Ghana, Benin, Mauritius, Singapore dan sebagainya.

Genap setahun aku menjadi Pengurus Pemasaran, aku dinaikkan lagi pangkat kepada Pemangku Pengurus Kilang dengan tambahan gaji yang diberi nama elaun memangku sebanyak RM 700 dan tambahan lebih banyak benefit claim. Waktu itu adalah tahun 2008, masa itu aku berumur 24 tahun.

***********

Okey, bermula dari waktu ini, aku dah tak nak reveal pendapatan aku untuk mengelakkan suburnya perasaan riak dan mengelakkan salah faham, tapi cukuplah aku menyatakan bahawa apabila kau mempunyai connection dengan pelanggan luar negara yang mahu mengeksport barangan buatan Malaysia membuatkan kau mempunyai banyak side income.

Pada tahun-tahun gemilang ini selain aku menjual biskut keluaran syarikat, pelanggan luar negara juga melantik aku menjadi liaison officer mereka, atau dengan kata mudahnya pemudah cara.

"Mr Zulfikar, i want oats, can you please search for me oats from Malaysia?"

"Yes Mr Babuji, of course"

"Thank you Mr Zulfikar"

"My pleasure Mr Babuji"

Hasil daripada menjadi pemudah cara pelanggan luar negara, aku mendapat banyak komisen dan tips dari mereka, hidup mewah bagaikan ayam bertelur di kepuk padi. Swipe kredit kad sana, swipe kredit kad sini, minum di coffee house dan hotel berbintang-bintang tidak terperi. Kereta pun sudah tukar, rumah pun sudah pindah, dari rumah pangsa ke double story.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, pasang dan surut, puji dan maki, atas dan bawah akhirnya aku bekerja di syarikat kilang biskut selama tujuh tahun dan kemudian 2 bulan lepas aku berhenti dari syarikat tersebut dan memulakan langkah dalam perniagaan sendiri.

Kini aku membuka company pemasaran sendiri untuk mencuba nasib dalam industri pemasaran, dalam sebulan dua lagi selesailah urusan menyediakan premis dan sudah boleh beroperasi. Aku harapkan dengan berbekalkan pengalaman dan rezeki Illahi, aku akan berjaya dalam bidang pemasaran dan jualan ini.

Sebenarnya aku ada rahsia, aku rasa aku dah tak pandai nak buat kerja lain, nak jadi akauntan ke, nak jadi pengurus operasi ke, nak jadi pekebun ke, aku dah stuck dalam dunia Sales and marketing. Kalau suruh aku buat kerja data entry atau kerja-kerja clerical lain mesti aku terkulat-kulat, mungkin aku boleh belajar balik tapi aku rasa aku tidak akan sebagus dalam dunia sales.

Untuk adik-adik bakal graduan universiti, aku nak nasihat sikit, tak kiralah kerja apa pun yang korang dapat lepas keluar dari universiti, korang kena buat yang terbaik dalam bidang yang korang ceburi, jangan buat kerja banyak merungut. Buat kerja sampai faham dan bina connection dengan player industri.

Dulu aku tak percaya langsung dengan mutiara kata "it is not about what you know, it is who you know" tapi lepas 7 tahun duduk dalam industri, memang betul lah benda tu, membina kepercayaan orang lain terhadap engkau akan buatkan engkau lebih senang berurusan dalam industri.

Tapi who you know, who you know jugak, kalau dah bodoh macam sampai buat quotation pun tak reti, baiklah duduk je rumah meratapi nasib tunggu harta pusaka. Itupun kalau mak bapak kaya, kalau tak kaya eh malaslah nak cerita dah, dah habis idea.

Okey, sampai sinilah dulu aku nak cerita tentang biography diri sendiri, sebenarnya aku tulis ini selain daripada menjadi bahan bacaan, ia juga adalah sebagai simpanan kenangan. Bukan semuanya kita boleh ingat dalam bentuk memori.

Kalau takdir tuhan blogspot ni bertahan sehingga berpuluh tahun, bolehlah aku datang balik ke sini membaca rentetan hidup. Tak payahlah aku nak upah ghost writer untuk tuliskan biografi aku sendiri jika satu hari nanti aku berjaya dalam hidup.

