Showing posts with label kehidupan. Show all posts
Showing posts with label kehidupan. Show all posts

January 13, 2015

Nasi Lemak Opah Yah

Sejak kecil aku minat berniaga, okey aku tipu, sebenarnya masa kecil aku minat sains. Cita-cita aku masa sekolah rendah nak jadi saintis.

"Awak bila dah besar nak jadi apa Zulfikar?"

"Saya nak jadi saintis, cikgu"

"Saintis tu banyak Zulfikar, awak nak jadi saintis dalam bidang apa?"

"Saya nak jadi saintis dalam bidang aero angkasa cikgu, nanti boleh pergi angkasa lepas"

"Bagus dan unik sekali cita-cita awak Zulfikar, saya doakan cita-cita awak tercapai"

Aku syak doa cikgu aku tu tak makbul, sebab sampai 2015 aku belum lagi jadi saintis aero angkasa. Samada doa cikgu tu tak mustajab atau aku yang salah sebab bodoh matematik tambahan. Nak jadi Saintis apanya kalau persamaan serentak pun tak boleh nak serentak dari tingkatan empat sampai habis sekolah tingkatan lima.

Janganlah sembang sampai tingkatan lima, kalau bagi soalan persamaan serentak sekarang pun aku tak boleh jawab, berbagai rentak jadinya nanti.

Sebenarnya itu hanyalah justifikasi perasaan aku saja. Kisah sebenarnya masa tahun 1996 aku pergi Pusat Sains Negara di Mont Kiara, lepas tu aku naik benda pusing-pusing test G-Force yang angkasawan duduk dalam tu, lepas tu benda tu pusing atas bawah kiri-kanan tu.

Sebelum naik benda pusing-pusing test G-Force tu, aku angkuh gila, aku tengok benda tu bukan mainlah senang nauzubillah susah nak cakap dia punya senang. Aku tengok benda tu pusing punyalah perlahan, senang cerita, mesin parut kelapa kedai runcit Usop Kelantan lagi laju lah. Mustahil aku akan gagal.

Lebih kurang macam ini lah mesin pusing-pusing test G force yang aku pernah naik dulu, jenuh aku nak cari kat google apa nama dia, aku tak jumpa, ini pun jumpa kebetulan.


Tapi takdir penentu segala, lepas naik, bila benda tu berpusing, aku punya panik level dia lagi tinggi daripada panik nak kena sunat, dan satu level bawah sikit je daripada panik hilang mak di pasaraya.

Benda tu berpusing perlahan je, tapi bila duduk dalam tu, dia mula berpusing je, kau akan hilang arah, hilang hala tuju hidup, sekejap kau rasa macam masa depan kau kelam, kabur dari pandangan majazi ini. Turun je benda pusing-pusing test G-force tu terus aku tanam tekad ketat-ketat dalam hati bahawasanya aku taknak jadi saintis aero angkasa lagi.

Okey itu baru intro macam mana cita-cita aku berubah daripada nak jadi Saintis Aero Angkasa ke arah nak berniaga.

Opah di atas bukan Opah Yah, dan Nasi Lemak itu bukan Nasi Lemak Opah Yah, gambar diambil dari blog http://www.iatemywaythrough.com aku jumpa kat google.

******************************

Pada masa dulu, seingat aku tahun 1992, masa tu aku darjah dua. Opah aku datang bercuti ke rumah aku di Kuala Lumpur. Opah duduk agak lama, lebih kurang 2 minggu lamanya. Disebabkan aku ada dua Opah dan dua-dua opah aku panggil opah, maka kami adik beradik membezakan seorang opah nama Opah Yah sempena nama beliau Rokiah dan seorang lagi Opah Lamah sebab nama beliau Selamah. Abaikan Opah Lamah dan kita fokuskan pembacaan ini terhadap Opah Yah.

Opah Yah punya hidup penuh ranjau dan liku-liku tajam yang menguji tahap ketabahan insan ke puncak maksima. Sejak kahwin Opah Yah kerja menoreh getah, menjahit atap rumbia, mengutip pucuk paku, memancing ikan, melombong bijih, mengajar orang mengaji, meniaga kantin sekolah dan akhirnya menjadi penjual nasi lemak.

Nasi Lemak Opah Yah sangat sedap dan terkenal di Kampung Sungai Tapah Tambahan, Ipoh. Aku pernah dengar lagenda tentang seorang budak kecil yang merajuk sebab mak dia tipu beli nasi lemak orang lain tapi cakap tu nasi lemak Opah Yah.

"Mak, Man nak nasi lemak Opah Yah"

"Iya lah, ini nasi lemak Opah Yah la ni mak beli"

"Mak tipu, Nasi lemak Opah Yah sambal dia kat tengah, yang ni mak beli sambal kat tepi"

Engkorang faham ke maksud tersirat dalam dialog di atas? maksudnya kalau nasi lemak tu sedap, orang akan perhati detail yang ada pada dia, samada sambal kat tepi ke, sambal kapit dengan potongan daun pisang ke, ikan bilis goreng dia juling ke, atau nasi dia guna beras basmathi ke, atau lain-lain 'ke' yang boleh kita fikirkan bersama.

Berbalik kepada kes Opah Yah datang ke Kuala Lumpur bercuti.

Bila Opah Yah bercuti, beliau menguruskan cuti beliau dengan sangat cermat dan penuh aktiviti yang bermanfaat, beliau menghabiskan masa menonton TV, makan dan tidur. Selepas tidur, Opah Yah akan bangun dan menonton TV kemudian makan dan tidur kembali.

Tiba-tiba!

Tiba-tiba mama buat gila, mama buat kerja gila tuan-tuan dan puan-puan, hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian!

Mama ajak Opah Yah buat nasi lemak dan meniaga di Kampung Sungai Tua Baharu. Tak ke kerja gila namanya tu? Nasi lemak Opah Yah boleh masak, bahan masak mama boleh beli, tapi yang nak menjual tu siapa? yang nak menjual tu? kau cerita sikit kat aku, siapa yang nak jual tu?

Tak lain dan tak bukan, Ikar lah namanya budak yang bakal terjerumus ke dalam kancah penjualan nasi lemak ini hadirin dan hadirat yang dikasihi Allah, sekalian.

"Ikar, apa kata mama dengan Opah Yah buat nasi lemak, lepas tu kamu dengan Karnain jual?"

"Apa tak kata mama, tapi Ikar kata. Ikar kata Ikar tak berapa setuju dengan niat mama ni"

"Alah Ikar, kamu cubalah dulu, mama bagi kamu upah sehari seringgit, apa macam?"

Dengar je upah sehari seringgit, aku susahlah nak cerita dekat korang betapa gembiranya aku. Tahun itu tahun 1992, Seringgit bagi budak sekolah rendah adalah umpama kapal di laut gedung di darat, stable lumba kuda, factory-factory dan kilang-kilang, rumah sewa, kaya kaya kaya.



Aku dah buat belanjawan yang tak defisit dah dengan duit seringgit tu, 70 sen beli air 100 Plus botol kaca, boleh minum lepas main kejar-kejar dekat taman permainan, berlagak gila anak orang lain minum air oren balang sebungkus 20 sen takda gas, aku minum air 100 plus dalam botol kaca, baki 30 sen aku simpan untuk beli pedang dekat Yaohan.


*****************

Di atas asbab ketamakan komisen seringgit dan sifat mata duitan aku, maka aku bersetuju dengan idea mama untuk menjual nasi lemak, namun idea itu bukanlah tamat di situ, rupanya mama lebih advance.

Jenuh aku jenguk ke dapur, ke stor, ke bangsal dan ke belakang rumah, tapi tak nampak payung besar hijau kuning merah. Meja lipat mamak pun takde, jenuh aku fikir dari remang senja sampai ke Isyak, macam mana kaedah mama nak jual nasi lemak ni? adakah dengan cara bungkus nasi lemak dan susun atas tembok tepi longkang depan rumah? adakah dengan kaedah menjual secara talian telefon ambil order? namun aku tidak bertemu jawapan.

Esok paginya bersempena dengan cuti sekolah, mama dah kejut aku dengan abang aku Karnain untuk meniaga nasi lemak. Aku jenguk dari tingkap bilik, sayup aku pandang ke luar rumah kot kot mama dan abah dah beli meja meniaga malam masa aku tidur, namun tiada kelihatan meja dan payung.

Bila aku keluar bilik, satu pandangan yang bisa merobek jiwa sanubari anak kecil, nasi lemak sudah tersusun cantik dalam bakul warna hijau, aku yakin, aku ingat 100% bakul tu warna hijau. Aku mula panik dan hilang semangat.

"Ha Ikar, Karnain, ni mama dah siapkan nasi lemak dah ni, nanti kamu dengan Karnain pergi ronda satu kampung jual nasi lemak ye"

"Alah...... mama...... kena jual pusing kat kampung ke?"

"Ha lah, kamu jeritlah, Nasi Lemak! Nasi Lemak!"

"Ala mama, Ikar malu la mama"

"Nak malu apa nya? kan Karnain Ikut sekali, kamu nak seringgit tak?"

"Nak!"

"Kalau nak, pergi jual nasi lemak ni, habis nanti balik rumah mama bagi seringgit"

Korang nampak tak macam mana mama memanipulasikan sifat kapitalis dan imperialistik dalam memujuk anak dia pergi menjual nasi lemak bagi merealisasikan impian dia? nampak? kalau korang tak nampak, aku nampak.

Kalau aku cerita aku tak kekok, gagah menempuh onak duri dan cobaan, sikit pun tak malu tu tipulah. Dia punya malu tu kalau nak ceritalah kan, malas nak cerita sebab kalau aku bagi perumpamaan nanti lagi panjang karangan ni.

Tapi aku tengok abang aku tenang je, dia sengih je. Sambil sengih sambil tangan dia cucuk-cucuk belakang aku suruh aku jerit nasi lemak.

Korang nampak tak lagi seorang hamba Allah ni yang pandai memanipulasi keadaan dan mengambil kesempatan terhadap adik dia demi mencapai matlamat dan impian? Yang jadi mangsanya siapa? sudah tentulah Ikar itu sekali lagi.

Aku pun dengan lafaz bismillah dan doa Rosbi rosli sodri wayas sirli amri wahlul ukdatan milisani yaf kahu kauli, Amin, mulalah pekik..

"Nasi lemak, nasi lemak! Nasi lemak, nasi lemak sedap, murah murah! Nasi lemak!"

Sepanjang Jalan Kenanga tu aku jerit tapi takde orang sahut pun. Walaupun zaman itu tahun 90 an, namun budaya membeli sarapan dari orang menjaja dalam bakul di Kuala Lumpur sudah tiada. Orang Kuala Lumpur dah pandai makan sarapan di warung mamak, dan beli sarapan di warung-warung berpremis.

Aku berhenti sekejap di hujung Jalan Kenanga dan memikirkan idea lain.

"Eh kejap, Karnain tiada dialog ke dalam cerita ni Ikar?"

"Takde dialog, dia sengih je dari mula keluar rumah sampai habis cerita, ok sambung cerita"

Aku mula memikirkan idea lain demi menjayakan cita-cita aku nak habiskan nasi lemak lantas dapat beli 100 plus dan pedang di Pasaraya Yaohan.

