August 28, 2013

Kalau Kail Panjang Sejengkal

Assalamualaikum.

"Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga"

Peribahasa di atas banyak kali dah kita dengar, yang membawa maksud, kalau ilmu dalam dada tu tak banyak mana, janganlah nak lawan dengan orang yang lebih berilmu. Atau kalau tak terel mana, jangan nak cabar-cabar orang bergaduh.

Tapi aku dari kecil tak pernah bersetuju dengan peribahasa di atas sebabnya masa aku duduk Mersing dulu, aku selalu tengok nelayan bot pancing yang takde kail pun boleh pergi memancing lautan dalam dapat ikan dua tiga kotak fiber.

Nelayan Mersing dulu secara ringkasnya dibahagikan kepada 4 kategori asas iaitu Nelayan pukat Cerut, Nelayan Mancing, Nelayan Bubu dan Nelayan pukat tunda. Nelayan mancing tu literally dia pergi ke laut tangkap ikan dengan guna kaedah mancing, tapi diorang takde batang joran, diorang guna gelung tali pancing, Kami panggil benda alah tu Spool, nama betul dia aku tak tahulah apa benda?

Spool tu jangan kata kail panjang sejengkal, kail panjang suku jengkal pun takde, malah kail pun takde, elok je dia boleh bawa balik ikan Tenggiri, Kerapu, Ikan Nyoknyok semua.

Ini Nama dia Spool, atau nama betul dia Fishing Spool. Hanya ada tali pancing, mata kail dan batu ladung.

Masa aku kecil dulu, aku pernah salah faham, aku ingat perkataan "kail" dalam "kalau kail panjang sejengkal" tu sebenarnya mata kail, aku tak pernah imagine kail itu adalah batang kail atau batang joran. Maka munasabahlah kalau nak sebut "kail panjang sejengkal" sebab mata kail tu cinonet je pun.

Sebab tu masa aku kecil aku tak pernah bantah peribahasa ni, bila dah besar aku mula faham kail tu bukan mata kail tapi batang joran, baru aku nak tulis cerita ni kat blog, padan muka korang kena baca cerita panjang-panjang hanya semata-mata aku tak puas hati dengan masalah kail dalam "kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga"

"Jaga kau Ikar, kau dengan kail kau akan mendapat pembalasanya" Monolog lautan dalam yang ingin menduga.

******************

Masa itu tahun 2000-an, sebenarnya aku ada masalah nak sebut era 2000 tu macam mana, nak letak -an belakang dia macam tak kena langsung kan? Okey abaikan, kita bincang masalah ni lain kali, kita sambung sembang masalah kail dulu.

Masa itu tahun 2000 (-an) , masa aku tingkatan 4 sampai ke diploma, bapak aku suka bawak kami pergi pulau-pulau kecil di perairan Mersing untuk memancing. Seingat aku ada 5 kali aku pergi memancing atas bot kat tengah-tengah laut.

Kalau ikut terma sah, takdelah tengah lautan luas pun, Bot tu bersauh di antara pulau-pulau, cuma disebabkan bot tu kecil, jarak antara pulau tu pula saujana mata memandang maka memang nampak macam bot teroleng-oleng di lautan luas lah. Tapi kalau tengok dalam peta, bot tu belum keluar ke perairan antarabangsa pun. Baru jarak dalam 50-70 kilometer dari pantai Mersing.

Ha, korang dah paham kan mana letaknya pulau besar? Mersing ada banyak pulau dan kebanyakan pulau ada penghuni, Pulau besar adalah antara pulau yang terdekat tapi mempunyai pantai yang sangat cantik dan air yg sangat jernih.


Ini namanya bot nelayan mancing, bot macam inilah yang aku naik, dan ini berdekat dengan jeti Mersing, sepanjang penceritaan, korang bygkan aku tengah dalam bot seperti di dalam gambar.

Dipendekkan cerita, ada satu trip tu abah ajak Aku, Karnain, kawan abah nama dia Nazri, Hasnah dan Dato apatah nama dia aku lupa, untuk memudahkan penceritaan, kita letak je nama dia Dato Mansor. Mansor tu rasa macam nama-nama orang kaya sikit.

Bot bertolak dari Jeti Mersing pada pukul 8 malam, selesai memunggah semua peralatan memancing ke dalam bot, Nazri pun kenalkan Datok Mansor, belum aku start nak bancuh Teh O makan dengan biskut kering, Datok Mansor dah buka cerita hebat memancing dia. Aku dah berkata-kata dalam hati dah

" jauh perjalanan kita ni, berjam-jam, jenuh nak dengar cerita hebat datok ni, mahu muntah monggek dengar cerita 'aku dulu' dia ni" kata kecil aku dalam hati yang penuh syak wasangka.

Tak payah syak wasangka, memang tepat dah apa yang aku agak, Datok Mansor tu belum start enjin bot lagi dia dah cerita "aku dulu." Cuma takdelah dia cakap "aku" dia guna term orang kaya "i dulu kan"  lah kan.

" I dulu selalu memancing kat laut ni, u see my fishing kits, got a lot u know, i biasa pergi fishing kat Langkawi, Sibu, Sipadan, Pangkor and a lot more lah"

Disebabkan dia Datok, bapak aku bagi chance lah, walhal kalau nak kira action, kami lagi boleh action, dah nama duduk tepi laut pulak, kerja dengan nelayan pulak, heran sangat dengan  'I dulu, u know' dia.

" Owh, you memang suka mancinglah ye, paling jauh you pergi mancing mana Datok?"

" I mancing paling jauh dekat Sabah sana, almost nak sampai Philippine you know, sajalah nak try laut belah Johor ni pulak, tapi i rasa tak challenging macam laut Sabah sana lah, takpe, we give it a try"

Berlagak benor bunyi dia, aku dengar pun dah naik berbulu telinga, korang tahu ke rasa berbulu telinga tu macam mana? rasa dia, bila kau dengar, dalam telinga kau geli, sebab bulu roma dalam telinga tu naik, dia buat kau rasa tergedik-gedik macam tahan kencing. Geli sampai nak meremang orang tua cakap.

Ditakdirkan Tuhan, malam itu laut bergelora. Mula dari jeti Mersing, perjalanan tidak lancar, bot dilanda badai dan ombak menghempas pantai, kita bersama memadu asmara, kita berdua. oh bercanda di pasiran pantai, kita bersama memadu asmahara, kita berdua. Jangan tipulah kalau korang tak baca perenggan ni sambil menyanyi lagu Sudirman tu.

Sepanjang malam itu kami memancing, haram seekor ikan pun dapat pancing. Habis semua stok umpan sotong dengan udang kami masak, buat rencah dalam megi. Datok Mansor pula muntah monggek dari mula bergerak dari jeti sampai ke tengah laut. Datok, Hasnah, Nazri semuanya muntah monggek sampai tahap tak boleh bangun langsung, tidur je atas kabin bot.

Habis semua cerita "aku dulu" tu tidur sama-sama dengan tuan dia, yang masih kekal berdiri dan layan memancing abah, aku dengan Karnain.

"Kamu tak mabuk ke ikar? tak muntah-muntah? selalu kamu yang kuat mabuk laut" Tanya si Abah

" Takde pulak mabuk kali ni Abah, selalunya masa ni dah mabuk dah, ni elok je lagi ni, takde rasa nak muntah" Aku jawab dengan penuh berhati-hati.

"Kalau kamu mabuk, kamu pergi tidur dalam, ni macam nak ribut ni, yang lain macam mana?"

" Lain semua dah collapse bah, Datok Mansor, nak bangkit pun tak larat, muntah monggek semua"

"Aik, bukan dia tadi cakap dia dah biasa mancing kat laut ke? apsal mabuk pulak? "

" Haa itulah bah, kalau kail panjang sejengkal jangan lautan hendak diduga"

Korang nampak tak macam mana actionnya aku memadankan muka orang dengan kata-kata magika "kalau kail panjang sejengkal?" Korang sabar, kejap lagi kita tahulah mana kail panjang sejengkal mana kail tak berapa nak panjang.

Ditakdirkan tuhan yang maha esa, malam itu adalah malam yang sangat kritikal, laut dilanda ribut. Akibat ribut yang sangat kuat, Kapten bot terpaksa menyorok di balik Pulau Besar Mersing. Nasib tidak baik, masa bot lautan tengah bergelora, sauh pula tersangkut di karang laut.

Bila laut bergelora dan sauh kau sangkut, bot akan jadi teroleng-oleng kuat. Sebab bot tak bebas berayun ikut air, masa tu habis semua rasa takut macam nak mati, rasa macam bot nak terbalik. tapi sebabkan juragan tu terer, dia pun berjaya lepaskan sauh dan kami pun bergerak mencari tempat yang lebih tenang.

Sampai satu kawasan tenang, tinggal abah, karnain ngan aku je yang memancing, tiga lagi tetamu tidur sampai ke sudah.

Tiba-tiba aku rasa macam lain macam, nak muntah dia tak nak muntah, nak tidur dia taknak tidur, nak duduk dia tak rasa nak duduk, nak berdiri dia rasa macam nak duduk. Senang cerita, tak senang duduk lah kiranya.

Mundar-mandir dari depan ke belakang bot, depan belakang - depan belakang macam engineer nak sukat buat kapal layar. Aku dah mula ada syak wasangka menebal dalam dada dah yang aku ni bakal kena mabuk free.

Bapak aku rilek je tanya,

"Kamu kenapa Ikar? dah macam kucing nak beranak?"

"Taktaulah bah, muntah dia taknak muntah, duduk dia tak boleh diam, rasa macam nak berak lah"

" Ha, kamu pergilah berak dalam jamban tu"

" okey"

Aku bukak jamban bot tu, Ya tuhan, tak best langsung, rupa dia atas sikit dari jamban Pudu Raya. Tak selera. Pastu dari jauh sayup sayup dengar kapten bot menjerit.

"Mana ada orang berak guna jamban tu dik, kau nak berak, kau cangkung je tepi bot tu"

Lepas fikir 4-5 kali, aku rasa takde ye nya aku nak tahan berak sampai Darat, terus aku bukak seluar, tangan paut kat rail tepi badan bot, kaki atas tepi dek, bontot tergantung-gantung atas laut, aku pun berak dengan jiwa yang penuh tulus ikhlas.

Aku rasa sepanjang aku hidup, aku tak pernah lagi rasa seikhlas itu berak aku. Penuh cabaran tapi hati ini pasrah. Mana nak fokus tang tangan pegang kuat-kuat rail bot, mana nak fokus kaki cengkam kuat kat atas papan dek, mana nak fikir angin sejuk Laut Cina Selatan menghembus deras testis, mana nak fikir ikan jaws melompat dari dalam air cagut bontot lagi.

