Showing posts with label sengkuang. Show all posts
Showing posts with label sengkuang. Show all posts

May 7, 2012

Sengkuang Makcik Buntil

Assalamualaikum....


sumber gambar pihak kedua dari google, tak dapat trace gambar asal dari siapa, nak guna gambar real dari oldtimesengkuang dia disabled right klik pula, kalau tak dah tentu-tentu aku bagi free publisiti.

Pada hari sabtu lepas, aku pergi menonton Moonlight movie Hypptv, Jemputan khas untuk subscriber Stremyx dan Unifi, Aku dapat 4 pass, tapi aku hanya pergi berdua dengan kawan. Pada mulanya aku ada ajak Shahril Husin dan isteri, tapi dia ada urusan lain.

Boleh tahanlah penganjuran kali ni, pengalaman baru iaitu duduk berkelah atas pasir tempat kuda buat show di Indoor Arena Bukit Kiara Equestrian club ni. Dapat tengok 2 movie sekali harung iaitu Puss In Boots dan Mission Impossible : Ghost Proctocol. Ya, Movienya adalah movie lama sebab mungkin diorang nak save cost taknak beli movie baru. Tapi bagi aku bukan matlamat movienya, yang seronok adalah pengalaman baru tengok wayang pacak zaman moden macam ni.

Orang belum ramai, bila wayang jalan, lampu semua tutup, gelap.

Ya, memang aku teruja dengan konsep movie moonlight ni, rasa mcm hollywood kejap.

Selain dari wayang pacak, ada juga gerai-gerai jual snacks macam pizza, KFC, Kentang bakar, dan sengkuang calit! okey sekarang korang dah mula masuk pada pengisian cerita, abaikan semua gerai snacks yang lain, abaikan juga wayang pacak puss in boots, fokuskan pembacaan pada Sengkuang Calit.


***********************

Masa Sabtu lepas aku beli sengkuang calit pada harga RM 1.50 sekeping, kerana kesegaran sengkuang itu bersama sos sedap-sedap-busuk-sedap itu berserta kacang tumbuk yang rangup, wangi dicampur pula dengan gigitan-gigitan manja pada butir-butir gula yang tersorok di dalam kacang membawa aku kembali kepada nostalgia lama.

Lantas kawan aku berkata-kata kepada aku.

" awak, lama gila saya tak makan sengkuang ni, nostalgia habislah! teringat zaman sekolah rendah dulu, saya beli sengkuang ni makan, 50 sen je awak!"

" maknanya zaman awak dah mahal lah yang, zaman saya dulu sekeping sengkuang ni 10 sen je, bila naik tahun 1995-1996 dah mula jual 20 sen"

" Dulu saya belanja sekolah RM 1.00, mesti makan berat 50 sen, belen 50 sen lagi saya beli sengkuang, memori betul lah awak"

Dek kerana tersangkut dengan memori, maka pada malam itu, sampai 3 keping kami makan sengkuang calit. Cuma masa zaman aku kami tak panggil sengkuang calit. kami cuma panggil sengkuang makcik buntil atau sengkuang sambal merah - kacang - gula.

Memang nama dia panjang, sebab tak pernah ada insan yang mahu berbakti nak letakkan nama khas bagi sengkuang itu, jadi kami budak-budak kampung panggil sengkuang sambal merah kacang gula. Mungkin korang semua ada nama khas yang korang reka atau orang kampung korang bagi, nanti boleh kongsikan kat ruangan komen.

Sekarang masuk kepada Pemfokusan cerita peringkat kedua, fokuskan kepada nama sengkuang itu iaitu Sengkuang Makcik Buntil.

***********************

Pada zaman aku kecik, ada beberapa Junkfood yang yang aku labelkan sebagai makanan makcik luar pagar sekolah, atau orang jawa panggil Jajan. sepatutnya kata khas Junkfood itu tidak boleh digunapakai kerana tidaklah semua makanan itu junk, sebaliknya ada makanan yang lebih berkhasiat dari kantin.

Yang masih aku ingat sampai sekarang adalah Sengkuang Sos merah kacang gula, satey ikan 20 sen, apam balik mini inti kaya, keropok lekor, limau asam boi, jambu batu serbuk asam dan jeruk. Disebabkan masa kecik bapak aku dah jek kami semua yang jeruk itu boleh mengikis dinding perut, maka aku selalu memilih sengkuang kerana ia ada vitamin dan serat sayur, aku juga memilih keropok lekor sebab ia ada sumber protein.

Di Kampung Sungai Tua Baharu hanya ada dua orang yang jual sengkuang sos merah, satu di depan sekolah  rendah sebelah rumah Arzizi, tapi sengkuang dia tak sedap sebab dia hanya bubuh sos merah tanpa kacang dan gula.

Sengkuang paling sedap di dunia adalah sengkuang makcik buntil.

"Tapi kenapa nama dia makcik buntil?"