Aku pergi rumah kawan aku si kembar di Jalan Melur, Aku ketuk pintu dia dan tanya;

"Wei, kau nak beli nasi lemak tak? ni mak dengan opah aku masak, sedap gila nasi lemak ni aku cakap kau"

"Ha bolehlah, aku pun lapar ni, mak aku ada bagi duit beli sarapan, dia takde pergi Pudu, meh dua bungkus"

Bermula dengan dua bungkus itulah empayar nasi lemak itu berkembang pesat. Bak kata orang Indonesia yang berniaga di Tanah Abang 'Pecah Telur'.

Mula dari rumah kembar itu lah, aku pergi ketuk setiap pintu di Jalan Kenanga, Jalan Melur dan Jalan Kekwa. Setiap rumah yang aku ketuk paling kurang dua bungkus dibelinya, paling banyak 7 bungkus. Masa itu harga nasi lemak di Ipoh adalah 50 sen sebungkus, manakala di Kuala Lumpur adalah 70 sen.

Dipendekkan cerita, belum sempat pukul 11 pagi, semua nasi lemak dalam bakul hijau itu habis dengan jayanya. Karnain mana? dia masih sengih di belakang aku, tugas dia jadi tukang pungut duit dan kira belen.

Sesudah sampainya di rumah;

"Wah anak mama dah balik dah? macam mana meniaga?"

"Habis dah mama, Ikar jual semua, tak sempat pergi Taman Jasa, jual dekat sini je dah habis mama"

"Bagusnya, nah upah kamu seringgit, upah Karnain seringgit"

"Eh mana aci mama, Ikar yang jerit jual nasi lemak, Ikar yang ketuk pintu rumah orang jual satu-satu, pastu Karnain dapat seringgit juga! Karnain bukan buat apa pun!"

"Iyelah, mama tahulah, mama tahu Ikar berani, pandai jual, Karnain tak berani sangat, tapi dia teman kamu kan?"

"Ah tak kira, tak aci, orang buat kerja penat dapat seringgit, Karnain tak buat apa pun dapat seringgit, sedap ah!"

Aku campak bakul atas sofa rotan, aku buat muka muncung, jalan terus pergi dapur makan Nasi Lemak Opah Yah.

Karnain? Mama? Opah? Abah?

Diorang semua gelak dari tahun 1992 itu sampailah tahun 2015. Bila kumpul semua masa raya, masa makan nasi lemak, diorang semua ulang balik dialog

"Eh mana aci mama, Ikar yang jerit jual nasi lemak, Ikar yang ketuk pintu rumah orang jual satu-satu, pastu Karnain dapat seringgit juga! Karnain bukan buat apa pun!"

Aku tak berapa ingat sangat untung berapa lepas habis jual Nasi Lemak Opah Yah tu, yang aku ingat, hari pertama aku jual nasi lemak tu, aku dapat seringgit dan makan Nasi Lemak Opah Yah sambil bertemankan air mata.

**TAMAT**

P/S I Aku dah berhenti kerja dan sekarang aku berniaga

P/S III Aku lupa betapa seronoknya menaip di Blog.

P/S IV Esok lusa aku update lagi blog tentang perniagaan aku. Insyaallah.

P/S V Jangan derhaka kepada emak, doa emak makbul, mak aku cakap aku pandai berniaga, sekarang aku dah jadi peniaga.

P/S VI Perasan tak P/S II takde? tadi ada, lepas tu aku padam sebab rasa tak best, lepas tu aku malas dah nak betulkan p/s p/s lain. Padan muka.




August 11, 2014

Menongkah Arus Dalam Dunia Kerjaya

Assalamualaikum

Sambungan dari entry sebelumnya.

Selepas bekerja sebagai Marketing executive selama 3 bulan dan ditetapkan jawatan sehingga mendapat gaji RM 1685, aku kemudiannya dinaikkan jawatan menjadi Pengurus Pemasaran. Kenaikkan pangkat ini begitu pantas kerana ia adalah keperluan industri di mana pada masa tersebut aku tidak mempunyai superior, segala jawapan dan tindakan muktamad adalah daripada aku sendiri.

Kapasiti untuk membuat 'deal' dengan pembeli dari pasaraya dan pelanggan luar negara ditentukan dan diuruskan oleh aku, maka bos besar telah menaikkan pangkat pengurus pemasaran dengan gaji RM 1985 kalau tak salah aku.

Pada masa itu gaji RM 1985 bagi seorang pengurus pemasaran adalah sangat tidak masuk akal namun aku terima kerana banyak benefit lain yang aku dapat masa itu seperti claim bill telefon sehingga RM 200, claim transport seperti petrol, tol dan parking tidak melebihi RM 2000 setiap bulan, dan maintenance kereta semuanya ditanggung oleh syarikat.

Secara tidak langsungnya pada masa tersebut aku memperolehi pendapatan kasar sebanyak RM 3,500 setiap bulan. Sepatutnya aku tidak boleh menggunakan terma pendapatan kasar kerana ia adalah claim dan bukan elaun. Tapi nak bagi senang cerita guna je lah.

Disebabkan aku tidak mempunyai superior maka aku belajar semuanya tentang pemasaran dan jualan melalui pembelajaran sendiri daripada penelitian fail-fail lama. Dengan kata mudahnya aku belajar A-Z secara sendiri sehinggalah aku mahir di dalam bidang export dan urusan jualan dengan pasaraya besar seperti Giant, Mydin, Tesco dan sebagainya.

Namun kejayaan terbesar aku adalah berurusan dengan pelanggan luar negara dalam bidang export seperti menguruskan penghantaran biskut ke luar negara kepada pelanggan sedia ada dan pelanggan baru. Hasil daripada kejayaan ini membuatkan pihak Mara buka mata dan menawarkan syarikat aku pergi ke Jeddah, Arab Saudi untuk menyertai pameran Food And Beverage Jeddah Saudi Arabia. Di kesempatan inilah aku dapat berjalan ke negara orang dan sekaligus membuat umrah.

Booth Pameran Pedagang Malaysia (MARA) sebenarnya kerja orang marketing macam ni lah, 10% duduk office sign surat macam bos, 90% pergi menjaja.

Dekat Konsulat MITI Jeddah tak salah aku, punyalah ramai orang pakai baju kot, macam mesyuarat dengan menteri-menteri nak bina lapangan terbang. Ye aku tengah mengelamun jauh, rindukan nasik gulai tempoyak kat Malaysia masa tu. Dulu-dulu dah habis brooo..

Dipendekkan cerita, hasil dari usaha pemasaran dan penyediaan data-data pelanggan yang aku lakukan membuatkan aku berjaya mendapat pelanggan baru dan mengekalkan hubungan dengan pelanggan lama dari India, Ghana, Benin, Mauritius, Singapore dan sebagainya.

Genap setahun aku menjadi Pengurus Pemasaran, aku dinaikkan lagi pangkat kepada Pemangku Pengurus Kilang dengan tambahan gaji yang diberi nama elaun memangku sebanyak RM 700 dan tambahan lebih banyak benefit claim. Waktu itu adalah tahun 2008, masa itu aku berumur 24 tahun.

***********

Okey, bermula dari waktu ini, aku dah tak nak reveal pendapatan aku untuk mengelakkan suburnya perasaan riak dan mengelakkan salah faham, tapi cukuplah aku menyatakan bahawa apabila kau mempunyai connection dengan pelanggan luar negara yang mahu mengeksport barangan buatan Malaysia membuatkan kau mempunyai banyak side income.

Pada tahun-tahun gemilang ini selain aku menjual biskut keluaran syarikat, pelanggan luar negara juga melantik aku menjadi liaison officer mereka, atau dengan kata mudahnya pemudah cara.

"Mr Zulfikar, i want oats, can you please search for me oats from Malaysia?"

"Yes Mr Babuji, of course"

"Thank you Mr Zulfikar"

"My pleasure Mr Babuji"

Hasil daripada menjadi pemudah cara pelanggan luar negara, aku mendapat banyak komisen dan tips dari mereka, hidup mewah bagaikan ayam bertelur di kepuk padi. Swipe kredit kad sana, swipe kredit kad sini, minum di coffee house dan hotel berbintang-bintang tidak terperi. Kereta pun sudah tukar, rumah pun sudah pindah, dari rumah pangsa ke double story.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, pasang dan surut, puji dan maki, atas dan bawah akhirnya aku bekerja di syarikat kilang biskut selama tujuh tahun dan kemudian 2 bulan lepas aku berhenti dari syarikat tersebut dan memulakan langkah dalam perniagaan sendiri.

Kini aku membuka company pemasaran sendiri untuk mencuba nasib dalam industri pemasaran, dalam sebulan dua lagi selesailah urusan menyediakan premis dan sudah boleh beroperasi. Aku harapkan dengan berbekalkan pengalaman dan rezeki Illahi, aku akan berjaya dalam bidang pemasaran dan jualan ini.

Sebenarnya aku ada rahsia, aku rasa aku dah tak pandai nak buat kerja lain, nak jadi akauntan ke, nak jadi pengurus operasi ke, nak jadi pekebun ke, aku dah stuck dalam dunia Sales and marketing. Kalau suruh aku buat kerja data entry atau kerja-kerja clerical lain mesti aku terkulat-kulat, mungkin aku boleh belajar balik tapi aku rasa aku tidak akan sebagus dalam dunia sales.

Untuk adik-adik bakal graduan universiti, aku nak nasihat sikit, tak kiralah kerja apa pun yang korang dapat lepas keluar dari universiti, korang kena buat yang terbaik dalam bidang yang korang ceburi, jangan buat kerja banyak merungut. Buat kerja sampai faham dan bina connection dengan player industri.

Dulu aku tak percaya langsung dengan mutiara kata "it is not about what you know, it is who you know" tapi lepas 7 tahun duduk dalam industri, memang betul lah benda tu, membina kepercayaan orang lain terhadap engkau akan buatkan engkau lebih senang berurusan dalam industri.

Tapi who you know, who you know jugak, kalau dah bodoh macam sampai buat quotation pun tak reti, baiklah duduk je rumah meratapi nasib tunggu harta pusaka. Itupun kalau mak bapak kaya, kalau tak kaya eh malaslah nak cerita dah, dah habis idea.

Okey, sampai sinilah dulu aku nak cerita tentang biography diri sendiri, sebenarnya aku tulis ini selain daripada menjadi bahan bacaan, ia juga adalah sebagai simpanan kenangan. Bukan semuanya kita boleh ingat dalam bentuk memori.

Kalau takdir tuhan blogspot ni bertahan sehingga berpuluh tahun, bolehlah aku datang balik ke sini membaca rentetan hidup. Tak payahlah aku nak upah ghost writer untuk tuliskan biografi aku sendiri jika satu hari nanti aku berjaya dalam hidup.

********tamat********

p/s Dah taknak sambung dah kisah kerjaya, malas, tutup buku lama buka buku baru, org putih kata move on.

p/s Aku rasa kalau masa hadapan aku jadi datok ahli politik, mesti takde benda dah aku nak sembunyikan, semua ada dalam blog ni.

p/s Aku ada banyak gambar kat Arab Saudi, tapi malas letak banyak-banyak sebab masa tu aku gemuk gila. Sekarang pun gemuk jugak tapi takdelah gila macam dulu. Malas letak nanti kena cerca masyarakat.

October 7, 2012

Beg Tangan Mama

assalamualaikum..

Menyindir beg tangan mama adalah aktiviti masa lapang kami sekeluarga, mama suka beg tangan besar-besar, jenis yang boleh simpan kepala harimau di dalamnya, cuma dia sengaja taknak simpan kepala harimau kerana bimbang menjadi fitnah pula.

