Pada satu masa dahulu, di kampung aku berlaku satu kematian yang melibatkan seorang bayi, bayi itu mati dalam kandungan. Ditakdirkan Allah swt, majlis pengebumiannya jatuh pada hujung minggu. Seperti biasa, aku agak liat untuk bangun pagi hujung minggu, jadi aku pun terlepas seluruh majlis dari saat mandi jenazah, sembahyang jenazah, kebumi dan talkin.
Kemudian pada tengahari tersebut, datang kawan karib aku cakap pada aku..
" Ikar, Ikar, apsal kau tak pergi kebumi jenazah tadi? rugi kau tau tak!"
" rugi apanya amy?"
" rugilah, kau tau tak, habis je tengok diorang tanam jenazahkan, pastu habis je talkin, aku salam dengan pakcik Karim, aku dapat sampul tau, bukak-bukak sampul je aku tengok ada lima ringgit ikar!"
" Mak oi! 5 ringgit? maksud kau dapat 5 ringgit semata-mata tengok orang tanam mayat je?"
" Ha'ah Ikar, lima ringgit, aku tak sangka gila"
" dah habis tanam dah ke? talkin ada lagi? aku nak pegi gak la jenguk-jenguk, kot-kot dapatlah belen-belen, tak dapat 5 ringgit, dapat seringgit pun jadilah"
" Dah habis dah ikar, orang semua dah balik, tukang gali kubur pun dah balik makan nasik dah"
Seingat memori aku, masa tu aku pun kayuh jugalah basikal BMX aku pergi tanah perkuburan Sungai Tua tu, kot-kot adalah lagi saki baki majlis talkin, dapatlah salam nak envelop 5 ringgit. Kemudian aku hampa sebab kubur sudah sunyi sepi.
Perlu diingat, kejadian berlaku pada tahun 1994, zaman itu 5 ringgit bagi seorang kanak-kanak darjah 4 sangatlah besar nilainya. Sebenarnya jangan kata tahun 1994, tahun 2012 pun nilai 5 ringgit itu tinggi juga nilainya bagi orang bujang yang menunggu hari gaji di penghujung bulan.
![]() |
sekadar gambar hiasan. |
****************************
Bermula dari kejadian lima ringgit di hari talkin itu membuatkan aku terus berfikir dan berfikir, berfikir akan suasana budaya dakwah islamiyah di Nusantara ini. Seringkali kita di Malaysia ini selalu dimomokkan dengan justifikasi "dakwah, nak buat benda baik tak mengapa, apa salahnya"
" tak baiklah kita ni pergi sembahyang jenazah semata-mata nak duit derma dari tuan rumah"
" eh benda baik buat apa salah nya? kan ke matlamat dia nak bagi orang kampung datang, nak bagi sedekah, kalau tuan rumah tu ikhlas nak sedekah apa salahnya?"
Seringkali dialog-dialog seperti di atas yang berlaku untuk justifikasi perbuatan bidaah atau pengkomersialan agama. Padahal kemurnian agama islam itu bukan tentang dakwah angpau 5 ringgit, sebaliknya adalah penerapan nilai murni yang membuatkan muslim datang membantu saudaranya dalam kesusahan tanpa perlu diumpan dengan wang ringgit.
Masa aku darjah 4 tersebut aku dah berfikir dari tengahari itu sampailah ke malam, dan fikiran tentang hal tersebut berlanjutan bertahun-tahun lamanya.
" Sampai macam tu sekali agama islam diumpan dengan duit untuk pujuk saudara sesama islam mengerjakan fardhu kifayah, sampai macam ni sekali kroniknya agama kita dijustifikasikan amalan kerana satu skrip klise iaitu 'alah benda baik nak buat apa salahnya'"
Sepatutnya kita sebagai umat islam, yang mengaku saudara sesama islam, dengan ikhlas dan penuh tawadhuk menolak pemberian angpau 5 ringgit tersebut. Sepatutnya kita sebagai saudara sesama islam memahami akan kesusahan yang ditanggung tuan rumah yang berada dalam keadaan dukacita.
Sepatutnya kita menghulurkan bantuan, hantar nasi dan lauk pauk, bantu solatkan jenazah dan uruskan jenazah tanpa mengharapkan derma ikhlas. Biarlah mereka yang berjawatan tetap sebagai Imam, Bilal, Tok siak atau pengurus jenazah yang menerima bahagian mereka sebagai gaji, elaun, atau sumbangan ikhlas kerana itu memang tugas dan tanggungjawab mereka.
Tetapi kita sebagai jemaah yang datang mengimarahkan majlis solat jenazah dan pengebumian seharusnya datang dengan ikhlas. Ikhlas yang benar-benar ikhlas yang bilamana bersalam dengan tuan rumah tidak sedikitpun mengerling envelop yang berisi wang kertas itu.
Kita sebagai anak muda, seharusnya sudah boleh memecahkan tradisi ini, dan memulakan tradisi baru di mana kita yang datang mengimarahkan majlis pengebumian, menghulurkan bantuan dan bukan melahap segala makanan kenduri arwah dan duit 'sumbangan iklas' tuan rumah.
********************************
p/s Sebelum apa-apa, sebelum ada orang tak faham datang komen tanpa baca sampai habis,aku nak ingatkan kisah ini adalah tentang 5 ringgit sumbangan ikhlas, dan bukan masalah samada Talqin itu bidaah atau tidak.
p/s jika korang dah biasa pergi menyibuk ke majlis pengebumian, korang takkan rasa pelik dengan budaya, salam envelop lepas sembahyang jenazah dapat RM5. Benda memang dah jadi satu silent policy. Tuan rumah setuju atau tidak akan "sumbang ikhlas" sebab terpaksa go with the flow so called budaya masyarakat. tidak mahu masa akan datang diumpat kedekut oleh org kampung.
p/s Kalau korang jadi lebih penyibuk, korang akan jumpa satu team "orang alim" yang mengenakan caj perkhidmatan, baca doa tahlil, doa arwah, zikir dan macam-macam, dan caj ini adalah tetap. Dan apabila kita menegur perbuatan pengkomersialan agama ini maka kita dilabel sebagai wahabi.
p/s dan selepas beribu tahun dakwah islam berkembang seluruh dunia, Golongan konservatif agama masih menggunakan punch line klise "alah, benda baik nak buat takpe, yang penting niat, apa salahnya, kita kenalah sesuaikan agama dengan budaya untuk berdakwah"
Sehingga dakwah dan ritual agama itu kadang-kadang kelihatan seperti ritual paderi menjual surat pengampunan dosa (indulgences) di zaman gelap Eropah dulukala.