" sebabnya aku taktau nama dia sebenar apa, aku hanya panggil makcik buntil selaras dengan semua org yang panggil macam tu, disebabkan seluruh badan makcik ni ada buntil-buntil macam chicken pox kekal, ia tidak berjangkit, ia hanya penyakit kulit yang tidak merbahaya, jap lagi aku google nama penyakit tu apa"

Dek kerana makcik buntil ni hanya nama panggilan, maka tidak perlulah aku menulis nama dia Makcik Buntil (bukan nama sebenar) kerana nama sebenar dia tidak pernah diketahui umum.

Aku ada kenangan pahit dengan makcik buntil. makcik buntil adalah makcik jengkel di hujung kampung, makcik buntil suka mengusik budak-budak, makcik buntil suka marah-marah, mencarut dan maki hamun, Namun begitu tetaplah ramai juga orang yang suka lepak kedai dia di bawah pohon melati, di simpang kampung nak ke sekolah agama rakyat.

Ini adalah kerana makcik buntil ada sedikit kualiti berhati baik - tidak berkira. Selain itu makcik buntil suka menyembang, makcik buntil juga tak kedekut memberikan pangkin berniaga tempat dia siang senkuang kepada budak-budak sekolah agama untuk lepak menunggu waktu masuk sekolah.

Hari demi hari, aku makin baik dengan makcik buntil. Bersama dengan Mustafa Kamal, Rahman anak babu roti dan Raziin. Kami selalu lepak atas pangkin - kerusi atas longkang sambil habiskan duit makan sengkuang dan asam limau belah selit asam dia.

Makcik buntil ni penyayang dengan budak-budak yang rapat dengan dia, cuma walau macam mana sayang dia pun, dia selalu buat lawak mencarut dan maki suka hati dia bila dia marah.

" woi tepi sikit, aku nak potong sengkuang ni lah! berambus korang pergi masuk sekolah sana, kang aku potong burung punai korang nak? pergi sekolah! yang melepak kat sini lama-lama kenapa? nak jadi kutu lepak? aku report kat mak bapak korang baru tau!"

" ala rilek la acik, sekolah lambat lagi start. Acik ni sikit-sikit nak marah, eh kami duduk sini pun kami beli sengkuang makcik tau! makcik jugak yang untung!"

" Alah, kau ingat aku kebulur sangat duit seposen korang tu, dah dah, pergi sekolah, kang aku sembelih korang ngan pisau ni kang!"

Begitulah makcik buntil yang suka mengusik budak, sindir dan perli adalah mainan harian dia, ada orang yang boleh tahan maka berkawanlah dengan dia yang tak berkira-kira tu, kadang-kadang bila datang sifat penyayang dia, dia akan belanja limau kasturi belah dua selit asam boi kepada kami. Kalau ikutkan Terma budak-budak muda sekarang bolehlah dikatakan makcik ini adalah Raja Troll.

Namun Troll ada hadnya, troll ada seninya, troll adalah sindir dan mengusik, troll adalah perli dan mencucuk, bila sudah sampai tahap menghina, memaki, memalukan dan mengugut ia bukan lagi troll sebaliknya dia dinamakan cari gaduh.

*******************************

Pada satu hari, sampailah akan had kesabaran aku terhadap lawak kasar makcik buntil, dan melekatlah kenangan ini dalam kepala aku. Jadilah ia dendam tak sudah.

Bapak aku dulu senior manager yang menjaga 14 kilang ais di seluruh Malaysia, jadi abah akan selalu outstation melawat kilang ais. Bila abah outstation, mama akan jadi orang paling risau, mama paling takut ada orang siam, bangla atau Indon yang pecah masuk rumah kami bila abah pergi outstation, dahlah rumah kami masa tu takde telefon.

Selalunya bila abah oustation, mama akan suruh kami semua tidur dalam satu bilik, sambil mama letak batang penyapu dekat dalam bilik konon nak pukul kalau perompak masuk rumah. Mama selalu pesan dekat aku...

" Ikar, kamu jangan cerita dekat sesape yang abah pergi outstation tau Ikar, nanti orang tau dia masuk rumah kita, mati!"

" baik mama, tapi mama, kan ke kita dah kunci pintu tingkap semua, macam mana perompak nak masuk rumah pulak?"

" Hish orang jahat kalau nak buat jahat bukan dia nak masuk ikut pintu ikar, dia pecahlah jeriji ke, masuk ikut atap ke, dah jgn banyak tanya, kalau ada orang tanya, ckp je abah balik mcm biasa okey?"

" okey mama"

Maka pada satu hari, aku pun lepaklah dengan makcik buntil macam biasa. Masa tu aku dah bertambah sayang dekat makcik buntil sebab dia selalu belanja aku limau asam dan dia selalu bergurau dengan aku. Tapi pada hari tu, Makcik buntil mengkhianati kepercayaan dan kasih sayang aku padanya. Kerana perbualan ini, kerana perbualan ini...

" Eh Zulfikar, Mak kau sihat?"

" Sihat je acik, kenapa?"