Walaupun mama adalah seorang wanita stereotype dengan beg tangan, tapi mama jarang beli beg tangan banyak-banyak. Selalunya dia akan beli beg tangan daripada kulit. Bukan nak berlagak sebab sebenarnya kalau nak dikira tak mahal mana pun.

Pesen beli brand Bonia yang Sogo buat diskaun sampai 70% tu, yang jenis harga dari 500 boleh jadi seratus lebih. Bukan apa dia memang suka beg tangan kulit sebab alah membeli menang memakai katanya.

Bila sebut pasal beg tangan mak-mak ni, isu yang klise akan mula timbul, beberapa stigma yang biasa kita dengar adalah....

" Beg tangan mak aku dah macam poket doremon, semua benda nak ada, panadol, minyak cap kapak, ubat batuk, screwdriver, pisau lipat, buku bank semua ada" (Anak Khuatir - 28)

" kau cakap je apa yang takde dalam beg tangan mak aku? semua ada" ( Pemuda Perihatin - 21 )

" beg tangan bini aku ni dah macam 7-11, semua benda ada tak kira masa" (Suami Manja -32 )


sekarang beg tangan mak aku rupa dia mcm ni lebih kurang, aku  malas nak tangkap gambar, amik cari kat google je lah, senang.

Samalah juga dengan kami sekeluarga, bila semua duduk bersama membincangkan akan keajaiban beg tangan mama, mesti macam-macam gurauan sendaloka bersama singer muncul secara berirama.

" Mama ni patut tak jadi surirumah, patut dia jadi ahli farmasi, mama nak panadol! ada, mama nak ubat angin! ada, Mama nak ketip kuku! ada, mama nak vicks! ada, pendek kata kalau 100 orang ada mcm ni, mau tutup guardian"

Kadang-kadang mama akan buat serangan balas secara bersepadu bagi mengukuhkan status quo nya untuk menyimpan pelbagai benda dalam handbeg.

" mama, mama ni bawak handbag ke bawak poket doremon?"

" eh diamlah kamu, kalau kamu sakit, mintak ubat kat aku jugak, menyibuk je"

" eleh, nak bergurau pun tak boleh, ma nak Actal, sakit perut angin!"

" haa kan aku dah kabor dah! ngendeng-ngendeng tu ada kekira lah tu, tengok nak Actal cari aku jugak! pastu bila bawak beg besor perli tak habis-habis"


***********************************

Itu semua cerita tahun-tahun yang berlalu, zaman aku mengusik mak aku masa sekolah, sekarang ni takde dah nak perli-perli handbag mak aku sebab topik tu macam dah basi, penat juga nak recycle bahan yang sama.

Last aku usik mama, masa raya tahun lepas, bila mama suruh aku ambik kunci rumah dari handbag dia, aku jumpa buku yasin 3 naskah.

" mama, kenapa sampai 3 keping buku yasin dalam beg mama ni ma?"

" aku lupa keluorkan, hari tu pergi doa selamat rumah auntie nora, saja bawak lebih takut ada kawan tak bawak, boleh bagi pinjam"

" owhhh, ingatkan mama nak halau hantu paling power! satu buku yasin tak cukup, bagi ganda tiga!"

" hantu tu kamu lah ikar!"

Tapi betul, mak, isteri atau girlfriend ni golongan yang perihatin, dalam beg tangan dia kalau boleh kotak first aid tu pun dia nak sumbat. handbeg mak aku tu nasib baik je tak muat nak simpan stretcher, kalau muat, mau dia lipat-lipat simpan dalam tu.

***********************************

Tapi buku yasin, panadol, vicks dan minyak cap kapak tu terlalu mainstream untuk dijumpai dalam handbeg mak - mak. Aku pernah jumpa sesuatu yang sangat diluar norma dari handbag mama.

Pada satu hari tu, mama suruh ambik purse dalam handbag dia nak beli nasik ayam..

" Ikar, kamu amik beg duit mama dalam handbag tu kejap, kamu tolong belikan nasik ayam boleh?"

" ermm okey mama, aaa nah!"

" kamu tolong lah amik kejap, tangan mama kotor ni"

Aku pun geledah beg tangan dia cari beg duit dekat dasar yang jauh sana, ibarat mencari bangkai Titanic di lautan Atlantic. Ok aku tipu, takdelah Titanic sangat.

Geledah punya geledah, aku jumpa plastik bungkus kuih, pastu aku angkat tinggi-tinggi ke udara, aim dekat lampu untuk mengesahkan kemushkilan aku, apa benda yang aku jumpa dalam handbag ni?

Rupanya itu Muffin Kenny Rogers, mama simpan dari hari sambut harijadi aku, 2 minggu sudah lamanya. Aku syak kalau letak muffin tu bawah mikroskop mahu jumpa kulat penicillin atas dia.

" Mama ni apa benda ni mama? "

" entah, ape benda tu ikar? cuba kamu cek jap"

" HOiiiiiHhHh!! Ini Muffin Kenny rogers! apsal ada dalam beg ni?"

" eh tu muffin yang aku beli dengan madam, masa tu lapor sangat, kelam kabut nak siap-siap pergi birthday kamu, simpan dalam beg lupa nak makan"

" Birthday Ikar? tu bukan 2 minggu lepas ke ma?"

" Hahahaha, aku tak perasan, tak pernah tonggeng beg tu, selalu sebulan sekali aku tonggeng beg tu, kamu diam-diam ikar, jangan kabor ke abah kamu, nanti dia bahan aku sampai raya tahun depan! nah amik duit ni pergi nasik ayam, mama belanja hari ni!"

" Peh mama, muffin basi dalam handbag kaaaaaaannnnnn!"

" diam, kamu nak nasik ayam ke tak nak ikar?"

" pehhhhh! dah lah muffin dalam beg, rasuah lagi pulak tu dengan nasik ayam!"

" diam ikar!"

" nasik ayam punya pasal, kira kautim lah"

Sampai sekarang aku mengalami kejutan budaya. Nasib baik aku tak kena mimpi ngeri. Penangan handbag mama.


******************tamat********************



Madam itu adalah besan mak aku, mak kepada Hakim, iaitu adik ipar aku. masa ni sambut birthday dekat TGIF bersama keluarga dan tersayang. nampaknya anak-anak muda sekarang ini tidak habis-habis dengan 'peace' mereka semasa bergambar, entah apa nak jadi tak tahu!


Muffin kenny rogers bagi aku sangat sedap, walaupun mainstream tapi tak boleh nafikan kesedapan dia.  tapi jarang makan kenny rogers.  dulu masa kawan aku ijam kerja sana, selalulah makan free.

*****************************

P/s 1 dulu aku cukup segan nak geledah beg tangan atau beg sekolah perempuan walaupun tuan dia yang suruh, aku bimbang nanti jumpa pad spare. malu weh, sporting mana pun perempuan, mesti kekok kalau terjumpa.

p/s 2 "weh kau ada roti lebih tak? aku lupa bawak lah!" ... " roti? ada ada, dont worry, jap lagi aku bagi kau".... " ok tenkiu ye Yati, nanti aku ganti balik k!"  dari meja sekolah, aku nyampuk, " apa lah korang ni, nak makan roti pun kecoh, pegi la beli kat kantin sana!.... "ah sibuklah kau zul, diam, kau apa tau!"


p/s 3 Bila dah besar baru aku tau kenapa perempuan suka guna  frasa "ah sibuklah kau zul, kau apa tau" rupanya roti tu bukan roti bun kaya jual dekat kantin. tapi.. ah malas nak kabor.


August 10, 2012

Musim Puasa Itu - Sup Lembu

Assalamualaikum..

Hari tu kami sekeluarga pergi makan sup di Jalan Doraisamy. Kalau dulu aku ada merungut yang tempat itu dah terlalu banyak pow parking, sekarang 3 kali aku pergi sana tak payah bayar lagi. --> baca INI

Samada blog aku dibaca oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, atau yang jaga parking tu kawan aku yang baca blog Rasa Hati atau aku hanya bernasib baik syok sendiri.

Tapi yang penting, tips untuk elakkan dipow parking ni, korang pergi park jauh-jauh sikit kemudian cepat-cepat lari keluar dari kereta sebelum kutu parking perasan korang letak kereta.

Bila kami bersahur makan sup doraisamy, nasik lemak dan pulut manis itu, maka ia mengembalikan kenangan zaman kecil aku yang berlaku juga dalam bulan puasa. Apa yang berlaku telah menjadi 'bahan sepanjang zaman'

Korang tahu apa tu bahan sepanjang zaman?

Bahan sepanjang zaman ni adalah benda memalukan yang korang buat masa kecik-kecik pastu mak bapak, adik beradik sepupu sepapat kau duk cerita pasal benda tu sampai korang tua. Jangan kata setahun, tapi dalam kes aku ni mau makan 20 tahun la jugak.


***********************

Pada zaman awal 90 an, belum ada kedai nasik kandar bercawangan macam sekarang, dulu kalau orang KL nak makan nasik kandar Penang di KL, kami semua hanya pergi ke Restoren Nasik Kandar Kudu Jalan Tunku Abdul Rahman.

Selain dari itu, orang KL akan makan nasik kandar, mee goreng mamak, sup mamak dan roti canai dekat stall-stall tolak di sekitar KL, lebih tepat lagi area Sentul, Setapak, Brickfields, dan...dan.. dan aku tak ingat lagi dekat mana, cuma aku tahu memang tak banyak mamak bercawangan dulu.

Masa dulu pun, stall mamak ni memang legend, jenis hidang menu 3, 4 kerat je, meja ada 4,5 je maka kuranglah eksyen macam mamak zaman sekarang, cuma yang menyedihkan sekarang ni dah pupus dah gerai-gerai (stall) tolak di sekitar Kuala Lumpur, kecuali stall Doraisamy dan makwe aku cakap ada satu dekat Sentul.

Kalau korang cakap korang jumpa yang lain banyak, maknanya memang banyaklah,sebab aku bukan tukang banci warung tolak mamak, aku cerita yang mana aku nampak dan biasa pergi sahaja.

Nampak tak pattern si Zulfikar tu? jenis nak cerita pasal sup lembu,tapi meleret - leret bagai tiada hari esok.


************************

Sup Jalan Doraisamy, mamat ni ada lagi berniaga sekarang, tak tahulah bila akan pupus, sebab ada construction besar sebelah stall dia.
********************

Pada awal 90 an, adalah seorang Melayu ini yang keluar dari kebiasaan menjual nasi lemak dan satay, tetapi beliau menjual sup mamak yang sangat sedap di Selayang Baru. Dia buat macam fesyen mamak warung tolak, ada jual sup sahaja dengan 2 meja, 8 kerusi dan belanga besi ayan atas meja.

aku ingat semua detail sup dia, cuma aku lupa nama gerai itu apa, samada Sup Pak Mat, Sup Pak Din, Atau Sup Pak Dollah, tapi aku rasa sup Pak Dollah tu mcm boleh digugurkan dari cadangan, mungkin Pak Mat atau Pak Din. Kita kecilkan scope maka kita sebut sahaja nama gerai itu Sup Pak Mat.

Orang Selayang Baru yang tau nama sebenar gerai sup tu boleh betulkan di ruangan komen. Terima Kasih.

Punya famous sup pak mat ni, sampai menjadi bualan hangat seluruh penduduk Selayang, Nakhoda hingga ke Sungai Tua.

Pada satu hari di musim puasa, Abah aku buat surprise untuk mak aku...

" Awi, ni yeop ada bawak balik sup power untuk awi, nah makan dengan anak-anak"

" Yeop beli sup ni kat mana?"

