December 31, 2012

Kompilasi Bebelan Saya Volume 7

Assalamualaikum..

Sudah sampai ke volume 7 sekarang dan aku tak rasa ianya akan berhenti dalam masa terdekat ini. Kepada yang belum biasa dengan bebelan aku versi ringkas, jemput baca snippet di bawah.

*****************

1. Trend Hobi Rakyat Malaysia

Bermula dari tahun 2009 sampai 2012, aku tengok trend hobi Rakyat Malaysia ni menjurus kepada 4 perkara.

1. Motor Besar
2. Basikal, Mountain/street bike/fixie
3. Fotografi, DSLR/ digital / Lomo
4. Gajet, Telefon pintar/tablet pc/ bla bla bla.

Zaman mat kereta modified enjin, tukar bodykit, tukar enjin mcm zaman awal 2000 dulu dah mula pudar. Sekarang ramai rakyat yang beli  dan pakai kereta import standard macam Vios, Forte, City, Civic dan lain lain. Kereta Produa dan Proton pun makin berkualiti.

Tapi ringkasnya, banyak kereta import berkeliaran di jalan raya sekarang, tak mcm zaman 90 an dulu.

Namun apa-apa pun, kesimpulan yang kita dapat adalah, Rakyat Malaysia makin kaya dan hebat dalam hobi. Aku tak nampak pun mana yang orang kata Rakyat Malaysia tertindas.

Mungkin yang selalu cakap ni org yg kurang merantau ke negara orang atau mereka sengaja membutakan mata pada perbandingan. Atau mungkin mereka betul-betul susah.

Mungkin betul kata Dr Mahathir, Melayu Mudah Lupa. Bukan setakat Melayu saja, kita pukul rata. Melayu Mudah Lupa, Cina Mudah Lupa dan India Mudah Lupa.

Yahudi dilaknat Allah swt kerana mereka suka merungut, apa saja nikmat yang tuhan bagi, mereka akan rungut dan persoal, tak pernah cukup. Benar kata Nabi saw, akhir zaman nanti umat akan mengikuti yahudi dan nasrani dengan rapat hingga ke lubang biawak.

P/s Lusa ingat nak beli EX5, minyak mahal skrg ni, kena jimat. Duit jimat nanti boleh beli Samsung Galaxy S 3. Penting, utk survival hidup.

Dulu aku ada motor besar, bapak aku turunkan dari dia ke abang aku kemudian kepada aku, Suzuki GSX 250, sebijik macam dalam gambar ni, semua sama dengan color dan aksesori.  Tapi motor ni dah terlingkup akibat hantar kat pomen Mersing yang memandai-mandai. Ibarat Tikus Membaiki labu.


********************

2. Kerikik Kerikik Kerikik

Setiap kali aku duduk di kerusi dan meja PC dalam bilik ni, aku mesti dengar bunyi kerikik kerikik kerikik.

Bunyi tu macam datang dari frame kayu tingkap. Aku syak anai-anai sebab dulu rumah di Mersing memang pun bunyi anai-anai kerikik kerikik kerikik.

Bunyi anai-anai makan kayu frame tingkap. Anai-anai ni sensitif dengan arus elektrik, haba, angin kipas dan bunyi. Jadi aku beranggapan setiap kali aku on laptop dan kipas, maka Anai-anai menjadi rengsa lalu panik dan makan kayu laju-laju.

Itu yang bila aku duduk meja pc on laptop, bukak kipas mula bunyi kerikik kerikik kerikik aku tuduh anai-anai punya angkara. 2, 3 hari lamanya masalah ni melanda sampaikan aku nak panggil pest control esok.

Tadi baru aku sedar bunyi kerikik kerikik kerikik tu bukan anai-anai makan frame tingkap, tapi bunyi plastik sampul kad raya bawah meja pc berkibar kena tiup angin kipas. Nasib baik tak panggil pest control, kalau tak rugi je duit.

Plastik kad raya berbunyi ditiup angin, anai-anai dapat nama.

Ini semua Kerikik kerikik kerikik punya pasal.

Tu lah frame tingkap kayu tu, yang kengkonon ada bunyi kerikik kerikik kerikik tu. Dan Oh ye, kenalkan Encik Bawang, ingat tak entry lepas Renungan Jiwa Si Tokey Bawang tu, aku ada cakap tanam bawang lepas habis taip entry tu kan? Inilah dia,  Encik Bawang Bin Mutalibjaya


**************************

3. Pusing Pinggan 20 Kali

Tadi makan nasi goreng kampung berlaukkan Keropok Lekor Terengganu, sebab lapar sangat gelojoh makan, maka tercekik dan sedu.

Minum air panas tak hilang sedu, minum air sejuk pun tak hilang sedu, lepas tu aku teringat petua orang lama, pusing pinggan 20 kali, dengan takdir Tuhan maka sedu pun hilang dalam serta merta.

Kerana aku orang yang skeptikel dengan petua, aku cuba cari alasan saintifik. Apa kena mengena pusing pinggan dengan menghilangkan sedu? Aku tak jumpa sebarang penjelasan.

Mungkin kebetulan, atau masa kita fokus pusing pinggan tu, otak kita ralit dengan tugas pusing pinggan. Maka badan kita shutdown task memproses makanan di esofagus. Aku cuma syak itu, dan itu yang terbaik aku boleh fikir.

Naaahhh, mungkin hanya kebetulan.

**************************

4. 73 Kumpulan

Agama Islam ini bermulanya tiada apa-apa, hanya ada Wahyu dan Nabi sebagai pesuruh Allah, Bermula dari gua Hiraq sehingga tersebar ke seluruh pelusuk dunia.

Agama bukan bermula dengan kuasa politik dan kuasa ekonomi, Agama bermula dengan Keimanan. Iman itu maksudnya Percaya, Percaya kepada Allah walaupun mata tidak nampak susuk tuhan.

Zaman moden ini je yang orang kata, nak dekat dengan agama kena ada jemaah, politik, kuasa dan wang. Bagi mereka tanpa politik, sangat mustahil untuk mereka mendekati agama.

