Showing posts with label nostalgia. Show all posts
Showing posts with label nostalgia. Show all posts

August 28, 2013

Kalau Kail Panjang Sejengkal

Assalamualaikum.

"Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga"

Peribahasa di atas banyak kali dah kita dengar, yang membawa maksud, kalau ilmu dalam dada tu tak banyak mana, janganlah nak lawan dengan orang yang lebih berilmu. Atau kalau tak terel mana, jangan nak cabar-cabar orang bergaduh.

Tapi aku dari kecil tak pernah bersetuju dengan peribahasa di atas sebabnya masa aku duduk Mersing dulu, aku selalu tengok nelayan bot pancing yang takde kail pun boleh pergi memancing lautan dalam dapat ikan dua tiga kotak fiber.

Nelayan Mersing dulu secara ringkasnya dibahagikan kepada 4 kategori asas iaitu Nelayan pukat Cerut, Nelayan Mancing, Nelayan Bubu dan Nelayan pukat tunda. Nelayan mancing tu literally dia pergi ke laut tangkap ikan dengan guna kaedah mancing, tapi diorang takde batang joran, diorang guna gelung tali pancing, Kami panggil benda alah tu Spool, nama betul dia aku tak tahulah apa benda?

Spool tu jangan kata kail panjang sejengkal, kail panjang suku jengkal pun takde, malah kail pun takde, elok je dia boleh bawa balik ikan Tenggiri, Kerapu, Ikan Nyoknyok semua.

Ini Nama dia Spool, atau nama betul dia Fishing Spool. Hanya ada tali pancing, mata kail dan batu ladung.

Masa aku kecil dulu, aku pernah salah faham, aku ingat perkataan "kail" dalam "kalau kail panjang sejengkal" tu sebenarnya mata kail, aku tak pernah imagine kail itu adalah batang kail atau batang joran. Maka munasabahlah kalau nak sebut "kail panjang sejengkal" sebab mata kail tu cinonet je pun.

Sebab tu masa aku kecil aku tak pernah bantah peribahasa ni, bila dah besar aku mula faham kail tu bukan mata kail tapi batang joran, baru aku nak tulis cerita ni kat blog, padan muka korang kena baca cerita panjang-panjang hanya semata-mata aku tak puas hati dengan masalah kail dalam "kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga"

"Jaga kau Ikar, kau dengan kail kau akan mendapat pembalasanya" Monolog lautan dalam yang ingin menduga.

******************

Masa itu tahun 2000-an, sebenarnya aku ada masalah nak sebut era 2000 tu macam mana, nak letak -an belakang dia macam tak kena langsung kan? Okey abaikan, kita bincang masalah ni lain kali, kita sambung sembang masalah kail dulu.

Masa itu tahun 2000 (-an) , masa aku tingkatan 4 sampai ke diploma, bapak aku suka bawak kami pergi pulau-pulau kecil di perairan Mersing untuk memancing. Seingat aku ada 5 kali aku pergi memancing atas bot kat tengah-tengah laut.

Kalau ikut terma sah, takdelah tengah lautan luas pun, Bot tu bersauh di antara pulau-pulau, cuma disebabkan bot tu kecil, jarak antara pulau tu pula saujana mata memandang maka memang nampak macam bot teroleng-oleng di lautan luas lah. Tapi kalau tengok dalam peta, bot tu belum keluar ke perairan antarabangsa pun. Baru jarak dalam 50-70 kilometer dari pantai Mersing.

Ha, korang dah paham kan mana letaknya pulau besar? Mersing ada banyak pulau dan kebanyakan pulau ada penghuni, Pulau besar adalah antara pulau yang terdekat tapi mempunyai pantai yang sangat cantik dan air yg sangat jernih.


Ini namanya bot nelayan mancing, bot macam inilah yang aku naik, dan ini berdekat dengan jeti Mersing, sepanjang penceritaan, korang bygkan aku tengah dalam bot seperti di dalam gambar.

Dipendekkan cerita, ada satu trip tu abah ajak Aku, Karnain, kawan abah nama dia Nazri, Hasnah dan Dato apatah nama dia aku lupa, untuk memudahkan penceritaan, kita letak je nama dia Dato Mansor. Mansor tu rasa macam nama-nama orang kaya sikit.

Bot bertolak dari Jeti Mersing pada pukul 8 malam, selesai memunggah semua peralatan memancing ke dalam bot, Nazri pun kenalkan Datok Mansor, belum aku start nak bancuh Teh O makan dengan biskut kering, Datok Mansor dah buka cerita hebat memancing dia. Aku dah berkata-kata dalam hati dah

" jauh perjalanan kita ni, berjam-jam, jenuh nak dengar cerita hebat datok ni, mahu muntah monggek dengar cerita 'aku dulu' dia ni" kata kecil aku dalam hati yang penuh syak wasangka.

Tak payah syak wasangka, memang tepat dah apa yang aku agak, Datok Mansor tu belum start enjin bot lagi dia dah cerita "aku dulu." Cuma takdelah dia cakap "aku" dia guna term orang kaya "i dulu kan"  lah kan.

" I dulu selalu memancing kat laut ni, u see my fishing kits, got a lot u know, i biasa pergi fishing kat Langkawi, Sibu, Sipadan, Pangkor and a lot more lah"

Disebabkan dia Datok, bapak aku bagi chance lah, walhal kalau nak kira action, kami lagi boleh action, dah nama duduk tepi laut pulak, kerja dengan nelayan pulak, heran sangat dengan  'I dulu, u know' dia.

" Owh, you memang suka mancinglah ye, paling jauh you pergi mancing mana Datok?"

" I mancing paling jauh dekat Sabah sana, almost nak sampai Philippine you know, sajalah nak try laut belah Johor ni pulak, tapi i rasa tak challenging macam laut Sabah sana lah, takpe, we give it a try"

Berlagak benor bunyi dia, aku dengar pun dah naik berbulu telinga, korang tahu ke rasa berbulu telinga tu macam mana? rasa dia, bila kau dengar, dalam telinga kau geli, sebab bulu roma dalam telinga tu naik, dia buat kau rasa tergedik-gedik macam tahan kencing. Geli sampai nak meremang orang tua cakap.

Ditakdirkan Tuhan, malam itu laut bergelora. Mula dari jeti Mersing, perjalanan tidak lancar, bot dilanda badai dan ombak menghempas pantai, kita bersama memadu asmara, kita berdua. oh bercanda di pasiran pantai, kita bersama memadu asmahara, kita berdua. Jangan tipulah kalau korang tak baca perenggan ni sambil menyanyi lagu Sudirman tu.

Sepanjang malam itu kami memancing, haram seekor ikan pun dapat pancing. Habis semua stok umpan sotong dengan udang kami masak, buat rencah dalam megi. Datok Mansor pula muntah monggek dari mula bergerak dari jeti sampai ke tengah laut. Datok, Hasnah, Nazri semuanya muntah monggek sampai tahap tak boleh bangun langsung, tidur je atas kabin bot.

Habis semua cerita "aku dulu" tu tidur sama-sama dengan tuan dia, yang masih kekal berdiri dan layan memancing abah, aku dengan Karnain.

"Kamu tak mabuk ke ikar? tak muntah-muntah? selalu kamu yang kuat mabuk laut" Tanya si Abah

" Takde pulak mabuk kali ni Abah, selalunya masa ni dah mabuk dah, ni elok je lagi ni, takde rasa nak muntah" Aku jawab dengan penuh berhati-hati.

"Kalau kamu mabuk, kamu pergi tidur dalam, ni macam nak ribut ni, yang lain macam mana?"

" Lain semua dah collapse bah, Datok Mansor, nak bangkit pun tak larat, muntah monggek semua"

"Aik, bukan dia tadi cakap dia dah biasa mancing kat laut ke? apsal mabuk pulak? "

" Haa itulah bah, kalau kail panjang sejengkal jangan lautan hendak diduga"

Korang nampak tak macam mana actionnya aku memadankan muka orang dengan kata-kata magika "kalau kail panjang sejengkal?" Korang sabar, kejap lagi kita tahulah mana kail panjang sejengkal mana kail tak berapa nak panjang.

Ditakdirkan tuhan yang maha esa, malam itu adalah malam yang sangat kritikal, laut dilanda ribut. Akibat ribut yang sangat kuat, Kapten bot terpaksa menyorok di balik Pulau Besar Mersing. Nasib tidak baik, masa bot lautan tengah bergelora, sauh pula tersangkut di karang laut.

Bila laut bergelora dan sauh kau sangkut, bot akan jadi teroleng-oleng kuat. Sebab bot tak bebas berayun ikut air, masa tu habis semua rasa takut macam nak mati, rasa macam bot nak terbalik. tapi sebabkan juragan tu terer, dia pun berjaya lepaskan sauh dan kami pun bergerak mencari tempat yang lebih tenang.

Sampai satu kawasan tenang, tinggal abah, karnain ngan aku je yang memancing, tiga lagi tetamu tidur sampai ke sudah.

Tiba-tiba aku rasa macam lain macam, nak muntah dia tak nak muntah, nak tidur dia taknak tidur, nak duduk dia tak rasa nak duduk, nak berdiri dia rasa macam nak duduk. Senang cerita, tak senang duduk lah kiranya.

Mundar-mandir dari depan ke belakang bot, depan belakang - depan belakang macam engineer nak sukat buat kapal layar. Aku dah mula ada syak wasangka menebal dalam dada dah yang aku ni bakal kena mabuk free.

Bapak aku rilek je tanya,

"Kamu kenapa Ikar? dah macam kucing nak beranak?"

"Taktaulah bah, muntah dia taknak muntah, duduk dia tak boleh diam, rasa macam nak berak lah"

" Ha, kamu pergilah berak dalam jamban tu"

" okey"

Aku bukak jamban bot tu, Ya tuhan, tak best langsung, rupa dia atas sikit dari jamban Pudu Raya. Tak selera. Pastu dari jauh sayup sayup dengar kapten bot menjerit.

