November 18, 2012

Ma'al Hijrah dan Nota Dr Rem Dambul

Assalamualaikum....



Sedikit coretan untuk ingatan fasal sambutan Maal Hijrah, aku taknak mengomel panjang pasal sambutan ni bidaah atau tidak. Itu tiada isu walhal ia telah dibincangkan dari zaman dahulu.

Yang aku rimas bila ramai kawan-kawan aku mula keliru, dia mula countdown berapa jam lagi nak menutup tahun hijrah dan nak masuk tahun baru, maka "mari sama-sama kita bertaubat dari dosa, dan buat amalan sunat banyak-banyak, kumpul pahala agar record tahun yang nak tutup cemerlang dalam bab kumpul pahala - hapus dosa"

1. Semangat itu bagus, matlamat dia pun bagus tapi kau jangan letak Iktikad baru yang maal hijrah itu adalah method ibadah yang diajar oleh Nabi atau diwahyukan Allah, Sebab pertama ia tiada dalil, sebab kedua ia adalah satu kaedah kiraan tahun yang dicipta oleh Para Sahabat untuk Umat Islam ada Kalendar Islam sendiri dari hanya menggunakan Kalendar Masihi.

2. Tuhan tidak nilai dosa pahala insan melalui tahun lepas, tahun baru dan tahun akan datang.
Tuhan tidak nilai dosa pahala macam cikgu sekolah nilai kecemerlangan akademik pakai buku report kad submit hujung tahun. Tuhan nilai Insan sepanjang hidupnya.

Jadi, Berhenti membandingkan penilaian dosa pahala insan bagai report kad tahunan. Tak payah nak countdown sangat awal muharam berapa jam lagi tinggal. Tuhan nak ambil nyawa bukan tunggu masuk tahun baru.

3. "Amal yang paling disukai Allah ialah yang tetap dilakukan oleh orang mengerjakannya
biarpun sedikit." Hadis sahih riwayat Muslim

4. Nasihat saya bukan tentang kaedah atau semangat nak menyambut maal hijrah. Sambut Maal Hijrah bagus, menunjukkan bahawa Umat Islam mempunyai Tamadun dan Peradaban sendiri dalam mengira tarikh dan masa. Nasihat saya tentang kekeliruan Muslim dalam beriktikad yang mengira dosa/pahala seorang insan itu mengikut Kalender Hijrah.

5. Di bawah ini aku 'copy paste'kan nota tulisan Dr Rem Dambul, Seorang Pensyarah / Pengkaji /Climatologist  yang sekarang bekerja di Jeddah, Arab Saudi. Seorang kenalan facebook yang agak aku segani cara pemikiran beliau yang memahami konteks agama dari sudut pandang yang lebih luas dan ringkas.

***************************************

i

Salam Maal Hijrah, untuk semua rakan seagama.

Nampaknya ada ramai juga yang keliru fakta. Bersabit konotasi ‘Maal Hijrah’. Justeru, saya tertarik mau memetik tulisan Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (mantan Mufti Perlis), yang dirawi semula oleh Mohd Soffian dalam Facebook:

“… jelas bulan Muharram bukanlah bulan baginda Nabi s.a.w berhijrah, ataupun memulakan hijrah. Kesimpulannya; baginda keluar dari rumah pada akhir bulan Safar. Memulakan hijrah pada hari pertama Rabiul Awwal dan sampai ke Madinah pada 12 Rabiul Awwal.”

Ya, memang betul. Mendendangkan awal Muharram sebagai detik penghijrahan Nabi, saya rasa bukanlah berdosa. Tapi Islam mementingkan ilmu dan keindahan. Tanda-aras keindahan terunggul dalam aspek ilmu adalah: ketepatan fakta.

Jadi, molek benar kalau kita dapat perbetulkan tanggapan yang tidak betul. Jika kita menarik semula sebarang nota atau kata-kata tentang “Muharram bulan penghijrahan Nabi”, ego diri terpaksalah ditelan. Tapi kita tidak mati sesak nafas kerana itu.

ii

Masih tentang Maal Hijrah.

Saya juga setuju dengan sentimen Zulfikar Hazri, dalam satu sabda Facebook baru-baru ini. Bahawa kita tidak usah kepoh sangat dengan semangat hijrah, setiap kali awal Muharram menjelang. Sila baca dengan teliti. Katakunci dalam ayat itu adalah ‘sangat’; bukan ‘kepoh’.

Maksudnya, setakat kepoh sikit-sikit ok. Jangan saja ‘sangat’. Sampai obsesi mau buat ‘countdown’, sebagaimana kegilaan ketika merayakan Tahun Baru kalendar Gregorian.

Amalan kita dihisab setiap saat. Bukan mengikut bulan, atau semester: macam peperiksaan sekolah atau universiti. Bukan juga seperti audit akhir tahun jabatan. Jadi penghijrahan, sama ada lahiriah atau rohani, sepatutnya satu proses berterusan. Muhasabah dan azam untuk koreksi diri harus berlaku setiap hari. Tidak perlu tertunggu-tunggu bulan Muharram, yang datang hanya sekali setahun.