Bagi mereka, sesiapa saja yang berlainan fikrah politik adalah orang yang tidak berada dalam agama, kerana mereka menilai agama dari sudut pandang politik dan jemaah mereka.

Mereka nilai Iman, Benar dan Salah semua dari sudut pandang politik, Bukan mereka menilai politik dan kehidupan dari perspektif agama.

Dari situlah muncul bermacam-macam kumpulan dalam agama seperti Syiah, Khawarij, Parti Politik, Tarekat Tok Sheikh dan bermacam lagi. Sehingga 73 kumpulan akhirnya. Dari 73 kumpulan itu hanya ada satu yang tidak sesat iaitu yang berpegang pada Alquran dan sunnah rasul

Kerana 73 kumpulan itu menilai agama dari sudut pandang nafsu dunia.


*************************

5. Kawan Kita

Setiap dari kita mesti ada kawan masa University yang takde kereta, pastu tumpang kereta kita, kemudian dia kutuk kereta kita buruk tanpa belas ehsan.

Kemudian kita rasa macam, " eh kau ni, kang aku tinggal kau tepi jalan kang" tapi kita tak pernah sanggup nak tinggal dia tepi jalan sebab kita tau dia memang tak berapa cerdik orangnya.

Kemudian kita mesti ada kawan masa universiti yang akan cakap "Apa kelas naik Kancil" sedangkan dia naik bas dan jalan kaki pergi fakulti..

Tapi bila dia cakap macam tu, kita malas nak respon sebab kita tau dia tak berbaloi untuk diajak sembang.

Tapi aku dulu naik Honda EX5.

*********************

6. Pro Bono

Kepada sesiapa yang nak beli Blouse berkualiti tinggi pada harga yang murah, sila ke LINK blog yang aku sertakan di sini. Ini adalah khidmat iklan Pro Bono.

contoh blouse yang terdapat dalam blog cik Atiqah. Sila ke Laman blognya kalau ingin lihat bermacam lagi pilihan lain.


Boleh Contact Cik Atiqah Rahim di blognya BLOG I WISH 



********tamat********

p/s ada segerombolan semut mati lemas dalam pasu Encik Bawang Mutalibjaya, memula aku nak buang, pastu aku pikir balik, mayat semut ni semua kalau biar mereput dalam bikar ni boleh jadi baja kompos, kesian Encik Bawang Mutalibjaya asyik minum air dengan makan cahaya matahari je, bagilah dia mayat semut pulak kan? naaaahhh just malas nak bersihkan bikar.

p/s nak beli kereta baru apa tah? lama memikirnya.


December 26, 2012

Renungan Jiwa Si Tokey Bawang

Assalamualaikum..



kalau nak cerita pasal cita-cita aku ni memang banyak, kalau nak tulis ringkas dalam satu perenggan pun boleh. Kiranya aku cuma senaraikan saja semua cita-cita aku dah habis cerita.

Tapi kang cerita pendek sangat orang ingat penulis Rasa Hati dah  buang tabiat pula. Bersempena aku rajin nak bersembang ni, meh aku sembang-sembang ringan antara beberapa cita-cita aku dari kecik sampai ke besar.

Cita-cita aku ada 4 Fasa. Fasa sekolah rendah, Fasa sekolah Menengah, Fasa Universiti dan Fasa dunia kerjaya.

*********************************

1) Fasa Sekolah Rendah.

Dulu aku pernah berangan nak jadi Saintis. aku pernah cerita dalam entry Serum Ikut Arahan secara detail. Jadi aku tak perlulah perincikan lagi kisah nak jadi saintis ni.

Selain dari saintis, aku jugak pernah berangan nak jadi pelayar laut. Kononnya aku nak jadi pekerja kapal tanker minyak, Cruise ship atau kapal kontena sebab aku dulu terpengaruh dengan bapak aku yang cakap salah satu impian dia yang tak tercapai adalah jadi pelayar.

"Ikar, kamu nak tau tak abah dulu cita-cita nak jadi pelayar, nak kerja ikut kapal berlayar"

" habis tu kenapa abah tak kerja atas kapal?"

" sebab takde peluang, tapi kalau abah muda macam kamu, dalam masa 3, 4 tahun abah dedikasikan dari umur abah nak pergi belayar, singgah macam-macam perlabuhan, tengok negara orang"

" alah abah, kerja apa pun boleh bah, dah besar nanti ikar kerja gaji banyak, nak pegi tengok negara orang naik kapal terbang pun boleh bah!"

" Ish kamu ni potong stim abah lah!"

Sebenarnya cita-cita kerja berlayar ikut cruise ship ni belum terpadam dalam hati aku, mungkin satu hari nanti kalau aku tergerak hati, boleh jadi aku pergi kerja naik kapal ni.

Tapi itulah, masa kecik aku tak pernah ada impian nak jadi cikgu ke polis ke bomba ke tentera ke, aku dari kecik memang tak minat badan beruniform ni. Pengakap pun kalau boleh aku taknak pakai uniform dia, aku nak pakai Tshirt putih dia dengan seluar pengakap tu je, pastu pakai skarf ikat tengkuk.

Mungkin sebab keluarga aku takde pengaruh orang yang kerja Gomen atau Badan beruniform. semuanya kerja swasta.

*****************************

2. Fasa Sekolah Menengah

Disebabkan masa masuk sekolah menengah, aku suka sangat dengan Sains, maka aku suka buat eksperimen sorang-sorang dalam bilik. Minat punya pasal tak payah nak kena suruh. Rajin je menyelongkar gobok.

Dulu aku selalu ambil kapas facial cuci mekap mama, letak dalam pasu kaca kecik bekas telur rebus kenduri kahwin tu, pastu bubuh air, pastu aku letak kacang hijau. Aku suka tengok taugeh tu tumbuh. 

Aku selalu buat eksperimen kawalan, ada 4 pasu kecik, satu aku bubuh Kacang Hijau dengan air saja. Satu pasu aku bubuh kacang hijau dengan gula, satu lagi aku bubuh kacang hijau letak dekat tempat tak kena Matahari, pasu last aku bubuh kacang hijau dengan taik hidung atau apa saja bahan kompos yang ada di sekitar, macam kuping luka, kuku, eh macam-macam lah. Eksperimen berangan acah-acah katakan.