" Ni kalau tangan aku terlepas pegang kayu rail ni, mahu aku jatuh dalam laut tengah malam buta ni, headline dah tentu - Seorang remaja mati lemas selepas jatuh dalam laut akibat cubaan ingin membuang air besar di tepi bot memancing" Sampai tahap macam ni aku fikir.

Ya Allah, masa tu insaf betul aku dari mempersoalkan "kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga" aku rasa orang tua-tua bukan maksudkan kail yang panjang sejengkal kot, tapi benda lain.

Dipendekan cerita maka misi berak atas laut itu berjaya dengan cemerlang, gemilang dan terbilang. Memang lautan dalam telah menduga aku dan aku tertewas, aku akur. Malam itu aku mabuk laut mencapai satu level baru dalam sejarah, mabuk sampai terberak-berak.

Cuma satu  je yang aku tak puas hati, sepatutnya dalam cerita ni Datok Mansor yang patut jadi mangsa dan memegangwatak antagonis sebab dia berlagak sangat sebelum memancing, tapi kenapa aku garap cerita ni buat aku jadi mangsa pulak? aku rasa aku kena pergi kursus penulisanlah!

*******************tamat*******************

p/s Mak aku memang pernah cerita, makcik dia dulu mabuk teruk makan buah Pinang sampai terberak-berak.

p/s hai semua, selamat bersua kembali, aku dah kembali dari rehat yang panjang.

p/s sorry tak boleh reply komen, ada problem kat reply komen box, dah cuba repair tapi tak boleh jugak.

April 27, 2013

Surat Dari Iblis

Assalamualaikum

Surat dari Iblis, macam mana entah aku nak mulakan penulisan ini bagi melambangkan kejengkelan aku pada budaya bidaah yang tiada surutnya.

Baru-baru ni ada satu fesyen pula berdakwah dengan menakut-nakutkan penganut agama dengan surat Iblis. Isi kandungnya bagus, nasihatnya bagus, dakwahnya bagus, tapi caranya salah!

Agama ni, Allah nilai manusia  bukan pada niatnya tapi cara ibadahnya. Semua manusia niat baik nak mendekati tuhan, nak sembah tuhan, tapi kalau caranya salah, maka dia tergolong dalam golongan kafir dan sesat.

Kalau niat je betul, tapi kaedah salah maka salahlah ibadah itu. Contohnya kalau dia nak dekatkan diri dengan Allah, dia buat satu monumen kecil kaabah, dia letak dalam bilik depan sejadah, setiap kali nak sembahyang dia sujud depan kaabah kecil itu, Maka dia telah sesat walaupun niat dia kononnya nak tambah khusyuk dengan menghadirkan diri di masjidil haram dalam ruang imaginasi.

Samalah kaedahnya dengan buat surat konon-konon Iblis yang tulis, walaupun Iblis tu konon-konon tengah perli manusia dan isi kandungannya membuatkan manusia insaf, tapi ia adalah batil! Kita bukan Nabi yang dapat melihat Iblis, kita bukan sahabat syaitan yang dapat menjadi posmen untuk hantar surat iblis ke Facebook.

Dengan berbuat perkara begini, maka kita telah membuatkan agama kita ini menjadi kartun. Kita telah menambah satu lagi kedah medium syariat. Kalau dulu kita hanya ada Wahyu Alquran dan Hadis/Sunnah Rasulullah saw, kini kita tambah lagi medium syariat dengan kaedah Fantasi dan Imaginasi.

Kita cemar agama kita sedikit demi sedikit, kita masukkan unsur-unsur lukisan syaitan dan orang/malaikat yang lukisannya ada strok jesus atau figura syiah. Dan kita masih lagi kata ianya okey sebab isi kanduangannya okey? ada sesuatu yang silap dengan masyarakat kita kalau kita kata ianya okey.

Manusia makin lama makin hilang akal kerana terlalu terbawa-bawa dengan perasaan dan teknologi moden. Hari makin hari kita ubah agama islam kerana kita anggap segala-galanya baik asalkan matlamatnya baik. Kita tak pernah nak menjaga ketulenan agama.

Al-quran dan Hadis dah cukup banyak kisah tauladan penghasutan syaitan, hasutan iblis dan amaran tentang iblis tapi kita taknak ambil iktibar, kita masih lagi mahu buat "Surat Dari Iblis"

Kenapa? sebab kita rasa Alquran dan hadis itu tak cukup sempurna dalam menyampaikan wahyu atau kita tak seronok sebab dalam Alquran dan Hadis takde lukisan Iblis lawan gusti lengan dengan manusia soleh?

Bagi sesiapa yang baca tulisan ringkas aku fasal surat iblis ni dan dia pernah Share Nota 'Surat Dari Iblis' itu, kalau korang masih mempunyai kewarasan, deletelah ia. Jaga ketulenan agama, pergi belajar fardhu ain dan baca tafsiran Alquran dan Hadis itu lebih bagus dari korang melayan khayalan dan perasaan Iblis dan Orang Soleh bergusti lengan.

Ilustrasi Surat Dari Iblis disebarkan di Facebook. Ini adalah kerja orang yang batil! ini salah satu contoh klasik Talbis Iblis. Lukisan Iblis itu sudah tentulah salah bagi org islam kerana kita gambarkan rupa Iblis, ia adalah benda ghaib yang kita sendiri tak pernah tengok, Gambar manusia soleh itu pula ada strok lukisan Jesus. elok sangat, budak tadika pun dapat buat intrepetasi yang ia melambangkan syurga Vs Neraka. Iblis Vs Malaikat. Ini adalah pencemaran agama.

**********************tamat********************

p.s Tulisan di atas bukan nak warning orang yang reka 'surat dari iblis' pun sangat, org yg tulis tu dah pastilah ego taknak insaf, akan bagi pelbagai alasan untuk justifikasikan perbuatan dia. Surat ini nak pujuk kawan-kawan dan pembaca supaya tak ikut sama dalam kebodohan yang nyata.

p.s .2. Semenjak Google Blogspot Dashboard aku ada problem hari tu, sekarang dah okey, tapi tak boleh nak komen dekat blog org lain dan balas komen korang semua kat blog aku sendiri, aku baca semua komen korang, nak reply tapi dia tak keluar nama aku sebagai pemilik akaun google. nanti dah repair, aku komen balik ok.

April 15, 2013

Ku Pendam Sebuah Luka

Assalamualaikum..

Aku lambat dalam bab-bab motor ni. Bukan apa, disebabkan mak bapak aku dulu over-protective dalam hal bawa motor ini maka undang-undang disematkan ke dalam dada anak-anak walaupun kami tak pernah rela ia disematkan.

Mengikut undang-undang kecil abah, abah cakap dah ada lesen baru boleh bawa motor. Tapi kejap je bertahan undang-undang ini sebab bila kami pindah Mersing pada tahun 1998, kedai runcit jauh, maka aku pun guna kaedah hujah yang membuatkan abah bersetuju untuk melonggarkan sedikit undang-undang tersebut.

" abah, ikar tak nafikan bawak motor wajib kena ada lesen, itu undang-undang bah, tapi bukankah undang-undang itu ada syarat dia?"

" apa yang berserabut sangat ayat kamu ni ikar? cuba straight to the point"

" aaa mcm ni, mengikut akta, bawa motor tanpa lesen adalah satu kesalahan jika ditangkap masa bawa motor di atas jalan raya yang telah digazetkan oleh JPJ. Gazet tu maksud dia, jalan raya yang ada line putih tu la bah, yang macam kat bandor mersing tu, kalau takat taman rumah kita ni, takyah ada lesen pun takpe, lagipun mana ada polis terapik nak masuk dalam taman ni saman kita bah"

"erm okey, tapi bawak dalam taman ni je, tak boleh keluar pergi jalan raya, kalau abah tau, siap"

Korang nampak tak macam mana aku bermain dengan kata-kata sehingga membolehkan undang-undang itu dilenturkan? tapi bukan bagi macam tu je, mama pula sambung

" ha, dah boleh bawak motor ni, senang la kamu nak menolong aku pergi ke kedai ye Ikar, tapi kamu bawak motor baik-baik ikar, mama taknak dengor kamu berlumba ke, eksiden ke apa ke, mama tau kamu eksiden bawak motor laju-laju memang siaplah kamu aku besit!"

***********************************

Okey mari kita guna kaedah pendekkan cerita dengan memadatkannya dalam sebuah perenggan.

Tahun berganti tahun, maka aku pun bawak motor yang pelbagai, dari Motor pertama Suzuki Best hinggalah ke Motor Suzuki GSX 250 yang besar dan ada Clutch Mati. Clutch mati ni kena terangkan kepada semua pembaca muda, sebab akhir-akhir ini dunia pemotoran negara sudah mula menjadi hambar, dengan kurangnya motor dua lejang digantikan dengan motor 4 lejang, dengan tiadanya lagi skill-skill melepaskan clutch agar motor tidak mati kerana semua motor sudah tiada clutch, jika ada pun clutch hidup.

Clutch ni dia kat tangan kiri, sebelum masuk gear kau kena tarik clutch tu macam tarik brek belah kanan. Bila dah masuk gear, kau kena lepas pelan-pelan sampai motor ru berjalan sikit kemudian kau kena hold sampai motor tu ada lajak, lepas tu kau tarik balik tuil clutch tu, masuk gear dua, ha masa dah masuk gear dua dan ke atas dia dah mudah sikit, kau tak perlu kawal sangat, boleh dah nak lepas laju-laju macam orang takde pedoman.

Zaman awal 90 an hinggalah awal milenium lebih kurang tahun 2002-2003 mcm tu, lelaki yang pandai bawak motor ada cluth ini adalah lelaki paling pahlawan di antara semua lelaki yang ada. Kiranya macam zaman sekarang kalau lelaki tu pandai Jailbreak Iphone tanpa bantuan kedai henpon tu dikira pahlawanlah.

Aku ingat lagi abang aku pernah ajar bawak motor clutch, dulu aku berlagak ego sebab aku malu nak mengaku aku tak pandai bawak motor clutch mati ni. Abang aku steady je duduk kat halaman rumah tengok hari pertama aku bawak motor Suzuki GSX 250 tu.