Jangan pula kamu mencebik: “Baru berasa naik haji, lagak sudah mengalahkan ulama!” Perkongsian kata-kata di atas bukanlah atas kapasiti seorang haji. Cuma atas kapasiti seorang pendosa (seperti kamu semua juga), yang mahu mengingatkan diri sendiri. Boleh?

iii

Tapi beginilah. Alang-alang majoriti warga Facebook sudah kepoh pasal Maal Hijrah, bagus juga kalau saya pun tumpang sikit-sikit. Ambil perhatian, bukan ‘sangat’ ya. Sikit saja.

Sempena tahun baharu hijriah 1434, apa kata saya cadangkan kepada sekalian warga FB Muslimin supaya menilai semula dua ‘ketaksuban’ gampang dalam laman sosial ini. Sebab pada hemat saya, dua ‘ketaksuban’ itu memberi gambaran mentaliti propagandist dan ikut-ikutan. Kurang bagus untuk reputasi Islam.

Pertama, ketaksuban mau sebarkan merata-rata pelbagai imej kota suci Mekah. Kemudian diselitkan ayat-ayat mengugut: Sila klik LIKE jika anda seorang Islam sejati. Atau nada-nada ‘religious blackmail’ seumpama itu. Maka, berduyun-duyun para pendosa Facebook klik ‘Like’. Mungkin diam-diam berharap agar sumbangan amal itu boleh menambah darjah kesucian Mekah, serta dapat meningkatkan markat iman mereka sendiri.

Seriously. WTF you guys are trying to prove? Gambar-gambar yang diklik itu pun banyak yang fake. Di-photoshop gila-gila, sengaja kasi nampak lebih dramatik. Supaya ramai yang teruja separuh mati. Tapi yang sedih, seolah-olah figura Mekah sudah jadi satu berhala visual. Begitukah cara yang dimahukan oleh Nabi untuk memuliakan kota suci kita?

Yang untung siapa? Pemilik wall atau page Facebook yang berkenaan. Sebab dapat populariti percuma. Boleh ternak rasa riak supaya jadi lebih gemuk, menggunakan imej Mekah sebagai umpan. Itulah manusia zaman sekarang. Agama pun sanggup dibikin baju, asalkan ia boleh buat si pemakai nampak lebih menggoda.

iv

Kedua, ketaksuban pada benda-benda pelik. Sama ada dalam bentuk gambar atau video. Contohnya, buah tembikai ada kalimah Allah. Pokok kelapa tujuh cabang. Air merah mengalir deras di celah salji putih. Gumpalan-gumpalan awan yang membentuk wajah manusia senyum. Hal-hal yang seumpama ini.

Rasa kagum dalam hati, ok. Tapi tidak perlulah sampai menjual kesucian agama dengan cara berlebih-lebihan. “Oh, lihatlah keagungan kuasa Tuhan. Masya-Allah!” Ya, nada-nada begitu dengan tujuan yang sama seperti ketaksuban pertama di atas: mau mengumpan ‘Like’. Again, this is also all about sentiment, not about substance.

Semua fenomena di dunia sumbernya satu: dari kekuasaan Tuhan. Segala yang ada di keliling kita adalah lambang kewujudan-Nya sebagai pemilik mutlak galaksi raya. Kenapa perlu tunggu sesuatu yang dianggap ajaib dan menyanggah kebiasaan, barulah mau meyakini kuasa ITU? Kita ini bukan manusia era jahilliah yang perlu melihat mukjizat dan keajaiban untuk percaya.

Ibu gagak atas bumbung rumah, itu simbol kuasa Tuhan. Tak perlu tunggu gagak itu dapat anak berkaki lapan, baru terhegeh-hegeh mau memuji kebesaran-Nya. Bunga senduduk liar di tepi jalan, itu pun tanda keagungan-Nya. Tak perlu meneroka hutan rimba mencari bunga dengan kalimah Muhammad pada kuntumnya. Baru berkobar-kobar mau mentahmidkan keesaan Tuhan.

v

Dalam situasi biasa, keterujaan itu sebenarnya ok. Sebab dalam Islam pun, memang kita disaran agar mengingati kebesaran kuasa Tuhan – terutama sekali, bila berdepan dengan sesuatu yang luarbiasa. Saya tidak nafikan ini.

Tapi dalam komuniti Facebook, ketaksuban begitu boleh merebak dengan mudah hingga tidak terkawal. Kesan kumulatifnya nanti boleh menelanjangkan satu bentuk mentaliti yang remeh. Ia memberi persepsi yang mengelirukan. Misleading representation. Terutama bagi penganut agama lain yang kurang mendapat pendedahan komprehensif tentang Islam sebagai satu bentuk cara hidup.

Orang akan terfikir: begini simplistikkah cara Islam menafsir kebesaran Tuhan dan memberi justifikasi/sandaran kepada nilai keimanan penganutnya?

vi

Daripada berkongsi benda-benda yang pelik ala-ala majalah Mastika, lebih baik berfokus pada perkongsian bahan yang lebih informatif (e.g. penemuan saintifik, cerita kembara, kata-kata motivasi, etc). Itu semua boleh juga membawa kita dekat kepada Pencipta. Tapi dengan cara yang natural, logik dan lebih membujuk.