"Mana ada orang berak guna jamban tu dik, kau nak berak, kau cangkung je tepi bot tu"

Lepas fikir 4-5 kali, aku rasa takde ye nya aku nak tahan berak sampai Darat, terus aku bukak seluar, tangan paut kat rail tepi badan bot, kaki atas tepi dek, bontot tergantung-gantung atas laut, aku pun berak dengan jiwa yang penuh tulus ikhlas.

Aku rasa sepanjang aku hidup, aku tak pernah lagi rasa seikhlas itu berak aku. Penuh cabaran tapi hati ini pasrah. Mana nak fokus tang tangan pegang kuat-kuat rail bot, mana nak fokus kaki cengkam kuat kat atas papan dek, mana nak fikir angin sejuk Laut Cina Selatan menghembus deras testis, mana nak fikir ikan jaws melompat dari dalam air cagut bontot lagi.

" Ni kalau tangan aku terlepas pegang kayu rail ni, mahu aku jatuh dalam laut tengah malam buta ni, headline dah tentu - Seorang remaja mati lemas selepas jatuh dalam laut akibat cubaan ingin membuang air besar di tepi bot memancing" Sampai tahap macam ni aku fikir.

Ya Allah, masa tu insaf betul aku dari mempersoalkan "kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga" aku rasa orang tua-tua bukan maksudkan kail yang panjang sejengkal kot, tapi benda lain.

Dipendekan cerita maka misi berak atas laut itu berjaya dengan cemerlang, gemilang dan terbilang. Memang lautan dalam telah menduga aku dan aku tertewas, aku akur. Malam itu aku mabuk laut mencapai satu level baru dalam sejarah, mabuk sampai terberak-berak.

Cuma satu  je yang aku tak puas hati, sepatutnya dalam cerita ni Datok Mansor yang patut jadi mangsa dan memegangwatak antagonis sebab dia berlagak sangat sebelum memancing, tapi kenapa aku garap cerita ni buat aku jadi mangsa pulak? aku rasa aku kena pergi kursus penulisanlah!

*******************tamat*******************

p/s Mak aku memang pernah cerita, makcik dia dulu mabuk teruk makan buah Pinang sampai terberak-berak.

p/s hai semua, selamat bersua kembali, aku dah kembali dari rehat yang panjang.

p/s sorry tak boleh reply komen, ada problem kat reply komen box, dah cuba repair tapi tak boleh jugak.

April 15, 2013

Ku Pendam Sebuah Luka

Assalamualaikum..

Aku lambat dalam bab-bab motor ni. Bukan apa, disebabkan mak bapak aku dulu over-protective dalam hal bawa motor ini maka undang-undang disematkan ke dalam dada anak-anak walaupun kami tak pernah rela ia disematkan.

Mengikut undang-undang kecil abah, abah cakap dah ada lesen baru boleh bawa motor. Tapi kejap je bertahan undang-undang ini sebab bila kami pindah Mersing pada tahun 1998, kedai runcit jauh, maka aku pun guna kaedah hujah yang membuatkan abah bersetuju untuk melonggarkan sedikit undang-undang tersebut.

" abah, ikar tak nafikan bawak motor wajib kena ada lesen, itu undang-undang bah, tapi bukankah undang-undang itu ada syarat dia?"

" apa yang berserabut sangat ayat kamu ni ikar? cuba straight to the point"

" aaa mcm ni, mengikut akta, bawa motor tanpa lesen adalah satu kesalahan jika ditangkap masa bawa motor di atas jalan raya yang telah digazetkan oleh JPJ. Gazet tu maksud dia, jalan raya yang ada line putih tu la bah, yang macam kat bandor mersing tu, kalau takat taman rumah kita ni, takyah ada lesen pun takpe, lagipun mana ada polis terapik nak masuk dalam taman ni saman kita bah"

"erm okey, tapi bawak dalam taman ni je, tak boleh keluar pergi jalan raya, kalau abah tau, siap"

Korang nampak tak macam mana aku bermain dengan kata-kata sehingga membolehkan undang-undang itu dilenturkan? tapi bukan bagi macam tu je, mama pula sambung

" ha, dah boleh bawak motor ni, senang la kamu nak menolong aku pergi ke kedai ye Ikar, tapi kamu bawak motor baik-baik ikar, mama taknak dengor kamu berlumba ke, eksiden ke apa ke, mama tau kamu eksiden bawak motor laju-laju memang siaplah kamu aku besit!"

***********************************

Okey mari kita guna kaedah pendekkan cerita dengan memadatkannya dalam sebuah perenggan.

Tahun berganti tahun, maka aku pun bawak motor yang pelbagai, dari Motor pertama Suzuki Best hinggalah ke Motor Suzuki GSX 250 yang besar dan ada Clutch Mati. Clutch mati ni kena terangkan kepada semua pembaca muda, sebab akhir-akhir ini dunia pemotoran negara sudah mula menjadi hambar, dengan kurangnya motor dua lejang digantikan dengan motor 4 lejang, dengan tiadanya lagi skill-skill melepaskan clutch agar motor tidak mati kerana semua motor sudah tiada clutch, jika ada pun clutch hidup.

Clutch ni dia kat tangan kiri, sebelum masuk gear kau kena tarik clutch tu macam tarik brek belah kanan. Bila dah masuk gear, kau kena lepas pelan-pelan sampai motor ru berjalan sikit kemudian kau kena hold sampai motor tu ada lajak, lepas tu kau tarik balik tuil clutch tu, masuk gear dua, ha masa dah masuk gear dua dan ke atas dia dah mudah sikit, kau tak perlu kawal sangat, boleh dah nak lepas laju-laju macam orang takde pedoman.

Zaman awal 90 an hinggalah awal milenium lebih kurang tahun 2002-2003 mcm tu, lelaki yang pandai bawak motor ada cluth ini adalah lelaki paling pahlawan di antara semua lelaki yang ada. Kiranya macam zaman sekarang kalau lelaki tu pandai Jailbreak Iphone tanpa bantuan kedai henpon tu dikira pahlawanlah.

Aku ingat lagi abang aku pernah ajar bawak motor clutch, dulu aku berlagak ego sebab aku malu nak mengaku aku tak pandai bawak motor clutch mati ni. Abang aku steady je duduk kat halaman rumah tengok hari pertama aku bawak motor Suzuki GSX 250 tu.

Bila aku lepas clutch pelan-pelan, motor bergerak, bila gerak aku lepas clucth terus maka motor itu pun melompat-lompat macam kuda bernafsu kuda. Memanglah kuda bernafsu kuda, kalau kuda bernafsu monyet, susah juga nak bawak berbincang.

"kamu masuk gear satu tu, lepas clutch tu jangan habis, agak sampai berjalan je, kalau tahan jangan lepas semua, masuk gear dua pulak"

Tapi aku buat banyak kali tak boleh, pastu jiran aku pulak masuk campur ajar, nama dia abang muazzam.

" Macam ni ikar, masa awak dah rasa motor tu bergerak, awak jangan lepas clutch laju-laju, awak biar dia jalan dulu tarik balik clucth tu masuk gear dua, ha lepas tu baru boleh bawak laju sikit"

Aku buat ikut cakap abang Muazzam barulah boleh, entah kenapa kita ni bila kena nasihat dengan adik beradik sendiri susah benar nak terima dek akal, bodoh sombong gamaknya. Tengok sampai berbelas tahun aku ingat nama Abang Muazzam hanya kerana dia ajar aku bawak motor clutch.

Suzuki GSX 250, Motor aku dulu sebijik rupa macam ni, rindu betul, aku tulis entry ni pun sebab semalam aku mimpi bawak motor ni ronda-ronda. Dah jahanam dah motor ni tersadai kat bengkel mersing, ada pomen mengaku terer, bukak2 barai tak reti pasang balik.


**************************

Nampak tak aku gagal nak pendekkan cerita jadi satu perenggan yang aku janjikan? takpe, kita cuba lagi kali ni pula.

Dipendekkan cerita, hari berganti hari, bulan berganti bulan, aku pun dah pandai bawak motor besar tu, tapi ada musibbah yang bakal berlaku, Motor Suzuki GSX tu rosak starter dia, disebabkan masa tu tahun 2000 dan Mersing belum menjadi bandar maju, maka bengkel motor besar takde. Segala spare part nak kena order samada dari JB, KL atau Kuantan.

Disebabkan itu juga, maka motor itu takde starter selama berbulan-bulan lamanya. Jadi aku dan abang setiap kali nak bawak motor tu kena tolak dalam 6-7 langkah, masuk gear kemudian lepas clutch, enjin motor hidup, lompat naik. Bayangkan setiap kali aku nak pergi sekolah bawa motor tu aku kena buat rutin yang sama. Kadang-kadang tengah-tengah bandar Mersing, lepas beli air tin kat Kedai Rajiv aku kena tolak motor nak bagi start.

Pada satu hari, Mama kirim beli kelapa parut dua biji, Cili Api dua ringgit, Terung panjang 3 batang, Belacan seketul. Nak masak gulai lemak cili api pekat. Disebabkan motor Suzuki Best takde sebab abang aku bawak pergi mana entah aku lupa, maka aku pun gigih nak bawak motor Suzuki Gsx 250.

" kamu tak payahlah bawak motor tu ikar, kan ke susah nak start, kamu bawak basikal sudahlah" kata mama.

" Ish apa barang bawak basikal mama, motor ada bawaklah motor, taulah kerja ikar nak start motor tu, bukan tak biasa" Kata seorang anak bernama ikar yang angkuh.

" yelah, baik-baik bawak, jangan tertonggeng pulak nanti"

" kalau tertonggeng, jangan panggil ikar ni ikar lah mama, luca cadalora ni" Kata Ikar yang angkuh berganda.

Selesai beli barang kat kedai runcit, aku pun nak balik, macam biasa bila nak start motor kena tolak, aku pun entah apa puaka yang merasuk diri, hari tu elok pulak aku nak try masuk gear satu untuk start. Selalunya pakai gear dua.