Bila aku lepas clutch pelan-pelan, motor bergerak, bila gerak aku lepas clucth terus maka motor itu pun melompat-lompat macam kuda bernafsu kuda. Memanglah kuda bernafsu kuda, kalau kuda bernafsu monyet, susah juga nak bawak berbincang.

"kamu masuk gear satu tu, lepas clutch tu jangan habis, agak sampai berjalan je, kalau tahan jangan lepas semua, masuk gear dua pulak"

Tapi aku buat banyak kali tak boleh, pastu jiran aku pulak masuk campur ajar, nama dia abang muazzam.

" Macam ni ikar, masa awak dah rasa motor tu bergerak, awak jangan lepas clutch laju-laju, awak biar dia jalan dulu tarik balik clucth tu masuk gear dua, ha lepas tu baru boleh bawak laju sikit"

Aku buat ikut cakap abang Muazzam barulah boleh, entah kenapa kita ni bila kena nasihat dengan adik beradik sendiri susah benar nak terima dek akal, bodoh sombong gamaknya. Tengok sampai berbelas tahun aku ingat nama Abang Muazzam hanya kerana dia ajar aku bawak motor clutch.

Suzuki GSX 250, Motor aku dulu sebijik rupa macam ni, rindu betul, aku tulis entry ni pun sebab semalam aku mimpi bawak motor ni ronda-ronda. Dah jahanam dah motor ni tersadai kat bengkel mersing, ada pomen mengaku terer, bukak2 barai tak reti pasang balik.


**************************

Nampak tak aku gagal nak pendekkan cerita jadi satu perenggan yang aku janjikan? takpe, kita cuba lagi kali ni pula.

Dipendekkan cerita, hari berganti hari, bulan berganti bulan, aku pun dah pandai bawak motor besar tu, tapi ada musibbah yang bakal berlaku, Motor Suzuki GSX tu rosak starter dia, disebabkan masa tu tahun 2000 dan Mersing belum menjadi bandar maju, maka bengkel motor besar takde. Segala spare part nak kena order samada dari JB, KL atau Kuantan.

Disebabkan itu juga, maka motor itu takde starter selama berbulan-bulan lamanya. Jadi aku dan abang setiap kali nak bawak motor tu kena tolak dalam 6-7 langkah, masuk gear kemudian lepas clutch, enjin motor hidup, lompat naik. Bayangkan setiap kali aku nak pergi sekolah bawa motor tu aku kena buat rutin yang sama. Kadang-kadang tengah-tengah bandar Mersing, lepas beli air tin kat Kedai Rajiv aku kena tolak motor nak bagi start.

Pada satu hari, Mama kirim beli kelapa parut dua biji, Cili Api dua ringgit, Terung panjang 3 batang, Belacan seketul. Nak masak gulai lemak cili api pekat. Disebabkan motor Suzuki Best takde sebab abang aku bawak pergi mana entah aku lupa, maka aku pun gigih nak bawak motor Suzuki Gsx 250.

" kamu tak payahlah bawak motor tu ikar, kan ke susah nak start, kamu bawak basikal sudahlah" kata mama.

" Ish apa barang bawak basikal mama, motor ada bawaklah motor, taulah kerja ikar nak start motor tu, bukan tak biasa" Kata seorang anak bernama ikar yang angkuh.

" yelah, baik-baik bawak, jangan tertonggeng pulak nanti"

" kalau tertonggeng, jangan panggil ikar ni ikar lah mama, luca cadalora ni" Kata Ikar yang angkuh berganda.

Selesai beli barang kat kedai runcit, aku pun nak balik, macam biasa bila nak start motor kena tolak, aku pun entah apa puaka yang merasuk diri, hari tu elok pulak aku nak try masuk gear satu untuk start. Selalunya pakai gear dua.

Aku masuk gear satu, tolak motor laju-laju depan kedai runci Taman Sri Bayu, lepas clutch laju-laju macam orang hilang pedoman, Motor Besar tu meluncur laju macam kuda hilang pelana. Entah Puaka apa lagi pula yang mengganggu aku sampai aku tak boleh fikir nak tarik clutch atau sekurang-kurangnya tarik brek, atau sekurang-kurangnya melepaskan motor itu berlalu pergi.

Aku boleh pegang hendel motor itu sambil meloncat-loncat bersama-sama motor. Buruk benor rupa dia bila aku imagine rupanya macam mana. Mesti kalau ada orang sekeliling yang perasan dia boleh trauma gelak sampai tua bila teringat kembali persitiwa itu.

Belum habis lagi adegan itu,

Motor itu pun meloncat-loncat tanpa sedikit pun belas simpati kepada aku. Dari kedai runcit ke jalan raya, dari jalan raya ke tebing jalan, namun Zulfikar itu masih memegang erat hendal motornya macam orang bodoh yang tidak ketentuan hala.

Dari tebing jalan, motor itu meloncat lagi hingga ke longkang besar taman, Namun Ikar itu masih juga setia bersamanya, bagai belangkas sedang bercinta, tapi motor itu ingkar janji, elok sampai tepi longkang dia berenti meloncat sebab tayar langgar tebing longkang. Aku sorang je terhumban dalam longkang besar taman.

Koyak seluar sekolah tingkatan empat aku, dari buku lali sampai ke celah kangkang koyak habis. Aku syak sebab dia tercarik sangkut kat batu tebing taman. Aku pulak terperosok dalam longkang tu macam yahudi mabuk todi.

Aku pelan-pelan angkat kepala keluar longkang macam arnab keluar lubang di musim panas. aku perhati kiri kanan dengan harapan takde orang perasan, sumpah memang takde orang langsung tengahari terik tu, Aku laju-laju lompat naik atas, cek motor sekadar lalu, cepat-cepat tolak motor, start dan balik rumah.

Sampai dalam rumah, aku usha mak aku dari laman, aku tengok line clear, cepat-cepat aku campak barang runcit atas sofa dan aku lari panjat tangga naik tingkat atas salin seluar koyak dalam bilik. Turun-turun bawah mama tanya..

" Aik laju je naik atas kenapa?"

" berak mama, sakit perut"

Nasib baik mama tak perasan aku salin seluar lain, kalau tak aku dah ready dengan alasan terkincit je masa tu.

Dipendekkan cerita, esoknya mama jumpa seluar sekolah yang koyak panjang tu. Mama pun buat kaji selidik tanpa sedikit pun rasa panik.

" Ha kamu kenapa seluar koyak sampai ke peha tu ikar?"

" semalam anjing kejor ma, ikar nak lari lompat pagar tersangkut tu yang koyak tu"

" Kamu tak payahlah menipu aku ikar, aku tau kamu jatuh longkang besor depan nuuuu, kak siti kedai runcit tu dah cerita kat aku dah"

" iye ke mama? Akak tu cerita apa mama?"

" Dia cakap ke aku, dia nampak kamu terloncat-loncat dengan motor macam orang kena sampuk hantu, pastu jatuh longkang, hahahahahahaha Luca Cadalora konon!"

" Ek eleh Kak Siti tu kecoh je"

" Hahahahaha Luca Cadalora jatuh longkang loncat-loncat macam kuda!"

Mama gelak tanpa sedikit pun simpati di hati.

Aku hanya mampu memendam sebuah luka, luka di kaki nampak berdarah, luka di hati siapa yang tahu. Memalukan betul kena gelak dengan mak sendiri.

Itu yang orang tua-tua cakap, Sakit dapat malu pun dapat. Moral of the story jangan menipu mak dan angkuh dengan mak, dia punya sumpah tu power, tapi power lagi tahap gelak dia.

*********tamat*********



Luca Cadalora beb, dulu aku suka Luca Cadalora sebab nama dia best walaupun bapak segala champion masa tu adalah Michael Doohan, lagi satu sebab aku selalu  berangan bawak motor sambil sebut nama aku Ikar Cadalora, rima oi!

p/s lamanya tak menulis, ada dekat nak 2 bulan!

p/s II kali ni taknak buat p/s banyak-banyaklah, tengah makan kopok sira ni, tangan melekit dengan sambal bergula. tata..

March 3, 2013

Berenang-renang Ke Tepian

Assalamualaikum..

"Rasa mendekati mati itu tidak dapat diukur dari penceritaan tapi pengalaman"

**********************

Orang kata kalau nak uji kemahiran survival kita adalah sewaktu kita mahu berusaha untuk terus hidup, nampak benarlah redundant ayat ni, nak kekal hidup sudah pastilah namanya kemahiran survival.

Sejak dari kecil abah ada ajar kami adik beradik berenang, menyelam dan teknik-teknik menyelamatkan diri dari mati lemas. Walaupun ia bukan latihan formal, namun teknik yang abah ajar tu dari segi logik akalnya memang berkesan.

Abah ajar kalau kita lemas dilambung ombak laut, kita jangan panik, kita menyelam sampai dasar, lepas tu tolak kaki dekat pasir tu lonjakkan badan keluar laut ke depan, dan buat banyak kali sampai kita sampai ke tebing pasir.

Cara yang kedua abah ajar, kalau dah panik sangat lemas kat laut, rilexkan badan dan apungkan diri, secara automatiknya bila kita tenanngkan diri, badan kita akan terapung dan hanyut, masa tu kita bolehlah kuak tangan kita sikit demi sikit sampai ke tepi.

Cara yang ketiga, kita benamkan muka dalam laut, sampai kita terapung secara menerap, kemudian kita kayuh tangan laju-laju selagi daya sampailah kita rasa gerak ke depan, bila tak cukup nafas, kita angkat muka dan ambil udara.

Namun semua kaedah yang diajar ni tak mampu untuk dipraktikkan dengan jayanya jika situasi tidak memaksa kita untuk survive.

hai awak semua, saya suka mandi swimming pool, dan pipi saya tembam!  awak tak payah ckp, saya tau saya tembam.


****************************

Pada satu musim raya haji di tahun 1999 - 2000, iaitu semasa aku tingkatan tiga, aku berhadapan dengan peluang untuk menguji kemahiran berenang. Bak kata orang putih, swim or you die. Eh salah, swim or sink, ha baru betul.

Pada pagi raya haji tu, kami saudara mara berkumpul di masjid tengok orang sembelih lembu, kemudian dek kerana orang kampung dah moden, takde siapa yang nak mengerjakan organ dalam perut tenusu dan karpet itu. Maka Pakteh merelakan diri untuk ambil perut dan proses untuk dijadikan santapan sanak saudara.

Kami pun usunglah perut lembu yang sebesar separuh tong drum tu ke tepi lombong di Kampar belakang rumah Mak andak dengan menggunakan kereta tolak. Peserta yang terlibat adalah Karnain iaitu abang aku, aku, pakteh dan Pakcik Man.