" Biasalah, kat kedai pakmat selayang baru sana nuuu"

" ishk sedap betul makan sup ni malam-malam mcm ni yeop, hangat je rasa, dah nak hujung-hujung puasa ni awi tak lalu dah nak makan berat-berat"

" haa sebab tu lah yeop belikan sup special ni untuk awi, yeop tau isteri yeop ni penat masak buka dgn sahur"

Dipendekkan cerita dan dialog, maka mak aku pun buka sup pakmat, bubuh dalam dua mangkuk besar, jenis mangkuk tambah nasik tu.

Satu mangkuk abang dan adik-adik aku makan, satu mangkuk lagi mama dengan aku makan, disebabkan aku ni dari kecik jenis food hunter adventure, konon perasan macam wartawan Tony Bourdain, semua benda nak cuba maka aku pun makan sup special semangkuk dengan mama.

Hirup-hirup sup

Kunyah-kunyah daging

daging rasa liat, kenyal, liat kenyal...

Kunyah, kunyah kunyah, diam, menung, telan...

Hirup hirup sup..

Kunyah-kunyah daging

Daging rasa liat, kenyal, liat, kenyal...

Kunyah Kunyah Kunyah, diam , menung, telan...

Abah senyum pandang muka mama dengan aku...

" pandai anak abah ni makan sup ye, sedap tak ikar?"

" sedapnya, tapi kenapa daging dia rasa pelik je abah?" aku tanya sambil kunyah kunyah, menung diam telan.

" Iyelah yeop, apsal daging dia macam pelik je, nak kata sup urat bukan, nak kata sup lidah pun bukan, yeop beli sup apa ni untuk awie?" tanya mak aku pula dengan soalan yang lebih avant garde.

" ha ni sup paling special, sup paling mahal, sup paling power, nama dia sup torpedo!"

Kalau nak buat cerita ni lebih dramatik, maka aku akan twist cerita jadi garapan rekaan dan hasilnya macam di bawah....

" lepas je mak aku dengar abah cakap sup torpedo, maka mak aku dan aku pun muntah monggek sampai keluar isi perut semua, kemudian kami berdua terus memarahi abah kerana bagi kami makan sup torpedo dengan sengaja, kesian kan kami?" (ini versi twist cerita yang peak klimaks)

Tapi sebenarnya malang, akhir cerita bukan macam itu...

Selepas dengar abah cakap " nama dia sup Torpedooooo" (baca torpedo panjang dan bergema, seakan bapak aku teruja nak buat lawak)

Kami pun angkat muka dari mangkuk sup, pandang muka abah, tenung panjang-panjang seraya berkata...

" Ooooooooo torpedooooooo! pelik je nama dia kan abah kan, tapi sedap lah!" (sebab malangnya kami taktau maksud sup torpedo itu)

" Haaa kalau sedap makan, nanti abah beli lagi"

Keesokan harinya mama sembang dengan Makcik Amy dan pakcik Rahim jiran depan rumah.

" Rahim, semalam aku makan sup torpedo yeop kamu beli dekat selayang baru sana, sedap!"

" awie makan sup torpedo ke?"

" Iyelah, kenapa nya?"

" sedap tak?"

" sedap jugak lah, cuma isi dia liat macam sup urat, kenapanya?"

" takde apelah, tapi kalau awi nak tau sup torpedo tu sup kote lembu!"

Lepas dengar je Pakcik Rahim cakap macam tu, selamba je mak aku pusing badan, masuk dalam rumah dengan langkah yang penuh angkuh, seangkuh gigitan pertama pada sup torpedo lembu.


Aku? aku jangan ceritalah, sampai 20 tahun kena bahan dengan pakcik Rahim dan Abah..

" ikar suka makan sup torpedo ye? nanti abah beli lagi"

**********tamat***********



hirup hirup sup, kunyah kunyah daging, daging rasa kenyal liat kenyal liat,  Kunyah kunyah  diam, menung, telan.
Korang takyah imagine, takyah susah2 nak google imej sup torpedo, ni aku dah tolong letakkan dah, comel kan sup torpedo ni?

********************************* 
p/s 1 tu kali pertama dan terakhir aku makan sup torpedo!

p/s 2 sekurang2nya aku dah boleh eksyen, makanan paling exotic aku pernah makan adalah kotey lembu.

p/s 3 tapi aku tetap malu

p/s 4 memang malu betul bukan malu tapi mahu.

p/s 5 aku bukan malas update blog, tapi aku memang sibuk bungkus biskut, jap kat bawah ni aku letak gambar kesibukan bungkus biskut.


Gambar demi gambar, tak habis2 entry korang baca kan? orang kata, banyak membaca ni jambatan ilmu, padan muka korang. ok skrg baru betul-betul tamat.


***************************************************
P/S 6 Ini namanya P/Sception, yang duduk dalam Tamatception, iaitu tamat selepas tamat dan P/s di dalam p/s, bye...


July 26, 2012

Musim Puasa Itu - Hantu Keranda

Assalamualaikum..

Muslim ni banyak kenangan masa kanak-kanak dia berkisar pada bulan puasa, raya, nak masuk sekolah, gosok gigi tepi longkang, air milo datang sekolah naik lori, cucuk BCG dan sunat.

Sementelah sekarang ni musim puasa, aku cerita pengalaman kami budak-budak zaman 90 an. Zaman yang tak terikat dengan handphone data plan, game ninja potong buah dan sembang dekat twitter, zaman tu Mirc pun belum ada.

Seperti biasa, ayat memulakan imbauan kenangan ini berbunyi begini..

Kita ada banyak kenangan, tapi nak pilih kenangan yang paling kenangan adalah apabila kenangan tu sekilas ingatan je ia muncul, dan setiap kali datang musim puasa, mesti kau senyum-senyum teringat balik.

1. Hantu Keranda


lebih kurang macam ni keranda stainless steel kat masjid tu, tempat letak dan mandikan jenazah, letak sebeleh stor masjid dekat kawasa parking basikal yang bila jumaat jadi tempat budak2 belum sunat semua berhimpun sembahyang.

Pada satu musim puasa, masa tu darjah 3, umur aku 9 tahun, Aji 10 tahun, Amy 8 tahun dan Karnain (abang aku) 11 tahun. Entah mana datang idea,  kami semua macam jadi ghairah nak pergi solat subuh setiap pagi pada bulan puasa itu selepas sahur.

Setiap kali lepas sahur dalam pukul 5 pagi, Dua beradik Amy dan Aji akan datang ke rumah aku mengetup daun tingkap kaca..

" Ikar..Ikar..Karnain..Karnain..Jom pergi masjid jom! dah nak subuh ni!"

Dalam hati aku..

" Buang tebiat apa si Amy ni pergi Masjid nak subuh pukul 5 pagi, Tok siak pun belum bukak gril masjid, pak imam pun tengah nyuap nasik!"

Tapi dek kerana seronok berkawan, aku pun turutkan jelah. Setiap subuh tu, kami berempat akan jalan kaki di dalam kesejukan subuh ke Masjid. hebat tak hebatnya kami, lampu dalam ruang solat masjid pun belum bukak, yang bukak lampu kat bahagian koridor depan je.

Sehari okey, dua hari okey, tiga hari okey, seminggu okey, nak masuk 2 minggu, aku dah mula naik rimas nak pergi masjid pukul 5 pagi. Jangan kata aku dengan Karnain, Mak aku pun dah mula mushkil tengok kami rajin sangat.

Ditakdirkan tuhan, pada satu pagi tu, sedang kami duduk dekat depan pintu pagar masjid sambil main baling-baling batu dalam longkang, Keranda Besi dekat stor Masjid bergoyang..

" Prangg.. Prangg.. gedegung gedegang, brummmm" Bunyi keranda stainless steel sebelah tempat mandi mayat berbunyi.

Aku toleh laju-laju dan nampak kucing kaler oren lari lintang pukang macam tengah kejar binatang. Tapi amy Aji toleh lambat, aku syak diorang tak nampak kucing, aku pun dengan penuh yakin buat muka cuak seraya berkata..

"woi korang woi, keranda bergerak sendiri, ada hantu keranda! blah woi blah!"

" Haaaantuuuuu keraaanndaaaaa... larrrrriiiiiiiiiiiiiii...." bertempiaranlah kami berempat lari balik rumah masing-masing, dah macam watson nyambek pun ada, macam acara 400 meter lari berganti-ganti pun ada.

Bila dah sampai rumah, aku bisik dekat abang aku..

" Karnain rilek karnain, tadi bukan hantu keranda, tapi kucing panjat bumbung, saja ikar temberang, malas nak pegi masjid pukul 5 pagi hari-hari!"

" Alah karnain tau, karnain nampak kucing tu! kaler oren kan?"

" Ha'ah kaler oren, kalau karnain dah tau kenapa karnain lari lintang pukang macam nampak hantu?"

" saja lari, nak tambah efek bagi real, karnain pun malas nak pergi masjid sejuk-sejuk pagi-pagi buta mcm tu"

" haha, okey set, jangan kabor ke Amy ngan aji tau!"

Aku tak tau adik beradik Amy ngan Aji tu betul-betul nampak hantu keranda ataupun diorang pun auta sama macam aku, tapi yang pastinya, sehari dua lepas tu kecoh satu sekolah agama sebelah masjid, ada keranda besi gerak sendiri. Aku syak Amy dengan Aji yang cerita. Budak-budak kan suka cerita hantu.

**********Tamat**********

p/s Pendek je entry kali ni, nanti aku buat macam kompilasi la lepas ni, sehari dua satu entry, jenis pendek-pendek kenangan dan pendapat tentang puasa.

p/s Paradox kan? ada setengah org ckp puasa takde hantu sebab semua hantu kena ikat, tapi baca mastika dgn cerita blog ada je org cerita pasal hantu musim puasa. Manusia tu suka cerita hantu..

p/s kongsi kisah puasa korang bersama sepanjang ramadan ni, kalau ada cerita menarik,taip di ruangan komen,atau pastekan link entry korang pasal kenangan puasa kat ruangan komen. nanti aku nak gi baca.

June 30, 2012

Simpati Yang Tersembunyi

Assalamualaikum..

Semalam aku pergi basuh kereta dekat carwash, dah berbulan-bulan tak bercuci kereta tu sebab tak nampak kotornya. Dipendekkan cerita lepas selesai basuh, aku pun undurkan kereta perlahan-lahan dalam jarak 10 meter. Sekali dengar bunyi..

" auuuu auuuuuuu auuuuuu.. kungggg kungg kunggg..aouuu aouu aouu.."

Rupanya aku undur terlanggar anjing tengah jalan, sedangkan anjing tu sebelum tu baik je duk main kejar-kejar dengan aku, mana nak tau pulak masa aku nak undur dia boleh duduk rehat tak bergerak,selalunya binatang bila nampak kereta dia akan ke tepi. Tapi takpe, korang jangan risau sebab anjing tu hanya cedera ringan.

************************

Kisah tersebut mengingatkan aku pada zaman aku kecil dulu.

Masa dulu rumah aku kat Sungai Tua tu banyak tikus. Rumah lama, kawasan rumah pula banyak semak dan hutan-hutan, walaupun keluarga aku bela kucing, tapi tak lut jugak. Samada kucing dah muak makan daging tikus atau tikus tu ada ilmu nasik kangkang.

Jadi bapak aku selalulah pasang perangkap tikus umpan dengan kepala ikan goreng. Hasil yang didapati amatlah lumayan, kalaulah daging tikus tu boleh jual macam harga ayam, mau keluarga aku dah bukak kandang tikus dah.