********tamat********

p/s Dah taknak sambung dah kisah kerjaya, malas, tutup buku lama buka buku baru, org putih kata move on.

p/s Aku rasa kalau masa hadapan aku jadi datok ahli politik, mesti takde benda dah aku nak sembunyikan, semua ada dalam blog ni.

p/s Aku ada banyak gambar kat Arab Saudi, tapi malas letak banyak-banyak sebab masa tu aku gemuk gila. Sekarang pun gemuk jugak tapi takdelah gila macam dulu. Malas letak nanti kena cerca masyarakat.

May 27, 2014

Realiti Belanjawan Fasa Mula Kerja

Assalamualaikum

Sebenarnya masa aku sekolah menengah dulu, aku memang dah pasang impian nak buka cafe bila dah besar, sekurang-kurangnya sebuah kopitiam. Oleh sebab itu, sejak tingkatan empat aku dah target nak ambil kurus pengurusan perkhidmatan makanan lepas SPM. Aku siap dah target nak masuk UiTM Shah Alam sebab dekat sana ada fakulti pengurusan hotel dan perlancongan yang terbaik dan berdaya saing.

Dipendekkan cerita, maka aku pun belajar dengan tekun dan penuh semangat yakin diri untuk menuju wawasan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Dipendekkan cerita lagi, aku pun berjaya menamatkan pendidikan di peringkat diploma dan  kemudian sarjana muda untuk pengajian Pengurusan Perkhidmatan Makanan di UiTM.

Dalam skop kursus ini, para siswa dan siswazah boleh menceburkan diri di dalam sektor katering, restoren, industri makanan segera, perindustrian kilang makanan dan jika di dalam bidang kerajaan pula, graduan boleh bekerja sebagai pegawai katering di hospital-hospital kerajaan dan juga pengurus asrama.

Kerana takdir yang menentukan, maka kawan aku masa diploma dulu menawarkan kerja di syarikat ayahnya sebagai pengurus kilang biskut bagi menggantikan pengurus lama yang telah meletak jawatan atas sebab-sebab tertentu. Oleh kerana aku sejak kecil tidak dididik untuk mengambil kesempatan di atas pengaruh kabel dan orang dalam, maka aku menjawab tawaran itu dengan menawarkan diri untuk ditemuduga secara formal dahulu.

Sebenarnya kalau aku tak menawarkan diri untuk ditemuduga pun memang aku akan ditemuduga, banyaklah cantik muka aku konon nak masuk kerja terus macamlah aku grad dapat selempang naib canselor.

Hasil dari temuduga itu, maka aku ditawarkan jawatan sebagai penolong pengurus kilang, namun kerana aku sedar diri, aku menawarkan diri untuk menjadi Eksekutif Pemasaran dan Jualan. Sebenarnya aku sentiasa berpegang pada kata-kata abah aku.

"Kita kalau nak berjaya, kita kena buat apa yang kita tau kita boleh buat, jangan buat benda yang kita ingat kita boleh buat nanti melungkup hapah tak dapat"

Perkiraan aku pada masa itu, kerja sales dan marketing ni senangnya ya Allah susah nak digambarkan, cuma perlukan kerajinan dan sanggup travel untuk jumpa customer. Selain itu kau cuma perlu buat company profile, buat quotation yang menarik, berpakaian kemas, kacak, petah berkata-kata dan mempunyai penampilan yang meyakinkan.

Aku ingat lagi, aku start kerja dengan gaji RM 1400, setelah 3 bulan dan confirm jawatan, gaji aku dinaikkan sebanyak RM 250 dan elaun kenderaan RM 35 sebulan menjadikan gaji aku sebanyak RM 1685. Sebagai seorang pemegang ijazah yang tiada pengalaman, aku rasa cukup dengan gaji sebanyak itu dulu.