Fokuskan  pembacaan pada watak bernama Pakcik Man. Nama beliau adalah Narizman, kakak-kakak beliau memanggilnya Jeman dan Anak-anak saudaranya memanggil Pakcik man. Pakcik Man adalah seorang yang gila-gila perangainya dan beliau seorang hamba Allah yang sangat degil tapi menyukai air.

Apabila sampai di lombong bekas kawasan melombong bijih tersebut, pakteh pun menjalankan operasi memproses perut lembu, perut itu dibelah dan dibuang tahinya, kemudian dibersihkan helaian-helaian karpet perut dari telur cacing yang merah seperti biji delima.

Sekitar 5 kaki persegi air di tepian lombong itu menjadi keruh dek tahi lembu dan sisa rumput yang separa hadam dari isi perut itu. Oleh kerana pakteh begitu komited dengan kerja dan kepakarannya maka kami yang budak-budak ni takdelah nak campur tangan sangat dalam proses basuh tahi lembu dari perut tu. Maka kami pun buat acara bebas yang mempertaruhkan nyawa, Ia lebih dikenali dengan nama acara mandi lombong.

Di kejauhan, aku nampak pakcik man tengah godek-godek sampan perodi. Kenapa aku panggil nama dia sampan perodi? sebab sampan tu orang kampung mana entah yang buat dari bahan-bahan perodi. Separuh badan sampan dari papan rumah setinggan, separuh badan sampan lagi dibuat dari Zink aluminium yang dileperkan.

Kiranya sampan tu jenis sampan asal jadi, asal terapung tidak tenggelam dibelah badai air lombong jadilah. Dengar cerita sampan itu digunakan untuk menjala ikan talapia. Ada dengar cerita juga ia digunakan untuk mengejar itik serati untuk ditangkap dan disembelih dijadikan rendang.

Sampan tu kecil je, kalau nak ikut hukum Bernoulli, Ia hanya muat untuk seorang lelaki dewasa. Tapi dek kerana kedegilan seorang budak nama Zulfikar  itu, maka beliau pun tergedik-gedik nak naik sampan bersama Pakcik Man.

Ha, lebih kurang besar ni je lah sampan yang aku naik dengan pakcikman, tapi ini teguh lagi, sampan yang aku naik dulu dah rupa sampan tinggalan kerajaan majapahit dia punya horror dia.

Aku mula fikir ingat pakcik man nak main dayung-dayung sampan di tepian lombong, tapi bila aku duduk dalam sampan tu aku tengok makin lama makin jauh pula dari darat. Aku mula rasa tak tenteram, jiwa aku bagaikan dipanah halilintar yang berdentum di ufuk timur. Dalam hati aku bagaikan ada suara yang berbisik-bisik, 

"kejap lagi matilah kamu ni ikar, mati kamu ni dikerjakan pakcikman kamu"

Bukanlah nak menambah-nambah cerita, tapi ceritanya sampan itu dikayuh perlahan-lahan sampai ke tengah lombong. Jarak jauhnya lombong itu saujana mata memandang, airnya warna hijau kehitaman, dalamnya lombong itu senang cerita kalau kapal korek besar Pasaraya Tesco boleh berlabuh, korang fikirlah sendiri dalam dia macam mana.


Ini adalah kapal korek lombong bijih timah standard, apa ingat aku cakap kapal korek besar pasaraya Tesco tu aku tengah hyperbola ke? takde, memang betul2 besar mcm pasaraya.


Apabila makin ke tengah, setiap dayungan memercikkan air lombong ke dalam sampan, sempadan badan sampan dengan permukaan air hanya dipisahkan dengan jarak seinci. Air masuk menyimbah-nyimbah bagai kapal mahu karam. Redundant lagi ayat ini, kalau air masuk dalam sampan, memanglah namanya kapal mahu karam ye dak?

Sebagai seorang anak muda yang baru baligh dan naif, sudah tentulah aku cuak bagai Burung Puyuh yang dikejar musang. Tinggal takde bunyi Cip Cip Cicicip Cip Cip je lagi.

" Pakcikman, air banyak masuk ni cikman! mati kita ni, mati kita!"

" Ikar duduk rilek rilek lah, jangan goyang-goyang, duduk rilek je, taulah pakcikman buat kerja"

" Rilek apa pakcik man? ni soalan hidup dan mati ni, tengah lombong ni pakcik man"

" okey kamu duduk diam-diam, pakcik man nak patah balik ni"

Korang kena baca dialog aku aku kat atas tu macam korang gelabah nak kena tangkap bawa motor takde lesen, takpun korang kantoi kena tangkap beromen dengan makwe kat tepi tasik Shah Alam. Korang boleh buat tak intonasi gelabah tu macam mana? Kalau tak boleh, ikut suka korang nak baca ikut nada macam mana.

Bila aku tengok sampan tu makin nak tenggelam, makin banyak air masuk dari tepi badan sampan, aku mula gelabah, tak sempat nak ceduk air buang dah, lagi banyak air masuk dari air ceduk keluar.

Masa tu aku fikir dua je, duduk tenggelam bersama sampan dan menjadi arwah, atau lompat dan berenang dari tengah lombong ke tepi darat. Ini adalah ujian pertama aku survive berenang. Inilah masanya untuk menguji kesemua kaedah berenang dan mengelak lemas yang telah Abah turunkan zaman berzaman.

Cukup air masuk menyimbah sampai buku lali, aku cakap kuat-kuat, "okey thats it!" amboi dah nak karam, bahasa orang putih semua keluar. Pengaruh Titanic sangat kau Jah!

Aku pun bangun berdiri, seraya aku berdiri itu maka sampan perodi itu pun dimasuki air akibat teroleng-oleng. Air mencurah-curah ke daun keladi, makin tua makin menjadi.

Korang nak imagine macam mana rupa air mencurah masuk dalam sampan nak tenggelam? lepas baca cerita ni, korang pergi masuk dalam bilik air, ambil satu mangkuk kosong, korang tekan mangkuk tu dalam kolah/besen penuh air, korang nanti nampak air tu masuk dan mangkuk tu tenggelam, ha sebiji macam itu.

Okey sambung cerita.

Aku berdiri, kemudian aku lompat terjun tiruk dari sampan yang tenggelam, Aku pun terus kayuh kayuh kayuh kayuh dan kayuh berenang gaya bebas, tak payahlah korang berangan aku kayuh macam perenang olimpik tu, masa tu aku berenang kepala dalam air lombong tak angkat-angkat, agak penat kayuh tak cukup nafas rasa nak lemas, baru aku angkat muka tarik oksigen.

Eh bukan nak kabor hebat lah, memang lombong tu luas, jauh ke tengah, aku rasa ada dekat nak 100 meter dari tengah lombong nak ke tepi darat.

Contoh lombong di Daerah Kinta, tak salah aku, ini salah satu dari beberapa lombing yang ada dekat Kampar ni. Luas bak hang!


Aku kayuh dan terus kayuh, masa tu aku fikir,

" kalau aku lemas ni, tak merasa nak kahwin tidur peluk bini"

Pastu aku fikir lagi

" kalau aku lemas ni, tak dapat aku nak jadi jutawan merasa pakai kereta Ferarri"

Pastu aku fikir lagi

" kalau aku lemas ni, macam manalah rupa tinggal di alam barzakh nanti"

Sambil aku berenang menggelupur tu, sambil aku mengucap. Harapannya kalau mati, mati dalam keadaan beriman.

Entah macam mana keajaiban Illahi, dalam menggulupur berenang tak rasmi tu, aku dah nampak pakteh dan karnain kat tepi darat, maknanya makin dekat, maknanya lagi aku bakal berenang sambil bergenang tahi lembu tepi lombong.

Apalah sangat tahi lembu kalau nak banding dengan nyawa ye dak? Redah tetap redah, lawan tetap lawan! Kira-kira dalam 3 meter dari tepi darat tu, aku rasa macam air dah cetek, aku cuba berhenti berenang dan bangun, tapi jangkaan aku meleset, lombong bukan macam pantai ada pasir landai, dia terus keluk ke dalam macam topografi mangkuk sebab kena korek dengan jengkaut kapal korek.

Aku pun lemas sikit dalam 3 meter dari tepi darat, aku sambung kayuh berenang, tahap ekstrimnya aku nak jaga nyawa aku, aku sampai tahap berenang atas darat lah!

Korang paham ke berenang atas darat tu? dia kaedahnya macam kau menerap atas katil pagi-pagi malas bangun mandi, kau geliat geliat. Ha macam tu lah rupa dia.
Aku berenang secara harfiahnya tangan aku dapat kaut tanah tepi lombong baru aku berhenti berenang. dalam gaya cerita nampak macam hero, tapi kalau tengok depan - depan dah rupa macam orang gila meroyan berenang atas darat sebab dapat tahu laki bela betina lain.

Pakteh sambil tangan siang perut lembu, sambil buat muka pelik dengan abang aku tengok aku berenang dari tengah lombong. Pertamanya diorang pelik sejak bila aku pandai berenang jarak jauh, keduanya diorang pelik kenapa aku berenang dengan tidak semena-mena, ketiganya diorang pelik kenapa aku berenang sampai atas darat.

Haaaaa ye lah tu, dah ye lah tu, sama dah sama dah, lebih kurang dah rupa dia, sama lah ni, inilah rupa dia berenang atas darat.  Pinjam gambor ye kak. - nurulatikah77.blogspot.com

Balik-balik rumah, pakteh cerita dekat abah perihal aku berenang atas darat, jenuh aku terangkan pada semua anggota masyarakat bahawa lombong tu jenis dasar mangkuk. Bukan aku cakap "mangkuk punya lombong! dasar mangkuk hayun!" tapi aku nak cakap, dasar lombong itu berbentuk mangkuk bukan landai macam pantai.

Tapi tiada siapa nak percayakan aku. 

Mereka lebih memilih untuk mempersendakan renangan darat aku dari memuji kehandalan aku berenang jarak jauh dari tengah lombong demi menyelamatkan nyawa. Kalaulah mereka lebih memahami dasar lombong itu berbentuk mangkuk dan bukan landai. 

Pilu hati ini dipersendakan begitu, jiwa ini terasa bagaikan ditusuk sembilu bisa, pedihnya entah bila akan terhenti, berkasih di rimba asmara berapi, terbakar hanya ku sendiri, oh mengapa Aaaaaaa ~ ~ ~ ?