Selalunya, bapak aku akan pasang perangkap malam Jumaat, hari sabtu atau ahad pergi cek perangkap dah ada hasil.

Bila dah dapat tikus dalam sangkar tu, aku selalu mula rasa gelabah dalam perut. Rasa macam ada orang perah-perah usus aku, bukan takut tikus, aku jarang takut kat haiwan. Cuma aku simpati sangat ke tikus itu yang bakal menghadapi hukuman mati sebentar lagi.

Selalunya abah akan bunuh tikus tu dengan cara rendam sangkar tu dalam baldi yang penuh air. Akhirnya tikus tu akan mati lemas. Aku pernah tengok sekali je ritual penamatan riwayat tikus tu, tak sanggup tengok lagi sebab sedih tengok dia meronta-ronta mintak nyawa.

Inilah sangkar tikus yang aku maksudkan, tengok tikus terperangkap seronok, tapi tengok tikus kena bunuh ras a sedih, korang selalu mak bapak bunuh tikus cara mana?

*******************************

Selain dari kaedah lemas ada juga yang tikam tikus tu dengan besi tajam. Bagi aku, kaedah yang paling zalim adalah jemur tikus tu tengah panas sampai mati.

Bagi aku ia adalah sangat zalim bila memikirkan tikus tu terseksa berjam-jam, kadang - kadang berhari-hari dijemur tengah terik matahari tanpa makanan dan air. Kau bayangkanlah kita ni duduk dalam sangkar pastu kena jemur tengah padang, mati perlahan-lahan, tekak kering, perut lapar, dehydrated, seksa nak mati!

Beberapa tahun dulu, masa aku kerja dekat Batu Caves, Pejabat aku diserang oleh tikus. Maka sebelum sempat mengupah Pesticide, Bos aku arahkan akak pantry maid (kaksue) untuk pasang beberapa perangkap tikus. Perangkap tikus yang sama macam bapak aku guna dulu iaitu jenis sangkar.

Pada satu hari tu dapatlah tangkap seekor tikus yang boleh tahan gemuk, gemuk makan biskut dengan getah wayar gamaknya. Tapi yang aku tak boleh tahan bila Kaksue guna kaedah jemur tikus tu atas compressor Aircond dekat belakang tingkap pantry.

Setiap kali aku masuk nak bancuh nescafe, aku tengok tikus tu melepek kepanasan dalam sangkar atas besi compressor aircond yang panas terik itu. Sumpah aku cakap, tikus tu pandang tepat ke mata aku macam minta simpati. Renungan mata tikus tu macam berkata-kata dengan aku....

" Encik, tolonglah saya encik, saya tak mampu menahan lagi azab panas dijemur matahari ni Encik, tolonglah lepaskan saya, saya ada anak-anak kecil yang masih memerlukan saya untuk menjaga mereka encik"

Lantas hati aku pula seakan-akan berkata-kata pada tikus tu

" Kesiannya aku dekat kau ni Mak siti, apalah rasa kau mati pelan-pelan kena jemur tengah panas ni kan? tak sampai hati pula aku tengok, cepat-cepatlah kau mati, semoga tak terseksa lagi"


Mula-mula aku cuba untuk gagahkan hati aku, aku cuba teguhkan tekad membiarkan tikus itu mati sendiri. Tapi lama-lama dialog fantasi yang aku reka menguasai sendiri, campur dengan simpati pada renungan mata tu buatkan aku tewas dengan tekad sendiri.

Hari pertama tikus tu survive, masuk hari kedua aku dah tak boleh tahan tengok tikus tu terseksa, Aku pun cepat-cepat capai sangkar tikus atas compressor aircond tu dan lari-lari anak keluar office, Kaksue tegur aku..

" Abang Zul, Abang Zul nak bawak pergi mana tikus tu bang?"

" Saya nak pergi bunuh, tak sampai hati tengok dia kena jemur lama-lama"

" baik-baik bunuh jangan sampai dia lari ye Abang Zul"

" Kak Sue jangan risau, bunuh membunuh tikus ni saya dah biasa dah" padahal.....

Dengan sepantas kilat aku lari turun tangga office tiga tingkat tu sambil jinjing sangkar tikus. Aku berdiri depan longkang parit bandaraya. Korang dapat agak kan longkang parit bandaraya ni macam mana besar dia? level-level anak sungai dah.

Aku berdiri tepi parit tu, aku buka sangkar kemudian aku goncang-goncang tikus tu bagi jatuh ke dalam parit, dengan harapan samada tikus tu jatuh dalam parit kemudian terus mati atau dia hidup dan lari jauh-jauh dari kawasan pejabat aku.

Jatuh saja tikus tu dalam parit, elok je dia berenang ke tepi laju-laju, dia berhenti kejap kemudian hidung dia kumat kamit menghidu, pastu tikus tu berpaling dan pandang tepat ke arah aku..

Kalau ikutkan skrip dalam drama otak aku, pastilah aku berfikir yang tikus itu pandang dan berkata begini..

" Terima kasih Encik yang baik hati, terima kasih dengan sifat kemanusiaan encik, saya berjanji saya akan manfaatkan nyawa saya yang telah encik selamatkan, saya berjanji saya tidak akan mengganggu manusia lagi. Semoga encik bahagia, saya pergi dulu encik"

Atau mungkin juga tikus tu berkata-kata begini...

" Apelah bodoh sangat manusia ni, dah dapat tangkap aku, pastu lepaskan aku kat longkang, hati tisu sangat la tu, jaga kau, aku panggil bala tentera aku nanti buat perhitungan semula kat pejabat kau Zulfikar, hahahhahaha"

Tapi takpelah, aku bersangka baik yang tikus itu akan menghargai peluang kedua dia untuk hidup di muka bumi ini.



************************

Seminggu lepas tu, aku masuk office macam biasa, bayangkan tetiba ada 7 ekor tikus berdiri depan aku sambil di mulut mereka semua menggigit setiap satu uncang, bila aku buka, uncang itu berisi emas ketul-ketulan besar! rupanya tikus itu kembali datang ke pejabat aku untuk membalas budi!

Aku pun rasa sangat terharu dan kami semua berpelukan antara satu sama lain sambil berlinangan air mata. Hujung tahun itu kami sama-sama menziarahi di hari raya makan ketupat, lemang dan rendang yang ada. begitulah persahabatan aku dengan si tikus tersebut bersemi teguh akhirnya..

Banyaklah cantik muka aku ending dia macam ni, mimpilah! beranganlah korang nak dapat happy ending macam tu. Kalau tengok filem Razak Mohaideen, tengok Bini-biniku Janda nenek, mak sedara ku gangster boleh. Dengan tikus ibu kota jangan harap. Ending sebenar ha yang kat bawah ni......


Seminggu lepas tu, aku pergi Office Batu Caves, aku masuk dalam Pantry maid dan bancuh nescafe, sambil godek-godek biskut nak makan,  dan dan tu elok je aku tengok ada kesan tikus gigit dekat plastik bungkus Gardenia dengan bekas kaya roti.

" Tak guna punya tikus, dasar tak mengenang budi! jaga kau, aku dapat kau, memang aku jamu kau kat kucing!"






************tamat**************

p/s Siapa lelaki nampak tikus, menjerit, naik atas kerusi..diaaa pooonnnnd...ah malaslah nak sambung..

p/s selain manusia, tikus juga mengalami masalah racist, Hamster dibelai manja dan mewah bak raja, tikus rumah dicaci maki dihina dina.


p/s rumah aku skrg ni banyak tupai, kadang-kadang tupai masuk dalam rumah, curi makan roti gardenia, nampak tak bias? tikus curi roti marah, tupai tak marah, semua sebab pengaruh Hollywood! konon tupai tu comel.


June 24, 2012

Kemewahan Yang Relatif

assalamualaikum..

Masih lagi dalam mood tak puas hati dengan kemewahan kanak-kanak zaman sekarang, isu yang sangat klise. Budak lahir 80an tuduh budak 90an mewah sangat tak tau hidup susah, budak 70an tuduh budak 80 an, budak 60an tuduh budak budak 70an, pokoknya sampai bila tak habis, pokoknya semua budak ingin menyatakan merekalah yang paling struggle di antara semua budak era yang ada.

Tapi hari itu aku ada pergi berkhemah dekat Kem Baha, Gunung Stong Kelantan. Bila aku terpaksa duduk dalam Keretapi Gerabak Duduk masa pergi, dan balik naik Gerabak Katil, baru aku dapat lihat bahawasanya kemewahan ini relatif.

Orang duduk Gerabak Kabin rasa mewah dari Gerabak Katil Double Decker, orang Gerabak Double Decker rasa dia lebih mewah dari Seat Business Class, business class rasa lagi mewah dari Ekonomi. Yang naik Kelas Ekonomi rasa mewah dapat naik keretapi pergi berjalan banding dengan orang kat kampung yang tak pernah keluar dari sempadan kampung.

*************************

Dulu masa aku darjah 4 pada tahun 1994, aku pernah hadapi situasi macam entry yang pernah aku cerita dalam tajuk Nasi Lauk Sardin Garam itu.

Pada satu hari entah apa kena dengan angin mak aku, rajin pula dia nak masak lauk tengahari awal dari biasa. Selalunya dekat nak pukul 2,3 petang macam tu baru siap makan tengahari, kali ni mak aku masak tengahari siap sebelum pukul 12 tengahari.

Jadi sempatlah aku nak tapau nasik berlaukkan Ikan Bawal goreng garing masam manis. Jarang-jarang sangat dapat bawak bekal makan tengahari ni, selalu beli nasik lemak kangkung Makcik Imah- mak Mustapa Kamal je.

Jadi pada hari itu aku pun makan nasik berlaukkan ikan bawal masam manis super sedap itu, isi yang lembut bersama bahagian kepala yang garing, sedap dikunyah begitu saja. Bila dah habis makan nasik, aku pun ratahlah lauk yang berbaki.

Bila dah habis semua isi dan kepala aku telan, aku pun nak buang tulang badan Ikan Bawal, dan tulang tepi yang halus-halus tu. Tetiba datang kawan aku dari jauh, dia tahan aku dari bangun...

" woi woi Zul, kau nak pergi mana?"

" lah nak buang tulang lah!"

" apa lah kau ni, buat apa buang tulang ni, kau tak tau ke tulang ni lah yang sedap, boleh makan kau tau?"

" hish kau ni, tulang pipi kepala ikan tu sedaplah kunyah, ni tulang sirip sedap apa nya? boleh cekik kat tekak!"

" Itulah, kau tak pandai kunyah tulang, meh bagi kat aku meh!"

Kawan aku tu pun kunyahlah tulang Ikan Bawal tu, masa tu aku tengok rasa sayu sangat hati, rasa insaf. Insaf yang berlanjutan sehingga 18 tahun lamanya.

Peristiwa yang ringkas dan mungkin tak bermakna bagi ramai orang, tapi bagi aku tertanam di jiwa buat berpuluh tahun lamanya. Melihatkan kawan baik ambil sisa tulang ikan bawal dan kunyah dalam keadaan muka penuh asyik menginsafkan aku bahawa kepuasan hidup ini tak standard bagi semua orang.

Baru aku nak layan syahdu tengok dia, dia bagi statement lagi pilu..

" sedapnya ikan bawal mak kau masak ni Zul! dah lama aku tak makan ikan bawal, bertahun gak ah rasanya"

Kau dapat bayangkan tak pilunya hati kau, bila kawan baik kau makan tulang ikan bawal kau, dan dia dah lama tak makan ikan bawal, kau tak tau dia teringin nak sangat masa kau makan. Pilu hiba hati bila tahu yang kawan kau juga sorok Rasa Hati dia yang teringin nak makan isi ikan bawal tapi segan nak minta.