Hal-hal ‘mistik’ hanya menggalakkan spekulasi dan sentimen buta-tuli; bukan membantu menumbuhkan budaya ilmu. Itu juga satu manifestasi minda berstatus rendah. Lalu membuka peluang kepada pihak lain untuk mempersenda cara umat Islam berfikir dan mena’akul dunia sekeliling mereka.

Mahukah kamu jadi asbab agama kamu sendiri dimomok-momok?

vii

Ini hanya saranan peribadi saya, ok.

Kalau tidak setuju pun, tidak perlu marah-marah dan menempik macam orang mau mati besok. Luahkan komen kamu sendiri dengan baik. Walau kadang-kadang saya ini celupar dan ganas; saya bukan fanatik totok. Saya masih suka membaca dan mendengar pandangan-pandangan alternatif yang pelbagai. Setuju atau tidak, itu soal lain.

Sifat taksub adalah hijab ilmu paling bahaya. Sebagai seorang saintis dan ahli akademik, saya selalu memohon dijauhkan daripada sikap begitu.

Salam Maal Hijrah, sekali lagi.

Seekor anak anjing menyelit dalam kalangan ratusan jemaah haji yang sedang wukuf di Padang Arafah (Kembara Haji 2012)

Aku harap dia tak marah aku tampal gambar dia kat sini, tapi kalau ikut logik mungkin dia tak marah, sebab dia upload dekat fesbuk dengan matlamat mahu org baca dan orang tengok.


******************Tamat***************

p/s Dr Rem Dambul ni selalu tangkap gambar menarik dekat Arab saudi lepas tu tulis nota kehidupan seharian dia dekat nota tu, ataupun  pemerhatian dia dalam budaya dan ilmu masyakat setempat, mengikut cara dia yang tersendiri, aku rajin baca.

p/s Ya, dia macam spesis aku, tulis panjang-panjang.

p/s Sorry Melle amir dan Aujinz, hari tu aku ckp nak taip 3 perenggan je, sekarang aku update 3 kertas Kajang.

p/s masalahnya kenapa kertas kajang dan bukan kertas bangi?


7 comments:

  1. terima kasih ler sebab update tentang Maal Hijrah panjang-panjang.

    tapi kan, kertas bangi tu rupenye mcm mane eh? hehe

    ReplyDelete
  2. Ibu gagak atas bumbung rumah, itu simbol kuasa Tuhan. Tak perlu tunggu gagak itu dapat anak berkaki lapan, baru terhegeh-hegeh mau memuji kebesaran-Nya. Bunga senduduk liar di tepi jalan, itu pun tanda keagungan-Nya. Tak perlu meneroka hutan rimba mencari bunga dengan kalimah Muhammad pada kuntumnya. Baru berkobar-kobar mau mentahmidkan keesaan Tuhan. << I loikee

    Tu la kadang2 dorang bukan taksub sgt tp taksub pd jumlah LIKE, SHARE & VIEWS je tu.

    P/S : Ko ni kertas kajang pun nak pertikai.. sungguh rumit menjadi Zulfikar hazri. hahahahahaha. Nyah ko tak nak komen pasal kecoh isu boikot Mc D tu ke?

    ReplyDelete
  3. kah kah kah......terbaik saya suka cara minda abam ikar dan sahabat berfikir...tweet-tweet abang pun power oi...biasalah orang lama kan operasi mindanya berbeda sangat...dekat TL twitter pon power dekat blog lagilah power ish...puji bebanyak takut pulak saya kelak timbul riak di hati abang ikar hiks...sekian terima kasih harap maklum dan silalah sebar-menyebarkan

    ReplyDelete
  4. sekali lg aku sgt2 bersetuju dgn entry nih,alahai umat islam,kalau terlalu lame dgn ketaksuban,yg indah pun akan jd parah,yg manis pun akan mula menghiris,

    kata kunci kat sini adalah KETAKSUBAN terhadap sesuatu secara melampau,

    ReplyDelete
  5. kadang-kadang kan, bile aku nampak orang share gambar pelik yang kononnye 'ajaib' dan menunjukkan keagungan Allah tu kan, aku rasa macam nak je cakap kat orang tu..'ko tak sedar ke yang diri ko tu sendiri adalah keajaiban dan keagungan Allah'..tapi tak terlepas nak luahkan..maka aku diam je la..geram je kekadang..(-_-")

    ReplyDelete
  6. Sifat taksub adalah hijab ilmu paling bahaya. Saya juga memohon dijauhkan daripada sikap begitu...

    Terima kasih Zulfikar, atas suatu perkongsian yang saya rasa 'TERBAIK!'.

    ReplyDelete
  7. Wah, sungguh rasa bertuah dan bangga bila dirawi dalam Blog popular Zulfikar.

    Kenapa saya baru perasan ada entri ini? :-)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...