Aku masuk gear satu, tolak motor laju-laju depan kedai runci Taman Sri Bayu, lepas clutch laju-laju macam orang hilang pedoman, Motor Besar tu meluncur laju macam kuda hilang pelana. Entah Puaka apa lagi pula yang mengganggu aku sampai aku tak boleh fikir nak tarik clutch atau sekurang-kurangnya tarik brek, atau sekurang-kurangnya melepaskan motor itu berlalu pergi.

Aku boleh pegang hendel motor itu sambil meloncat-loncat bersama-sama motor. Buruk benor rupa dia bila aku imagine rupanya macam mana. Mesti kalau ada orang sekeliling yang perasan dia boleh trauma gelak sampai tua bila teringat kembali persitiwa itu.

Belum habis lagi adegan itu,

Motor itu pun meloncat-loncat tanpa sedikit pun belas simpati kepada aku. Dari kedai runcit ke jalan raya, dari jalan raya ke tebing jalan, namun Zulfikar itu masih memegang erat hendal motornya macam orang bodoh yang tidak ketentuan hala.

Dari tebing jalan, motor itu meloncat lagi hingga ke longkang besar taman, Namun Ikar itu masih juga setia bersamanya, bagai belangkas sedang bercinta, tapi motor itu ingkar janji, elok sampai tepi longkang dia berenti meloncat sebab tayar langgar tebing longkang. Aku sorang je terhumban dalam longkang besar taman.

Koyak seluar sekolah tingkatan empat aku, dari buku lali sampai ke celah kangkang koyak habis. Aku syak sebab dia tercarik sangkut kat batu tebing taman. Aku pulak terperosok dalam longkang tu macam yahudi mabuk todi.

Aku pelan-pelan angkat kepala keluar longkang macam arnab keluar lubang di musim panas. aku perhati kiri kanan dengan harapan takde orang perasan, sumpah memang takde orang langsung tengahari terik tu, Aku laju-laju lompat naik atas, cek motor sekadar lalu, cepat-cepat tolak motor, start dan balik rumah.

Sampai dalam rumah, aku usha mak aku dari laman, aku tengok line clear, cepat-cepat aku campak barang runcit atas sofa dan aku lari panjat tangga naik tingkat atas salin seluar koyak dalam bilik. Turun-turun bawah mama tanya..

" Aik laju je naik atas kenapa?"

" berak mama, sakit perut"

Nasib baik mama tak perasan aku salin seluar lain, kalau tak aku dah ready dengan alasan terkincit je masa tu.

Dipendekkan cerita, esoknya mama jumpa seluar sekolah yang koyak panjang tu. Mama pun buat kaji selidik tanpa sedikit pun rasa panik.

" Ha kamu kenapa seluar koyak sampai ke peha tu ikar?"

" semalam anjing kejor ma, ikar nak lari lompat pagar tersangkut tu yang koyak tu"

" Kamu tak payahlah menipu aku ikar, aku tau kamu jatuh longkang besor depan nuuuu, kak siti kedai runcit tu dah cerita kat aku dah"

" iye ke mama? Akak tu cerita apa mama?"

" Dia cakap ke aku, dia nampak kamu terloncat-loncat dengan motor macam orang kena sampuk hantu, pastu jatuh longkang, hahahahahahaha Luca Cadalora konon!"

" Ek eleh Kak Siti tu kecoh je"

" Hahahahaha Luca Cadalora jatuh longkang loncat-loncat macam kuda!"

Mama gelak tanpa sedikit pun simpati di hati.

Aku hanya mampu memendam sebuah luka, luka di kaki nampak berdarah, luka di hati siapa yang tahu. Memalukan betul kena gelak dengan mak sendiri.

Itu yang orang tua-tua cakap, Sakit dapat malu pun dapat. Moral of the story jangan menipu mak dan angkuh dengan mak, dia punya sumpah tu power, tapi power lagi tahap gelak dia.

*********tamat*********



Luca Cadalora beb, dulu aku suka Luca Cadalora sebab nama dia best walaupun bapak segala champion masa tu adalah Michael Doohan, lagi satu sebab aku selalu  berangan bawak motor sambil sebut nama aku Ikar Cadalora, rima oi!

p/s lamanya tak menulis, ada dekat nak 2 bulan!

p/s II kali ni taknak buat p/s banyak-banyaklah, tengah makan kopok sira ni, tangan melekit dengan sambal bergula. tata..

March 3, 2013

Berenang-renang Ke Tepian

Assalamualaikum..

"Rasa mendekati mati itu tidak dapat diukur dari penceritaan tapi pengalaman"

**********************

Orang kata kalau nak uji kemahiran survival kita adalah sewaktu kita mahu berusaha untuk terus hidup, nampak benarlah redundant ayat ni, nak kekal hidup sudah pastilah namanya kemahiran survival.

Sejak dari kecil abah ada ajar kami adik beradik berenang, menyelam dan teknik-teknik menyelamatkan diri dari mati lemas. Walaupun ia bukan latihan formal, namun teknik yang abah ajar tu dari segi logik akalnya memang berkesan.

Abah ajar kalau kita lemas dilambung ombak laut, kita jangan panik, kita menyelam sampai dasar, lepas tu tolak kaki dekat pasir tu lonjakkan badan keluar laut ke depan, dan buat banyak kali sampai kita sampai ke tebing pasir.

Cara yang kedua abah ajar, kalau dah panik sangat lemas kat laut, rilexkan badan dan apungkan diri, secara automatiknya bila kita tenanngkan diri, badan kita akan terapung dan hanyut, masa tu kita bolehlah kuak tangan kita sikit demi sikit sampai ke tepi.

Cara yang ketiga, kita benamkan muka dalam laut, sampai kita terapung secara menerap, kemudian kita kayuh tangan laju-laju selagi daya sampailah kita rasa gerak ke depan, bila tak cukup nafas, kita angkat muka dan ambil udara.

Namun semua kaedah yang diajar ni tak mampu untuk dipraktikkan dengan jayanya jika situasi tidak memaksa kita untuk survive.

hai awak semua, saya suka mandi swimming pool, dan pipi saya tembam!  awak tak payah ckp, saya tau saya tembam.


****************************

Pada satu musim raya haji di tahun 1999 - 2000, iaitu semasa aku tingkatan tiga, aku berhadapan dengan peluang untuk menguji kemahiran berenang. Bak kata orang putih, swim or you die. Eh salah, swim or sink, ha baru betul.

Pada pagi raya haji tu, kami saudara mara berkumpul di masjid tengok orang sembelih lembu, kemudian dek kerana orang kampung dah moden, takde siapa yang nak mengerjakan organ dalam perut tenusu dan karpet itu. Maka Pakteh merelakan diri untuk ambil perut dan proses untuk dijadikan santapan sanak saudara.

Kami pun usunglah perut lembu yang sebesar separuh tong drum tu ke tepi lombong di Kampar belakang rumah Mak andak dengan menggunakan kereta tolak. Peserta yang terlibat adalah Karnain iaitu abang aku, aku, pakteh dan Pakcik Man.

Fokuskan  pembacaan pada watak bernama Pakcik Man. Nama beliau adalah Narizman, kakak-kakak beliau memanggilnya Jeman dan Anak-anak saudaranya memanggil Pakcik man. Pakcik Man adalah seorang yang gila-gila perangainya dan beliau seorang hamba Allah yang sangat degil tapi menyukai air.

Apabila sampai di lombong bekas kawasan melombong bijih tersebut, pakteh pun menjalankan operasi memproses perut lembu, perut itu dibelah dan dibuang tahinya, kemudian dibersihkan helaian-helaian karpet perut dari telur cacing yang merah seperti biji delima.

Sekitar 5 kaki persegi air di tepian lombong itu menjadi keruh dek tahi lembu dan sisa rumput yang separa hadam dari isi perut itu. Oleh kerana pakteh begitu komited dengan kerja dan kepakarannya maka kami yang budak-budak ni takdelah nak campur tangan sangat dalam proses basuh tahi lembu dari perut tu. Maka kami pun buat acara bebas yang mempertaruhkan nyawa, Ia lebih dikenali dengan nama acara mandi lombong.

Di kejauhan, aku nampak pakcik man tengah godek-godek sampan perodi. Kenapa aku panggil nama dia sampan perodi? sebab sampan tu orang kampung mana entah yang buat dari bahan-bahan perodi. Separuh badan sampan dari papan rumah setinggan, separuh badan sampan lagi dibuat dari Zink aluminium yang dileperkan.

Kiranya sampan tu jenis sampan asal jadi, asal terapung tidak tenggelam dibelah badai air lombong jadilah. Dengar cerita sampan itu digunakan untuk menjala ikan talapia. Ada dengar cerita juga ia digunakan untuk mengejar itik serati untuk ditangkap dan disembelih dijadikan rendang.

Sampan tu kecil je, kalau nak ikut hukum Bernoulli, Ia hanya muat untuk seorang lelaki dewasa. Tapi dek kerana kedegilan seorang budak nama Zulfikar  itu, maka beliau pun tergedik-gedik nak naik sampan bersama Pakcik Man.

Ha, lebih kurang besar ni je lah sampan yang aku naik dengan pakcikman, tapi ini teguh lagi, sampan yang aku naik dulu dah rupa sampan tinggalan kerajaan majapahit dia punya horror dia.

Aku mula fikir ingat pakcik man nak main dayung-dayung sampan di tepian lombong, tapi bila aku duduk dalam sampan tu aku tengok makin lama makin jauh pula dari darat. Aku mula rasa tak tenteram, jiwa aku bagaikan dipanah halilintar yang berdentum di ufuk timur. Dalam hati aku bagaikan ada suara yang berbisik-bisik, 

"kejap lagi matilah kamu ni ikar, mati kamu ni dikerjakan pakcikman kamu"

Bukanlah nak menambah-nambah cerita, tapi ceritanya sampan itu dikayuh perlahan-lahan sampai ke tengah lombong. Jarak jauhnya lombong itu saujana mata memandang, airnya warna hijau kehitaman, dalamnya lombong itu senang cerita kalau kapal korek besar Pasaraya Tesco boleh berlabuh, korang fikirlah sendiri dalam dia macam mana.