Sejak peristiwa tahun 1994, sewaktu aku berumur 10 tahun itu, sampai sekarang bila aku tengok ikan bawal masak sweet sour, mesti aku teringat muka dia penuh asyik kunyah tulang sirip ikan bawal itu.

Tercetuslah rasa hati aku bahawasanya,jika kau rasa kau susah tapi selagi kau mampu makan isi ikan bawal banding dari tulang sirip maka ketahuilah nasib kau lebih baik dari orang yang lebih susah. Yang kepuasan makan tulang ikan bawal itu ibarat meraikan raya setahun sekali. Bersyukurlah!



Tulang sirip ikan bawal yang aku maksudkan adalah yang dibulatkan  dengan pen merah tersebut. lepas tahun 1994 itu, kadang-kadang bila makan ikan bawal, aku akan sengaja kunyah tulang ini dan telan, bagi sentiasa memperingati kenangan kawan aku yang kempunan nak makan ikan bawal. ah sebak bila teringat aih. - sumber gambar themummysya.com


************tamat************

p/s I Tudung bawal adalah comel, perempuan pakai tudung bawal relatifnya lebih kemas dan comel dari shawl, walaupun ramai perempuan cuba justify yang shawl itu lebih comel, tapi bagi lelaki tengok tudung bawal lagi comel. Masalahnya kenapa perlu tudung bawal? kenapa namanya bawal? adakah direka oleh Muhamad Ali rejal Bawal, adakah bentuknya macam ikan bawal? adakah texture macam kulit ikan bawal?

p/s II ikan bawal ni bagi aku sedap buat masak 4 cara je, Goreng garing, Kari, Lemak pekat cili api dan Sweet sour.

p/s III bawal ada 2 jenis, bawal cermin dan bawal dapur (Hitam) bawal cermin sedap buat stim.

p/s IV di Petaling Jaya ada bangunan nama Wisma Ali Bawal.

June 20, 2012

Malu Yang Tersemat.

Assalamualaikum..

Dalam kehidupan kita ni banyak benda yang memalukan kita telah buat, kebanyakan kisah yang memalukan bagi aku pun aku dah kongsi dengan korang semua dalam entri-entri yang lepas.

Walaupun dari kecil aku mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan selambe menghadapi situasi yang memalukan dengan jayanya, namun ada beberapa peristiwa malu yang bila aku teringat, aku akan malu sendiri lantas secara automatiknya hati berkata..

" Ya Allah, kenapalah aku pergi buat benda bodoh macam tu, malunya" monolog sambil menepuk dahi.

Ada banyak perkara malu, tapi apa yang paling malu itu adalah bila kau tak perlu fikir panjang nak ingat, sekali ingat je kau terus fikir pasal tu, itu dinamakan malu yang tersemat. Di bawah aku kongsikan beberapa peristiwa malu, walaupun bagi korang tak berapa nak malu tapi bagi aku kalau boleh nak lempang-lempang je muka sendiri.

**************************

1. Jamuan Kelas Darjah 3.

Masa tu kelas 3 Cempaka di Sekolah Kebangsaan Sungai Tua Baharu, Guru kelas nama Cikgu Shamsudin. Tahun itu 1993, ketua darjah nama Shahrul Nizam. Eh ke Saiful Nizam? ah aku lupa, tapi sa sa zam zam belakang dia.

Dipendekkan cerita, hujung tahun mesti ada jamuan akhir tahun peringkat kelas bagi meraikan perpisahan, meraikan jasa guru dan menghabiskan duit tabung denda tak hafal sifir 2 sampai 12.

Seminggu awal cikgu dah cakap supaya bagitahu mak sediakan juadah untuk kongsi makan masa jamuan kelas, Lydia ckp nak bawak agar-agar, Nurul Izzah nak bawa Kek Marble, kawan yang lain nak bawa macam-macam lah. Paling grand bawak karipap pusing inti daging!

Aku dengan yakin cakap nak bawak sardin roll. Beriyalah cakap dekat mak aku, last-last hari terakhir mak aku lupa nak buat sardin roll, demi menutup malu dan memujuk aku, mak aku bagi RM 4.50 suruh beli nasi lemak makcik som depan simpang kampung.

Sehabis daya aku buat grand konon nak tutup malu, siap beli nasik lemak lauk sambal sotong sayur kangkung rebus, tapi bila bawak dekat meja kelas sambung 12 tu, Cikgu Shamsudin angkat tinggi-tinggi nasik lemak aku lalu cakap.

" Ni siapa bawa bekal nasik lemak letak kat meja jamuan ni? kalau bekal macam ni makan sorang-sorang bolehlah, macam mana entah nak kongsi makan nasik lemak dalam taperwer ni?"

" Saya Cikgu!" Aku mengaku dengan perasaan yang sangat malu

" hah awak Zulfikar, kenapa bawa bekal macam ni?kata nak bawa sardin roll?"

" Mak saya lupa cikgu, mak cakap tahun depan baru dia roll sardin tu, tahun ni makan je nasik lemak makcik som ni cikgu, mahal ni cikgu Rm 4.50 saya beli, ada sotong, kangkung, telur, semua ada cikgu!"

" Takpelah Zul, awak ambil nasik lemak ni, simpan bawak balik rumah makan dengan mak awak"

" Sampai hati cikgu taknak makan nasik lemak saya ni cikgu, kecik hati mak saya"

Aku takkan boleh lupa nasik lemak tu bungkus macam mana, punya taknak rasa bersalah, aku siap transfer nasik tu dalam bekas Vitalite kat bawah ni..


Dulu Bapak aku beli la spread ni utk makan dengan roti, konon-konon golongan expatriate bangsar la! taknak makan Planta macam orang lain, hispter betul bapak aku zaman dulu. Padahal duduk Selayang je pun. Dalam bekas ni jugaklah aku bubuh nasik lemak makcik som buat juadah jamuan kelas akhir tahun.


********************************

2. Pertandingan Badminton Perseorangan Zon Gombak.

Masa tu aku darjah 4, umur 10 tahun. Pertama kali jadi wakil sekolah main badminton dalam acara perseorangan. Kejadian ni berlaku pada perlawanan sulung aku. Ingat lagi lawan budak Sekolah Gombak Setia. Lawan aku tu samada bangsa india atau india muslim, Sebab aku ingat lagi masa kejadian tu aku tengok sengih gigi dia amat putih.

Aku dari rumah dah hafal sifir jangan buat malu dekat diri sendiri untuk mengelakkan terlalu gugup masa perlawanan. Sifir tu berbunyi " jangan bikin malu, jangan bikin malu, jangan bikin malu, jangan bikin malu, rilex rilex rilex"

Perlawanan pun berlangsung, dengan megahnya aku menang mudah pada perlawanan set pertama. Dulu kiraan ikut sistem 15 mata, ada dua set, kalau seri kena main rubber set.

Lepas je menang set pertama 15 - 4, aku pun cepat-cepat meluru ke net, pergi salam lawan aku tu, pastu lawan aku tu muka macam blur-blur cipan, macam mana tah aku nak describe muka dia masa tu. Muka dia macam kecewa kalah, campur penat, campur tak faham, campur keliru, campur nak tergelak, sengih kejap, hairan sekejap tengok muka aku.

Aku pun hairan juga tengok muka dia, tapi aku maintain berlagak sebab menang set pertama, lepas salam dia, laju je aku pergi dekat Umpire nak salam juga, elok aku hulur tangan, muka sengih nak salam, Umpire tu  pun bersuara...

" Dik, main badminton ni, set pertama menang tak payah salam dulu dik, adik main dulu set kedua ye, kalau menang semua, dah confirm menang baru adik salam cikgu dengan pihak lawan ye"

" Opsss, sorry sorry sorry, saya tau tadi cikgu, tapi lupa!" (aku jawab sambil sengih panjang)

Punya malu masa tu, penyokong aku semua sorak tapi pada masa sama gelakkan aku. Kalau aku ada mesin masa, memang aku balik ke tahun 1994 tu, aku lari laju-laju dari pintu dewan serbaguna Selayang tu, aku smash belakang aku sendiri tanpa belas ihsan. Nak salam kemenangan sangat!


Hah! lebih kurang macam ni lah muka budak india tu senyum kat aku masa aku gi salam dia kat net. kesian dia, mesti dia ingat aku ni jakun, takpun dia ingat aku nak menganjing dia salam awal2 bagi serangan mental.


*******************************

3. Tepuk dada tanya selera

Ye, masa aku kecil memang aku comel, kalau dah besar ni pun masih comel bila kecil lagilah berganda-ganda comel. Tapi orang kata kalau selalu memuji diri boleh menyuburkan perasaan riak dan takabbur, jadi aku insaf kembali, maaf sebab selalu puji diri sendiri comel.

Bila aku comel, aku selalu gagal nak bina imej bad boy di depan mata awek-awek, takde harapan langsung. Bila aku pakai jeans dan tshirt, aku harap imej jadi macam Michael Jackson dalam video klip Bad, Tapi tak menjadi, rupa tu jadi macam budak dalam iklan baby KIKO.

Satu hari ada satu kakak darjah 6 ni tengah lepak dengan kawan-kawan dia yang lain dalam 3 orang. Lepak dekat kerusi kayu panjang belakang papan kenyataan sebelah kantin. Elok je aku lalu situ, dia panggil..

" eh budak sini jap!"

" hah ada apa kak?"

" woi korang semua, dak ni comel kan? pepap! hahahahaha" selamba je akak tu pukul bontot aku depan orang ramai, waktu rehat pulak tu, rasa sedih macam baru kena cabul.

" Apa ni kak main pukul-pukul orang ni?"

" ah lantak aku lah, kau nak buat apa?"

Aku pun blur nak jawab apa, lantas dengan tindakan refleks yang drastik aku pun menampar dada akak darjah enam itu. Tercatatlah rekod pertama aku menyentuh dada perawan tanpa sengaja.

Kakak darjah enam tu malu? toksah cakap lah, merah padam muka dia sambil menjerit kejar aku satu tapak court badminton sebelah kantin, aku pulak lari tak cukup tanah sambil jerit-jerit...

" sini kau budak, kurang ajar, tak guna, sini kau! jaga kau jaga kau!!!"

" sorry kak sorry kak sorry kak, saya tak sengajaaaa AAaAAAAaAaAAaaAa"

Punyalah malu, rasa macam nak tekup muka dengan gebor!

pandangan dari pintu belakang, sumber google, atap yang ada astro tu dulu  kuarters cikgu besar, lepas tu jadi rumah Teacher Hamdan, blok tinggi tu blok kelas aku dari darjah 4 sampai 6. bawah blok tu kantin sekolah, ada pondok kan? belakang pondok tu nampak ada papan kenyataan? ha kat situ la aku dicabul! eh ke aku yg mencabul? eh ke tak sengaja? eh eh eh? banyaknya eh.