Nostalgia betul bila tengok gambar ni, dengan kapasnya, dengan balangnya,  sambil menaip tengok gambar ni sambil dengar koleksi Lagu Kenny G, Memang buat aku kembali mengenang memori sekolah rendah.


Pastu aku pernah bubuh Daun Setawar dalam buku, pastu tumbuh akar beranak pinak. Pastu mula aku merepek letak Daun Setawar dalam Al Quran, kononnya nak bagi dia tumbuh sambil serap intipati azimat ayat Al Quran lah, tak ingat dunia punya bidaah. Merepek masa kecik namanya, tapi takpelah nama pun budak kecik punya berangan. Ni yang orang tua-tua berangan buat bidaah short karen tarekat goncang-goncang badan pun ada apa cerita entah!


Daun Setawar / Miracle Plant / Air Plant / Setawar Plant / Bryophyllum pinnatum , siapa sini yang sangat sabar letak daun setawat dalam buku sampai dia tumbuh mcm ni? aku tak pernah, sampai dia tumbuh kelopak kecik je aku terus dah tak ambil tau dah.

Dari tabiat aku yang suka bereksperimen ni, aku suka jugak tanam bawang dalam tin susu. Aku bubuh tanah dalam tin susu tu, pastu aku letak sebijik bawang dalam tu. Pastu aku seronoklah tengok bawang tu tumbuh daun kan, aku pun mula teruja.

Dah namanya ikar, bila dia teruja, dia tambah lagi keterujaan itu dalam skala yang lebih besar. Aku pun isi tanah gambut dalam 5 biji tin susu, pastu aku letak setiap satu tin dengan dua biji bawang. Pastu aku bubuh baja uncang teh dah guna, dengan air basuh beras dan ikan. Tumbuh rimbun-rimbun oi!

Pastu mak aku pun tiap kali nak masak sup ayam ke sup ikan ke, mesti dia cari pasu eksperimen daun bawang aku.

" ikar, mama ambik sikit daun bawang eksperimen kamu tu boleh tak? aku malas nak ke kedai, nak masak sup ayam ni"

" ambiklah mama, tapi jangan potong ke pangkal sangat nanti pokok dia mati"

" iyelah professor, Mak oi apsal banyak sangat pasu daun bawang kamu ni ikar oi!"

" biasalah mama, eksperimen kawalan"

" Habislah lingkup stok bawang aku, habislah. kamu ganti balik ikar!"

" Macam mana anak Melayu nak maju dalam bidang eksperimen mama, kalau mama berkira dengan bawang mama, bawang silih berganti tapi keinginan anak muda nak bereksperimen susah kita nak cari mama!"

" suka hati kamu, tapi asal habis bawang aku kamu kerjekan siap, mama korek bawang dalam tin tu!"

Salah satu Hobi aku dulu,  bereksperimen tanam bawang dan taugeh,  pasu kecik tu lah aku maksudkan pasu kaca letak telur rebus kenduri kawin. dia tanam bawang dalam pasu ni, dulu aku tanam togey.

Pernah satu ketika, aku terlalu terbawa-bawa dengan eksperimen bawang aku ni, masa tu aku duduk rumah kuarters kilang air batu bapak aku sebelum kami pindah ke rumah yang lebih elok.

Dekat kuarters tu tanah dia subur, jenis tanah gambut hitam. Pastu tempat dia oldtimer habis, korang setkan minda korang kawasan kuarters kilang tu macam rumah pekerja era 60 an, atau rumah kuarters pekerja Keretapi. Setiap bawang yang aku dah berjaya biakkan dengan subur dalam pasu susu cap teko tu, aku akan pindahkan ke kawasan tanam gambut bawah pokok mempelam sebelah jamban.

Kawasan pokok mempelam tu punyalah subur Mashaallah. Buah dia besar-besar dan ranum-ranum, buah banyak pokok lebat. Aku syak sebab lokasi dia sebelah jamban bertepatan pula dengan tanah gambut, maka pokok itu subur sebab ada air kompos baja asli dari jamban meresap ke akar pokok. Aku syak je lah, bukan aku tau sangat pun.

Lebih kurang macam inilah subur dan rimbunnya kebun bawang aku sebelah jamban bawah pokok mempelam aku dulu. nampak tanah dia hitam? tanah gambut lah ni. rindu aku kat kenangan rumah kuarters dulu.

Bawang aku yang daunnya dah berjaya tumbuh rimbun itu aku alihkan ke kawasan bawah pokok mangga tu.  Sampai naik penuh bawah pokok mangga tu dengan daun bawang. Pastu aku makin carried over, aku mula berangan.

" Kalau satu pokok bawang ni boleh lebat macam ni, nanti mesti beranak pinak bawang bawah  tanah ni, pastu aku nak jual daun bawang dia dekat kedai runcit dengan pasar, dapatlah satu plastik besar tu 5-6 ringgit, pastu cukup masa aku nak korek tanah tu, aku nak kumpul semua bawang baru yang tumbuh, aku nak jual kat pasar, mau kaya aku jadi tokey bawang!"

Sampai macam tu sekali aku berangan. Pastu aku pergi canang cerita nak jadi tokey bawang dekat abang aku mula-mula. Pastu aku cerita kat bapak mak aku semua.

" Abah, mama, ikar dah tau dah cita-cita ikar apa? Ikar nak jadi tokey bawang! Ikar ingat nak buat industri ladang bawang, boleh kaya mama"

" dah berapa banyak bawang kamu tanam ikar?"

" Sekarang dah dekat sepuluh bijik bawang dah, semua naik subur mama, mama pun amik daun bawang ikar buat sup dah banyak kali kan?"

" Ha'ah aku tengok subur je daun bawang kamu tu, cuba kamu korek dalam tanah tu tengok berapa banyak anak bawang dah beranak pinak?"