Sebagai rujukan, aku akan lampirkan di sini kira-kira pembahagian gaji aku untuk kos sara hidup di Shah Alam.  Pada masa itu iaitu tahun 2007, aku menetap di Rumah Pangsa PKNS Seksyen 7 Shah Alam. Iya, yang dekat dengan ICity yang overrated itulah. Aku menetap dengan abang dan adik aku yang masih belajar, sorang satu bilik. Sewa pada masa itu RM550 sebulan, bahagi 2 maka RM275 sebulan. Pecahan perbelanjaan adalah seperti berikut :


  • Sewa Rumah : RM 275
  • Duit Belanja Mama & Abah : RM 200
  • Duit makan : RM 300 (sehari 10 ringgit)
  • Duit minyak motor : RM 200
  • Pinjaman : RM 100
  • Yuran Kelab Badminton : RM 50
  • Bil elektrik, Astro dan Air : RM 100
  • Top Up Handphone : RM 50
  • Barang Dapur dan Toiletries : RM 50
  • potongan EPF : RM 165

Jumlah Gaji : RM 1685.00
Jumlah keseluruhan perbelanjaan sara diri : RM 1490
Baki di tangan : RM 195

Kiraan di atas adalah baki pendapatan dan perbelanjaan sara diri boleh jangka. Sebagai seorang marketing executive, aku layak untuk membuat tuntutan minyak dan credit handphone, maka aku dapat lebihan pendapatan sebanyak lebih kurang RM 400 atas claim yang mana duit itu aku telah dahulukan dari duit poket sendiri. Bukan maknanya RM 400 itu dapat dari pemberian ihsan syarikat. 

Maka baki di tangan sebanyak RM 400 + RM 195 menjadi RM 595.

Jika aku mahu beli kereta pada masa itu, maka duit yang boleh dibelanjakan sebagai ansuran bulanan kereta haruslah tidak melebihi RM 400. Tetapi dek kerana aku mempunyai budi pekerti yang soleh kepada orang tua, maka bapak aku pun memberi keretanya sebagai kereta pusaka untuk kegunaan anak-anaknya.

Disebabkan abang aku awal-awal dah isytihar tidak mahu guna dan menanggung kereta tersebut, maka aku pun menjadi pemilik pertama. Kereta itu adalah Mercedes 230E model W123 tahun 1987. Kereta tu sekarang susah dah nak jumpa atas jalanraya bandar besar, kalau kat kampung-kampung orang buat teksi je.

Petrol dan maintenance Mercedes boleh buat juling mata kalau nak difikirkan dalam-dalam. Kalau aku ceritakan pada korang detail tentang minyak dan maintenance dia, jangan kata aku, korang pun boleh ikut sama juling. Disebabkan kita semua sepakat tidak mahu juling maka aku pun guna kereta itu bila ada mesyuarat rasmi dengan MARA, kementerian itu ini, bawa customer ronda KL dan pergi dating. Selain daripada itu, aku parking je Mercedes itu di rumah dan pergi kerja balik kerja bawa motor saja.


Mercedes Benz 230E model W123 Tahun 1986 - 1989


Di bandar besar ini lebih-lebih lagi berkerja sebagai marketing executive yang banyak travel, kenderaan adalah satu kewajipan, korang takkan mampu untuk menempuh kehidupan bekerjaya jika hanya bergantung pada public transport sahaja melainkan korang bekerja 8-5 di pejabat contohnya kerani admin atau akaun. Korang tiada keperluan untuk bergerak dari point A ke B ke C ke D ke E ke F kemudian kembali ke A. Korang hanya perlu travel dari A ke B dan kemudian kembali ke A.

Namun demikian, aku masih berpendapat bahawa mempunyai kenderaan sendiri adalah satu keperluan untuk membuatkan korang lebih bedaya saing, mampu mengurangkan tahap stress dan menjimatkan masa. Kenderaan yang aku maksudkan bukan semestinya kereta, cukuplah sekadar ada Honda EX5 sekalipun asalkan boleh bawa korang ke mana-mana tanpa perlu bergantung harap pada orang lain untuk menghantar mengambil, dan terpaksa berserah diri pada jadual public transport yang sangat sendu itu.

Kesilapan utama remaja-dewasa dan graduan universiti adalah mereka beranggapan apabila perlu beli kereta, mereka mesti beli kereta baru yang perlu bayar 600-700 sebulan. Sedangkan cara yang paling menjimatkan adalah membeli kereta terpakai yang lebih murah contohnya Kelisa secondhand, Myvi secondhand atau kereta cash.