************************

p/s 1 sebenarnya pengalaman yang memalukan tu scene no 1 dan no 2 je, scene yang no 3 tu aku tak rasa malu pun, rasa macam kenangan manis pun ada.

p/s 2 sumpah no 3 tu aku tak sengaja, aku ingat nak pukul bahu dia, mana tau pulak akak darjah 6 tu nak elak ke tepi..kemon kira adil la, dia dapat raba bontot aku jugak apa. Kalau umur aku sekarang 28, umur akak darjah 6 tu sekarang mesti dah 30, aku syak dia dah lupa peristiwa pahit dulu, tah tah dia simpan dendam kesumat! tah tah dia pembaca blog Rasa Hati ni? ahh sudah, mula aku rasa nak panik ni.

p/s Ah cubaan nak buat entri pendek gagal lagi, patutnya aku pecah-pecahkan tajuk kat atas kepada 3, dan buat 3 entries kan? ah alang2 dah siap taip, update jelah, modal lain banyak lagi, lain kali cerita lagi.


June 13, 2012

Sidang Bakal Pemimpin Masa Depan

Assalamualaikum..

Kelmarin aku macam biasa mengundurkan kereta untuk pergi main badminton di Klang, sesudah memberhentikan kereta, aku keluar untuk menutup pagar, kemudian aku terpandang jiran depan rumah aku, Ima namanya, tua setahun dari aku tapi telah mempunyai anak berusia setahun setengah.

Bukanlah masalah umur dia atau anaknya, tapi aku tergamam bila tengok anaknya Aima jari terkotet kotet sedang slide Samsung Galaxy Note Ibunya. Macam tak percaya dengan mata sendiri bila tengok budak yang masih duduk dalam babyseat kereta boleh leka slide game dalam Galaxy Note itu padahal Pakcik Ikarnya ini masih lagi tegar dengan Nokia E 52 nya.

Bak kata Shahril Husin yang sudah bertukar handphone Samsung Galaxy S Plus itu, dia kata..

" Aku bukannya apa Ikar, bukanlah nak membazir mengada-ngada, tapi aku pentingkan kebersihan, sebab tu aku tukar handphone yang ni Ikar!"

" Kebersihan? handphone? apa kena mengena Be?"

" Kuman tak boleh bersembunyi di celah-celah keypad macam handphone kau ikar, handphone aku ni takde keypad, semua guna touchscreen"

Nampaknya darjah kesentapan aku dengan Aima-Slide-Galaxy Note Ibunya telah ditambahkan lagi dengan kata-kata padu dari Shahril Husin yang terngiang-ngiang dalam minda aku.

Belum lagi nak berehat dari kesentapan jiwa nurani, sampai saja di dewan badminton, aku yang sedang memanaskan badan sebelum memulakan permainan tiba-tiba merasakan kesentapan lapisan ketiga apabila melihat Shakir anak si Saiful yang sedang rancak main game Ninja-Potong Buah di Samsung Galaxy Y.

Dengan menggunakan hikmat monolog menyedapkan hati sendiri..

" Shakir tu main handphone bapak dia je tu, budak lagi manalah reti nak ada handphone canggih-canggih"

Belum sempat aku senyum puas selepas habiskan monolog, aku tersentap lagi untuk kali yang kelima apabila tengok Saiful-Bapak si Shakir mengeluarkan Handphone dia sendiri. Oh memang Samsung Galaxy Y itu milik Shakir khas dibelikan untuk bermain game ninja potong buah, angry bird dan ulang main Video Upin Ipin 15 kali dalam masa 2 jam.

*******************************

Itu pada tahun 2012, apabila kanak-kanak dan bayi sudah pandai slide-slide smartphone demi memuaskan nafsu hiburan dan kawalan. Sedangkan pada tahun 1994, aku masih ingat perbualan kami budak-budak darjah 4 iaitu kanak-kanak berumur 10 tahun.

" Arzizi, kau tau tak kau beranak ikut mana?"

" mak aku cakap aku beranak ikut lubang pusat"  kata Arzizi  Abd Rahman

" bodoh lah kau ni Arzizi, Lubang pusat kecik, mana muat kau nak keluar, Mak aku cakap aku beranak ikut lubang bontot!" -  kata si Khaidir

" Ah Khaidir, kau lagi bodoh, kau beranak ikut lubang bontot? mak aku cakap kalau kawan-kawan cakap dia lahir ikut bontot bagitau dia macam lembu, sebab lembu je beranak ikut bontot!" kata si Aswad

" habis tu kau lahir ikut lubang mana Aswad?"

" Mak aku cakap, aku lahir ikut mulut!" Aswad jawab dengan bangga.

" Bodoh punya Aswad. mak kau dengan kau pun sama je kurang bijaknya, alien je beranak ikut mulut!" kata si Fuad.

" Kau lahir ikut mana Fuad? kalau bukan ikut mulut kau lahir ikut mana?"

" Aku ngan adik beradik aku semua lahir ikut perut, bedah. Aku confirm betul sebab mak aku selalu tunjuk luka bedah perut keluarkan aku, bila aku lawan ckp dia je, mesti dia ugut nak tunjuk parut bedah beranakkan aku!" Kata si Fuad yang yakin dgn jawapannya.

Sementara itu aku diam melihat semua bakal pemimpin sedang bersidang perihal bagaimana manusia dilahirkan, aku selalu dengar kisah budak beranak sebab mak aku kerja jururawat bersalin hospital pakar maternity di Ipoh.

" Woi Zul, kau diam je apahal? kau rasa mana yang betul, beranak ikut lubang bontot ke, lubang pusat ke, mulut ke, ke belah perut?"

" Entahlah, aku tak tau lah mak korang beranakkan korang macam mana, tapi mak aku selalu cakap yang aku ngan adik beradik semua lahir ikut lubang depan. mak aku cakap kalau tak pandai teran dia beranak kena belah perut"

" Lubang depan tu apa benda Zul?"

" Lubang depan tu kat depan yang kencing tu, lubang bontot kat belakang yang berak tu"

" Kah kah kah, Khaidir beranak ikut lubang berak! hahaha!" Gelak si Aswad, Khaidir senyap seribu bahasa, aku hanya diam wat rilek je.

Sekali datang Abdullah-Mat songkok - Konon genius-Ensiklopedia bergerak, join kami sembang.

" Apelah korang semua ni, yang betul beranak ikut bedah perut je, lubang lain semua salah. Tapi aku lain sikit, mak aku cakap aku dilahirkan ikut kaedah Tabung Uji dan Pensenyawaan luar jasad"

" maksud kau Dollah?" - tanya aku pada Dollah songkok

" maknanya aku ni tak beranak keluar dari mak aku, mak aku senyawakan aku dalam tabung uji pastu aku beranak kat tabung uji"

Sambil aku tepuk dahi dan rasa simpati...

" Dollah, balik nanti kau cuba tanya mak kau betul-betul balik, aku rasa mak kau saja nak bagi alasan, tapi tak sampai hati nak bagitau kau ni anak angkat Dollah, kalau kau tak yakin nanti kau try cek darah sama tak ngan mak bapak kau"

" Mana ada, kau jangan nak macam-macam Zul!"

" Setahu aku yang pengsenyawaan luar tubuh ni Ikan Je dollah, samada kau banyak tengok kartun atau kau dah kena tipu dengan mak kau"

Dollah terus tekup muka dia dengan songkok kepamnya dan lari ke mejanya semula sambil menangis terhinggut-hinggut. Aku tak tau samada Dollah sedih dia anak angkat atau dia anak ikan.



*****************tamat****************


Sumpah gambar ni takde kene mengena dengan entry kat atas, cuma nak menunjuk  yang aku ni tak takut ular  je.   rindu betul lah kat Rayban tu, mana tah jatuh tengah jalan!


P/s Kalau bayi baru lahir Bahasa Inggerisnya adalah Infant. Bayi secara umum disebut Baby. Selain itu Bahasa Inggeris juga ada perkataan Toddler untuk bayi yang dah besar sikit dan pandai jalan berlari tettot tettot (1-4 tahun). cuma aku tak tau nak translet toddler itu apa dalam Bahasa Melayu. Takkan nak pukul rata kanak-kanak pula. apa dia eh?

p/s agak-agak Dollah masih percaya tak mak dia disenyawakan dan dikandung dalam tabung uji?  akal dia ada memori kuat, pasti dia menyesali diri kerana sembang kencang macam tu kat aku.

p/s Kalaulah semua jumlah visit itu datang dan klik iklan yang ada dalam blog aku ni tanpa ragu-ragu, tak mustahil aku boleh beli samsung galaxy S III dalam masa terdekat ni.

P/s itu nak kira kalau, Zikry cakap "kalau nak kira kalau, Monyet pun boleh jadi superman"

June 5, 2012

Masalah Hantaran Kahwin

Assalamualaikum..

Biarlah aku ceritakan semua fasal hantaran kahwin sejujur dan seadil mungkin. Masalah hantaran kahwin ini isu klise, isu berbolak-balik sejak zaman pasca moden.

macam mana tah aku nak mula mengarang bagi flow dia cantik pasal hantaran ni entah? banyak sangat sudut yang nak dibincangkan. Dari sudut syarak, budaya, sejarah, kefahaman dan bahasa.

Dan pelik jika wanita itu dinilai dengan skrol ijazahnya, bukan pada kebaikan budi, akhlak ,dan kemahiran rumah tangganya.

1. Hantaran itu adalah wang yang diminta oleh pihak perempuan untuk belanja membuat kenduri perkahwinan di pihak perempuan.

2. Katalah kau nak menikah dengan Jummah, kau pergi meminang, masa meminang keluarga Jummah minta wang hantaran sebanyak RM 8,000. Itulah yang dinamakan Hantaran, Lazimnya duit hantaran ini digunakan oleh pihak perempuan untuk membuat kenduri kahwin di belah dia.

3. Mas Kahwin pula adalah mahar. Mahar/Mas kahwin disebut semasa akad nikah.

" aku nikahkan dikau dengan Syarifah Mazian binti Al Yahya dengan Mas Kahwinnya 300 ringgit tunai"

Ada negeri yang menetapkan nilai minimum Mas Kahwin, namun tidak menjadi kesalahan kepada sesiapa yang mahu meletakkan jumlah mas kahwin yang mereka mahu. RM300 adalah Mas kahwin bagi Negeri Selangor.

4. Yang menjadi keliru adalah hantaran ini dipisahkan dengan mas kahwin, tapi sebenarnya tak keliru pun, cuma ada sesetengah orang cuba provok masalah hantaran yang tinggi. mereka menyatakan kenapa perlu hantaran? sedangkan yang wajib hanyalah mas kahwin, seberkat-berkat mas kahwin adalah yang paling rendah.

5. Maksud rendah itu adalah relatif bagi aku, Jika di area Lembah Klang, khidmat katering paling rendah tapi sedap adalah RM9.00 / kepala, jadi jika anggaran jemputan adalah 700 orang maka jumlah keseluruhan makan kenduri adalah RM 6,300. Adillah bagi pihak perempuan kalau dia mintak hantaran dalam julat RM 7,000 ke RM 9,000.

6. Belum masuk sewa pelamin lagi, anggaran RM 600, photographer RM 400, sewa baju pengantin RM 200, bla bla bla bla jadi semuanya adalah dalam lingkungan RM10 - 12 ribu, maka munasabahlah duit hantaran yang diminta itu. Yang tak munasabahnya jika pihak perempuan gila meroyan mintak sampai RM18,000 - 20,000 - 30,000.. ni baru betul memang macam nak jual anak, sengaja meletakkan hantaran tinggi nak mati semata-mata nak menunjuk-nunjuk dan bermewah-mewah dengan kenduri.


7. " Tapi Zulfikar, yang wajib adalah mas kahwin, yang hantaran itu budaya melayu saja, why so serius?"