Aku pun tak sabar, aku korek tanah tu haram satu ulas pun takde, dia tak mahu tumbuh macam ubi kayu, Kalau dia tumbuh pun lambat, rupanya dia kalau nak tanam bawang bebanyak dan cepat ni, kena tabur benih. Benih tu datang dari bunga bawang yang tumbuh kat hujung daun bawang.

Macam mana nak dapat benih bawang tah kalau dah selang seminggu mak aku cantas pokok bawang buat masak sup ayam. Lama-lama aku mula sedar yang angan-angan aku nak jadi tokey bawang tak kesampaian.

******************************

Bila dah besar ni, aku kerja dekat kilang biskut, sebelah kilang aku ada syarikat import bawang dari India. Mak aih, bukan main murah lah bawang tu sekarung, tak sampai 5 ringgit. 

Kadang-kadang staff aku pergi kutip je bawang yang jatuh bawah lori kontena tu. Punya banyak bawang sampaikan yang tercerai dari karung dia, dia biar macam tu je tak kutip.

Lebih kurang mcm ni proses alih bawang dalam karung dekat sebelah kilang lama aku dulu di Pandamaran,  banyak gila, tak terfikir korang berapa banyak bawang datang tetiap minggu kat kompeni import bawang tu.

Entah macam mana nak bersaing dengan industri bawang yang besar macam di India dengan Belanda tu entah? Baiklah aku kekal tanam bawang bagi tumbuh daun untuk mak aku buat sup ayam je. Habis cerita!

Sebenarnya tak habis cerita. Biasalah standard keluarga aku, mama, abah abang aku sekali dengan adik-adik aku memang kuat menganjing. Asal tengok dokumentari kebun bawang ke ladang FAMA ke kat TV. Mesti diorang pandang muka aku lama-lama dengan pandangan mata penuh cercaan ibarat koboi ajak lawan beradu pistol. Ditambah dengan sedikit rencah senyuman jahat, selamba gaban je mengeluarkan kata-kata nista.

" Ikar, apa jadi dengan Ladang Bawang kamu? kamu kata dulu nak jadi Tokey Bawang, dah berapa ekar dah kebun bawang kamu?"

Korang nampak tak permainan keluarga aku macam mana? Korang nampak tak permainan diorang? Luluh perasaan terlakar di Renungan Jiwa si Tokey Bawang.




Aci aci, minachi mincahi, dey!! you bawang mau ka?


***************tamat****************



P/S I Kalau engkorang terer, berapa banyak aku sebut "pastu" dalam entry kali ni?

P/S II aku baru cerita 2 fasa, ada lagi 2 fasa, nanti buat part II sambungan entry lain. dah panjang sangat.

P/S III Siapa pernah dengar ungkapan tangan panas, tangan sejuk. Orang kata tangan sejuk ni tanam apa pun menjadi, Aku rasa aku ni tangan suam, jenis tanam takdelah jadi  sangat, tapi kalau menyuap makan laju.


P/S IV  lepas habis aku taip dan publish cerita ni, aku terus ke dapur, ambil bawang, letak dalam balang, pastu bubuh tepi tingkat belakang laptop ni.

December 18, 2012

Jin Naik Bas Sekolah

Assalamualaikum,

Aku ingat lagi masa tahun 1990 an, ada Ustazah, Ustaz, Cikgu, Warden Asrama, abang senior dan orang-orang tua cerita pasal Ustaz Harun Din pindahkan hantu guna Bas sekolah dari sebuah tapak tanah yang nak buat Universiti

Hantu dalam Bas literally, kalau hantu naik bas tiket dia kira mcm mana? kanak-kanak, dewasa, atau harga warga emas? 

Aku tau ada banyak versi. Tapi ini aku sendiri yang pernah dengar.

Ada sebuah universiti bakal dibina, ada yang kata UUM, ada yang kata sebuah kolej kediaman di UKM. Masa pembinaan sedang giat dilakukan, ada masalah muncul iaitu gangguan makhluk halus. Kren tak boleh alih batu besar, macam-macam gangguan lah dipendekkan cerita.

Untuk menyelesaikan masalah, pihak pengurusan telah panggil Ustaz Harun Din (pada zaman itu belum jadi pemimpin PAS) untuk menghalau jin dan hantu. Ustaz Harun din telah membuat perjanjian dengan Jin itu semua supaya mereka berpindah ke satu kawasan hutan. 

Hantu jin semua masuk dalam bas sekolah, pemandu bas itu disuruh bawa ke satu kawasan hutan. Namun dinasihatkan awal-awal supaya tak pandang cermin pandang belakang. Driver bas pelik sebab bas itu kosong tapi sangat berat macam ada penuh penumpang.

Nak jadi penyedap cerita, Driver bas tu terpandang cermin pandang belakang dan dia nampaklah sekilas wajah-wajah jin tengah duduk dekat kerusi dalam bas yang amat hodoh dan mengerikan. 

Akhirnya, bas itu sampai dekat kawasan hutan, Jin dan hantu semua dipindahkan di dalam hutan, mereka bermastautin dalam hutan itu. Datuk Harun Din pun memagar seluruh kawasan hutan itu pada sempadannya, Maka jin semua tak boleh keluar dari kawasan itu, hiduplah mereka bahagia selamanya di sana.




Korang Baca komen-komen dalam ruangan youtube tu, bukan main ramai minta maaf sebab sebar fitnah.

*****************************


Semua orang percaya buta-buta. Padahal Ustaz Harun din sendiri akhirnya mengaku bahawa ia cerita yang direka-reka dan tiada kena mengena dengan dirinya.

Kesimpulan yang kita dapat?

1. Ada orang akan menipu tak kira walaupun sampai tahap gunakan agama suci Islam semata-mata nak syok sendiri untuk bercerita, dapat pengaruh, keuntungan dan kuasa politik

2. Syaitan tu syurga pun dia pernah duduk, langit dan bumi pun dia bebas berlegar-legar. Eh nak pindah dari tapak universiti pulak nak naik bas, nampak sangat senang betul setan perdaya manusia ni untuk percaya pembohongan.