*************************

Ironinya, sampai sekarang aku terus hidup dalam kegemilangan kebanggaan terhadap diri yang berjaya berenang menyelamatkan nyawa dari mati lemas, namun di sudut yang lain, aku diperli oleh Karnain, Abah dan Pakteh. Pakar renang darat katanya.

Cerita dia sekarang ni, pakcik man macam mana? pakcik man elok je hidup lagi, masa aku menggulupur berenang selamatkan nyawa, dia boleh rilex je terapung-terapung tengah lombong sambil menyelam tiga empat kali ke dasar lombong cuba untuk naikkan balik sampan yang dah tenggelam.

Zulfikar Selamat, Pakcik Man selamat, Pakteh selamat, Karnain selamat, Perut lembu pun selamat jadi kerabu petang itu. Cuma yang tak selamat, Tuan punya sampan. Aku syak dia mesti buntu memikirkan siapa yang rembat sampan menjala ikan talapia dia. 

Aku syak kalau dia tak pasrah dengan kehilangan sampan itu, pasti dia sakit jiwa. Harap dia redha, bersampan-sampan dahulu, berenang-renang ke tepian, sampan yang hilang jangan dikenang, kelak nanti merosak diri.

Hai, saya tengah apung diri! alaaaaah, jangalah dalam hati itu berkata-kata saya bagai badak air pula, saya hanya insan biasa yang perlukan kasih sayang yang tiada bertepi.


*******************tamat******************


P/s untuk isu-isu pendapat semasa dan politik, aku akan teruskan dengan format kompilasi bebelan saya.

P/s II  Blogger.com via Chrome ni tetiba baik dengan sendirinya, membuatkan semangat nak menulis aku kembali okey.

P/s III Siapa yang ada anak, wajib ajar anak cara-cara berenang, untuk kegunaan duniawi, jangan nanti ralat bila bawak  pergi mandi, lemas. korang rasa menyesal tak ajar berenang.

February 14, 2013

Kompilasi Bebelan Saya Volume 9

Assalamualaikum

Kompilasi Bebelan Saya kini sudah volume 9. Aku harap ilmu yang aku kongsikan bersama korang semua akan memberikan manfaat kerana apabila matinya seorang anak adam maka terputuslah hubungannya dengan dunia kecuali tiga perkara

1. Amal jariah yang disedekahkan
2. Anak soleh yang mendoakan
3. Ilmu yang dimanfaatkan.

Jika ada sebarang ilmu, maka manfaatkan, jika ilmu itu tidak dimanfaat, serupalah ia bagai pohon tidak berbuah.

Mari dengar saya bebel, kompilasi yang ke sembilan banyaknya.

Jangan jadi Insan tidak mahu mendengar, melihat dan berkata, karang disumpah menjadi monyet bertiga.

*******************************

1. Edar Bible Bahasa Melayu

Ramai orang salah faham, dia perlekeh cakap "edar bible pun nak kecoh, padahal orang melayu alquran pun tak baca"

Ini bukan masalah baca bible atau tidak, ini berkenaan persepsi masyarakat dan nilai sentimental agama.

Takkan di sebuah negara Islam, jika tidak pun digelar negara Islam, tapi negara majoriti Islam, kita boleh membiarkan mubaligh menyebarkan Agama lain kepada org Islam? Di mana sikap hormat menghormati di antara penganut agama?

Sedang Pendakwah dan pendukung agama Islam berdakwah dan mempertahankan Islam, Kita lebih gemar membela agama lain atas bisikan hati kecil yang cenderung membela pendakwah bukan islam kerana political mileage.

Habis semua pesanan Alquran, Hadis dan Piagam Madinah kita korbankan kerana kita taksub dalam prinsip "jika kau musuh kepada musuh aku, maka kau kawan aku"

Dah takde langsung sempadan yang memisahkan perjuangan agama dan perjuangan politik. Awak rakus nak sindir orang dari persepektif politik, semakin hari semakin awak menyerupai parti yang awak lawan, yang awak tuduh sekular itu.

Awak langsung lupa frasa "untukmulah agamamu, dan untukkulah agamaku"

Dasar Political Animal. Moga Tuhan Beri petunjuk padamu.

2. Kematangan  

Bila kau dah habis belajar, kau dah bekerjaya, berkeluarga, dah menghampiri umur 30 tahun ke atas, kau akan mula rilex.

Kau akan mula tenang dan tak menggulupur fikir hal remeh-temeh, dan menggantikan hal-hal tu dengan masalah anak-anak, isteri, bil, rumah, kereta dan kau tiada masa nak melayang hal-hal melatah tak tentu fasal.

Kau akan mula asingkan mana keperluan dan mana kemahuan secara tidak sedar, dan kau tidak peduli sangat pandangan orang terhadap apa yang engkau pakai dan apa yang kau ada.

kau lebih memikirkan pandangan poket terhadap apa yang kau perlu belanja. Perlahan-lahan kau akan mula respon hanya pada benda penting yang bermanfaat. Dan kau akan diam bila tiada benda untuk dicakapkan.

Itulah yang dinamakan matang.

Rilex, korang mcm aku jugak dulu, bila dengar nasihat ni mesti terdetik dalam hati

"hek eleh orang tua ni, nasihat poyo gila"

Dulu aku mcm tu juga, tapi bila dah tua, kau akan cakap pula "patutlah orang2 tua ckp mcm tu dulu"

Bagi orang tua yang masih tidak dapat simptom mcm perenggan awal di atas, maknanya samada anda belum matang, atau anda terikut rentak orang muda.

Atau

anda banyak sangat main facebook!

3. Jadi Pemimpin

Kadang-kadang kau terbayang macam mana keadaan bila kau jadi Pemimpin kan?

Kadang-kadang kau ada terfikir macam mana keadaan kau bila ada kuasa kan?

Bukan susah pun nak bayangkan macam mana, Kau tengok diri kau masa kau komunikasi dengan waiter masa ada duit lebih sikit bila gaji.

Agak-agak kau rasa megah semacam, agak kau rasa cepat bengang bila waiter lambat atau salah ambil order sikit, Ha itulah perangai kau bila kau ada kuasa, jadi pemimpin.

Tapi itu baru 1 per 100 lah pengiraan dia.

4. Perbandingan Singapura dan Sarawak



Tak adilnya cara kau membandingkan Singapore dengan Sarawak, kau tangkap gambar dalam hutan hulu ceruk mana dekat Sarawak lepas tu kau banding dengan pusat bandaraya Singapura.

Kenapa kau tak banding Hutan pendalaman Sarawak dengan Hutan Bakau Singapura?

Kalau kau banding Singapura dengan Kuching, adalah juga adilnya walaupun semua org di dunia sedia maklum Singapura lebih hebat dari Kuching, Ini kau banding Hutan Pendalaman dengan Pusat Bandar Singapura. Kau ni ada akal ke takde?

Kau tak pulak cerita pasal perbandingan keluasan Pulau Singapura dan Sarawak, dan berapa panjang sempadan dan berapa juta rakyat.

Sebab apa? sebab kau bukan nak mencari kelimuan dalam perbandingan, tapi kau nak mengadu domba, niat hati kau tak jujur, kau nak dengar dan lihat separuh, dan kau nak kawan-kawan kau lihat dan dengar separuh saja.

Busuk hati orang mcm kau ni, di sebalik tuduhan kau terhadap org lain yang tidak adil, kau juga adalah orang yang tidak adil dan suka mengadu domba. Shame on you.




5. Melawat Palestin


Ada ke orang kata, nak pergi melawat Palestin tu orang yang ada kuasa dan pemimpin tertinggi je boleh, sebab tu Pemimpin Parti Politik lain tak pergi Palestin.

Pembohongnya, Afdlin shauki artis buat lawak kat MaharajaLawak pun boleh pergi sana.

Hendak seribu daya, taknak seribu dalih.

Pemimpin, Dasar penakut.

Pengikut, Dasar bodoh sombong.



6. Menilai Tawadhuk Tok Sheikh

Kalau nak nilai Tok Sheikh / Tok Guru / Ulama yang tawadhuk, senang je. Kalau ada anak muridnya yang memuji dan memujanya melampau sampai ada yang meniarap cium kaki dia, dia akan marah anak murid tersebut.

Paling tidak pun dia akan angkat kaki taknak bagi murid tersebut mencium kakinya. Atau kalau dia garang, dia tampar manja muka anak murid dia, bagi sedar dari perbuatan yang melampau-lampau menyanjung manusia.

Nabi saw pun sahabat tak cium kaki baginda mcm org hindu sembah baba, engkau baru tok guru tarekat pulak nak syok sendiri melebih-lebih dari nabi?

Kalau kau ikhlas zuhud dan jujur, kau dah marah dah anak murid kau yang meniarap cium kaki kau. Ringkas analoginya.

Aku tengok dekat youtube, ramai yang tergesa2 cium kaki tok guru tu, adalah 2,3 orang, aku nak embeded video tu kat sini malas pulak, jgn pula ada org ignorant ckp "ini bkan cium, ini sujud sahwi"



7. Jangan Jadi Bodoh


Bukan susah pun nak jadi orang bodoh. Cuma perlu dengar apa yang orang cerita, kemudian sampaikan kepada semua orang dengan bersemangat tanpa mengetahui cerita yang disampaikan itu betul atau tidak.

Apabila orang kata "Eh yang kau dengar benda tu tak betul lah, dah keluar berita dah"

Kau jawab balik "aku mana tau betul ke tak, aku dengar kawan aku yang cakap"

Atau kalau kau nak double bodoh, kau jawab "Mana kau tau benda tu tak betul, kau tu yang bodoh"

Atau kau tak payah jawab apa-apa, kau terus je buat muka kering berlalu pergi, dan selamanya orang akan cakap.......

"Mamat ni lah yang bodoh hari tu, harap je belajar sampai Degree, bodoh melantun-lantun tahap Phd"

P.s selidik dulu sebelum sampaikan sesuatu perkara, jangan bercakap kalau taktau, kalau nak juga cakap, jadikan ayat itu satu bentuk persoalan, bagi mengurangkan tahap kebebalan korang di mata masyarakat.

8. Saya Mahu Tengok Siapa Wakil Saya?

Nak tengok dapat tak Hadi Awang dan TGNA handel Karpal Singh. Jangan bagi alasan "Dia boleh ckp apa saja, sebab dia bukan Islam jadi dia tak faham Islam"

Karpal Singh tu faham Islam dan Undang2 Islam kalau nak dibandingkan dengan sebilangan org kebanyakan.

Masa ini lah nak buktikan antara pertahankan Agama dan Kemenangan pilihanraya mana lebih utama.