Ini adalah kapal korek lombong bijih timah standard, apa ingat aku cakap kapal korek besar pasaraya Tesco tu aku tengah hyperbola ke? takde, memang betul2 besar mcm pasaraya.


Apabila makin ke tengah, setiap dayungan memercikkan air lombong ke dalam sampan, sempadan badan sampan dengan permukaan air hanya dipisahkan dengan jarak seinci. Air masuk menyimbah-nyimbah bagai kapal mahu karam. Redundant lagi ayat ini, kalau air masuk dalam sampan, memanglah namanya kapal mahu karam ye dak?

Sebagai seorang anak muda yang baru baligh dan naif, sudah tentulah aku cuak bagai Burung Puyuh yang dikejar musang. Tinggal takde bunyi Cip Cip Cicicip Cip Cip je lagi.

" Pakcikman, air banyak masuk ni cikman! mati kita ni, mati kita!"

" Ikar duduk rilek rilek lah, jangan goyang-goyang, duduk rilek je, taulah pakcikman buat kerja"

" Rilek apa pakcik man? ni soalan hidup dan mati ni, tengah lombong ni pakcik man"

" okey kamu duduk diam-diam, pakcik man nak patah balik ni"

Korang kena baca dialog aku aku kat atas tu macam korang gelabah nak kena tangkap bawa motor takde lesen, takpun korang kantoi kena tangkap beromen dengan makwe kat tepi tasik Shah Alam. Korang boleh buat tak intonasi gelabah tu macam mana? Kalau tak boleh, ikut suka korang nak baca ikut nada macam mana.

Bila aku tengok sampan tu makin nak tenggelam, makin banyak air masuk dari tepi badan sampan, aku mula gelabah, tak sempat nak ceduk air buang dah, lagi banyak air masuk dari air ceduk keluar.

Masa tu aku fikir dua je, duduk tenggelam bersama sampan dan menjadi arwah, atau lompat dan berenang dari tengah lombong ke tepi darat. Ini adalah ujian pertama aku survive berenang. Inilah masanya untuk menguji kesemua kaedah berenang dan mengelak lemas yang telah Abah turunkan zaman berzaman.

Cukup air masuk menyimbah sampai buku lali, aku cakap kuat-kuat, "okey thats it!" amboi dah nak karam, bahasa orang putih semua keluar. Pengaruh Titanic sangat kau Jah!

Aku pun bangun berdiri, seraya aku berdiri itu maka sampan perodi itu pun dimasuki air akibat teroleng-oleng. Air mencurah-curah ke daun keladi, makin tua makin menjadi.

Korang nak imagine macam mana rupa air mencurah masuk dalam sampan nak tenggelam? lepas baca cerita ni, korang pergi masuk dalam bilik air, ambil satu mangkuk kosong, korang tekan mangkuk tu dalam kolah/besen penuh air, korang nanti nampak air tu masuk dan mangkuk tu tenggelam, ha sebiji macam itu.

Okey sambung cerita.

Aku berdiri, kemudian aku lompat terjun tiruk dari sampan yang tenggelam, Aku pun terus kayuh kayuh kayuh kayuh dan kayuh berenang gaya bebas, tak payahlah korang berangan aku kayuh macam perenang olimpik tu, masa tu aku berenang kepala dalam air lombong tak angkat-angkat, agak penat kayuh tak cukup nafas rasa nak lemas, baru aku angkat muka tarik oksigen.

Eh bukan nak kabor hebat lah, memang lombong tu luas, jauh ke tengah, aku rasa ada dekat nak 100 meter dari tengah lombong nak ke tepi darat.

Contoh lombong di Daerah Kinta, tak salah aku, ini salah satu dari beberapa lombing yang ada dekat Kampar ni. Luas bak hang!


Aku kayuh dan terus kayuh, masa tu aku fikir,

" kalau aku lemas ni, tak merasa nak kahwin tidur peluk bini"

Pastu aku fikir lagi

" kalau aku lemas ni, tak dapat aku nak jadi jutawan merasa pakai kereta Ferarri"

Pastu aku fikir lagi

" kalau aku lemas ni, macam manalah rupa tinggal di alam barzakh nanti"

Sambil aku berenang menggelupur tu, sambil aku mengucap. Harapannya kalau mati, mati dalam keadaan beriman.

Entah macam mana keajaiban Illahi, dalam menggulupur berenang tak rasmi tu, aku dah nampak pakteh dan karnain kat tepi darat, maknanya makin dekat, maknanya lagi aku bakal berenang sambil bergenang tahi lembu tepi lombong.

Apalah sangat tahi lembu kalau nak banding dengan nyawa ye dak? Redah tetap redah, lawan tetap lawan! Kira-kira dalam 3 meter dari tepi darat tu, aku rasa macam air dah cetek, aku cuba berhenti berenang dan bangun, tapi jangkaan aku meleset, lombong bukan macam pantai ada pasir landai, dia terus keluk ke dalam macam topografi mangkuk sebab kena korek dengan jengkaut kapal korek.

Aku pun lemas sikit dalam 3 meter dari tepi darat, aku sambung kayuh berenang, tahap ekstrimnya aku nak jaga nyawa aku, aku sampai tahap berenang atas darat lah!

Korang paham ke berenang atas darat tu? dia kaedahnya macam kau menerap atas katil pagi-pagi malas bangun mandi, kau geliat geliat. Ha macam tu lah rupa dia.
Aku berenang secara harfiahnya tangan aku dapat kaut tanah tepi lombong baru aku berhenti berenang. dalam gaya cerita nampak macam hero, tapi kalau tengok depan - depan dah rupa macam orang gila meroyan berenang atas darat sebab dapat tahu laki bela betina lain.

Pakteh sambil tangan siang perut lembu, sambil buat muka pelik dengan abang aku tengok aku berenang dari tengah lombong. Pertamanya diorang pelik sejak bila aku pandai berenang jarak jauh, keduanya diorang pelik kenapa aku berenang dengan tidak semena-mena, ketiganya diorang pelik kenapa aku berenang sampai atas darat.

Haaaaa ye lah tu, dah ye lah tu, sama dah sama dah, lebih kurang dah rupa dia, sama lah ni, inilah rupa dia berenang atas darat.  Pinjam gambor ye kak. - nurulatikah77.blogspot.com

Balik-balik rumah, pakteh cerita dekat abah perihal aku berenang atas darat, jenuh aku terangkan pada semua anggota masyarakat bahawa lombong tu jenis dasar mangkuk. Bukan aku cakap "mangkuk punya lombong! dasar mangkuk hayun!" tapi aku nak cakap, dasar lombong itu berbentuk mangkuk bukan landai macam pantai.

Tapi tiada siapa nak percayakan aku. 

Mereka lebih memilih untuk mempersendakan renangan darat aku dari memuji kehandalan aku berenang jarak jauh dari tengah lombong demi menyelamatkan nyawa. Kalaulah mereka lebih memahami dasar lombong itu berbentuk mangkuk dan bukan landai. 

Pilu hati ini dipersendakan begitu, jiwa ini terasa bagaikan ditusuk sembilu bisa, pedihnya entah bila akan terhenti, berkasih di rimba asmara berapi, terbakar hanya ku sendiri, oh mengapa Aaaaaaa ~ ~ ~ ?

*************************

Ironinya, sampai sekarang aku terus hidup dalam kegemilangan kebanggaan terhadap diri yang berjaya berenang menyelamatkan nyawa dari mati lemas, namun di sudut yang lain, aku diperli oleh Karnain, Abah dan Pakteh. Pakar renang darat katanya.

Cerita dia sekarang ni, pakcik man macam mana? pakcik man elok je hidup lagi, masa aku menggulupur berenang selamatkan nyawa, dia boleh rilex je terapung-terapung tengah lombong sambil menyelam tiga empat kali ke dasar lombong cuba untuk naikkan balik sampan yang dah tenggelam.

Zulfikar Selamat, Pakcik Man selamat, Pakteh selamat, Karnain selamat, Perut lembu pun selamat jadi kerabu petang itu. Cuma yang tak selamat, Tuan punya sampan. Aku syak dia mesti buntu memikirkan siapa yang rembat sampan menjala ikan talapia dia. 

Aku syak kalau dia tak pasrah dengan kehilangan sampan itu, pasti dia sakit jiwa. Harap dia redha, bersampan-sampan dahulu, berenang-renang ke tepian, sampan yang hilang jangan dikenang, kelak nanti merosak diri.

Hai, saya tengah apung diri! alaaaaah, jangalah dalam hati itu berkata-kata saya bagai badak air pula, saya hanya insan biasa yang perlukan kasih sayang yang tiada bertepi.


*******************tamat******************


P/s untuk isu-isu pendapat semasa dan politik, aku akan teruskan dengan format kompilasi bebelan saya.

P/s II  Blogger.com via Chrome ni tetiba baik dengan sendirinya, membuatkan semangat nak menulis aku kembali okey.

P/s III Siapa yang ada anak, wajib ajar anak cara-cara berenang, untuk kegunaan duniawi, jangan nanti ralat bila bawak  pergi mandi, lemas. korang rasa menyesal tak ajar berenang.

February 3, 2013

Abang Lori Yang Disalah Erti

Assalamualaikum..

Sebagai kickstart untuk mula rajin update kembali ni, bagi aku bercerita benda yang ringan-ringan je lah. Banyak perkara yang berlaku pada aku dalam bulan ni. Jadinya aku sibuk sikit dengan hal-hal duniawi.

Mula-mula aku dah jual kereta aku yang aku ceritakan dulu dalam entry yang lepas, kemudian aku beli motor sebiji, lepas tu google chrome aku ni problem, dia tak boleh nak log in dalam Blogger.com untuk aku update entry.

Kata google chrome tu, aku ada salah setting pasal cookies dan cache, aku yakin memang aku ada usik-usik setting tu, sebab rasa meluat dengan Popups window iklan bila kita buka website yang popular. Ke aku sorang je yang kena macam ni?