"Tapi abang Ikar, kereta second hand banyak problem, nanti nak menten payah, banyak belanja"

Sebenarnya maintenance kereta secondhand tidak sehina yang korang sangka, apalah sangat kerosakan yang di luar jangkaan yang boleh buat jumlah dia boleh mengatasi harga kereta baru? 

Katalah korang beli waja secondhand pada harga RM16,000 yang mana ansuran dia hanya RM300 sebulan dan korang bandingkan dengan harga Myvi baru pada RM 45,000 ansuran 450 sebulan.

Apa yang biasanya rosak dan perlu diganti pada kereta secondhand?

  • Drive shaft satu set siap upah pasang - RM 400
  • Alternator siap upah pasang - RM 180
  • Overhaul dan lain lain - RM 1000
Senang ceritalah, katalah paling hebat korang repair semua habis dalam RM 3,000 kalau tambah RM 16,000 baru jadi RM 19,000. Nak dibandingkan dengan RM 45,000 korang boleh jimat RM 26,000. Itu belum kira susut nilai kereta dan nafsu korang nak tukar kereta baru lagi. Tapi secara dasarnya macamni lah senang cerita, duit korang lantak koranglah. Habis cerita.

"tapi macam mana abang ikar boleh nak nasihat pasal kereta sedangkan abang ikar kereta pun bapak abang ikar bagi, sembang bolehlah"

"sabar, ni baru separuh cerita, lepas ni abang ceritalah kisah abang beli kereta baru, kereta secondhand, serah mercedes bagi adik pakai pula dan macam-macam lagi, panjang lagi perjalanan kisah hidup abang ni nak korang baca. Korang sabar jap"

Daripada kisah panjang realiti mula kerja di atas, maka dapat kita simpulkan di sini bahawa pendapatan sebanyak RM 1500 hingga RM 1800 sebagai permulaan gaji untuk orang bujang adalah bukan satu perkara yang mustahil.

Cuma zaman aku dulu, takdelah aku pergi makan Dip N Dip, Secret Recipe, Seoul Garden, Chatime, Cool Blog, Starbucks, Pizza Hut, KFC dan Mcdonald selang sehari. Aku sedar masa tu pendapatan aku hanya RM 1685 maka aku buat gaya orang pendapatan RM 1685. Makan sehari RM 10. Makan tengahari tu makan nasi campur RM 6. Nasi putih, Lauk seketul samada ayam atau ikan dan sayur, air teh ais atau ais kosong kalau dah hujung-hujung bulan. 

Makan malam pula ada baki RM 4.00, aku makan nasi lemak tambah lauk sotong ke paru ke kerang ke, baru RM 3.50. Kalau sayang lagi duit tu bolehlah masak sendiri kat rumah. Masak nasik satu pot malam ni, buat lauk sardin tumis dan kangkung goreng belacan. Nasi lebih tak habis tu simpan dalam peti ais, esok boleh buat buat nasi goreng kampung buat makan malam juga.

Pakai Handphone pun Nokia E 52, tak bertukar sampai 4 tahun. Laptop Asus harga RM 1500 sampai sekarang dah nak masuk 8 tahun tak beli baru. Bila taip balik kisah hidup aku ni, boleh tahan sengsara juga. Operator kilang pun beli Lenovo lepas 3 bulan kerja.

Okey sambung belanjawan. Kan baki kat tangan aku ada RM 595 (jika tak bayar ansuran kereta) kan? katalah ada baki RM 195 (selepas ditolak ansuran kereta RM 400) untuk worst case senario, bolehlah kau spend RM 145 untuk joli dengan kawan atau dating 3 kali sebulan dengan makwe kau, kalau kau nak dating setiap minggu pun boleh, tapi kau ajak makwe kau makan roti canai dengan teh tarik, kalau jemu boleh cuba order tosei. RM 50 tu kau bolehlah simpan buat tabungan di hari kemudian.

Aku tak nampak mana tak cukupnya gaji RM 2,000 ringgit di ibukota apatah lagi di bandar kecil dan kampung-kampung seperti yang dilaung-laungkan oleh anarkis yang tidak realisitik. Ni dah habis jujur dan transparent dah kisah hidup aku yang aku kongsikan dengan korang ni.