Jangan kata pulak "Kita kerjasama dgn dia dlm hal politik saja, bukan dalam hal agama"

kalau awak cakap mcm tu, awak dah kata agama suku, politik suku. Sama mcm awak ckp Umno buat dari dulu sampai sekarang.

p.s anda patut kempen kepada saya supaya mengundi parti anda, bukan mengherdik saya jika saya banyak bertanya. Saya kan pengundi yang dikatakan penentu siapa wakil saya.


9. Lekeh Benor Gayanya


Kalau nak berbincang tentang Perjuangan Malaysia ke arah yang lebih bagus, bincanglah benda yang bawa manfaat.

Contohnya, mendesak Kerajaan menurunkan harga kereta import dan cukai ke atas kereta Nasional.

Menganugerahkan AP import kereta percuma kepada setiap ketua keluarga yang mampu tanpa sebarang Caj.

Menganugerahkan AP gula, Tepung gandum dan Beras kepada ramai pengusaha bagi menghapuskan monopoli.

Mewujudkan perumahan rakyat mampu milik yang lebih kondusif.

Ini tidak, Cerita Artis Kpop PSY yang sibuk dikecoh-kecohkan, entah apa manfaat bagi negara pun aku tak tau. Masalah segelintir rakyat Malaysia totok politik ini adalah bodoh tak habis-habis.

BN bagi Konsert Free tu kalau taknak pergi tengok sudah, BN pula tak payah pukul canang pasal PSY konon mcm hero, Pakatan Rakyat tak payah jadi badut bengap cari silap remeh temeh.

Hujung-hujung zaman ni, yang konon ulamak suka cakap benda yang sia-sia, elok dah awak tu nampak mantap berhujah, bila cerita pasal PSY terus org nampak lekeh benor ulamak Malaysia ni.

10. Jahil Dalam Perdebatan

Paling susah nak berdebat bukan dengan orang yang penuh ilmu, tapi dengan orang yang jahil.

Apa saja yang kita cakap, dia akan twist dan faham dari sudut yang dia mahu tahu saja, bila dia tak tahu dia pula akan cakap kita tak cukup ilmu dan menipu.

Biarpun segala hujah dan bukti diberikan dia masih lagi mahu bercakap macam orang takde iman.

Dan orang macam ini akan berterus-terusan hidup dalamkebodohan, tetapi yang lebih ironi dia akan fikir dia pandai. Pendek kata, orang tua-tua cakap bodoh sombong namanya.

“Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu tetapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, kerana orang yang jahil itu tidak pernah faham landasan ilmu”. Imam Syafie Rahimahullah

Kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapak. Ilmu dinilai dari pemikiran, bukan pada usia, pengalaman mungkin dari usia, tapi benda common sense, kadang-kadang budak sekolah rendah pun boleh faham.

Ke salah pendapat aku ni? kalau salah lagi, "hamba bodoh, tuan"




***************** Tamat ****************

p/s  lepas aku dah remove google chrome dan install balik, masih ada masalah dekat blogger.com, dia tulis "you had been sign out at different place, do you want to sign in back?" pastu ada pilihan keep sign in atau close. Bila aku pilih sign in back, dia keluar, "this page cannot be display due to cookies and cache problem (turn off) bla bla bla bla, dah on balik pun dia masalah juga. siapa terer, mohon nasihat.

p/s II Sekarang aku update blog guna mozilla firefox, dan rasa kekok, dan aku jadi takde mood, dan aku syak nanti ada lari setting bila berlainan user bukak baca.

p/s III "Ah banyak benor alasan kamu ni Ikar, kalau malas kabor je malas" beginilah kalau mak aku ckp bila dia dengar aku bagi alasan.


February 3, 2013

Abang Lori Yang Disalah Erti

Assalamualaikum..

Sebagai kickstart untuk mula rajin update kembali ni, bagi aku bercerita benda yang ringan-ringan je lah. Banyak perkara yang berlaku pada aku dalam bulan ni. Jadinya aku sibuk sikit dengan hal-hal duniawi.

Mula-mula aku dah jual kereta aku yang aku ceritakan dulu dalam entry yang lepas, kemudian aku beli motor sebiji, lepas tu google chrome aku ni problem, dia tak boleh nak log in dalam Blogger.com untuk aku update entry.

Kata google chrome tu, aku ada salah setting pasal cookies dan cache, aku yakin memang aku ada usik-usik setting tu, sebab rasa meluat dengan Popups window iklan bila kita buka website yang popular. Ke aku sorang je yang kena macam ni?

Contohnya, bila aku buka website Mudah.my kan, mesti ada popus windows iklan pasal software la voucher lah apa lah itulah inilah. Aku sorang je ke kena macam ni, atau korang yang lain pun ada juga?

Ah abaikan pasal popups iklan ni, ni aku ada benda nak sharekan ke korang ni. Kisah pasal Abang lori.

**************************

Lori 3 tan berbadan kayu dan kanvas macam inilah yang aku naik dulu sambil menjerit2, teruskan pembacaan ke bawah utk tahu lebih lanjut.

Dua minggu yang lepas, aku dapat order dari Pasaraya The Store, jadi aku kena hantar biskut ke seluruh cawangan The Store dan Pacific satu Malaysia. takdelah seluruh mana, cuma hampir 70% dari semua cawangan dia lah.

Nak dijadikan cerita, pada masa yang sama lori company aku pun rosak dan tidak fit untuk digunakan atas Jalanraya. Aku pun sewa lori orang untuk seminggu, kebetulan pula lori itu diambil semula lepas 3 hari guna sebab tuan lori dapat projek nak guna selama seminggu.

Pada masa yang sama lagi, pemandu lori bercuti atas alasan yang tak boleh diceritakan di sini, maka atas semua sebab yang berlaku pada masa yang sama memaksa aku merelakan diri untuk menjadi Abang Lori. Tapi takdelah bawak lori, aku bawa Van untuk hantar biskut ke pasaraya The Store.

Sehari aku bubuhlah 20 karton dalam Van tu dan hantar ke 4 cawangan pasaraya, sebabnya satu pasaraya order 5 karton, proses nak buat delivery ni puratanya dalam sejam setengah satu pasarya, daripada masa perjalanan, tunggu giliran menurunkan barang, cop invoice dan delivery order dan angkat susun kotak karton dalam stor.

Kesimpulannya, kerja sebagai abang lori ni renyah, berlengas dan penat. Aku bawa kawan merangkap staff untuk jadi kelindan, lepas tu bergilir-gilir bawak lori. Lepas dia rehat, aku pulak bawak, lepas tu aku pulak tidur. Ha lebih kurang macam tu lah. Rupanya kelindan ni banyak membantu, dulu aku pandang enteng je tugas kelindan, tapi kelindan ni banyak membantu. Kalau semua Driver nak buat, boleh mati putus urat belikat gamaknya.

********************************

Bila cerita pasal jadi Abang lori ni, aku teringat satu kejadian yang berlaku 19 tahun dulu, masa tu aku darjah 4, apa kaitan antara abang lori dengan kenangan nostalgia masa kecil?

Kaitan dia sebab bila kita ingat lori, mesti kita ingat pindah rumah. Aku dulu memang banyak kali pindah rumah, rasanya ada dekat nak 10 kali kot. Tapi kali ni kami sewa lori bukan sebab pindah rumah, cuma nak hantar barang ke kampung.

Kisahnya, mak aku beli set perabot baru, bapak aku pula nak sedekah motor ke pakcik aku. Opah aku nak pindah rumah, maka mak aku nak bagi barang-barang macam peti ais, set sofa, motor jipang dan kabinet dapur yang lebih-lebih ke opah aku.

Abah pun sewa lori 3 tan, sumbat semua barang-barang dalam lori, tutup ikat dengan kanvas. Patutnya abah pergi balik Ipoh naik lori tu dengan pak itam je. tapi iyelah budak-budak kan masa tu, bebudak kan femes dengan tagline "abaaah..... nak ikut!"

Tak tau pulak kedegilan aku nak ikut ni akan meninggalkan titik-titik hitam dalam diari hidup aku, dipendekkan cerita, abah pun sumbat aku dengan abang aku sekali dalam lori 3 tan tu. Punyalah seronok macam kucing dapat kotak. Kami pun kejap-kejap panjat duduk atas set sofa rotan, kejap-kejap panjat duduk bawah kabinet dapur, Kejap-kejap panjat badan kayu lori tu buat macam Spiderman.

Bila dah ikat kanvas lori tu ketat-ketat, lori pun gerak perlahan-lahan dari Kampung Sungai Tua Baharu Batu Caves Selangor menuju ke Kampar dan Ipoh.

Mula-mula tu seronoklah kan bila lori tu jalan perlahan-lahan dalam KL, bila dah start masuk Tanjung Malim, jalan kampung, kereta takde, speedtrap pun macam takde, Pak Itam pun henjut Lori tu laju-laju. Bila makin lama makin laju, Kanvas tu pun terbuka ikatan dia tepi badan kayu Lori tu.

Bila kanvas tu terbuka, ditiup dek angin yang laju menderu. Mula bunyi "Kelepak Kelepak Kelepak Kelepak" bunyi tamparan kanvas dan tali atas kanvas yang lain, bunyi dia kuat gila, rasa macam nak pecah gegendang telinga aku. 

Pada masa tu aku mula panik, aku mula mencipta pelbagai kedashatan kemalangan yang bakal berlaku macam dalam cerita Final Destination tu. Aku bayangkan kanvas tu berkibas kuat sangat sampai tercabut tali-tali yang ikat tepi kiri kanan lepas tu dia jerut tengkuk aku dengan abang aku, pastu terbang jatuh atas jalan raya, bapak aku tak perasan sebab dia tidur dalam lori.

Aku bayangkan juga, tali yang berterbangan itu menyepak muka aku dengan abang aku sampai pengsan,

"banyak pulak Ikar ni bayangkan, tadi kata nak pendekkan cerita, aku dah naik lemas pulak nak bayangkan apa yang dia bayangkan" kata hati pembaca-pembaca blog ini.

Disebabkan panik, maka kau pun ketuk-ketuk kepala lori tu kuat kuat sambil jerit-jerit

" abah, abah, berhenti abah, kami kat belakang ni bising, berhenti! bagi kami duduk depan abahhh!!"

Aku jadi macam panik gila, aku pun teringat ada henpon, aku miskol abah, lepas tu aku sms abah..