" Abah kau sihat? abah kau ada kat rumah?"

" Abah pun sihat, abah memang lah ada kat rumah, tapi siang-siang ni dia pergi kerja lah, malam baru dia balik"

" Ah kau Zulfikar, kau tak payah nak membohong dengan aku, aku tau bapak kau takde dekat rumah 2, 3 hari ni kan? bapak kau pergi outstation kan?"

" eh mana ada acik bapak saya ada lah, dia pergi kerja macam biasa je"

" takyah kau nak menipu, jaga kau malam ni aku nak suruh Orang Siam pecah masuk rumah kau, rompak barang-barang kau, rogol mak kau! jaga lah kau..hahahahaha"

" apa benda makcik ni merepek ni makcik? tak baiklah cakap nak rogol mak saya pulak, dah lah makcik, malaslah saya nak layan makcik lagi"

Maka sejak hari tu, aku sudah tawar hati dengan Makcik Buntil. Aku tak sangka hubungan baik yang aku bina dengan dia selama ini dihancurkan dengan mulut lancangnya, sikap melawak dia yang mahu orang merogol mak aku tidak dapatlah aku redhakan di dalam hati.

Pakat je lah masa tu aku sekolah rendah, kecik lagi, pakat je lah aku risau tengok pisau berkilat ada dekat tangan dia yang tengah siang sengkuang itu, membantutkan keinginan aku untuk membelasah makcik buntil.

Meskipun Makcik buntil selalu bersedekah Limau Kasturi belah dua selit asam kepada aku.

Meskipun Makcik buntil selalu bagi aku dan kawan lepak dekat pangkin kayu kedai dia.

Meskipun kadang-kadang makcik bagi extra gula-gula walaupun kami bayar murah.

Meskipun aku faham perbezaan troll dia hanya untuk main-main.

Meskipun Sengkuang sos merah gula kacang dia adalah sengkuang tersedap dalam dunia.

Tetapi ungkapan melawak dia yang mahu suruh orang siam pecah masuk rumah dan rogol mak aku tidak boleh aku maafkan, tak boleh aku redhakan dan tak boleh aku abaikan bak masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Ia adalah ungkapan menghina!

Samalah juga jika orang semua memanggil mak bapak kita sebagai Anjing. Orang itu bukan troll lagi, sebaliknya dia telah mencari gaduh, dia telah memaki hamun dan menjatuhkan maruah kita. Toleransi dan kesabaran ada hadnya. Kau mahu orang hormat kau sama macam kau hormat orang. Kalau kau biadap dekat orang, kau jangan sangka orang akan bersikap baik pula pada kau. Kau jangan suka-suka maki maruah orang dan kemudian kau cakap

" Hek eleh, aku troll sikit pun kau dah melenting, tak kan butthurt pulak weh!"

Budak-budak baru nak up memang tak tau beza troll dan gurau menyindir, sama jugalah macam makcik buntil.

********************

Beberapa bulan lepas, aku ada bersembang dengan Mustafa Kamal anak makcik kantin di Facebook. Dia selalu baca blog aku dan mengenang kenangan bersama.

Hari tu Mustafa Kamal cakap yang makcik buntil masih hidup sampai sekarang, dia selalu terserempak dengan Makcik Buntil dekat Kampung Nakhoda merayau-rayau tanpa hala tuju. Mustafa Kamal cakap Makcik Buntil sudah tidak siuman.

Apa-apapun, jika makcik buntil menghina maruah mak aku masa aku sekolah rendah dulu kerana ketidak-siuman dia, aku maafkan dia, dan aku harap Allah beri rahmat padanya. Tapi jika dia masa itu masih waras dan sedar apa yang dia ungkapkan, masih berbaki dendam tak sudah dalam hati ini.


********Tamat*********

p/s sesudah aku menulis begitu panjang lebar, maka aku telah memujuk hati aku untuk memaafkan makcik buntil, aku anggap dia terlepas ckp atau dia kekurangan ajaran bagaimana mahu melawak. Memaafkan insan  itu akan membuatkan hati kau tenteram dari dendam, dendam yang menyebarkan benih hitam di dalam hati.

p/s aku pun tak dapat bezakan samada Makcik buntil tu kena penyakit TBC kulit atau Papilloma, aku search kat google ni keliru pula. siapa belajar medic baca blog aku sila nasihat.

p/s sampai sekarang aku tak dapat selesaikan misteri, mcm mana makcik Buntil tahu bapak aku takde kat rumah pergi outstation. dia boleh baca hati aku ke mcm mana? ke dia ada telepati mcm Prof Xavier?

p/s Aku dengan ini berazam, nanti aku balik Ipoh, nak mintak Pak andak belikan sos merah sengkuang tu dengan kacang tumbuk! aku berazam ketat2 ni.


Review Myvi 2018

Assalamualaikum Aku yakin mesti ramai dah survey  Perodua Myvi model 2018 kan, mesti korang teruja nak tahu ulasan, best sangat ke MYVI ba...