April 25, 2017

Hidup Dalam Kepalsuan

Assalamualaikum

Kisah ni aku yakin berlaku pada tahun 1990, sebab kejadian ni berlaku semasa aku tadika, aku tadika umur 6 tahun. Masa aku tadika abang aku sekolah rendah darjah 2, sebab dia dua tahun lebih tua dari aku. 

Entah atas apa bentuk persetujuan sepakat di antara semua masyarakat, bila masuk darjah 2, budak-budak kena pandai tengok jam jarum, aku rasa mungkin ia diamalkan di kawasan aku membesar sahaja atau ia memang berlaku di semua tempat, tapi senang cerita bila kau darjah 2 atau darjah 3, kau mesti dah pandai baca jam jarum, suka atau tidak, setuju atau menolak.

Maka abang aku pun minta abah ajar macam mana nak baca jam jarum. Bapa aku ni teliti sikit bab-bab jam ni, dia pengumpul jam tangan, bukanlah jam tangan mewah tapi jam yang ada jenama sikit tapi tak berapa nak mahal.

Abah ajar Karnain baca jam dengan kaedah ambil jam dinding pastu pusing jam jarum Pendek, Jarum Minit dan Jarum Saat. Aku taktaulah korang tapi pada aku, masa aku tadika aku tengok jam tu bukan mainlah rumit cara dia berfungsi.

Masa tu aku tengok jam jarum ni macam satu alat yang siapa dah pandai baca maka dia sudah baligh dan boleh memikul tanggungjawab seorang teruna lantas layak mengorat akak-akak cun kat Kampung Sungai Tua Baharu masa tu. Kiranya bebudak hingusan pakai jam nombor, anak serigala pakai jam jarum. Begitu sempadan yg memisahkan kelompok masyarakat pada masa itu.

Dipendekkan cerita atas sebab aku pun tak berapa ingat detail, maka malam tu Karnain kena ketuk kepala guna jam dinding warna emas jenama Orient oleh abah sebab dia tak faham-faham walaupun masa mengajar sudah menganjak dari slot Berita Perdana ke Jendela Dunia. Dua jam tu. Maklumlah zaman 90an dulu golongan bapa-bapa pantang kalau dia terlepas berita dekat TV.



Disebabkan peristiwa tersebut aku jadi trauma apabila soalan tentang jam jarum diajukan pada aku. Jauh perjalanan dan pelbagai kaedah aku dah lakukan untuk mengelak jawab bila mama tanya pukul berapa.

Takdir penentu segala dan aku tidak boleh lagi melarikan diri dari soalan jam, Minggu itu aku daftar Tadika, tahun 1990 Tadika bermula pukul 9 pagi. Pukul 7 pagi mama siapkan Karnain untuk ke sekolah rendah, pukul 8 bersidai depan laman rumah tunggu van ikan kaler hijau. Zaman tu beli ikan dekat van ikan, zaman sekarang ada juga cuma dah tak trend. Zaman dulu Van/Lori Ikan adalah sumber hiburan kanak-kanak pra sekolah.

Kalau Van ikan datang tu umpama kau macam sikit lagi nak sambut raya la. Padahal mak kau nak beli ikan kembung dengan kelapa parut je pun tapi dia punya meriah tu macam mesyuarat jawatankuasa marhaban puspanita.

Walaupun meriah tapi lama-lama boring juga kalau dengar makcik-makcik kejiranan mula mengumpat, aku pun ambil keputusan masuk ke dalam rumah, mama ikut masuk dalam lepas tu mama tunjuk jam kat dinding sambil berkata;

"Ikar, bila jarum pendek ni tunjuk pukul 9, Jarum panjang ni tunjuk pukul 8, kamu panggil mama"

"Ok mama"

Masa tu aku rasa dunia berpusing, benda yang paling aku elak selama ni berlaku juga. Aku terbeban gila dengan tugas yang diberikan, aku rasa masa tu macam dunia tak adil. Seolah-olah kanak-kanak ditugaskan jaga turun naik indeks saham di BSKL, tak munasabah!

Takpe, aku cuba pujuk hati, aku monolog dalam penuh rasa rendah diri, 

"seorang ibu boleh berkorban nyawa melahirkan anak, takkan anak tidak boleh menjaga jam untuk ibunya" 

Lantas dgn semangat itu pun aku duduk tidak berganjak di atas sofa sambil setiap sepuluh saat aku dongak pandang jam dinding.

Mula-mula aku rasa mcam dah boleh keep up, cuma perlu fokus pada jarum pendek dan jarum minit, ini kerja mudah! aku kabor. Namun ini hanya mainan perasaan, lepas 7-8 kali tunduk dongak, tunduk dongak tengok jam, aku tiba-tiba jadi keliru, samada nak pantau Jarum pendek dengan jarum minit atau kena pantau jarum saat?