" Kehadapan abah yang disayangi, harapnya abah dapatlah berhentikan lori dan mengambil dua orang anak kesayanganmu yang panik di belakang ini, salam sayang dari anak mu yang amat abah sayangi"

Beranganlah korang, tahun 1994 mana ada orang main sms, henpon pun takde, Henpon Pakcik Rahim yang besar periuk nasik tu adalah. Okey sambung cerita real balik...

Haram abah ke Pak Itam ke nak dengar, pastu aku panik lagi, aku panjat tepi body lori tu, aku lambai-lambai tangan bagi diorang nampak, sambil jerit-jerit.

Last-last abah pun berenti selepas aku ambil langkah drastik menjerit-menjerit sambil ketuk-ketuk badan lori tu guna batang kayu papan alas perabut dalam lori tu.

" Hah kamu Ikar, kenapa kamu menjerit-jerit macam orang gila ni?"

" Tadi bising sangat abah, tali kanvas ni tercabut, pastu kanvas ni pukul-pukul lori sampai bunyi bising nak pekak telinga"

" iye ke Karnain?" Abah aku tanya abang aku pulak, pastu abang aku jawab..

" Entah, Karnain jerit sebab ikar jerit, ingatkan ikar nampak hantu"

Hek eleh karnain ni, ke situ pulak dia, entah bila masa entah aku cakap aku nampak hantu, aku punyalah jerit-jerit nak lepaskan dari penjara kebisingan. Dia senang-senang je cakap sebab aku nampak hantu.

Akibat dari peristiwa itu je, bapak aku dengan Pak Itam pergi jaja cerita aku menjerit macam orang gila nampak hantu dalam lori dekat hutan gelap Tapah.

Sampailah sekarang, asalkan nampak je lori 3 tan bawa barang pindah barang, ada kanvas pastu ada pekerja duduk belakang tu, bapak aku mesti recall cerita lama tu. Dialog dia yang tak habis-habis duk ulang sampai aku naik bosan mesti...

" Kamu ingat tak dulu kekecik naik lori ikut abah hantar barang balik Ipoh?"

" Ingat!"

" Yang kamu menjerit-jerit mcm orang gila suruh abah berenti tu, nak duduk depan sebab nampak hantu kan kan? macam-macam la kamu ni ikar, poyo, hahahahahaha"

" Mana ada nampak hantu bah, ikar cakap suruh abah berenti sebab bising sangat nak pecah gegendang telinga duduk belakang lori tu, sebab tu nak suruh abah berenti"

" alah, penakut cakap penakut"

Aku rasa dekat nak 20 kali ulang cerita ni, dan 20 kali aku defend diri bagitahu hal sebenar pun abah tak faham-faham.

Bila aku dah dewasa baru aku faham yang abah dah tau dah pasal bunyi bising tu, cuma dia saja cakap aku takut hantu sebab nak menganjing aku je. 

Tobat dah sejak tu, aku taknak dah naik lori ada kanvas kalau nak jalan jauh, seksa.


*****************tamat****************


Mula2 rasa biasa2 je, lama2 rasa syok pulak main ronda-ronda naik motor di hujung minggu,  Honda Dash Rs R, takdelah laju mana, cukuplah buat pergi kedai runcit beli kelapa parut.


p/s lepas ni aku update lagi, bila bab pendapat coretan pendek (snippets) aku akan buat dalam bentuk kompilasi bebelan saya.

p/s II siapa ada sebarang kemushkilan bab agama, boleh search di kotak search belah kanan utk entry2 lama, kalau tak jumpa, nak tau juga pasal pendapat, boleh tanya aku di ruangan komen atau di Fanpage Blog Rasa Hati.

p/s III penatnya kerja jadi abang lori, isnin sampai jumaat, bila weekend sabtu ahad, terjaga tidur awal pagi sebab mamai, kelam kabut nak pegi hantar biskut, punyalah trauma.

January 17, 2013

Kompilasi Bebelan Saya Volume 8

Assalamualaikum...

Kompilasi bebelan saya sudah sampai volume lapan. Mari kita pendekkan pendahuluan, kita teruskan saja kepada bebelan. Lepas ni aku akan buat entry pasal pendapat Insyallah.

***********************

1. "Mereka Tidak Tahu Fasal Islam"
Ramai yangg berkawan dengan bukan Islam dalam politik, apabila kawan bukan islam itu menghina Islam, mereka akan cakap "tak apa, dia bukan Islam, dia tak faham islam sebab tu dia cakap macam tu"

Awak semua perlu tahu dan awak sendiri memang dah tahu di dalam hati kecil awak bahawa mereka yang bukan islam ini di zaman yang serba canggih dan penuh maklumat dan membesar di negara majoriti Islam ini, mereka sebenarnya tahu pasal Islam.

Mereka setidak-tidaknya kalau tidak tahu mendalam pasal Islam, mereka tahu pasal asas-asas islam, Sama seperti kita tahu Pasal sensitiviti Buddha, Hindu, Kristian, Sikh dan lain2.

Sama macam kita yang tahu pasal agama bukan islam dan kita hormati sensitiviti mereka, maka kita juga mahu mereka menghormati sensitiviti agama Islam.

Zaman 90an dulu tiada masalah hiruk pikuk dalam hal mengkritik agama Islam, takkan tahun 90an mereka tahu hormat agama Islam, tapi skrg pula mereka bebas bercakap dengan alasan mereka tidak faham pasal Islam?

Amat bacul samada kepada pemimpin PAS, PKR atau Ulamak yang bagi hujah "Dia bukan Islam, dia tidak faham islam sebab itu dia hina Islam"

Anda bohong! hati kecil anda bohong! Sebenarnya mereka tahu pasal islam. Lawyer-lawyer di dalam DAP Dan Bersih, di dalam MCA dan MIC, NGO dan profesional dalam parti anda semua tahu pasal Islam.

Sesetengah dari mereka malah lebih tahu pasal Islam dari orang Islam sendiri. Mereka lebih belajar undang-undang syariah dan membaca buku ketamadunan Islam, sebagaimana saya yang membaca tamadun Buddha, Hindu, Kristian. Mungkin mereka tahu pasal Islam seperti mana saya tahu pasal agama mereka secara menonton Discovery Channel dan National Geographic.

Jadi, Kepada pemimpin Islam dalam PAS, PKR, Ulamak dan Kerajaan, Berhenti dengan Hujah...

"Mereka Bukan Islam, mereka tidak faham tentang islam, sebab itu mereka cakap silap pasal Islam"

Jangan kerana undi, anda jadi bacul.

***************************

2. Mempolitikkan agama

Korang dah nampak dah apa jadi apabila Islam dinilai dari persepektif politik?

Dulu orang tanya aku, "Zul apa makna mempolitikan agama?"

Analogi dia, apabila pemimpin kau seorang tak setuju Kalimah Allah digunakan oleh orang Kafir, pemimpin seorang lagi setuju secara keras, tapi kau diam sebab malu. Kau alih perhatian kau pada isu remeh mcm 'Listen listen listen'

Sebab apa? sebab kau Assobiyah. Kau tak sanggup hadapi saat malu bila pemimpin kau sendiri tak sependapat dalam hal paling penting dalam agama iaitu persoalan pokok, Akidah.

Itulah dia apabila kau mempolitikkan agama.

***************************

3. Ludah dan Jilat balik.

Nama 'Allah' ni Allah swt yang maha kuasa yang jaga. Bukan orang kafir, bukan orang politik.

Sampai satu masa bila Allah tunjukkan kuasa. Orang yang cakap lantang pasal Kalimah Allah sekarang terpaksa telan balik ludah dia.

Dulu dia ketawakan orang dengan lantang, sekarang bila pemimpin dia sendiri buat kenyataan patah balik 360 darjah, maka senyap sepilah FB dari mulut-mulut jahil.

Dia tersepit samada nak dapatkan sokongan rakan dalam politik atau undi orang kampung dan orang Islam yg masih kuat rasa sentimental mereka.

Dia tersepit antara kawan Tahalluf Assiyasinya dengan kawan-kawan dalam Majlis Syura dia sendiri.

Dan kini benarlah janji Allah, siapa yang aibkan orang, Allah akan aibkan dia semula. Belum mati lagi, dekat dunia dah nampak balasan.

Apabila orang-orang politik mula jilat ludah mereka sendiri. Rakyat Marhaen melihat mereka dengan penuh kepuasan dan simpati.

*****************************

4.  Berhimpun di Stadium

Takde siapa nak marah awak kalau awak berhimpun dalam stadium tu elok-elok, dah habis berhimpun awak boleh balik rumah aman damai, takde sape nak sembur gas ke meriam air ke kat awak.

Takde siapa yang nak bawak kereta polis langgar awak, bukan sekali tu je awak berhimpun dalam stadium, selama ni pun berhimpun kat Stadium Melawati Shah Alam, Kedah, Stadium Kota Bharu, macam-macam stadium, takde siapa pun nak marah.

Dah boleh dah belajar menghormati hak rakyat Marhaen yang lain. Bukan awak je yang ada hak, orang lain pun ada hak juga sebagai rakyat Malaysia.

Kalau awak dari dulu buat macam ni, takde siapa yang nak marah awak, nampak?

Awak tu je yang paranoid tak habis-habis.

*************************

5. Hudud dan AES

Zulfikar : Hudud perlu dilakukan, kalau tak buat salah kenapa nak takut?

Kawan : Setuju, kau ni selalu bagi pendapat yang bernas lah Zul.

Zulfikar : AES perlu dilakukan, kalau tak buat salah kenapa nak takut?

Kawan : mana boleh! tak boleh tak boleh, mana boleh.

Kita bincang bukan pasal hudud, kita hujah pasal penaakulan mantik dan kaedah hujah.
ayat yang perlu diberi perhatian adalah "kalau tak buat salah kenapa nak takut?"

Bincangkan. (12 Markah)

***********************

6. Sentimen dalam Masalah Beristinjak

Masyarakat Melayu Islam di Tanah Nusantara seperti Malaysia, Indonesia, Singapura dan Selatan Thailand mempunyai satu kecenderungan iaitu bersuci selepas berak dengan menggunakan air.

Malah budaya rakyat India dan majoriti masyarakat Asia Tenggara menggunakan air dalam bersuci selepas berak atau Istinjak.

Namun dalam Hukum feqah Islam, Beristinjak mempunyai 2 cara.

1. Menggunakan air, cuci sehingga yakin hilang warna, bau dan rasa.

ATAU

2. Menggunakan bahan kesat dan kering seperti kayu, batu, kertas, tisu. Salat 3 kali dengan 3 biji batu, atau 3 bucu berlainan pada sebiji batu contohnya, Sehingga hilang warna, bau dan rasa.