Contohnya, bila aku buka website Mudah.my kan, mesti ada popus windows iklan pasal software la voucher lah apa lah itulah inilah. Aku sorang je ke kena macam ni, atau korang yang lain pun ada juga?

Ah abaikan pasal popups iklan ni, ni aku ada benda nak sharekan ke korang ni. Kisah pasal Abang lori.

**************************

Lori 3 tan berbadan kayu dan kanvas macam inilah yang aku naik dulu sambil menjerit2, teruskan pembacaan ke bawah utk tahu lebih lanjut.

Dua minggu yang lepas, aku dapat order dari Pasaraya The Store, jadi aku kena hantar biskut ke seluruh cawangan The Store dan Pacific satu Malaysia. takdelah seluruh mana, cuma hampir 70% dari semua cawangan dia lah.

Nak dijadikan cerita, pada masa yang sama lori company aku pun rosak dan tidak fit untuk digunakan atas Jalanraya. Aku pun sewa lori orang untuk seminggu, kebetulan pula lori itu diambil semula lepas 3 hari guna sebab tuan lori dapat projek nak guna selama seminggu.

Pada masa yang sama lagi, pemandu lori bercuti atas alasan yang tak boleh diceritakan di sini, maka atas semua sebab yang berlaku pada masa yang sama memaksa aku merelakan diri untuk menjadi Abang Lori. Tapi takdelah bawak lori, aku bawa Van untuk hantar biskut ke pasaraya The Store.

Sehari aku bubuhlah 20 karton dalam Van tu dan hantar ke 4 cawangan pasaraya, sebabnya satu pasaraya order 5 karton, proses nak buat delivery ni puratanya dalam sejam setengah satu pasarya, daripada masa perjalanan, tunggu giliran menurunkan barang, cop invoice dan delivery order dan angkat susun kotak karton dalam stor.

Kesimpulannya, kerja sebagai abang lori ni renyah, berlengas dan penat. Aku bawa kawan merangkap staff untuk jadi kelindan, lepas tu bergilir-gilir bawak lori. Lepas dia rehat, aku pulak bawak, lepas tu aku pulak tidur. Ha lebih kurang macam tu lah. Rupanya kelindan ni banyak membantu, dulu aku pandang enteng je tugas kelindan, tapi kelindan ni banyak membantu. Kalau semua Driver nak buat, boleh mati putus urat belikat gamaknya.

********************************

Bila cerita pasal jadi Abang lori ni, aku teringat satu kejadian yang berlaku 19 tahun dulu, masa tu aku darjah 4, apa kaitan antara abang lori dengan kenangan nostalgia masa kecil?

Kaitan dia sebab bila kita ingat lori, mesti kita ingat pindah rumah. Aku dulu memang banyak kali pindah rumah, rasanya ada dekat nak 10 kali kot. Tapi kali ni kami sewa lori bukan sebab pindah rumah, cuma nak hantar barang ke kampung.

Kisahnya, mak aku beli set perabot baru, bapak aku pula nak sedekah motor ke pakcik aku. Opah aku nak pindah rumah, maka mak aku nak bagi barang-barang macam peti ais, set sofa, motor jipang dan kabinet dapur yang lebih-lebih ke opah aku.

Abah pun sewa lori 3 tan, sumbat semua barang-barang dalam lori, tutup ikat dengan kanvas. Patutnya abah pergi balik Ipoh naik lori tu dengan pak itam je. tapi iyelah budak-budak kan masa tu, bebudak kan femes dengan tagline "abaaah..... nak ikut!"

Tak tau pulak kedegilan aku nak ikut ni akan meninggalkan titik-titik hitam dalam diari hidup aku, dipendekkan cerita, abah pun sumbat aku dengan abang aku sekali dalam lori 3 tan tu. Punyalah seronok macam kucing dapat kotak. Kami pun kejap-kejap panjat duduk atas set sofa rotan, kejap-kejap panjat duduk bawah kabinet dapur, Kejap-kejap panjat badan kayu lori tu buat macam Spiderman.

Bila dah ikat kanvas lori tu ketat-ketat, lori pun gerak perlahan-lahan dari Kampung Sungai Tua Baharu Batu Caves Selangor menuju ke Kampar dan Ipoh.

Mula-mula tu seronoklah kan bila lori tu jalan perlahan-lahan dalam KL, bila dah start masuk Tanjung Malim, jalan kampung, kereta takde, speedtrap pun macam takde, Pak Itam pun henjut Lori tu laju-laju. Bila makin lama makin laju, Kanvas tu pun terbuka ikatan dia tepi badan kayu Lori tu.

Bila kanvas tu terbuka, ditiup dek angin yang laju menderu. Mula bunyi "Kelepak Kelepak Kelepak Kelepak" bunyi tamparan kanvas dan tali atas kanvas yang lain, bunyi dia kuat gila, rasa macam nak pecah gegendang telinga aku. 

Pada masa tu aku mula panik, aku mula mencipta pelbagai kedashatan kemalangan yang bakal berlaku macam dalam cerita Final Destination tu. Aku bayangkan kanvas tu berkibas kuat sangat sampai tercabut tali-tali yang ikat tepi kiri kanan lepas tu dia jerut tengkuk aku dengan abang aku, pastu terbang jatuh atas jalan raya, bapak aku tak perasan sebab dia tidur dalam lori.

Aku bayangkan juga, tali yang berterbangan itu menyepak muka aku dengan abang aku sampai pengsan,

"banyak pulak Ikar ni bayangkan, tadi kata nak pendekkan cerita, aku dah naik lemas pulak nak bayangkan apa yang dia bayangkan" kata hati pembaca-pembaca blog ini.

Disebabkan panik, maka kau pun ketuk-ketuk kepala lori tu kuat kuat sambil jerit-jerit

" abah, abah, berhenti abah, kami kat belakang ni bising, berhenti! bagi kami duduk depan abahhh!!"

Aku jadi macam panik gila, aku pun teringat ada henpon, aku miskol abah, lepas tu aku sms abah..

" Kehadapan abah yang disayangi, harapnya abah dapatlah berhentikan lori dan mengambil dua orang anak kesayanganmu yang panik di belakang ini, salam sayang dari anak mu yang amat abah sayangi"

Beranganlah korang, tahun 1994 mana ada orang main sms, henpon pun takde, Henpon Pakcik Rahim yang besar periuk nasik tu adalah. Okey sambung cerita real balik...

Haram abah ke Pak Itam ke nak dengar, pastu aku panik lagi, aku panjat tepi body lori tu, aku lambai-lambai tangan bagi diorang nampak, sambil jerit-jerit.

Last-last abah pun berenti selepas aku ambil langkah drastik menjerit-menjerit sambil ketuk-ketuk badan lori tu guna batang kayu papan alas perabut dalam lori tu.

" Hah kamu Ikar, kenapa kamu menjerit-jerit macam orang gila ni?"

" Tadi bising sangat abah, tali kanvas ni tercabut, pastu kanvas ni pukul-pukul lori sampai bunyi bising nak pekak telinga"

" iye ke Karnain?" Abah aku tanya abang aku pulak, pastu abang aku jawab..

" Entah, Karnain jerit sebab ikar jerit, ingatkan ikar nampak hantu"

Hek eleh karnain ni, ke situ pulak dia, entah bila masa entah aku cakap aku nampak hantu, aku punyalah jerit-jerit nak lepaskan dari penjara kebisingan. Dia senang-senang je cakap sebab aku nampak hantu.

Akibat dari peristiwa itu je, bapak aku dengan Pak Itam pergi jaja cerita aku menjerit macam orang gila nampak hantu dalam lori dekat hutan gelap Tapah.

Sampailah sekarang, asalkan nampak je lori 3 tan bawa barang pindah barang, ada kanvas pastu ada pekerja duduk belakang tu, bapak aku mesti recall cerita lama tu. Dialog dia yang tak habis-habis duk ulang sampai aku naik bosan mesti...

" Kamu ingat tak dulu kekecik naik lori ikut abah hantar barang balik Ipoh?"

" Ingat!"

" Yang kamu menjerit-jerit mcm orang gila suruh abah berenti tu, nak duduk depan sebab nampak hantu kan kan? macam-macam la kamu ni ikar, poyo, hahahahahaha"

" Mana ada nampak hantu bah, ikar cakap suruh abah berenti sebab bising sangat nak pecah gegendang telinga duduk belakang lori tu, sebab tu nak suruh abah berenti"

" alah, penakut cakap penakut"

Aku rasa dekat nak 20 kali ulang cerita ni, dan 20 kali aku defend diri bagitahu hal sebenar pun abah tak faham-faham.

Bila aku dah dewasa baru aku faham yang abah dah tau dah pasal bunyi bising tu, cuma dia saja cakap aku takut hantu sebab nak menganjing aku je. 

Tobat dah sejak tu, aku taknak dah naik lori ada kanvas kalau nak jalan jauh, seksa.


*****************tamat****************


Mula2 rasa biasa2 je, lama2 rasa syok pulak main ronda-ronda naik motor di hujung minggu,  Honda Dash Rs R, takdelah laju mana, cukuplah buat pergi kedai runcit beli kelapa parut.


p/s lepas ni aku update lagi, bila bab pendapat coretan pendek (snippets) aku akan buat dalam bentuk kompilasi bebelan saya.

p/s II siapa ada sebarang kemushkilan bab agama, boleh search di kotak search belah kanan utk entry2 lama, kalau tak jumpa, nak tau juga pasal pendapat, boleh tanya aku di ruangan komen atau di Fanpage Blog Rasa Hati.

p/s III penatnya kerja jadi abang lori, isnin sampai jumaat, bila weekend sabtu ahad, terjaga tidur awal pagi sebab mamai, kelam kabut nak pegi hantar biskut, punyalah trauma.