3. Pembohongan apabila disandarkan dengan nama orang yang berpengaruh, maka pembohongan itu akan menjadi benar, atau sekurang-kurangnya orang takut atau segan nak persoal lebih-lebih.

4. Semua manusia tidak akan terlepas dari fitnah, tak kiralah dia tok guru ke, wali ke, apa ke, kalau fitnah melanda, ia tetap melanda.

5. Walau macam mana kebenaran itu diceritakan, akan ada satu golongan manusia yang taksub kepada tok guru akan bermati-matian mempertahankan cerita kerana malu, sebab awalnya mereka telah bermati-matian mempertahankan kisah keajaiban guru atau idola mereka, takkan nak mengaku dah tersilap kan? kena lah terus berada dalam penafian yang berterusan. Sedangkan tok guru dia sendiri mengaku ia hanya pembohongan besar.

6. Aku selalu tertanya-tanya, kenapa Ustaz Harun Din atau sekurang-kurangnya anak murid dia yang terapat yang tahu cerita sebenar tidak menceritakan hal yang sebenar, membersihkan namannya sejak cerita mula tersebar dari tahun 1990 an itu? kenapa baru sekarang?

7. Orang Islam suka akan efek ajaib dan mistik dalam agama, walaupun ia pembohongan, tapi mereka selesa mendengar riwayat palsu dan israiliyat dari mengambil pengajaran dari Tafsir Al-quran dan Hadis sohih.

8. Pembohongan tidak akan bertahan lama, jika manusia tidak mampu membongkar pembohongan, suatu hari nanti Allah sendiri akan bongkar pembohongan samada secara langsung atau tidak langsung.

9. Di ruangan komen nanti, ada orang yang tak baca cerita ini secara terperinci dan habis akan mula maki hamun dalam nada politik, Kalau takde, baguslah, maknanya kempen aku supaya jangan jadi fanatik politik sudah mula mengambil tempat.

10. Syabas Ustaz Harun Din berani menjelaskan perkara sebenar, walaupun cerita bohong/exaggeration itu sedikit sebanyak memberi credit yg besar kepada dirinya.



******************tamat**************



p/s Yang terbaru, ada orang percaya pada 23, 24, 25 hb Disember ini, dunia akan bergelap selama 3 hari, dan itu petanda berlakunya kiamat. Ironiknya seperti biasa mereka percaya dari Mohon-Share-Note-Ya-Akhi-Facebook.

p/s Selagi Matahari tidak terbit dari barat, selagi Dajjal belum keluar, Selagi Imam Mahdi belum muncul, selagi Nabi Isa belum turun, lambat lagi kiamat nak berlaku. Tak payah nak excited sangat. Korang yg percaya ni tak pergi sekolah agama ke dulu?

p/s Hari Kiamat dan dunia ruh adalah rahsia Allah SWT

December 13, 2012

Rindu Dalam Rahsia

Assalamualaikum


"Bagaimanakah kisahnya para pahlawan menakrifkan rasa rindu mereka?" (Jawapan rujuk perenggan akhir)


Aku dari kecil rapat dengan mak aku, disebabkan aku ni menyusu badan dari lahir sampai 2 tahun setengah, tak pernah isap susu botol, tak pernah ada bantal busuk, tak pernah ada puting kosong getah, tak pernah isap ibu jari dan takde imaginary friends maka Mak akulah segala-galanya sejak aku dari kecik.

Dialah toys aku, dialah bantal busuk aku, dialah susu aku, dialah kawan aku dan segala-galanya sepanjang tempoh kritikal tumbesaran seorang anak hingga baligh dan mampu berdikari.

Sejak dari kecil Abah pula lebih rapat dengan abang aku, walaupun abang aku selalu menafikannya tapi hakikatnya memang abah rapat dengan abang aku. Mungkin sebab dia anak sulung lelaki, dia menjadi pertaruhan terbesar bapak aku dalam meneruskan kelangsungan warisan keturunan genetik bapak aku.

Abang aku manja dalam segala hal walaupun dia selalu menafikannya, perilakunya tidak manja tetapi cara hidupnya memang manja. Makan ayam nak yang bahagian dada, tak nak bahagian yang lembik-lembik macam pangkal peha, kaki dan peha. Makan ikan nak bahagian ekor atau tengah badan, tak makan bahagian kepala dan perut.

Bila abang aku masuk asrama, setiap hari Sabtu kami sekeluarga akan datang melawat dia di sana, mama akan bawa periuk nasik ikat dalam kain batik, lauk pauk feveret abang aku dalam sia' mangkuk tingkat dan kami akan akan makan berkelah di kantin sekolah asrama itu. Bertahun-tahun lamanya rutin itu dijalankan.

Pada tahun 1997, aku pun masuk sekolah asrama di Sabak Bernam, kemudian pindah ke sekolah asrama di Rawang sama dengan abang aku. Tapi masa tu mama dan abah tidak lagi melawat aku dan abang setiap minggu. Bukan sebab tak sayang, tapi abah dah mula pindah ke Mersing Johor sebab beli Kilang Air Batu.



Bila terkenang Mersing, terus teringat Sri Mersing, Damak dan pantun kajang pak malaunya, masalahnya di sini kenapa damak ketiaknya licin takde bulu? itu masalahnya tuan-tuan dan puan-puan.


*************************

Jadi, pada tahun 1998 aku mula pindah ke Mersing dan bersekolah harian di sana. Di Mersing aku tak ramai kawan pada mulanya, jadi aku menghabiskan waktu lapang bermain badminton dengan abah. Walaupun pada tahun 1994-1996 aku sudah menjadi jaguh badminton di sekolah rendah, namun bapak aku tak tengok sangat sebab dia sibuk kerja di KL dan sibuk juga main badminton di serata Lembah Klang.

Di Mersing lah aku mula ingat yang aku makin rapat dengan Abah. Ikatan yang membuatkan aku rapat dengan abah adalah Badminton. Abah obses dengan badminton, masa umurnya lewat 30 an dia pernah main badminton 8 hari seminggu. Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat, Sabtu, Ahad pagi dan Ahad malam.