Tidaklah pula menjadi satu kewajipan umat Islam mesti membilas dubur selepas setiap kali beristinjak dengan bahan kering. Dan tidaklah jatuh hukum tidak suci orang yang beristinjak tidak menggunakan air.

Dan bukan juga satu keutamaan perlu mencari air dahulu seperti hukum bertayamum.

Maka saya berpendapat, orang yang mengeluarkan kenyataan

"Ia adalah satu penghinaan kepada Islam apabila jamban duduk hanya ada tisu tapi tiada kepala paip untuk bersuci"

Mereka adalah orang berkomen kerana Sentimen, bukan pada paksi hukum. Masalah ini boleh menjadi besar impaknya kerana mereka akan mula membatalkan solat org yang beristinjak menggunakan tisu seperti orang cina.

Dalam semangat mengatakan bahawa mereka mahu menilai manusia dari segi agama saja, tapi sebenarnya pada masa yang sama, mereka menilai masalah beristinjak pada sudut budaya.

Bincangkan ( 20 Markah)


*************tamat***************


p/s 1. Anda rimas berbicara pasal politik atau anda rimas bila orang mengkritik parti anda? atau anda rasa tak selesa bila ada orang bagi pendapat yang lain dari pendapat anda?

p/s 2. Alhamdulillah, Blog Rasa Hati sudah ada follower yang ke 1001, dan Pageview yang hampir setengah sejuta selepas 2 tahun ke udara. Nanti next entry buat entry penghargaan.

p/s 3. Ye, aku tau kawan2 fb tu dah baca pasal bebelan ni, mcm bebelan2 yang aku tampal kat wall fb tu. Kompilasi ni diwujudkan utk capaian pembaca lain dan juga untuk jadi arkib diri sendiri. tapi apa2 pun, terima kasih utk sokongan anda. sayang korang ketat metat.

p/s 4. Masalahnya, ada ke perkataan ketat metat?


January 11, 2013

Makhluk Tuhan Paling Seksi



Assalamualaikum...

Walaupun aku dulu pernah bersekolah asrama di sekolah agama Menengah, tapi aku tetap seorang remaja yang tidak suka distreotypekan. Asal balik kampung saja, mesti makcik-makcik akan buat dialog stereotype

" wah ustaz ada ni, boleh lah baca doa kenduri selamat, malam ni Ikar pakai serban dengan jubah ye? pandai ikat serban kan? ustaz la katakan"

" Ustaz apanya Maknyah, ni king of bilal lah, kiranya belum bilal bangun azan subuh, ikar yang pegi kejut tau?"

Begitulah contoh dialog aku terhadap makcik-makcik dan sepupu di kampung. Kiranya aku jawab balik secara sindiran nak bagi diorang rasa menyampah tak tanya dah lepas tu.

Tu belum campur dengan Pakcik Rahim dan Makcik Amy yang jiran aku dulu dekat Sungai Tua tu. Kalau jumpa masa raya di rumah terbuka, Mesti Pakcik Rahim datang dekat dengan aku sambil terjelir-jelir lidah cuba cakap bahasa arab tiruan dengan aku.

" Ya sheikh, enta datang sini naik kereta ka naik unta? kalau naik unta, ana mau tumphanglah enta!"

" Ya Sheikh, ana hari ni tak naik hunta la sheikh, ana kemari naik Biawak Fadang Fasir, ente mau tumphangka?"

Kadang-kadang Pakcik Rahim keliru nak bawa watak pak arab, dia cakap sambil geleng-geleng kepala mcm orang mamak tebar roti canai tengah stim tunggu roti canai masak. Mana ada pak arab cakap geleng-geleng kepala, nampak sangat Pakcik Rahim terbawa-bawa dengan fantasinya.

*************************

Dulu bukan nak cakap lah, dekat sekolah agama semua orang nak jadi paling arab di antara semua arab tiruan yang ada. Kayu pengukurnya bukan setepat mana sembahyang ikut sunnah nabi, tapi sebanyak mana kau tau cara ikat Serban.

Kawan aku dulu ada abang masuk kumpulan Nasyid, kiranya abang-abang dia balik dari Al Azhar, ajar dia cara pakai serban ada 7 ikatan semuanya, setiap hari kena ikat cara lain, boleh cukup seminggu, pergi surau dengan 7 cara pakai serban berbeza setiap hari. Tapi sembahyang mayat dia boleh rukuk. Punyalah hebat!

Aku ada rahsia, aku tak pernah pakai serban secara lilit kepala sepanjang setahun aku duduk dekat asrama tu, Bila ustaz tanya, aku akan jawab......

" Ustaz, keimanan dan semangat mendekati agama bukan pada lilitan serban, tapi pada keutuhan iman dalam hati, dan kesungguhan mendekati sunnah"

Padahal duit nak beli serban, aku dah habis belanja makan nasik ayam kantin. Lapar sangat, duduk sana makan nasi dining hall tak pernah nak cukup.

*******************************

Okeylah, berbalik pada tajuk asal, sepanjang aku hidup ni macam-macam cara aku pernah kelihatan seksi. Tapi tak boleh lawan dengan satu keadaan di penghulu segala hari iaitu hari Jumaat.

Pada tahun 2008 aku pergi Jeddah, di sana dek kerana aku dah sampai ke pasar Al-ballad, haruslah beli buah tangan untuk diri sendiri di samping dah beli untuk keluarga dan kawan-kawan. Disebabkan aku ni orang yang praktikal, aku suka beli buah tangan yang boleh dipakai dari hanya boleh ditayang.

Disebabkan sejarah aku yang tak gemar berjubah dan berserban atas alasan Iklim Malaysia yang panas dan lembab,  aku pun beli la satu jubah Morocco / Maghribi yang nipis, kain kapas, lengan pendek dan murah. Seingat aku harga dia RM 35 je.

Jubah tu sangat sedap pakai sebab kain dia cotton biasa, lengan pendek, tengkuk luas, kain singkat, dan nipis, Kalau pakai jubah tu dari sembahyang jumaat sampai ke senja tak bertukar pun tak apa.

Bertahun lamanya jubah tu berlipat dalam almari, pada satu hari tu aku tergerak hati nak pakai jubah tu pergi solat jumaat di Masjid Shah Alam. kenapa tiba-tiba aku nak pakai? sebab musim hujan, kain pelikat aku jemur tak kering.

Aku pun pakai Jubah Maghribi tu, sarung laju-laju dan pergi ke Masjid negeri, Aku parking jauh sikit dari tempat orang ramai, dekat bahu jalan di bawah flyover roundabout.  Bila dah parking, aku pun berjalan dengan penuh tawadhuk sambil sikit-sikit ada rasa aura kearaban dalam diri aku, berjubah Morocco di Hari Jumaat.

Tapi lama-lama aku pelik, bila aku lalu sebelah segerombolan budak-budak tahfiz Maahad, semua pandang dengan buat muka hairan. Aku pun sapu-sapu hidung kut kut lah ada taik hidung tergantung, takde.

Pastu setiap kali aku lalu depan orang ramai, aku tengok diorang semua pandang aku dengan satu jelingan tajam yang kalau diterjemahkan dengan kata-kata, aku boleh rasa ia berbaur kata-kata nista dan cemuhan. Mungkin juga jelingan itu berbaur simpati yang tiada bertepi.

Aku jenuh fikir, apa aku buat salah. Nak kata kat bahagian bontot ada tompok darah bocor, aku bukan Perempuan. Nak kata jubah koyak mustahil, bukan aku buat pakai jubah ni main takraw dan lompat bergalah.

Aku tak puas hati, demi menghilangkan segala kegusaran, aku pergi depan cermin kereta, tengok imej diri, Tepuk dahi aku sambil geleng-geleng kepala. Macam mana orang semua tak melemparkan pandangan yang tajam bak merobek dada? Aku tengok diri aku dalam bayangan cermin itu macam Lady Gaga pakai baju lutsinar, nampak spender tergantung-gantung.

Nampak Spender tergayang-gayang satu hal, perut yang comel terserlah satu hal yang lain. Manalah pulak aku nak tau Jubah tu nipis sangat sampai transparent nampak semua dalam baju. Aku pula mana nak tahu kalau pakai jubah kena pakai seluar pendek 3 suku dalam tu, takde pengalaman pakai jubah katakan. Jadinya aku pakai je lah spender pastu sarung jubah semata-mata.

Dari situ aku dah dapat pengajaran..

1. Pakai jubah, dekat dalam mesti pakai seluar 3 suku.

2. Pakai apa pun, sebelum pergi Masjid, kena tengok cermin.

3. Orang kata, Cermin adalah kawan yang paling jujur.

Maka pada hari itu, tak salah lagi tajuk lagu indon Mulan Jameelah itu ibarat kata Misssenget. Makhluk Tuhan Paling Seksi. Takde makhluk tuhan yang paling seksi dah pergi sembahyang jumaat pakai jubah nipis nampak spender bergentayangan!


*********************


Okey, bukan jubah ni yang bergentayangan itu, ini Jubah Saudi,  Bukan Jubah Morocco. Masa ni aku dah pakar sikit dah pakai jubah, lagipun kalau pakai Jubah ni, tak pakai spender pun org tak nampak apa, sebab kain dia tebal macam selimut askar!


Ha, Jubah Morocco tu rupa dia macam ni, kain nipis, lengan pendek, bukaan tengkuk luas, kaki senteng, Jubah paling selesa dalam semua jubah yang ada. tapi Badan aku bukan macam kat atas lah, kalau mcm dalam gambat, dia bukan Makhluk Tuhan Paling Seksi, tapi Maklukh Tuhan Dabel seksi.

*****************Tamat*****************

p/s I Sunnah yang paling tepat dalam berpakaian adalah pakai baju yang paling sesuai dengan Iklim, Masyarakat, Budaya dan Kerja, selagi mana ia menepati Tuntutan syarak dan tidak mendatangkan Fitnah.

p/s II elakkan pakai sesuatu yang terlalu pelik, sehingga menimbulkan pelik dan fitnah dari masyarakat, walaupun ia menutup aurat tapi jika terlalu pelik, ia akan menjauhkan masyarakat dari kita.

p/s III aku syak lepas ni aku nak pergi solat jumaat pakai Belangkong pulak. ada jual mana ha?



Review Myvi 2018

Assalamualaikum Aku yakin mesti ramai dah survey  Perodua Myvi model 2018 kan, mesti korang teruja nak tahu ulasan, best sangat ke MYVI ba...