3 benda nak fikir dalam satu masa. Rumit dia macam kau belajar pandu kereta manual la. Mana kaki nak jaga minyak lagi, brek lagi, klac lagi, tangan kanan nak pegang stereng, tangan kiri nak tukar gear, handbrake lagi, peh punyalah rumit kerja ni.

Akhirnya dalam suasana yang kelam kabut tu, aku ambil keputusan untuk hentam keromo. Aku cakap dalam hati "kali ni, jarum panjang laju ni cecah je dekat nombor 8, aku jerit panggil mama, apa nak jadi pun jadilah"

Jarum saat cecah angka 8!

"Mama, dah sampai jam mama!"

"Hah, Okeh, jom pergi tadika"

Mama pun siap-siap, siapkan aku semua, terus jalan pergi tadika. Macam tu je, takde langsung dakwa dakwi soal jawab jam yang aku jaga tu betul ke tidak. 

Aku tak tahu jawapan dari pagi tu membawa ke malam, hatta hingga ke saat ini aku tak tahu jam yang aku sebut kat mak aku masa tu jam yang memang didambakan atau tidak. Persoalan ini bersarang dalam kepala aku hampir 27 tahun lamanya.

Acapkali juga aku tanya soalan kat Mama bila aku dah besar, namun jawapan sama yang aku dapat. 

"Mama tak berapa ingatlah kejadian tu Ikar, Move on boleh?"

"emmm ok ma"

Apa yang aku tahu sejak kejadian tu, mama cakap kat abah yang aku dah pandai baca jam, dan abah hadiahkan jam tangan jarum di mana aku pakai jam tu dengan penuh kepalsuan. Aku pakai jam jarum masa pergi main tapi aku tak tau baca jam tu tapi aku tak cerita kat sesiapa pun aku tak tau. 

Oh dunia ini penuh kepalsuan, oh mungkinkah tiada keikhlasan, apakah ini suatu pembalasan? 
Aku sedar kebesaranmu Tuhan, aku bagai seorang kembara jalanan, terumbang ambing di lautan gelora, mencari kebahagiaan, dahan untuk menumpang kasih, mungkinkah suratan hidup selalu keseorangan? 

Kena sangat.

Aku tak puas hati sampai sekarang, sebab aku rasa aku hidup dalam kepalsuan. 

April 24, 2017

Ada Orang Baca Lagi ke Blog Rasa Hati?

Assalamualaikum

Susahnya nak mula menaip, aku dah taip delete taip delete dekat nak 6 kali dah ni. Dipendekkan cerita, sejak entry terakhir bertarikh 13 januari 2015; aku dah berkahwin, keluar masuk hospital bedah kaki, tukar kerja di Kuala Lumpur, pindah dari Selayang ke Kuala Lumpur, Uber dan Grab sebagai mata pencarian sampingan dan kini sedang cuba menulis semula di blog.

Pada mulanya aku nak dedikasikan entry ni untuk menjelaskan ke mana dan kenapa aku menghilang, tapi bila aku semak balik ada banyak juga entry yang bagi alasan kenapa tak menulis. Kali ni taknak bagi alasan dah.

Korang pernah ada kawan yang suka bercerita tapi bila bercerita dia suka ulang cerita tu banyak kali sampai kau rasa meluat tapi kau terus dengar juga tanpa bagitau dia dah cerita sebab kau nak jaga hati dia? kau tadah juga dengar cerita sebab taknak dia rasa potong stim kan? Ha aku taknak jadi orang yang suka mengulang cerita macam itu.

Banyak sangat cerita di dalam cerita dalam blog aku ni sampai aku naik panik nak bercerita hal baru, dia seakan timbul monolog dalam hati "Eh benda ni aku dah cerita ke belum entah?"

Namun, seminggu dua ni semacam datang satu ilham suruh menaip blog balik sebab tiba-tiba kepala aku dilanda dengan pelbagai kisah nostalgia yang aku yakin belum pernah cerita lagi dan ada idea-idea baru tentang kehidupan muamalat yang fresh yang boleh diterjemahkan di dalam penulisan.

Mula pada perenggan ni aku nak start dengan kisah nostalgia tapi aku tak jadi tulis sebab rasa eloklah taip di entry yang lain, banyak sikit cerita boleh save untuk publish dalam entry berikutnya.

Kita jumpa lagi dalam enrty seterusnya esok. Insyallah

Review Myvi 2018

Assalamualaikum Aku yakin mesti ramai dah survey  Perodua Myvi model 2018 kan, mesti korang teruja nak tahu ulasan, best sangat ke MYVI ba...