Tapi lama-lama abah insaf sebab dia rasa tak patut dia buat macam tu, maka dia pun meluangkan masa hujung minggu untuk keluarga bawak kami pergi zoo, Taman Tasik, Muzium Negara, Bukit Cerakah, Sogo dan sebagainya.

Bermula dari tahun 1999 - 2001 aku mula menjadi sangat rapat dengan abah, sebab setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat petang hingga malam kami akan bermain badminton di dewan. Kami main selalu bergu bersama dan menewaskan jagoan-jagoan di Mersing.

************************

Walaupun aku sangat rapat dengan abah di zaman kegemilangan badminton itu, namun kami selalu bertekak secara jantan, bukan gaduh anak beranak tapi jenis bertekak dekat kedai kopi atau dalam gelanggang badminton. Bukan gaduh menderhaka tapi gaduh-gaduh manja.

Keakraban aku dengan abah selalu menjadi buah mulut kawan-kawan sekolah terutamanya Zulkifli Saadon,  kawan karib dari zaman aku duduk Mersing sampai sekarang. Kata mereka, pesen anak-beranak macam kawan-kawan, Sedara mara  pun cakap macam tu jugak.

" Yeop, nanti kalau anak-anak Yatie dah besar, Yatie nak buat mcm Yeop dengan Kak Awi lah"

" kamu nak buat macam mana?"

" Ye lah, macam Yeop ngan Kak Awi layan anak-anak, macam sembang dengan kawan-kawan, tapi bila ada masa serius kena serius, ada masa gurau tu gurau, ada masa hormat kena hormat, tapi tetap sembang macam kawan-kawan"

" Boleh, tapi kamu kena letak batas kawan dengan anak ni, jangan leka nanti sampai anak pijak kepala"

Aku pasang telinga masa dengar Mak Sedara Sepupu aku sembang dengan abah aku.

*******************************

Pada Tahun 2002, aku dapat tawaran melanjutkan pelajaran di UiTM Dungun.

Aku pun terpaksa berpindah ke Dungun untuk mengejar cita-cita. Abang aku masa tu ada dekat Uitm Segamat.  Maka rumah aku itu pun menjadi sunyi. Anak-anak jantan abah dah tiada kat rumah. Tinggal dua orang anak dara iaitu adik aku Zulia dan adik bongsu si Ayin.

Dengar khabar dari sumber-sumber yang boleh dipercayai iaitu mak aku, Ayin si budak bongsu sudah mula menjadi baby tua abah. Abah banyak habiskan masa hantar dan ambil adik dari sekolah, Ambil hantar tuisyen dan sebagainya. 

Abah pun sudah mula menggantung raket badminton, sebab dia dah takde mood nak main dengan kawan-kawannya atas sebab dia yang makin berusia dan anak lelaki dia dah tiada untuk partner dengan dia.

Cukup sebulan aku di UiTM Dungun, Minggu Haluan Siswa pun dah habis, kesibukan kepoyoan semangat tak tentu hala pelajar junior freshies pun mulai reda, maka mak ayah pun datang berbondong-bondong melawat kami semua. Hiruk Pikuk jadinya UiTM tu, bagaikan ada temasya di malam minggu. Kecoh bagaikan ayam berebut nasik sejuk belakang rumah.

Semasa famili aku datang melawat tu, aku tengok muka mama abah ceria bagaikan baru kena Loteri 10 juta ringgit, walaupun loteri itu haram di sisi agama Islam, tapi aku saja guna sebab susah sangat nak cari perumpamaan lain bila kau menaip entry di dini hari pukul 4 pagi ini.

Bersinar-sinar mata abah datang melawat aku, walaupun aku tahu dia seorang yang ego dan keras hati, tapi aku nampak muka dia gembira melepaskan kerinduan yang telah lama terbuku di jiwa. Nak dijadikan cerita, abah bangun pergi kaunter cafe nak order makanan. Mama cerita dekat aku satu rahsia.

" Ikar kamu nak tau satu benda tak?"

" taknak!"

" kalau taknak aku taknak cerita"

" Ek eleh mama, kalau nak cerita tu tak payah buka ayat 'kamu nak dengar satu benda tak' dulu tak boleh ke?"

" Ah, diamlah kamu, ha ni ada cerita best, kamu tau tak abah kamu rindukan kamu sangat?"

" Iye ke mama? mana mama tau?"

" Mama tahulah ikar, Abah kamu tu bila kamu masuk U, dia selalu termenung petang-petang, bila dia rindu sangat, dia tidur kat katil kamu"

" perrghhhh, macam drama cinta pulak ma, betul ke ni? takkan lah abah buat macam tu, drama swasta sangat tu mama"

" beeetul ikar, mama curi-curi tengok, bila dia rindu ke kamu, dia masuk dalam bilik kamu, dia tidur kat katil, tapi bila mama tanya kenapa tidur katil kamu, dia jawab sebab panas, nak ambik angin, ambik angin apa tah, dah sah sah bilik kami ada aircond, lagi sejuk"

" hahaha, sentimental jugak abah kan mama kan?"

Sambil aku gelak, sambil aku cepat-cepat pandang tepi, pastu aku kerling mak aku tunduk suap nasik je, aku cepat-cepat kesat hujung mata, rasa macam ada air mata. Bukan apa, dekat tepi Cafe tu ada banyak lori pasir lalu lalang. Pasir masuk mata, pedih!

****************************

Kini terbuka sudah rahsia bahawa bapak aku jiwa sentimental, bila dia rindu ke aku dia curi-curi tidur atas katil aku.

Sebenarnya aku ada rahsia besar jugak, tapi aku tak pernah cerita kat keluarga aku.

Dulu bapak aku selalu outstation lama-lama, jauh-jauh ke serata Malaysia, Selalunya 3, 4 hari, paling lama seminggu dua. Melawat Kilang air batu di setiap cawangan di Malaysia.

Masa tu zaman aku tadika dan sekolah rendah. Bila lama sangat abah outstation, aku semacam jadi rindu sangat ke dia.