Takkanlah dengan berbekalkan ijazah atau diploma kau akan sangkut di tangga gaji RM 2000 hingga akhir hayat, kalau setakat itu je gaji kau dengan ijazah yang kau ada, lebih baik kau tak payah belajar masuk universiti. Pergi kerja kontrak, kerja waiter restoren pun boleh dapat sehari RM 60.

Inipun aku nak kongsi kisah aku dari sudut seorang pekerja yang mempunyai ijazah, kalau ada pekerja kilang yang gaji 900 ringgit - 1200 ringgit rajin tulis blog kongsi kisah hidup dan belanjawan dia, mau korang menangis air mata darah mengenang nikmat yang korang dapat tapi tidak mahu bersyukur selama ini.

Baiklah, ini kisah realiti hidup pada peringkat awal mula kerja, kisah belanjawan orang bujang. Nanti kalau aku rajin, di entry akan datang aku akan sambung kisah peningkatan taraf hidup dan cabaran-cabaran lain yang akhirnya membuat aku semakin dewasa dan cekal mengharungi hidup yang penuh pancaroba ini. 

****************tamat*****************


P/S cerita di atas belum habis, baru fasa pertama mula kerja.

P/S ini kisah orang bujang, kalau orang dah kahwin ada belanjawan lain pula, sabor sikit, jangan tak menyempat-nyempat komen semberono kat bawah nun.

P/S Lebong tu bahasa orang Johor, maksud dia ponteng.

P/S Tulis blog pun ada pendapatan sampingan dari iklan yang dipacakkan di keliling blog, Tak percaya cuba korang klik iklan yang ada kat blog rasa hati ni, mesti aku dapat 20 sen satu klik, tak percaya cubalah.

March 7, 2014

Kembali masuk arena

Assalamualaikum,

Aku akan kembali menulis blog, kali ini aku menulis untuk memberikan alasan kenapa aku tak menulis setelah sekian lama. Memang dah jadi pattern, asal lama tak menulis lepas tu menulis balik aku akan bagi alasan, maka bertabahlah korang semua.

Tahun 2013 dan 2014 banyak perkara yang berlaku pada aku sampai aku hilang fokus untuk menulis. Di antara faktor-faktor tersebut dinyatakan di bawah ini;

1. Smartphone

Aku beli smartphone brand Motorola Atrix2 guna baucer kerajaan yang bagi RM 200 tu, bila dah ada smartphone, aku jadi ralit dengan macam-macam apps, Instagramlah, whatsapplah, itulah inilah, aku lupa yang blog ini adalah platform aku yang paling kuat di dalam menempuh arus kemodenan.

2. Abang aku kahwin, adik aku beranak.

Abang aku kahwin bulan 11 tahun lepas, dia punya kelam kabut membuatkan aku naik sama kelam kabut. Takdelah, sebenarnya takdelah aku kelam kabut, apa pasal pulak abang aku kahwin, adik aku beranak aku pula yang nak kelam kabut? anggap sajalah alasan ini alasan yang tiada kredibiliti langsung.

3. Pindah rumah.

Bila abang aku kahwin, dia pun pindah ke rumah sendiri bersama isterinya, maka mak ayah aku pun berpindah ke Ipoh membawa hidup menghabiskan sisa-sisa usia mereka di rumah pusaka. Aku pun berpindah ke rumah sendiri pada bulan Januari 2014.

Rumah sendiri ada swimming pool, ia membuatkan aku kemaruk berenang selang sehari, sebiji macam perangai orang tak pernah masuk hotel, bila tidur hotel nampak swimming pool, dia punya kemaruk berenang sampai kena halau dengan pak guard. Kalau boleh pak guard tu pun dia nak ajak berenang sama.

Sekarang aku bukan lagi warga Shah Alam tapi dah jadi orang KL, biasalah bila dah jadi orang KL ni, tak sibuk pun dia kena pura-pura sibuk.

4. Jemu dengan isu politik yang tidak berpenghujung.

Walaupun aku mempunyai kebolehan untuk menghuraikan isu-isu politik, tapi aku belajar satu perkara dalam hidup dewasa ini, bahawa bagi mereka yang fanatik politik dan telah menetapkan pendirian mereka untuk memihak pada siapa maka mereka tidak akan mengambil pusing apa saja hujah walaupun hujah itu tidak boleh disangkal lagi.