- Memanglah, sebab tu kalau kau nak islamikkan lafaznya, kau masukkan jumlah hantaran semua dalam akad mas kahwin itu. Pihak perempuan nak buat apa dengan duit itu, itu hak dia, jangan nak tanya-tanya lagi. Jangan nak tunjuk pandai jadi ustaz keluar cakap macam ni pula.

" Mas Kahwin adalah milik mutlak pengantin, jadi keluarga, pihak lelaki semua tak boleh usik"

- memanglah tak boleh usik, duit hantaran tu dah jadi milik perempuan, hak dia lah nak guna cara mana, nak simpan dalam ASB ke, nak bagi mak ayah untuk bantu meringankan beban kenduri kahwin ke, nak ikhlas belanja makan tetamu ke.

“ Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan ( isteri ) akan mas kahwin mereka itu sebagai pemberian ( yang wajib ). Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnnya, maka makanlah ( gunakanlah ) pemberian tersebut sebagai nikmat yang baik lagi lazat “  Surah An-Nisa Ayat 4


Takde hukum kata yang pihak perempuan tak boleh guna duit itu untuk diri dia sendiri, yang jadi masalah kalau dia tak redha duit dia dibelanjakan, yang jadi masalah kalau kau pihak lelaki lepas akad nikah pergi paw duit bini kau nak buat bayar installment kereta, itu memang tak bolehlah.

“ Apabila kamu telah memberikan kepada mereka itu ( isteri ) sepikul
mahar, maka jangan kamu ambil walupu sedikit daripada mahar itu" Surah Al-Nisa ayat 20

***********************************

8. "Tapi Zulfikar, aku punya bakal isteri ni pelik sikit, dia nak hantaran 7 ribu, pastu dia nak duit untuk buat majlis kenduri lagi, mahal nak mampus, mati lah aku mcm ni, nak jual anak ke apa mak bapak dia?"

- Itu salah kau, kau tak tegas masa aturcara tawar menawar masa set hantaran hari tu, sepatutnya berapa hantaran yang kau bagi pada pihak perempuan, itulah semua yang cover kenduri, pelamin, sewa baju pengantin semua, dari A sampai Z majlis kenduri pihak perempuan, Yang kau pergi nak berlagak gentlemant nak keluar duit lagi bayar pelamin, baju pengantin, photographer, itu la ini lah bajet remeh semua tu lagi kenapa? kau duduk diam-diam, sediakan hantaran, dulang hantaran dan mas kahwin sudah.

9. " Habis tu? let say lah kenduri kahwin perempuan dah setel, hantaran kahwin tu cover belanja kenduri belah pihak lelaki iaitu aku jugak ke?"

- Majlis kenduri pihak lelaki itu semuanya terbeban atas pihak lelaki, takde kena mengena dengan hantaran yang kau bagi pada dia, kalau kau ada belen saving RM 4,000, kau buatlah kenduri bajet-bajet dalam 4 ribu, kalau kau nak jugak buat grand, pandai-pandailah kau mintak sponsor dari mak ayah kau, adik beradik, sedara mara, bos, kawan-kawan, supplier dan sebagainya.

Sebab tu selalunya adat melayu kita, kenduri pihak perempuan yang buat Grand dan meriah, kenduri pihak lelaki buat kecik je atau ala kadar. Melainkan pihak lelaki itu anak orang ada-ada, kaya, kapal di laut gedung di darat, ada factory factory dan kilang kilang, rumah sewa dan stable lumba kuda. kaya kaya kaya.

10. " Ahhh Zulfikar, aku tak setuju dengan benda ni semua, sepatutnya aku bayar mas kahwin yang murah-murah je cukup, tanggungjawab buat kenduri kahwin tu terletak pada ayah atau wali pengantin perempuan, apesal pulak nak mintak belanja dari aku?"

- Laaa siapa pulak kata kau wajib bagi hantaran tinggi ni? hantaran atau hantaran yg dimasukkan sekali dalam mas kahwin itu adalah persetujuan dua pihak antara kau dengan pihak perempuan, kalau kau dapat bapak mertua jutawan, jenis tak mintak duit hantaran bertuahlah badan kau. Itu terpulang pada skill kau negotiate.

Kalau kau dapat bapak mertua kau jenis tak berapa nak kaya, pastu dia pulak sporting taknak mintak hantaran tinggi-tinggi pun bagus juga, tapi kau mesti adillah pada pihak perempuan, kalau pihak perempuan tak mampu buat kenduri, dia buat ala kadar pesen bagi bihun goreng dalam polisterin, bagi sorang sebungkus dekat pintu masjid lepas akad nikah, dan kau redha pula jamuan makan macam tu, Alhamdulillah, sama-sama dapat kata sepakat nak kenduri yang sederhana, moga dalam kesederhanaan itu membawa barkah.

Masalahnya, kau pun nak kenduri grand, bini kau pun nak grand. Tapi keluarga bini kau tak berapa nak ada duit, mintaklah kau tolong sikit sebanyak, bagi hantaran dalam enam tujuh ribu. Itu pun kau nak bising. Kenduri nak grand, belanja taknak keluar. Umpamanya pakai kereta nak Nissan GTR, tapi bayar nak Kancil mana boleh.

*********************************

11. "Tapi Zaman Rasulullah dulu Mahar senaskah Al-Quran saja, kan elok kalau macam tu, nanti aku kahwin aku nak hantaran senaskah Al-quran je lah, so sweet"

Zaman Rasulullah dulu takde hantaran senaskah Al-quran, ini semua adalah statement hyperbola semangat islamik tak kena tempat. Zaman Rasulullah saw dulu ada Mahar Sebentuk cincin besi, Baju besi, Hafazan satu surah, Kibas, Unta, ladang tanaman, emas, perak, dinar dan macam-macam lagi benda yang berharga.

Zaman Rasulullah Al-Quran belum dijilidkan atau dinaskahkan, macam mana pula nak bagi senaskah Alquran?

Abu Salamah menceritakan, "Aku pernah bertanya kepada Aisyah RA, 
"Berapakah mahar Nabi SAW untuk para isterinya?" 
Aisyah menjawab, 
"Mahar beliau untuk para istrinya adalah sebanyak 12 uqiyah dan satu nasy."
 Lalu Aisyah bertanya, 
"Tahukah kamu, berapa satu uqiyah itu?" 
Aku menjawab, "Tidak." 
Aisyah menjawab, "Empat puluh dirham." 
Aisyah bertanya, "Tahukah kamu, berapa satu nasy itu?" Aku menjawab, "Tidak."
Aisyah menjawab, "Dua puluh dirham." 
(HR. Muslim) nota : (12 x 40) + 20 = 500 Dirham.

Jika kita mampu, kita hargailah isteri kita semampu kita. mungkin 2 ribu, 3 ribu, 4 ribu, 5 ribu, ikut kemampuan, janganlah semangat sangat sampai kalau boleh nak bagi hantaran satu kitab al - quran je. Nabi SAW itu menjadi contoh kepada kita, kalau Nabi pun sedaya baginda bagi 500 dirham, kita pula yang nak zuhud melampau-lampau hyperbola melebih dari Nabi, Kalau betul-betul tak mampu itu lain cerita.

Macam beberapa kisah anak muda yang betul-betul pada dirinya tiada harta, Rasulullah saw bersabda bagi juga mas kahwin sekurang-kurangnya cincin besi. Ada yang disuruh bagi hantaran hafazan satu surah al-quran. Aku tak yakin antara kita anak muda sekarang ni langsung papa kedana  sampai nak keluar barang 3, 4 ribu pun takde. Kemon rasional lah sikit.

***********************************

12. Pengalaman aku pasal hantaran kahwin?

a- aku pernah ikut rombongan meminang pakcik aku, mulanya pihak perempuan mintak RM 6,000. lepas tu bapak aku sebagai jurucakap tawar menawar hantaran tu menurun sampai RM 2,000 sahaja, kenalah beradap masa tawar menawar, sembang elok-elok. Ini tidak belum kahwin lagi dekat blog, twitter, facebook berdegar-degar maki hamun pihak perempuan yang mintak hantaran.

b- aku pernah sembang dgn Adil, kawan aku di Jeddah sana, dia ckp hantaran/mahar kat Arab saudi terlalu tinggi, dia pernah dengar kawan dia kawin kena hantaran sampai 40 ribu riyal, sebijik kereta, seorang driver dan sebijik banglo. Last-last member tak tahan, balik Malaysia cari orang Malaysia buat Isteri. Siapa kata Mahar tinggi ni Budaya Melayu saja? Tanah arab boleh jadi tinggi berpuluh kali ganda dari Malaysia tau.

13. " kau ni Zul nampak macam nak popular je, beriya-iya defend sistem hantaran ni? kalau kau kahwin kau nak ke kena hantaran tinggi-tinggi?"

- Gila kau! kalau bakal bapak mertua aku letak hantaran RM500 je, syukur alhamdulillah! siapa tak suka kawin murah oi. Semua orang suka, tapi rasional lah sikit, sama-sama nak seronok, apa salahnya aku menghargai wanita bakal isteri aku itu semampu aku, kalau aku rasa aku mampu 8 ribu aku cakap terus terang ke dia 8 ribu, kalau aku mampu 7 ribu, aku cakap ke dia 7 ribu, tak perlu kau nak mengamuk-ngamuk sindir dekat blog hentam orang pasal hantaran ini. Kalau dah sampai 20 ribu, 30 ribu, tu melampau lah.. Bak kata mami penang...

" Kalau Takda empat puluh ribu, mati dalam cermin pun tak apa!" - Ini memang gila.


14. Kesimpulannya kalau tanya aku, semolek-moleknya masukkanlah keseluruhan belanja hantaran dan mas kahwin sekali dalam sebutan mahar masa akad. Hantaran yang rasional dan acceptable adalah dalam range RM 7,000 ke RM 10,000 ikut kemampuan pengantin lelaki dan perempuan. Period. Ceased fire.



Kata Kuncinya berserdahana, yang wajib itu nikahkan pengantin, kenduri pula yg termampu, ukur baju badan sendiri. Ini adalah hari perkahwinan adik perempuan aku sehari sebelum bersanding, tengok rumah aku takde ropol2 pun. Gambar bersanding takde soft copy pulak, nanti2lah..
**************tamat**************

P/S Susu nak minum tapi lembu taknak jaga, taknak jaga lembu, beli susu dekat pasaraya! - Ujang DMG 2012

P/S aku akan ingat kata-kata Zikry Zulkifli sampai mati, " aku ni ikar, yang penting bagi lepas pihak perempuan, semampu aku dalam 10 ribu tu aku gagah jugaklah, kenduri belah aku takyah buat pun takpe, aku pesan kat mak aku, aku nak buat kenduri bihun goreng bungkus dalam polisterin je Ikar, orang datang je bagi sorang satu, seytel"

P/S masa kenduri kahwin, ada salam keruk, salam keruk ni tetamu datang salam mak ayah pengantin, bagi sampul dalam ada 5ringgit 10 ringgit sampailah 50 ringgit ke atas, duit salam keruk ini lah yang cover belanja lebihan kenduri itu, kalau kawan-kawan kita jenis pemurah, faham kesusahan kita dapat lah collection byk sikit, lega, boleh masuk tabung balik. Aku harap kawan-kawan aku nanti kalau aku kahwin salam keruk ke aku atas pelamin terus, hadiah-hadiah ni belakang kira, salam keruk duit puluh2 itu yg didambakan adanya. haha


Review Myvi 2018

Assalamualaikum Aku yakin mesti ramai dah survey  Perodua Myvi model 2018 kan, mesti korang teruja nak tahu ulasan, best sangat ke MYVI ba...