Aku curi-curi masuk dalam bilik mak aku, aku usha line mak aku tengah basuh pinggan ke, jemur kain ke, tengok mak aku ralit sibuk buat kerja rumah, Aku cepat-cepat tidur atas bantal Abah.

Tak dapat jumpa abah, dapat tidur kat bantal dia, bau peluh dia kat bantal tu pun jadilah. Tapi harap korang semua simpanlah rahsia ni. Rahsia antara penulis dan pembaca. Kalau bapak aku tau, mesti dia sindir aku curi-curi cium bantal dia semata-mata nak hilang rindu.


"Itulah dia kisah rindu dalam rahsia para Pahlawan Melayu Lama, Rindu dalam rahsia itu sangat menyeksa jiwa, jiwa terseksa mencipta dendam, kerana itu ia menjadi si Rindu dendam yang tak kunjung padam"



Abah di zaman awal 50 an. Rambut pun tak banyak uban lagi, Amboi misai tebal ular sawa, tapi nyorok-nyorok tidur kat katil anak bila rindu, kantoi. hahaha.

Aku cuba banding banyak kali muka aku dengan bapak aku, tapi takdelah sama sangat, mancung lagi hidung aku ni, tapi bila balik kampung, mesti sedara mara kata " kamu ni rupa sebijik macam bapak kamu masa muda"

******************Tamat*****************


p/s I Sebab tu orang bercinta bila tengah mabuk asmara, dia tukar-tukar baju, kusyen atau bantal, nak hilangkan rindu, bila teringat ke kekasih malam tidur ciumlah baju, tenang rasa jiwa. Lepas cium sorok bawah tilam. Buatnya makwe bagi Baju Dalam kaler pink, kantoi mak jumpa tak ke dituduhnya anak cuba sorok-sorok jadi pondan dalam bilik?

p/s II Sebab tu, dulu-dulu kalau mak beranak kecik nak pergi umrah ke haji, dia tinggalkan kain batik yang dipakai tak berbasuh. Bila baby dia meragam rindu teringat kat mak, opah atau kakak akan selimut baby tu dengan kain batik mak dia. seolah-olah mak tengah peluk anaknya, ada bau.

p/s III Orang kata, bau ketiak lelaki yang ada kepekatan tinggi Androstadienone (CORR) bertindak sebagai feromon yang dapat membangkitkan keselesaan, ketenangan dan keghairahan kepada kaum wanita.

p/s IV Tapi kawan-kawan wanita aku selalu merungut pasal bau ketiak lelaki bangla. Tak faham aku kadang-kadang diorang ni.


December 6, 2012

Tanya dan Respon

Assalamualaikum...

Dalam perjalanan aku memahami agama Islam ini, banyak versi yang telah aku tempuhi, kalau korang baca karangan-karangan lama di blog ini, korang dah boleh agak macam mana asas pendidikan agama aku. Tiada lebih tiada kurang jika nak banding dengan korang semua. Boleh jadi korang lebih tinggi pendidikan agama dari aku.

Aku rasa dalam mendidik jiwa seorang muslim, ada dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. Samada di dalam kelas atau mendengar dakwah di tepi jalan. Pertama jika kau mendengar Ilmu dan kau tidak faham, kau mesti bertanya sampai faham.

Kedua, jika kau dah faham, demi meraikan majlis ilmu dan memberi semangat kepada muslim lain, kau mesti Respon pada soalan atau sekadar memberi pendapat. Ada dua situasi yang berlaku dalam hidup sebenar aku untuk dijadikan contoh.

**************************************

Senario 1 : Bertanya jika Ragu

Aku ingat lagi, masa itu aku Pelajar UiTM Shah Alam dalam pengajian Diploma. Bila kau diploma, engkau wajiblah menjadi mangsa kerahan meramaikan majlis ceramah demi habuan cop kupon aktiviti untuk melayakkan dapat kolej semester hadapan.

Pada satu majlis ceramah kesedaran - Sempena kebangkitan Intifadha rakyat Palestin, Penceramah dari Palestin dan Malaysia memberikan ucapan dan berkongsi cerita yang sangat menginsafkan. Tapi walaupun aku insaf dan simpati, aku masih tak puas hati dengan satu isu.

Aku tunggu sampai sesi soal jawab, selesai beberapa soalan dari tukang tanya berskrip, maka ada lagi pertanyaan dari pengacara majlis yang semawa penonton untuk bertanya. Aku kira ia hanya formatiliti sebab lepas dia tanya "ada sesiapa lagi mahu ajukan soalan?" dia terus lekas-lekas mahu skip ke ayat penutup "baiklah, kita sudah sampai ke akhir......."

Tapi kali ini aku tak bagi peluang, aku terus angkat tangan dan bertanya, dan keadaan kaget sebentar sebab aku rasa diorang tak jangka akan ada soalan random. Maka aku pun bangun dan tanya.

" Assalamualaikum saudara saya dari Palestin, Saya bersimpati kepada saudara dan nasib-nasib saudara saya yang lain di Palestin, semoga Allah janjikan Syurga kepada Para syahid sekalian"

" terima kasih my brother, teruskan dengan soalan?"

" Saya cuma ada sedikit kemushkilan, berkenaan dengan perjuangan Rakyat Palestin terhadap mendapatkan kemerdekaan dan bebas dari Israel, kenapa Rakyat Palestin tidak bersatu semuanya? Kenapa mesti berpecah-belah kepada Hamas, Fatah, PLO dan lain-lain? "

" Soalan yang sangat bagus saudara. Pada saya, saya tak nampak masalahnya ada banyak parti di Palestin, walaupun kami ada banyak parti tapi matlamat kami sama iaitu mahu melawan Zionis. Sama juga dengan negara awak Malaysia ini, awak ada UMNO, PAS, Keadilan dan DAP"

" Iya tak iya juga. Tapi semasa kami berjuang mahu dapatkan kemerdekaan Tanah Melayu, semua Melayu bersatu-padu dalam UMNO,  Orang Cina dalam MCA, India dalam MIC dan mereka bergabung dalam satu parti perikatan dan hasil kesatuan kami itu buatkan British memberi kemerdekaan. Jika ada pun pihak berhaluan kiri, ia terlalu sedikit dan tidak significant"

" errrrmm... aaaa.. errmmm.. aaaa, kami terpaksa memilih parti kerana jika salah satu parti tidak mampu membela nasib kami, maka kami perlu memilih parti lain"

" Oh begitu, saya kira jika Orang Palestin semua bersatu mungkin gerakan akan lebih kuat dan impak lebih besar"

Pengacara Majlis tiba-tiba menyampuk dan menamatkan sesi soal jawab.