Oleh kerana itu, aku mengambil langkah untuk tidak menghiraukan masalah politik negara samada mengulas di blog atau update status di Facebook, bagi aku ia adalah perkara yang membuang masa.

Hidup ni macam ni, kita sebenarnya hidup dalam dunia yang ringkas, tapi kita memilih untuk membuat diri kita sibuk dengan perkara yang tak perlu. Kita letak komitmen untuk memediakan kehidupan kita pada facebook dan medium-medium lain hanya kerana kita fikir ia mampu mengisi kekosongan yang ada pada lompang-lompang hidup. Lompang itu sepatutnya digunakan untuk merehatkan diri dari meraih perhatian dan memberi perhatian.

Dengan harapan bahawa orang memberi perhatian dan masalah kita akan selesai, dan dengan harapan kita menjadi selebriti internet, dapat hidup di dunia kedua dengan alter ego yang mana kehidupan alter ego itu tidak pun memberi sebarang manfaat. Melainkan kau berniaga shawl dan barang mekap di Internet, ada lah untung sikit kat situ.

5. Aku tidak lagi berada di bawah radar.

Pada awalnya aku menulis blog untuk menyuarakan pendapat dan bersosial di dunia internet macam yang aku cakap kat atas tu. Tapi sekarang blog aku dah dijumpai oleh saudara mara, sahabat handai, rakan taulan, bekas guru, sepupu sepapat, bos bos, kawan office, kawan sekolah dan kawan universiti. Malah jiran aku di Kampung dan di Shah Alam pun dah baca blog aku.

" Ikar, anak Cik Ani ada baca blog Ikar, hebatlah hang sekarang ni, bukan main lagi, tu dia, apa depa dok panggil? bogger bogger? blogger?"  - Makcik Ani, Jiran depan rumah seksyen 8.

" Ikar, Akak dah jumpa blog kau, akak dah baca dah Ikar tulis pasal akak dengan adik-adik akak, semua dah baca, Oooo pandai kau eeeh?" - Kak Murni Namal, jiran sebelah rumah Seksyen 8.

Bukan menjadi satu kekurangan apabila mereka semua membaca kisah hidup aku, tiada masalah di situ, tapi aku yang over, kononnya kena anxiety, timbul satu keresahan jika mereka merasakan aku bukan aku seperti yang mereka kenal sejak kecil hingga dewasa.

Padanlah dengan muka aku, konon nak menyorok, kalau nak menyorok sangat kenapa kau gatal letak muka kat header blog lepas tu letak nama sendiri jadi URL kan? anggaplah jugak alasan yang ini pun alasan yang tidak berkredibiliti.

Nanti nak mintak nyah Suria Lekat Lekit designkan header blog baru yang takde gambar muka.

6. Kerja

Banyak hal berlaku kat tempat kerja, aku tengah struggle nak stabilkan balik ritma kerja, sekarang ni dah tunggang langgang macam kuda terlepas kekang.

7. Malas

Alasan yang paling power di antara yang terpower adalah malas, kalau malas apa pun tak boleh. Lepas ni aku tak nak malas menulis dah, Insyallah.

*********************

P/s Komen box aku masih ada masalah, korang boleh komen, aku boleh baca cuma aku tak boleh reply. Korang komen macam biasa dan jangan bimbang nescaya aku baca dan semat dalam sanubari yang paling dalam.

P/s Takziah kepada anak-anak dan suami Makcik Ani di atas pemergian Makcik Ani ke Rahmatullah akibat Denggi Berdarah, pemergian mengejut makcik Ani yang sebelum ini seorang yg cergas dan sihat walafiat sangat memberi kesan kepada saya. Arwah baik orangnya, salah seorang makcik jiran terbaik yang mesra dan selalu berborak petang dengan saya. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang soleh. Amin amin ya Allah.

Review Myvi 2018

Assalamualaikum Aku yakin mesti ramai dah survey  Perodua Myvi model 2018 kan, mesti korang teruja nak tahu ulasan, best sangat ke MYVI ba...