December 26, 2012

Renungan Jiwa Si Tokey Bawang

Assalamualaikum..



kalau nak cerita pasal cita-cita aku ni memang banyak, kalau nak tulis ringkas dalam satu perenggan pun boleh. Kiranya aku cuma senaraikan saja semua cita-cita aku dah habis cerita.

Tapi kang cerita pendek sangat orang ingat penulis Rasa Hati dah  buang tabiat pula. Bersempena aku rajin nak bersembang ni, meh aku sembang-sembang ringan antara beberapa cita-cita aku dari kecik sampai ke besar.

Cita-cita aku ada 4 Fasa. Fasa sekolah rendah, Fasa sekolah Menengah, Fasa Universiti dan Fasa dunia kerjaya.

*********************************

1) Fasa Sekolah Rendah.

Dulu aku pernah berangan nak jadi Saintis. aku pernah cerita dalam entry Serum Ikut Arahan secara detail. Jadi aku tak perlulah perincikan lagi kisah nak jadi saintis ni.

Selain dari saintis, aku jugak pernah berangan nak jadi pelayar laut. Kononnya aku nak jadi pekerja kapal tanker minyak, Cruise ship atau kapal kontena sebab aku dulu terpengaruh dengan bapak aku yang cakap salah satu impian dia yang tak tercapai adalah jadi pelayar.

"Ikar, kamu nak tau tak abah dulu cita-cita nak jadi pelayar, nak kerja ikut kapal berlayar"

" habis tu kenapa abah tak kerja atas kapal?"

" sebab takde peluang, tapi kalau abah muda macam kamu, dalam masa 3, 4 tahun abah dedikasikan dari umur abah nak pergi belayar, singgah macam-macam perlabuhan, tengok negara orang"

" alah abah, kerja apa pun boleh bah, dah besar nanti ikar kerja gaji banyak, nak pegi tengok negara orang naik kapal terbang pun boleh bah!"

" Ish kamu ni potong stim abah lah!"

Sebenarnya cita-cita kerja berlayar ikut cruise ship ni belum terpadam dalam hati aku, mungkin satu hari nanti kalau aku tergerak hati, boleh jadi aku pergi kerja naik kapal ni.

Tapi itulah, masa kecik aku tak pernah ada impian nak jadi cikgu ke polis ke bomba ke tentera ke, aku dari kecik memang tak minat badan beruniform ni. Pengakap pun kalau boleh aku taknak pakai uniform dia, aku nak pakai Tshirt putih dia dengan seluar pengakap tu je, pastu pakai skarf ikat tengkuk.

Mungkin sebab keluarga aku takde pengaruh orang yang kerja Gomen atau Badan beruniform. semuanya kerja swasta.

*****************************

2. Fasa Sekolah Menengah

Disebabkan masa masuk sekolah menengah, aku suka sangat dengan Sains, maka aku suka buat eksperimen sorang-sorang dalam bilik. Minat punya pasal tak payah nak kena suruh. Rajin je menyelongkar gobok.

Dulu aku selalu ambil kapas facial cuci mekap mama, letak dalam pasu kaca kecik bekas telur rebus kenduri kahwin tu, pastu bubuh air, pastu aku letak kacang hijau. Aku suka tengok taugeh tu tumbuh. 

Aku selalu buat eksperimen kawalan, ada 4 pasu kecik, satu aku bubuh Kacang Hijau dengan air saja. Satu pasu aku bubuh kacang hijau dengan gula, satu lagi aku bubuh kacang hijau letak dekat tempat tak kena Matahari, pasu last aku bubuh kacang hijau dengan taik hidung atau apa saja bahan kompos yang ada di sekitar, macam kuping luka, kuku, eh macam-macam lah. Eksperimen berangan acah-acah katakan.


Nostalgia betul bila tengok gambar ni, dengan kapasnya, dengan balangnya,  sambil menaip tengok gambar ni sambil dengar koleksi Lagu Kenny G, Memang buat aku kembali mengenang memori sekolah rendah.


Pastu aku pernah bubuh Daun Setawar dalam buku, pastu tumbuh akar beranak pinak. Pastu mula aku merepek letak Daun Setawar dalam Al Quran, kononnya nak bagi dia tumbuh sambil serap intipati azimat ayat Al Quran lah, tak ingat dunia punya bidaah. Merepek masa kecik namanya, tapi takpelah nama pun budak kecik punya berangan. Ni yang orang tua-tua berangan buat bidaah short karen tarekat goncang-goncang badan pun ada apa cerita entah!


Daun Setawar / Miracle Plant / Air Plant / Setawar Plant / Bryophyllum pinnatum , siapa sini yang sangat sabar letak daun setawat dalam buku sampai dia tumbuh mcm ni? aku tak pernah, sampai dia tumbuh kelopak kecik je aku terus dah tak ambil tau dah.

Dari tabiat aku yang suka bereksperimen ni, aku suka jugak tanam bawang dalam tin susu. Aku bubuh tanah dalam tin susu tu, pastu aku letak sebijik bawang dalam tu. Pastu aku seronoklah tengok bawang tu tumbuh daun kan, aku pun mula teruja.

Dah namanya ikar, bila dia teruja, dia tambah lagi keterujaan itu dalam skala yang lebih besar. Aku pun isi tanah gambut dalam 5 biji tin susu, pastu aku letak setiap satu tin dengan dua biji bawang. Pastu aku bubuh baja uncang teh dah guna, dengan air basuh beras dan ikan. Tumbuh rimbun-rimbun oi!

Pastu mak aku pun tiap kali nak masak sup ayam ke sup ikan ke, mesti dia cari pasu eksperimen daun bawang aku.

" ikar, mama ambik sikit daun bawang eksperimen kamu tu boleh tak? aku malas nak ke kedai, nak masak sup ayam ni"

" ambiklah mama, tapi jangan potong ke pangkal sangat nanti pokok dia mati"

" iyelah professor, Mak oi apsal banyak sangat pasu daun bawang kamu ni ikar oi!"

" biasalah mama, eksperimen kawalan"

" Habislah lingkup stok bawang aku, habislah. kamu ganti balik ikar!"

" Macam mana anak Melayu nak maju dalam bidang eksperimen mama, kalau mama berkira dengan bawang mama, bawang silih berganti tapi keinginan anak muda nak bereksperimen susah kita nak cari mama!"

" suka hati kamu, tapi asal habis bawang aku kamu kerjekan siap, mama korek bawang dalam tin tu!"

Salah satu Hobi aku dulu,  bereksperimen tanam bawang dan taugeh,  pasu kecik tu lah aku maksudkan pasu kaca letak telur rebus kenduri kawin. dia tanam bawang dalam pasu ni, dulu aku tanam togey.

Pernah satu ketika, aku terlalu terbawa-bawa dengan eksperimen bawang aku ni, masa tu aku duduk rumah kuarters kilang air batu bapak aku sebelum kami pindah ke rumah yang lebih elok.

Dekat kuarters tu tanah dia subur, jenis tanah gambut hitam. Pastu tempat dia oldtimer habis, korang setkan minda korang kawasan kuarters kilang tu macam rumah pekerja era 60 an, atau rumah kuarters pekerja Keretapi. Setiap bawang yang aku dah berjaya biakkan dengan subur dalam pasu susu cap teko tu, aku akan pindahkan ke kawasan tanam gambut bawah pokok mempelam sebelah jamban.

Kawasan pokok mempelam tu punyalah subur Mashaallah. Buah dia besar-besar dan ranum-ranum, buah banyak pokok lebat. Aku syak sebab lokasi dia sebelah jamban bertepatan pula dengan tanah gambut, maka pokok itu subur sebab ada air kompos baja asli dari jamban meresap ke akar pokok. Aku syak je lah, bukan aku tau sangat pun.

Lebih kurang macam inilah subur dan rimbunnya kebun bawang aku sebelah jamban bawah pokok mempelam aku dulu. nampak tanah dia hitam? tanah gambut lah ni. rindu aku kat kenangan rumah kuarters dulu.

Bawang aku yang daunnya dah berjaya tumbuh rimbun itu aku alihkan ke kawasan bawah pokok mangga tu.  Sampai naik penuh bawah pokok mangga tu dengan daun bawang. Pastu aku makin carried over, aku mula berangan.

" Kalau satu pokok bawang ni boleh lebat macam ni, nanti mesti beranak pinak bawang bawah  tanah ni, pastu aku nak jual daun bawang dia dekat kedai runcit dengan pasar, dapatlah satu plastik besar tu 5-6 ringgit, pastu cukup masa aku nak korek tanah tu, aku nak kumpul semua bawang baru yang tumbuh, aku nak jual kat pasar, mau kaya aku jadi tokey bawang!"

Sampai macam tu sekali aku berangan. Pastu aku pergi canang cerita nak jadi tokey bawang dekat abang aku mula-mula. Pastu aku cerita kat bapak mak aku semua.

" Abah, mama, ikar dah tau dah cita-cita ikar apa? Ikar nak jadi tokey bawang! Ikar ingat nak buat industri ladang bawang, boleh kaya mama"

" dah berapa banyak bawang kamu tanam ikar?"

" Sekarang dah dekat sepuluh bijik bawang dah, semua naik subur mama, mama pun amik daun bawang ikar buat sup dah banyak kali kan?"

" Ha'ah aku tengok subur je daun bawang kamu tu, cuba kamu korek dalam tanah tu tengok berapa banyak anak bawang dah beranak pinak?"

Aku pun tak sabar, aku korek tanah tu haram satu ulas pun takde, dia tak mahu tumbuh macam ubi kayu, Kalau dia tumbuh pun lambat, rupanya dia kalau nak tanam bawang bebanyak dan cepat ni, kena tabur benih. Benih tu datang dari bunga bawang yang tumbuh kat hujung daun bawang.

Macam mana nak dapat benih bawang tah kalau dah selang seminggu mak aku cantas pokok bawang buat masak sup ayam. Lama-lama aku mula sedar yang angan-angan aku nak jadi tokey bawang tak kesampaian.

******************************

Bila dah besar ni, aku kerja dekat kilang biskut, sebelah kilang aku ada syarikat import bawang dari India. Mak aih, bukan main murah lah bawang tu sekarung, tak sampai 5 ringgit. 