"okey saya rasa cukup sampai di sini saja sesi soal jawab, harap kalau Encik Zul ada apa-apa pertanyaan lagi, boleh tanya dengan ahli panel selepas majlis"

" Saya sudah tiada apa-apa soalan, cuma saya mendoakan kebangkitan rakyat Palestin menemui kejayaan suatu hari kelak, Insyallah"

Sebenarnya sampai sekarang pun aku masih belum puas hati, kalau aku puas hati, aku tak ingat benda ini begitu lama dan aku hamburkan cerita ini dalam blog.

********************************

Senario 2 : Respon jika faham

Pada satu petang pada tahun 1998, semasa aku tingkatan 2. Kejadian berlaku di Mersing kecil, Mersing, Johor.

Berlaku di depan rumah kawan aku, Kami baru lepas teroka belakang rumah dia tengok Buah Susu dan tengok budak-budak tangkap King Spider nak buat laga.

Tiba-tiba datang segerombolan Jemaah Tabligh. Azizan, Amirul dan Zaidi lari lintang pukang kayuh basikal laju-laju. Aku rilek, dan Hasmuni tak boleh lari lagi sebab dah kena kepung. Aku dari kecil memang mesra sikit dengan Jemaah Tabligh, sebab jiran aku masa duduk Selayang dulu ramai yang tabligh, dan aku takde pulak rasa fobia dengan diorang.

Maka bermulalah sesi tarbiyah dan dakwah.

" Assalamualaikum Adik, Abang nak ambil masa adik sekejap je, tak sampai 5 minit. Abang bukan nak pukul adik, tapi nak berpesan-pesan kepada kebaikan"

" baiklah abang, abang ada masa 5 minit untuk berpesan, saya sanggup dengar bang"

" macam ni dik, kita ni hidup di dunia bukan lama, suatu masa nanti kita akan ke akhirat jua, akhirat itu yang abadi, samada kita akan ke syurga atau neraka itu yang menjadi matlamat sebenar hidup. Dunia ini hanyalah tempat persinggahan manusia......... ( dan ceramah berlanjutan utk masa 5 minit)..... Jadi abang harap adik dapatlah luangkan masa sekejap berjemaah di masjid untuk solat Maghrib sekejap lagi"

" Baiklah bang, terima kasih untuk nasihat abang. Kita manusia ni dituntut untuk berpesan-pesan sesama manusia, sepertimana dalam surah Al-Asr yang bermaksud firmannya....Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, melainkan bagi mereka yang beriman dan beramal soleh, dan mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran, dan yang berpesan-pesan dengan kesabaran"

" Alhamdulillah dik, adik ni lagi terer dari kami ni, terharu abang dengar adik cakap mcm ni, adik belajar mana dulu ni dik?"

" Alhamdulillah bang, ni semua ilmu Allah je, dia bagi pinjam je ni, saya tukang sampai je, saya mana belajar mana-mana, benda ni ustazah je ajar dekat sekolah agama fardu ain masa sekolah rendah"

" Iye ke dik? abang ingat adik sekolah pondok dulu, tak pun tahfiz ke, sekolah arab ke"

" Eh takdelah, sekolah agama rakyat je bang"

" kalau macam tu kami minta diri dululah ye, lagipun dah lebih lima minit ni, macam mungkir janji pulak, jangan lupa maghrib nanti ye"

" Insyallah bang"

Maka Hasmuni pun garu kepala, dia hairan sebab selama ini dia ingat Tabligh ni makan orang, rupanya tak makan orang pun. Lepastu dia pelik tengok kawan dia dari seorang pencari king spider dah jadi ustaz jadian. Aku pun pesan dekat hasmuni dan kawan-kawan, Lain kali kalau orang nak datang dakwah korang jangan lari, kalau nampak orang gila baru lari.

Hasmuni je beriya angguk kepala, yang lain hapah satu tak dengar, diorang gelak macam orang gila lagi ada.

****************************

Jadi semua, apa pelajaran kita pada hari ini? Iya, bagus anak-anak. Tak faham tanya. Kalau cikgu tanya, kalau tahu tu respon jawab, jangan dah tau kedekut simpan ilmu sorang-sorang.

"Malu bertanya sesat jalan" Kata peribahasa.

" Kedekut ilmu nanti kubur penuh air" Kata orang-orang tua. 

Masalahnya orang-orang tua, atau orang tua-tua?

Ha ni  lah labah-labah laga, atau nama glamernya King, atau Spider. Sebenarnya aku tak pernah teruja main benda ni, sebab labah-labah tu lawan cepat sangat, tak sempat nak excited dah habis, bosan. Baik main tutup oren. Credit Gambar : forum.lowyat.net 

*******************tamat**************

P/s sorry lama tak update, bulan ni banyak kenduri kawin, sanalah sinilah situlah. 

P/s ada lagi tak budak-budak main laga spider sekarang? aku rasa takde dah, sebab nak simpan labah-labah  ni dalam kotak kaset, zaman sekarang mana ada orang simpan kotak kaset dah. Takkan nak simpan spider dalam thumbdrive ye dak?

P/s Lepas ni cerita zaman dulu-dulu pulak lah. Ni nak tanya sekali lagi ni, orang-orang tua atau orang tua-tua?

Review Myvi 2018

Assalamualaikum Aku yakin mesti ramai dah survey  Perodua Myvi model 2018 kan, mesti korang teruja nak tahu ulasan, best sangat ke MYVI ba...