Kadang-kadang staff aku pergi kutip je bawang yang jatuh bawah lori kontena tu. Punya banyak bawang sampaikan yang tercerai dari karung dia, dia biar macam tu je tak kutip.

Lebih kurang mcm ni proses alih bawang dalam karung dekat sebelah kilang lama aku dulu di Pandamaran,  banyak gila, tak terfikir korang berapa banyak bawang datang tetiap minggu kat kompeni import bawang tu.

Entah macam mana nak bersaing dengan industri bawang yang besar macam di India dengan Belanda tu entah? Baiklah aku kekal tanam bawang bagi tumbuh daun untuk mak aku buat sup ayam je. Habis cerita!

Sebenarnya tak habis cerita. Biasalah standard keluarga aku, mama, abah abang aku sekali dengan adik-adik aku memang kuat menganjing. Asal tengok dokumentari kebun bawang ke ladang FAMA ke kat TV. Mesti diorang pandang muka aku lama-lama dengan pandangan mata penuh cercaan ibarat koboi ajak lawan beradu pistol. Ditambah dengan sedikit rencah senyuman jahat, selamba gaban je mengeluarkan kata-kata nista.

" Ikar, apa jadi dengan Ladang Bawang kamu? kamu kata dulu nak jadi Tokey Bawang, dah berapa ekar dah kebun bawang kamu?"

Korang nampak tak permainan keluarga aku macam mana? Korang nampak tak permainan diorang? Luluh perasaan terlakar di Renungan Jiwa si Tokey Bawang.




Aci aci, minachi mincahi, dey!! you bawang mau ka?


***************tamat****************



P/S I Kalau engkorang terer, berapa banyak aku sebut "pastu" dalam entry kali ni?

P/S II aku baru cerita 2 fasa, ada lagi 2 fasa, nanti buat part II sambungan entry lain. dah panjang sangat.

P/S III Siapa pernah dengar ungkapan tangan panas, tangan sejuk. Orang kata tangan sejuk ni tanam apa pun menjadi, Aku rasa aku ni tangan suam, jenis tanam takdelah jadi  sangat, tapi kalau menyuap makan laju.


P/S IV  lepas habis aku taip dan publish cerita ni, aku terus ke dapur, ambil bawang, letak dalam balang, pastu bubuh tepi tingkat belakang laptop ni.

December 18, 2012

Jin Naik Bas Sekolah

Assalamualaikum,

Aku ingat lagi masa tahun 1990 an, ada Ustazah, Ustaz, Cikgu, Warden Asrama, abang senior dan orang-orang tua cerita pasal Ustaz Harun Din pindahkan hantu guna Bas sekolah dari sebuah tapak tanah yang nak buat Universiti

Hantu dalam Bas literally, kalau hantu naik bas tiket dia kira mcm mana? kanak-kanak, dewasa, atau harga warga emas? 

Aku tau ada banyak versi. Tapi ini aku sendiri yang pernah dengar.

Ada sebuah universiti bakal dibina, ada yang kata UUM, ada yang kata sebuah kolej kediaman di UKM. Masa pembinaan sedang giat dilakukan, ada masalah muncul iaitu gangguan makhluk halus. Kren tak boleh alih batu besar, macam-macam gangguan lah dipendekkan cerita.

Untuk menyelesaikan masalah, pihak pengurusan telah panggil Ustaz Harun Din (pada zaman itu belum jadi pemimpin PAS) untuk menghalau jin dan hantu. Ustaz Harun din telah membuat perjanjian dengan Jin itu semua supaya mereka berpindah ke satu kawasan hutan. 

Hantu jin semua masuk dalam bas sekolah, pemandu bas itu disuruh bawa ke satu kawasan hutan. Namun dinasihatkan awal-awal supaya tak pandang cermin pandang belakang. Driver bas pelik sebab bas itu kosong tapi sangat berat macam ada penuh penumpang.

Nak jadi penyedap cerita, Driver bas tu terpandang cermin pandang belakang dan dia nampaklah sekilas wajah-wajah jin tengah duduk dekat kerusi dalam bas yang amat hodoh dan mengerikan. 

Akhirnya, bas itu sampai dekat kawasan hutan, Jin dan hantu semua dipindahkan di dalam hutan, mereka bermastautin dalam hutan itu. Datuk Harun Din pun memagar seluruh kawasan hutan itu pada sempadannya, Maka jin semua tak boleh keluar dari kawasan itu, hiduplah mereka bahagia selamanya di sana.




Korang Baca komen-komen dalam ruangan youtube tu, bukan main ramai minta maaf sebab sebar fitnah.

*****************************


Semua orang percaya buta-buta. Padahal Ustaz Harun din sendiri akhirnya mengaku bahawa ia cerita yang direka-reka dan tiada kena mengena dengan dirinya.

Kesimpulan yang kita dapat?

1. Ada orang akan menipu tak kira walaupun sampai tahap gunakan agama suci Islam semata-mata nak syok sendiri untuk bercerita, dapat pengaruh, keuntungan dan kuasa politik

2. Syaitan tu syurga pun dia pernah duduk, langit dan bumi pun dia bebas berlegar-legar. Eh nak pindah dari tapak universiti pulak nak naik bas, nampak sangat senang betul setan perdaya manusia ni untuk percaya pembohongan.

3. Pembohongan apabila disandarkan dengan nama orang yang berpengaruh, maka pembohongan itu akan menjadi benar, atau sekurang-kurangnya orang takut atau segan nak persoal lebih-lebih.

4. Semua manusia tidak akan terlepas dari fitnah, tak kiralah dia tok guru ke, wali ke, apa ke, kalau fitnah melanda, ia tetap melanda.

5. Walau macam mana kebenaran itu diceritakan, akan ada satu golongan manusia yang taksub kepada tok guru akan bermati-matian mempertahankan cerita kerana malu, sebab awalnya mereka telah bermati-matian mempertahankan kisah keajaiban guru atau idola mereka, takkan nak mengaku dah tersilap kan? kena lah terus berada dalam penafian yang berterusan. Sedangkan tok guru dia sendiri mengaku ia hanya pembohongan besar.

6. Aku selalu tertanya-tanya, kenapa Ustaz Harun Din atau sekurang-kurangnya anak murid dia yang terapat yang tahu cerita sebenar tidak menceritakan hal yang sebenar, membersihkan namannya sejak cerita mula tersebar dari tahun 1990 an itu? kenapa baru sekarang?

7. Orang Islam suka akan efek ajaib dan mistik dalam agama, walaupun ia pembohongan, tapi mereka selesa mendengar riwayat palsu dan israiliyat dari mengambil pengajaran dari Tafsir Al-quran dan Hadis sohih.

8. Pembohongan tidak akan bertahan lama, jika manusia tidak mampu membongkar pembohongan, suatu hari nanti Allah sendiri akan bongkar pembohongan samada secara langsung atau tidak langsung.

9. Di ruangan komen nanti, ada orang yang tak baca cerita ini secara terperinci dan habis akan mula maki hamun dalam nada politik, Kalau takde, baguslah, maknanya kempen aku supaya jangan jadi fanatik politik sudah mula mengambil tempat.

10. Syabas Ustaz Harun Din berani menjelaskan perkara sebenar, walaupun cerita bohong/exaggeration itu sedikit sebanyak memberi credit yg besar kepada dirinya.



******************tamat**************



p/s Yang terbaru, ada orang percaya pada 23, 24, 25 hb Disember ini, dunia akan bergelap selama 3 hari, dan itu petanda berlakunya kiamat. Ironiknya seperti biasa mereka percaya dari Mohon-Share-Note-Ya-Akhi-Facebook.

p/s Selagi Matahari tidak terbit dari barat, selagi Dajjal belum keluar, Selagi Imam Mahdi belum muncul, selagi Nabi Isa belum turun, lambat lagi kiamat nak berlaku. Tak payah nak excited sangat. Korang yg percaya ni tak pergi sekolah agama ke dulu?

p/s Hari Kiamat dan dunia ruh adalah rahsia Allah SWT

December 13, 2012

Rindu Dalam Rahsia

Assalamualaikum


"Bagaimanakah kisahnya para pahlawan menakrifkan rasa rindu mereka?" (Jawapan rujuk perenggan akhir)


Aku dari kecil rapat dengan mak aku, disebabkan aku ni menyusu badan dari lahir sampai 2 tahun setengah, tak pernah isap susu botol, tak pernah ada bantal busuk, tak pernah ada puting kosong getah, tak pernah isap ibu jari dan takde imaginary friends maka Mak akulah segala-galanya sejak aku dari kecik.

Dialah toys aku, dialah bantal busuk aku, dialah susu aku, dialah kawan aku dan segala-galanya sepanjang tempoh kritikal tumbesaran seorang anak hingga baligh dan mampu berdikari.

Sejak dari kecil Abah pula lebih rapat dengan abang aku, walaupun abang aku selalu menafikannya tapi hakikatnya memang abah rapat dengan abang aku. Mungkin sebab dia anak sulung lelaki, dia menjadi pertaruhan terbesar bapak aku dalam meneruskan kelangsungan warisan keturunan genetik bapak aku.

Abang aku manja dalam segala hal walaupun dia selalu menafikannya, perilakunya tidak manja tetapi cara hidupnya memang manja. Makan ayam nak yang bahagian dada, tak nak bahagian yang lembik-lembik macam pangkal peha, kaki dan peha. Makan ikan nak bahagian ekor atau tengah badan, tak makan bahagian kepala dan perut.

Bila abang aku masuk asrama, setiap hari Sabtu kami sekeluarga akan datang melawat dia di sana, mama akan bawa periuk nasik ikat dalam kain batik, lauk pauk feveret abang aku dalam sia' mangkuk tingkat dan kami akan akan makan berkelah di kantin sekolah asrama itu. Bertahun-tahun lamanya rutin itu dijalankan.

Pada tahun 1997, aku pun masuk sekolah asrama di Sabak Bernam, kemudian pindah ke sekolah asrama di Rawang sama dengan abang aku. Tapi masa tu mama dan abah tidak lagi melawat aku dan abang setiap minggu. Bukan sebab tak sayang, tapi abah dah mula pindah ke Mersing Johor sebab beli Kilang Air Batu.



Bila terkenang Mersing, terus teringat Sri Mersing, Damak dan pantun kajang pak malaunya, masalahnya di sini kenapa damak ketiaknya licin takde bulu? itu masalahnya tuan-tuan dan puan-puan.


*************************

Jadi, pada tahun 1998 aku mula pindah ke Mersing dan bersekolah harian di sana. Di Mersing aku tak ramai kawan pada mulanya, jadi aku menghabiskan waktu lapang bermain badminton dengan abah. Walaupun pada tahun 1994-1996 aku sudah menjadi jaguh badminton di sekolah rendah, namun bapak aku tak tengok sangat sebab dia sibuk kerja di KL dan sibuk juga main badminton di serata Lembah Klang.

Di Mersing lah aku mula ingat yang aku makin rapat dengan Abah. Ikatan yang membuatkan aku rapat dengan abah adalah Badminton. Abah obses dengan badminton, masa umurnya lewat 30 an dia pernah main badminton 8 hari seminggu. Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat, Sabtu, Ahad pagi dan Ahad malam.

Tapi lama-lama abah insaf sebab dia rasa tak patut dia buat macam tu, maka dia pun meluangkan masa hujung minggu untuk keluarga bawak kami pergi zoo, Taman Tasik, Muzium Negara, Bukit Cerakah, Sogo dan sebagainya.

Bermula dari tahun 1999 - 2001 aku mula menjadi sangat rapat dengan abah, sebab setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat petang hingga malam kami akan bermain badminton di dewan. Kami main selalu bergu bersama dan menewaskan jagoan-jagoan di Mersing.

************************

Walaupun aku sangat rapat dengan abah di zaman kegemilangan badminton itu, namun kami selalu bertekak secara jantan, bukan gaduh anak beranak tapi jenis bertekak dekat kedai kopi atau dalam gelanggang badminton. Bukan gaduh menderhaka tapi gaduh-gaduh manja.

Keakraban aku dengan abah selalu menjadi buah mulut kawan-kawan sekolah terutamanya Zulkifli Saadon,  kawan karib dari zaman aku duduk Mersing sampai sekarang. Kata mereka, pesen anak-beranak macam kawan-kawan, Sedara mara  pun cakap macam tu jugak.

" Yeop, nanti kalau anak-anak Yatie dah besar, Yatie nak buat mcm Yeop dengan Kak Awi lah"

" kamu nak buat macam mana?"

" Ye lah, macam Yeop ngan Kak Awi layan anak-anak, macam sembang dengan kawan-kawan, tapi bila ada masa serius kena serius, ada masa gurau tu gurau, ada masa hormat kena hormat, tapi tetap sembang macam kawan-kawan"

" Boleh, tapi kamu kena letak batas kawan dengan anak ni, jangan leka nanti sampai anak pijak kepala"

Aku pasang telinga masa dengar Mak Sedara Sepupu aku sembang dengan abah aku.

*******************************

Pada Tahun 2002, aku dapat tawaran melanjutkan pelajaran di UiTM Dungun.

Aku pun terpaksa berpindah ke Dungun untuk mengejar cita-cita. Abang aku masa tu ada dekat Uitm Segamat.  Maka rumah aku itu pun menjadi sunyi. Anak-anak jantan abah dah tiada kat rumah. Tinggal dua orang anak dara iaitu adik aku Zulia dan adik bongsu si Ayin.

Dengar khabar dari sumber-sumber yang boleh dipercayai iaitu mak aku, Ayin si budak bongsu sudah mula menjadi baby tua abah. Abah banyak habiskan masa hantar dan ambil adik dari sekolah, Ambil hantar tuisyen dan sebagainya. 

Abah pun sudah mula menggantung raket badminton, sebab dia dah takde mood nak main dengan kawan-kawannya atas sebab dia yang makin berusia dan anak lelaki dia dah tiada untuk partner dengan dia.

Cukup sebulan aku di UiTM Dungun, Minggu Haluan Siswa pun dah habis, kesibukan kepoyoan semangat tak tentu hala pelajar junior freshies pun mulai reda, maka mak ayah pun datang berbondong-bondong melawat kami semua. Hiruk Pikuk jadinya UiTM tu, bagaikan ada temasya di malam minggu. Kecoh bagaikan ayam berebut nasik sejuk belakang rumah.

Semasa famili aku datang melawat tu, aku tengok muka mama abah ceria bagaikan baru kena Loteri 10 juta ringgit, walaupun loteri itu haram di sisi agama Islam, tapi aku saja guna sebab susah sangat nak cari perumpamaan lain bila kau menaip entry di dini hari pukul 4 pagi ini.

Bersinar-sinar mata abah datang melawat aku, walaupun aku tahu dia seorang yang ego dan keras hati, tapi aku nampak muka dia gembira melepaskan kerinduan yang telah lama terbuku di jiwa. Nak dijadikan cerita, abah bangun pergi kaunter cafe nak order makanan. Mama cerita dekat aku satu rahsia.

" Ikar kamu nak tau satu benda tak?"

" taknak!"

" kalau taknak aku taknak cerita"

" Ek eleh mama, kalau nak cerita tu tak payah buka ayat 'kamu nak dengar satu benda tak' dulu tak boleh ke?"

" Ah, diamlah kamu, ha ni ada cerita best, kamu tau tak abah kamu rindukan kamu sangat?"

" Iye ke mama? mana mama tau?"

" Mama tahulah ikar, Abah kamu tu bila kamu masuk U, dia selalu termenung petang-petang, bila dia rindu sangat, dia tidur kat katil kamu"

" perrghhhh, macam drama cinta pulak ma, betul ke ni? takkan lah abah buat macam tu, drama swasta sangat tu mama"

" beeetul ikar, mama curi-curi tengok, bila dia rindu ke kamu, dia masuk dalam bilik kamu, dia tidur kat katil, tapi bila mama tanya kenapa tidur katil kamu, dia jawab sebab panas, nak ambik angin, ambik angin apa tah, dah sah sah bilik kami ada aircond, lagi sejuk"

" hahaha, sentimental jugak abah kan mama kan?"

Sambil aku gelak, sambil aku cepat-cepat pandang tepi, pastu aku kerling mak aku tunduk suap nasik je, aku cepat-cepat kesat hujung mata, rasa macam ada air mata. Bukan apa, dekat tepi Cafe tu ada banyak lori pasir lalu lalang. Pasir masuk mata, pedih!

****************************

Kini terbuka sudah rahsia bahawa bapak aku jiwa sentimental, bila dia rindu ke aku dia curi-curi tidur atas katil aku.

Sebenarnya aku ada rahsia besar jugak, tapi aku tak pernah cerita kat keluarga aku.

Dulu bapak aku selalu outstation lama-lama, jauh-jauh ke serata Malaysia, Selalunya 3, 4 hari, paling lama seminggu dua. Melawat Kilang air batu di setiap cawangan di Malaysia.

Masa tu zaman aku tadika dan sekolah rendah. Bila lama sangat abah outstation, aku semacam jadi rindu sangat ke dia.

Aku curi-curi masuk dalam bilik mak aku, aku usha line mak aku tengah basuh pinggan ke, jemur kain ke, tengok mak aku ralit sibuk buat kerja rumah, Aku cepat-cepat tidur atas bantal Abah.

Tak dapat jumpa abah, dapat tidur kat bantal dia, bau peluh dia kat bantal tu pun jadilah. Tapi harap korang semua simpanlah rahsia ni. Rahsia antara penulis dan pembaca. Kalau bapak aku tau, mesti dia sindir aku curi-curi cium bantal dia semata-mata nak hilang rindu.


"Itulah dia kisah rindu dalam rahsia para Pahlawan Melayu Lama, Rindu dalam rahsia itu sangat menyeksa jiwa, jiwa terseksa mencipta dendam, kerana itu ia menjadi si Rindu dendam yang tak kunjung padam"



Abah di zaman awal 50 an. Rambut pun tak banyak uban lagi, Amboi misai tebal ular sawa, tapi nyorok-nyorok tidur kat katil anak bila rindu, kantoi. hahaha.

Aku cuba banding banyak kali muka aku dengan bapak aku, tapi takdelah sama sangat, mancung lagi hidung aku ni, tapi bila balik kampung, mesti sedara mara kata " kamu ni rupa sebijik macam bapak kamu masa muda"

******************Tamat*****************


p/s I Sebab tu orang bercinta bila tengah mabuk asmara, dia tukar-tukar baju, kusyen atau bantal, nak hilangkan rindu, bila teringat ke kekasih malam tidur ciumlah baju, tenang rasa jiwa. Lepas cium sorok bawah tilam. Buatnya makwe bagi Baju Dalam kaler pink, kantoi mak jumpa tak ke dituduhnya anak cuba sorok-sorok jadi pondan dalam bilik?

p/s II Sebab tu, dulu-dulu kalau mak beranak kecik nak pergi umrah ke haji, dia tinggalkan kain batik yang dipakai tak berbasuh. Bila baby dia meragam rindu teringat kat mak, opah atau kakak akan selimut baby tu dengan kain batik mak dia. seolah-olah mak tengah peluk anaknya, ada bau.

p/s III Orang kata, bau ketiak lelaki yang ada kepekatan tinggi Androstadienone (CORR) bertindak sebagai feromon yang dapat membangkitkan keselesaan, ketenangan dan keghairahan kepada kaum wanita.

p/s IV Tapi kawan-kawan wanita aku selalu merungut pasal bau ketiak lelaki bangla. Tak faham aku kadang-kadang diorang ni.


Review Myvi 2018

Assalamualaikum Aku yakin mesti ramai dah survey  Perodua Myvi model 2018 kan, mesti korang teruja nak tahu ulasan, best sangat ke MYVI ba...